Photobucket Photobucket


My Blog List


Belanda perlu menarik balik cadangan untuk mengharamkan penyembelihan secara Islam

Pada 27 Mac 2008 yang lalu, umat Islam seluruh dunia digemparkan dengan kewujudan filem “Fitna” yang jelas memburukkan Islam dihasilkan oleh Menteri Kabinet Belanda Geert Wilders. Pada awal April baru-baru ini, digemparkan pula Parti Haiwan dari Belanda yang berjaya merampas 2 kerusi di parlimen dikhabarkan berjaya mendapat sokongan untuk mengadakan pengundian bagi menghapuskan undang-undang penyembelihan haiwan secara Islam. Majoriti wakil rakyat Belanda menganggap kaedah penyembelihan halal yang diamalkan umat Islam bersifat kejam terhadap haiwan sehingga satu rang undang-undang mengenainya akan didebat di parlimen pada hujung bulan ini. Cadangan untuk mengharamkan penyembelihan ini ditentang hebat oleh komuniti Islam dan Yahudi di sana. Sekiranya cadangan itu diluluskan, maka sukar bagi komuniti Islam di sana untuk mendapat daging yang halal.

Mereka menganggap bahawa perbuatan menyembelih haiwan yang dilaksanakan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha. Hakikatnya, kaedah penyembelihan yang digariskan oleh Islam adalah yang terbaik bukan sahaja untuk kebaikan haiwan tersebut malah memberi manfaat kepada kesihatan manusia. Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.

Sabda Nabi saw bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya itu” (Hadis riwayat Muslim).

Selain itu, dalam etika sembelihan juga, haiwan yang disembelih juga tidak disembelih di hadapan haiwan lain dan pisau tidak diasah di hadapan haiwan yang bakal disembelih. Proses penyembelihan dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (halqum) dan saluran makanan (mari’) dan kedua-dua urat karotid dan jugular untuk mempercepatkan pengaliran keluar darah dan kematian haiwan. Melalui penyembelihan, darah daripada haiwan akan dikeluarkan secara total di mana daging yang dihasilkan adalah bersih dan bebas daripada jangkitan kuman dan mikroorganisma yang bersumber daripada darah itu seterusnya daging yang dihasilkan adalah berkualiti.


Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 3,

Maksudnya: “Diharamkan bagimu memakan bangkai, darah, daging babi, daging binatang yang disembelih selain nama Allah, mati kerana tercekik, dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas kecuali yang sempat kamu menyembelihnya”

Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 118

Maksudnya: “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya”
Selepas berlakunya penerbitan filem “Fitna”, sebagai tanda protes, ramai dikalangan umat Islam yang memulaukan produk keluaran Belanda daripada membelinya dan saya merasakan pemulauan ini perlu berlaku secara berterusan kerana sekiranya pemulauan dilakukan secara berterusan oleh seluruh umat Islam, maka saya yakin ekonomi Belanda akan lumpuh kerana komposisi umat Islam adalah meliputi sebahagian besar penduduk dunia. Dalam konteks ini, kita perlu meletakkan Islam dan kepentingan umat Islam daripada keperluan individu jika mahukan pemulauan ini berkesan.

Selain itu, penghasilan produk-produk Muslim perlu dipertingkatkan di seluruh dunia khususnya Malaysia serta tidak lagi bergantung secara total kepada produk-produk keluaran Barat terutamanya produk makanan. Secara kasarnya, hanya 10% produk makanan dikeluarkan oleh syarikat bumiputera Islam dan kebanyakan produk-produk ini adalah dari syarikat-syarikat IKS yang tidak mudah untuk menembusi pasaraya-pasaraya besar di negara kita. Maka sebagai umat Islam, Kita perlu mengubah sikap dan beralih kepada produk-produk keluaran umat Islam sendiri dan memberi sokongan 100% tanpa berbelah bagi.

Saya mengharapkan cadangan untuk mengharamkan penyembelihan haiwan secara Islam di Belanda itu ditarik semula demi kemaslahatan umat Islam di sana dan sekiranya ia berlaku, seluruh umat Islam perlu bangkit untuk memprotes tindakan tersebut.


Maryam 'Afifah Bt Abdul Latif
Timbalan Bendahari GAMIS
Jurusan Sains Makanan & Pemakanan UKM

Posted by SiswaLaNie on 7:33 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Belanda perlu menarik balik cadangan untuk mengharamkan penyembelihan secara Islam

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery