Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dan Kumpulan Anak Muda Sayang Malaysia hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berhubung seruannya kepada masyarakat Cina supaya menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 2.0.
Laporan itu dibuat oleh Muhammad Zaki Sukery Timbalan Presiden GAMIS juga Jurucakap Anak Muda Sayang Malaysia di balai polis Travers pada jam 2.05 petang ini.
Beliau turut diiringi beberapa anggota Kumpulan Anak Muda Sayang Malaysia termasuk Naib Presiden Gamis, Abdul Razak, ketua penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari, Presiden SMM, Ahmad Syukri Abd Razab serta Presiden PMI UPM, Hazim Mohd Noh.
Dalam laporan polis itu, Muhammad Zaki mendakwa Ibrahim telah mengeluarkan kata-kata yang didakwa berbaur hasutan yang berunsurkan keganasan yang ditujukan secara khusus kepada kaum Cina apabila mengarahkan mereka jangan keluar rumah dan perlu menyimpan stok makanan dirumah jika perhimpunan BERSIh tidak dibatalkan.
Kenyataan tersebut dibuat sewaktu pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu.
"Saya memandang bahawa kenyataan provokasi dan berbaur hasutan daripada PERKASA, terutamanya daripada Presidennya, Datuk Ibrahim Ali ialah kenyataan yang pre-matang, tidak berpijak di alam realiti dan mahu menganggu ketenteraman awam dalam negara. Kenyataan yang dibuat juga berbaur rasis dan cuba mencetuskan ketegangan antara kaum seterusnya membuktikan bahawa bukan BERSIH sebaliknya PERKASA yang sebenarnya mahu menimbulkan kekecohan dan kacau-bilau dalam negara," katanya.
Dalam laporan itu, Muhammad Zaki mendakwa perbuatan Ibrahim adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.
"Kami dengan ini menuntut agar Ibrahim Ali Presiden PERKASA supaya disiasat dan dikenakan hukuman sewajarnya supaya kenyataan-kenyataan sebegini tidak lagi berulang pada masa depan." Katanya lagi.
Seksyen tersebut merujuk kepada perbuatan, mengedar atau membuat kenyataan yang berbentuk hasutan dan mengajak membuat jenayah.
Isu cukai tanah di Universiti Utara Malaysia (UUM) belum berakhir. Pihak UUM masih belum putus asa untuk terus merayu buat kali ke tujuh, meminta kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar.
UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun. Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.
Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan?
Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat- syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang 'tidak disengajakan' itu untuk menjelaskan cukai.
Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57 peratus dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir.
Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas IPTA itu ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00.
Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.
Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakan hasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30
bagi satu meter persegi.
Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!
Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan 'precedent case' atau kes duluan untuk dijadikan rujukan . Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31
juta setahun.
Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan
pembayar cukai tanah.
UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok pula yang meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?
Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00.
Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjankan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilantgan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.
Jika pihak UUM masing 'membuat bising' kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.
USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi.
Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang
didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi Universiti Uzur Malaysia.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya 'double standard' kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN.
Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat 'gila-gila' itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.
Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi
politik.
Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka 'eloklah' mereka meneruskan niat busuk
tersebut. Kita serahkan pada rakyat untuk menilai.

Tulisan ini (sekadar yang termampu) bertujuan bagi memastikan mahasiswa jelas dengan apa sepatutnya yang dijadikan pegangan dalam berhadapan dengan isu tersebut. Maka saya seru agar tulisan ini dibaca dengan neraca kebenaran dan penilaian intelektual pemikiran mahasiswa.
[1] Perbuatan mencari-cari dan mendedahkan kesalahan dan keaiban seseorang adalah suatu perkara yang jelas larangannya di dalam al-Quran (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Sebarang tindakan tersebut dalam apa jua bentuk mesti dijauhi dan ditentang supaya tidak menjadi budaya dalam masyarakat kita khususnya dikalangan umat Islam.
[2] Islam juga melarang ummatnya berprasangka (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Larangan tersebut kerana prasangka mendatangkan bahaya dan menyusahkan ramai orang. Bagi mengelakkan wujudnya prasangka, maklumat-maklumat atau berita-berita tentang sesuatu perkara mestilah diambil daripada sumber yang benar dan beretika. Adapun sumber-sumber yang tidak memelihara etika dan sengaja mewujudkan persepsi negatif (sangkaan jahat), mestilah diboikot dan ditentang.
[3] Perbuatan fitnah dan menyebarkannya adalah suatu dosa di sisi Allah s.w.t. Orang yang membuat fitnah dan menyebarkan fitnah, kedua-duanya menerima azab seksa daripada Allah s.w.t. (Surah an-Nur, 24 : 11). Perbuatan meneruskan agenda fitnah dan penyebarannya adalah suatu perisytiharan terbuka terhadap perasaan tidak takut terhadap azab Allah s.w.t. Orang-orang sebegini mestilah dinasihati dan disekat daripada terus mendatangkan huru-hara dalam masyarakat.
[4] Sikap yang mesti dipegang oleh orang-orang yang beriman apabila berhadapan dengan berita fitnah ialah segera menafikan berita tersebut dan memberhentikan aliran penyebarannya (Surah an-Nur, 24 : 12, 16). Sikap ‘cakap-cakap kedai kopi’ dan membincangkannya secara terbuka (melaluli media cetak dan elektronk) hanya akan menggalakkan lagi penyebaran berita fitnah tersebut. Sudah pasti, cara tersebut adalah suatu perbuatan yang tercela dan membelakangkan cara yang ditentukan oleh Allah s.w.t.
[5] Bagi mendakwa seseorang melakukan zina (atau liwat) mestilah dengan mendatangkan 4 orang saksi (Surah an-Nur, 24 : 13) yang adil dan tidak fasik. Jika gagal mengemukakan saksi, orang yang dituduh bebas daripada sabitan kesalahan tersebut bahkan orang yang membuat pertuduhan akan (mesti) dihukum. Orang yang dituduh adalah tidak bersalah selagi tidak disabitkan kesalahan tersebut setelah dikemukakan 4 orang saksi dan mestilah diberikan haknya, dilayan sebagai orang yang tidak bersalah dan dibersihkan namanya.
[6] Bersumpah dengan nama Allah (Wallahi, Wabillahi, Watallahi) adalah bertujuan untuk membersihkan nama seseorang daripada sebarang tohmahan dan ia bukannya suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah. Beerti sumpah adalah terletak pada orang yang dituduh bukannya pada orang yang menuduh. Sumpah tersebut pula mestilah dilakukan di dalam mahkamah dan dengan arahan daripada hakim. Sumpah yang dilakukan oleh orang yang mendakwa dan dilakukan di luar mahkamah adalah bukan daripada kaedah Islam.
[7] Kaedah yang paling tepat dalam menyelesaikan kemelut ini ialah dengan menurut kaedah Islam iaitu melalui hukum Qazaf. Kaedah-kaedah lain hanya akan memanjangkan dan mengkusutkan lagi kemelut ini serta menunjukkan sikap tidak ikhlas dan tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah tersebut bahkan seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’.
Mohd Eikhwan M Ali
Presiden Ma'ruf Club UIAM
Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran nyata yang dilakukan oleh kerajaan.
Menurut Ketua Penerangan GAMIS Pusat, Mohd Yusof Hadhari , rakyat melihat hari ini, pelbagai penyedia perkhidmatan e-mel percuma seperti Yahoo, Gmail, Hotmail dan lain-lain sedangkan kini kerajaan Malaysia dengan murah hati menyediakan RM50 juta untuk perkhidmatan emel tambahan kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
“Emel@1Malaysia dikhabarkan akan diguna bagi urusan menghantar bil dan sebagainya. Jadi, apa perlunya kerajaan berbelanja RM50 juta untuk memperkenalkan e-mel 1Malaysia?
“Adakah untuk mengintai maklumat peribadi pengguna emel yang berurusan dengan kerajaan?” soalnya.
Menurutnya lagi, lebih meragukan, apabila kontrak bagi menyediakan perkhidmatan e-mel 1Malaysia ini diberikan kepada sebuah syarikat IT tempatan, Tricubes Berhad yang sedang menghadapi masalah kewangan dan juga sebuah syarikat yang mempunyai rekod kewangan yang buruk.
“Saya kira RM50 juta satu nilai yang cukup tinggi, projek emel 1Malaysia ini jelas kepada kita satu projek yang tidak munasabah dan merupakan pembaziran paling nyata jika diteruskan juga.
“Saya cadangkan supaya RM50 juta itu di salurkan atau ditambah dalam dana pendidikan. Sepertimana yang kita maklum, biaya pendidikan yang harus ditanggung para mahasiswa kini semakin membengkak,” ujarnya.
Gamis juga, katanya mengharapkan kerajaan akan menimbang semula cadangan untuk menyediakan akaun e-mel 1Malaysia tersebut.
ALOR SETAR, 7 Mac: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berpuas hati dengan proses penghantaran pulang pelajar Kedah ke negara Mesir yang di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.
Ustaz Azizan telah bersama-sama dengan pelajar dan keluarga masing-masing di depan Wisma Darul Aman untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama pelajar ke Mesir kelmarin.
“Setakat hari pertama proses penghantaran pelajar, saya berpuas hati kerana tidak ada yang tercicir dan saya harap perjalanan tidak tergendala,” katanya.
“Ada pelajar yang tidak sedar pasport mereka tamat tempoh, disebabkan itu kita ambil masa untuk memperbaharui pasport dan mohon visa. Mereka yang lewat memperoleh visa akan menaiki penerbangan akhir, bagaimana pun semuanya kini dalam proses dan tidak akan jejaskan perancangan asal,” katanya.
Turut hadir untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama itu ialah Exco Agama, Pelajaran Dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.
Menurutnya, Yayasan Islam Negeri Kedah sedang memantau dan menguruskan segala persiapan dan proses penghantaran bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke KLIA, dan seterusnya tiba ke Mesir.
Kerajaan Negeri Kedah telah menyewa 3 buah kapal terbang Egypt Air untuk proses menghantar pulang 835 pelajar Kedah ke Mesir serta memberikan wang saku RM500 setiap pelajar.
Kumpulan pertama yang dilepaskan ialah seramai 235 pelajar serta 9 pegawai bertolak dari Alor Setar ke KLIA dengan enam buah bas yang disediakan.
Penerbangan kedua akan dilepaskan pada 8 Mac dan penerbangan seterusnya 10 Mac.
Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan kira-kira RM2.5 juta dalam projek penghantaan pelajar Kedah kembali ke Mesir dan projek ini di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) berpendirian kemenangan rakyat mesir menumbangkan Presiden Mesir Hosni Mubarak itu bukan bermakna kebangkitan rakyat sudah tamat. GAMIS yakin roh kebangkitan itu akan menular keseluruh dunia.
Menurut Ketua Penerangan GAMIS Pusat, Mohd Yusof Hadhari , “Kejayaan bukan di capai dengan mudah, mereka berjuangan dengan nyawa dan darah. Ribuan rakyat mengalami pelbagai penderitaan dan penyiksaan, ada dipenjarakan serta ditahan tanpa bicara. Tidak kurang juga yang syahid sama ada di hujung senjata atau di tali gantung.
“Kebangkitan kuasa rakyat ini memberi isyarat cukup jelas kepada semua diktaktor yang masih berkuasa di serata dunia. Bukan mustahil walaupun dalam serba kekurangan kuasa pemimpin yang zalim, menindas, rasuah, skandal, terlibat dengan pelbagai penipuan dan penyelewengan dapat ditumbangkan.”

“Saya mengucapkan penghargaan tahniah setingginya buat seluruh rakyat mesir yang tidak berganjak selama 18 hari, mereka bangun bersama semangat ratusan syuhada yang gugur terkorban bagi membebaskan Mesir yang penuh kebobrokan, ini membuktikan komitmen dan istiqomah mereka berdepan ujian perit menumbangkan pemimpin yang zalim.” ujarnya lagi.
Presiden Mesir Hosni Mubarak yang memerintah selama lebih 30 tahun dalam usianya mencecah 82 tahun akhirnya meletakkan jawatan dan meminta pihak tentera mentadbir negara itu, umum naib presiden Omar Suleiman. Kenyataan ringkas di stesen televisyen nasional itu dibuat sehari selepas Mubarak bertegas tidak akan melepaskan jawatannya.
Perletakan jawatan Hosni Mubarak disambut bagaikan pesta penuh kesyukuran oleh jutaan rakyat Mesir.
Bukan sekadar mengganggu dan bertindak kasar kepada para pelajar, tetapi wartawan Harakahdaily yang diundang membuat liputan sidang akhbar kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) turut dihalang dari menjalankan tugas oleh pihak keselamatan kampus itu pada 11 Februari.
Sebelum itu, para pelajar berkenaan telah pun dikenakan tindakan tidak sepatutnya apabila nama-nama dan nombor-nombor kad matrik mereka telah diambil, walaupun mereka hanya berkumpul dengan aman untuk mengadakan sidang media yang dijadualkan jam 11 pagi di Gazebo, Kompleks Perdanasiswa UM, Kuala Lumpur.
"Awak dari mana?" tanya salah seorang pihak keselamatan UM kepada wartawan dengan kasar.
Setelah dijelaskan dari Harakahdaily serta ditunjukkan kad perakuan media keluaran Jabatan Penerangan Malaysia oleh wartawan, beliau bertanya pula sama ada kehadiran wartawan Harakahdaily untuk mengadakan liputan sidang media itu dengan kebenaran pihak pentadbiran UM atau sebaliknya.

Pertanyaan tidak masuk akal itu terpaksa dijawab oleh wartawan agar pihak terbabit bertindak dengan profesional kerana ia merupakan sesuatu yang tidak perlu, memandangkan kedatangan wartawan ke majlis itu adalah atas jemputan pihak terbabit.
Lebih jauh dari itu, wartawan Harakahdaily juga terpaksa menjelaskan kepada pihak berkenaan bahawa selaku pihak media, para wartawan berhak mengadakan sebarang liputan atas sebarang majlis yang diadakan oleh pelbagai pihak di mana-mana sahaja, apatah lagi jika diundang.
Oleh itu, prosedur yang diajukan kepada wartawan Harakahdaily itu juga ternyata sesuatu yang tidak perlu, amat jauh menyimpang dan ia tidak sepatutnya diperkatakan oleh pihak terbabit ketika seseorang wartawan sedang berada di sesuatu kawasan untuk menjalankan tugasnya.
Menyedari tindakannya itu salah, pihak keselamatan berkenaan kemudian beredar meninggalkan wartawan Harakahdaily lalu terus menyinga kepada para pelajar terutama kepada kepimpinan pelajar yang ingin mengadakan sidang media berkenaan.
Insiden tersebut merupakan sebahagian dari kejadian yang berlaku di UM semalam, apabila sidang media kumpulan Pro-M diganggu oleh pihak keselamatan kampus itu selama 15 minit sambil meminta agar sidang media itu dibatalkan dan kumpulan berkenaan bersurai.
Sebelum kejadian itu berlaku, puluhan mahasiswa sedang bersedia untuk bersama-sama kepimpinan Pro-M bagi menjayakan sidang media yang dirancangkan itu.
Sebaik kepimpinan Pro-M hadir di Gazebo, beberapa orang pihak keselamatan mengarahkan mereka bersurai, manakala salah seorang pegawainya pula dengan lantang bersuara, "Saya minta kepada semua bersurai. Kalau tidak bersurai, saya akan hantar nama kamu ke HEP (Hal Ehwal Pelajar). Tolong fikir masa depan (kamu) dan emak ayah kamu di rumah."

Sebelum itu, sepuluh pegawai keselamatan sudah pun mengambil butiran peribadi mahasiswa yang masih tidak bergerak. Mereka memberikan kerjasama yang baik kepada pihak keselamatan dengan masing-masing menunjukkan kad pelajar dan tidak juga membalas balik kekasaran mereka serta tidak juga mengeluarkan sebarang kata-kata yang tidak sepatutnya.
Akhlak mereka ternyata terpuji walaupun mereka dikasari dan dihalang dari mengadakan sidang media. Mereka sebaliknya berusaha memujuk pihak keselamatan agar memahami apa yang ingin dibuat, tambahan pula pihak media juga sudah pun bersedia membuat liputan terhadap majlis yang akan diadakan.
Namun dalam masa yang sama, pihak keselamatan tidak juga menunjukkan sebarang sikap untuk bertolak ansur. Mereka sebaliknya terus bertindak kasar untuk menghalang sidang media tersebut, sehingga sanggup membunyikan siren dari kereta peronda keselamatn untuk tujuan mengugut dan menolak beberapa orang pelajar kerana enggan bersurai.
Ketika itu, jumlah pelajar yang datang sudah semakin bertambah kepada hampir 100 orang. Walaupun dihalang, mereka tetap bersemangat untuk mengadakan sidang media itu.
Kekentalan semangat mereka menjadi semakin bertambah apabila Presiden Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Ahmad Syazwan Muhammad Hasan, Setiausaha Politik PMIUM, Ahmad Sabri Jamaluddin, Timbalan Presiden PMIUM, Siti Nazirah Majid dan kepimpinan PMIUM lain bertegas untuk terus mengadakan sidang media itu.
Ahmad Syazwan dan Ahmad Sabri, dalam keadaan dihalang dengan keras untuk mengadakan sidang media itu, terus mengarahkan rakan-rakannya naik ke tempat duduk teratas di Gazebo sambil melaungkan kata-kata semangat, "Hidup! Hidup! Hidup Mahasiswa!", "Bangkit! Bangkit! Bangkit Mahasiswa", "Student Power".
Sejurus kemudian bunyi siren daripada kereta peronda keselamatan dimatikan, tetapi pelajar-pelajar berkenaan hanya sempat meneruskan sidang medianya sekitar 10 minit sahaja kerana diganggu pihak keselamatan yang dinyatakan sendiri oleh pihak keselamatan menerima arahan dari pihak pentadbiran UM sendiri.
Dalam sidang medianya yang penuh kepayahan itu, Ahmad Syazwan menyuarakan rasa kesalnya dengan tindakan pihak keselamatan itu dan ia turut disifatkan sebagai insiden untuk "kematian demokrasi di kampus".
“Ia sebagai usaha untuk menutup kebebasan bersuara. Nak buat sidang media, disekat, malah nombor kad matrik diambil," katanya.
Pada sidang medianya itu, Ahmad Syazwan menjelaskan, Pentadbiran UM akhirnya telah 'mengalah' dengan tuntutan kumpulan Pro-M kampus berkenaan dengan bersetuju memenuhi dua daripada empat tuntutan mereka berhubung pilihanraya kampusnya pada 21 Februari ini.
Persetujuan tersebut dicapai selepas mereka bersemuka hampir dua jam dengan Naib Canselor UM, Prof Ghauth Jasmon pada malam Khamis lalu.
"Daripada empat tuntutan, dua telah diterima dan dua lagi masih tidak dijelaskan (statusnya pada kami). Kami masih belum menerima respons daripada pihak pentadbiran," katanya.
Selain itu, katanya, UM akhirnya telah membatalkan bengkel tiga hari persediaan calon serta menggugurkan K Puniamurthy sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) selepas perkhidmatan panjangnya selama tiga tahun, manakala tempatnya kini diambil alih Pengarah Teknologi Maklumat UM, Dr David Asirvatham.
Menurutnya, keputusan hasil pertemuan enam wakil pro-M dengan Ghauth Jasmon dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Dr Rohana Yusof itu dimaklumkan kepadanya pagi ini. Ia dimaklumkan sendiri oleh Rohana melalui SMS.
Katanya, bengkel yang asalnya dikhususkan kepada mahasiswa itu kini ditukarkan kepada "kursus penerangan perlembagaan" dan terbuka kepada semua pihak, termasuk kakitangan universiti.
Kehadiran ke majlis tersebut pada jam 9 pagi esok di Dewan Tuanku Canselor (DTC) adalah "wajib" kerana ia akan dihadiri oleh Ghauth dan Pengerusi Lembaga Universiti, Tan Sri Arshad Ayob.
Sementara dalam kenyataan akhbarnya yang diedarkan, Pro-M universiti itu turut mempertikaikan syarat wajib menjadi calon yang dikenakan, dengan menyertai bengkel persediaan tersebut.
Bantahan lain terhadap penganjuran bengkel itu antaranya terdapat beberapa perkara "yang masih mengelirukan" seperti kelewatan tarikh dan tempat kursus dimaklumkan, proses pemilihan apabila calon yang memohon bertanding akan dihubungi semula untuk diberitahu sama ada layak menyertai bengkel itu ataupun tidak.
Di samping itu, turut berlaku pilih kasih atau tindakan berat sebelah, apabila terdapat calon lawan mereka daripada kumpulan Penggerak Mahasiswa diterima borang permohonan mengikuti bengkel selepas tamat tempoh.
Tuntutan mereka yang masih tiada keputusan jelas pula adalah mengenai pembatalan pelaksanaan sistem eletronik (4E) dalam proses penamaan calon, pengundian, bantahan dan rayuan dalam pilihan raya kampus dan permintaan dilanjutkan tempoh empat hari berkempen. - Harakahdaily
Selepas pembentangan dan taklimat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) pada 27 Januari 2011 di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, kita mendapati Pilihan Raya Kampus pada sesi ini akan mengalami beberapa perubahan dan peringkat yang akan dijalankan. Antara perubahan ketara yang akan diadakan ialah semua calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya kampus sama ada calon umum atau fakulti diwajibkan untuk menyertai bengkel calon yang akan dianjurkan oleh pihak HEPA pada 11 hingga 13 Febuari 2011.

Dalam taklimat tersebut, individu yang ingin menjadi calon, wajib untuk hadir ke bengkel calon yang dianjurkan oleh pihak HEPA dan menjadi syarat utama untuk menjadi calon. Sesiapa yang ingin menjadi calon tetapi tidak menyertai bengkel ini secara automatik tidak boleh menyertai Pilihan Raya Kampus (PRK).
1.0 Alasan Pihak Pentadbiran untuk diadakan Bengkel Calon:
Mengikut taklimat pembentangan HEPA dan dari Timbalan Naib Canselor HEPA Dr. Rohana sendiri, sebab bengkel ini diadakan adalah seperti berikut:
a. Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi lalu 2009/2010 tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan kebanyakan dari mereka tidak mengetahui tugasan sebenar sebagai MPMUM.
b. Untuk menerangkan mengenai sistem PRK yang baru.
c. Menerangkan berkenaan visi dan misi Universiti supaya setiap bakal calon maklum dan mengetahui hasrat Universiti dan dapat melaksanakan tugas dengan baik seiring dengan hasrat Universiti.
Di peringkat Pro-Mahasiswa mempersoalkan mengenai perkara (a) seperti berikut :
a. Persoalan MPMUM tidak berkualiti hanya timbul ketika dibawah penguasaan Penggerak Mahasiswa (Pro HEPA) tahun lalu, tetapi ianya tidak timbul ketika di bawah pemerintahan Pro-Mahasiswa bahkan ketika di bawah Pro-M , kita berjaya melakar nama universiti dalam beberapa perkara seperti ranking dan feskum. Kita mencabar sesiapa sahaja untuk menafikan kenyataan ini.

-ini juga sebagai bukti bahawasanya kepimpinan yang ditawarkan oleh Penggerak Mahasiswa ataupun dulu dikenali sebagai Aspirasi adalah tidak berkualiti.
Kita turut mempersoalkan berkenaan perkara (b) seperti berikut:
a. Perjalanan proses demokrasi dan pilihan raya kampus bukan hanya perlu difahami oleh calon yang bertanding sahaja, tetapi juga perlu difahami oleh kesemua mereka yang terlibat dalam sistem pilihan raya dan demokrasi ini. Dengan erti kata yang lain, sekiranya alasan taklimat yang diberikan sehingga terpaksa membuat bengkel ini, maka sebenarnya bagi memastikan perjalanan demokrasi ini berjalan lancar, maka semua mahasiswa perlu mengikuti bengkel ini dan bukan hanya terhad pada calon sahaja.
b. Sebenarnya untuk memberikan taklimat tidak memakan masa sehari .Lebih teruk lagi,apabila kita melihat usaha HEPA yang memberikan taklimat sistem yang ingin dijalankan ini pada 27 Januari yang lalu dengan sambil lewa. Keadaan ini akan menyusahkan pengundi dan juga mahasiswa sekaligus. Kita mempunyai rekod taklimat tersebut dan sesiapa sahaja boleh menilai proses taklimat tersebut. Kami persilakan jika ada yang sudi.
2.0 Beberapa isu atau permasalahan yang dapat dilihat, jika sekiranya bengkel ini diwajibkan kepada mahasiswa:
1. Sekiranya niat HEPA ingin memperbaiki kepimpinan mahasiswa sekalipun, maka sepatutnya tindakan yang tepat dan bijak adalah mengadakan bengkel selepas kabinet MPMUM terbentuk. Justeru kita mencadangkan agar bengkel dibuat selepas diisytiharkan keputusan Majlis Perwakilan Mahasiswa. Hal ini akan memberikan banyak kebaikan antaranya pengisian yang lebih membumi dan bersesuaian, juga boleh ditubuhkan sekali kabinet baru MPMUM.
2. Hal ini juga, akan membazirkan wang universiti yang mana universiti terpaksa mengeluarkan kos tinggi. Yang mana sepatutnya wang tersebut boleh digunakan untuk tujuan kebajikan mahasiswa lain.
3. Selain itu, dengan mewajibkan bengkel ini terhadap calon adalah seperti memperlekehkan kepimpinan dan kredibiliti mahasiswa untuk diangkat sebagai seorang pemimpin. Dengan erti kata yang lain, mahasiswa kelihatan seperti tidak tahu memimpin sehingga HEPA perlu bengkelkan bagi memberikan kemahiran kepimpinan pada mahasiswa.
4. Bengkel ini juga akan menghalang pemimpin mahasiswa yang mempunyai program dan urusan penting hujung minggu ini daripada menjadi calon. Ini kerana bengkel calon ini dimaklumkan lewat dan terdapat banyak program-program yang telah diatur dan melibatkan bakal calon yang menyebakan kebarangkalian mereka untuk tidak pergi.
3.0 Pendirian Pro-Mahasiswa
Berdasarkan permasalahan-permasalahan yang telah kami kemukakan di atas. Kami di peringkat Pro Mahasiswa menegaskan supaya bengkel calon yang bakal dijalankan pada 11 hingga 13 februari 2011 ini untuk tidak menjadi syarat wajib kepada bakal calon yang ingin menyertai pilihan raya kampus. Akan tetapi hanya sebagai nilai tambah dan bonus kepada mana-mana mahasiswa yang mengikuti bengkel ini untuk menjadi seorang calon yang berkredibiliti.
Kami juga melihat dengan permasalahan ini, seperti demokrasi kampus di Universiti ini telah mati. Ini kerana mana-mana calon yang akan bertanding terpaksa bahkan wajib menghadiri bengkel dan mana-mana calon yang mahu bertanding di saat-saat akhir terpaksa mengabaikan hasrat mereka. Walhal, berkenaan soal kepimpinan adalah hak milik seluruh mahasiwa yang sedar akan kepentingannya.
*Kenyataan yang turut disokong bersama oleh Front mahasiswa berikut:
Pro Mahasiswa Universiti Malaya (PRO-M UM)
UMANY
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Pro-Mahasiswa (MPMUM Pro-M)
Hal Ehwal Wanita & Siswi PMIUM (HEWI PMIUM)
Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS )
Persatuan Mahasiswa Kelantan (PMKUM)
Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH)
Persatuan Mahasiswa Pahang (PMPUM)
Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS)
Persatuan Bahasa Arab (PBAUM)
Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang kelihatan tenang selama ini, tiba-tiba dikejutkan dengan demonstrasi oleh kira-kira dua ribu mahasiswanya. Insaniah adalah sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri Kedah.
Apabila mahasiswa secara solidariti bangun serentak menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap beberapa isu, khususnya mengenai isu kebajikan pelajar, maka ia secara tidak langsung semacam mempertikaikan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.
Tapi berlainan pula dengan reaksi oleh Menteri Besar Kedah. “Saya cukup gembira dengan tunjuk perasaan itu dan saya nak latih mereka untuk bercakap dan saya juga berterima kasih kepada mereka,” ujar beliau.
Komen yang diberikan oleh Menteri Besar itu adalah konsisten dengan sikap pemimpin PAS yang menjadi pembangkang di Pusat lebih separuh abad, iaitu memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara menuntut hak.
Bayangkan jika demonstrasi seperti itu dilakukan oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA), maka hampir pasti semua yang terbabit dengan demonstrasi itu dibuang atau sekurang-kurangnya digantung pengajian oleh pihak universiti. Terlalu banyak kes yang boleh dijadikan contoh.
Terdapat mahasiswa IPTA yang digantung pengajian kerana didakwa berkempen membantu pihak pembangkang dalam pilihanraya. Kesalahan tersebut dirujukkan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Namun jika terdapat mahasiswa yang berkempen menyokong BN, maka AUKU ini tidak terpakai untuk mereka. Amalan dua piawaian penguatkuasaan undang-undang ala Aparteid ini sudah lama diamalkan di Malaysia dalam banyak perkara.
Demonstrasi yang diadakan oleh para pelajar Insaniah itu bukanlah perhimpunan haram sebenarnya. Mereka memohon kebenaran dari pihak universiti untuk mengadakan majlis dialog antara pelajar dan pihak pentadbiran. Rektor Insaniah membenarkan, malah beliau sendiri turun untuk mendengar keluhan mahasiswa.
Antara isu yang dibangkitkan oleh mahasiswa ialah kenaikan yuran secara mendadak dan membebankan pelajar. Pihak pengurusan pula tidak pernah memberi penjelasan terperinci melalui pekeliling bertulis mahupun melalui hebahan umum. Keseluruhan mahasiswa serta ibu bapa kerap tertanya-tanya mengenai rasional kenaikan tersebut.
Jika pada semester satu 2009 pentadbiran hanya mengenakan yuran aktiviti RM50.00 dan perubatan RM10.00 kepada pelajar tetapi pada semester dua 2010 telah bertukar kepada yuran Ko-kurikulum RM150.00 dan yuran pentadbiran RM255.00.
Walaupun yuran dinaikkan tetapi perkhidmatan yang diberikan oleh pihak universiti tidak memuaskan. Mereka mengambil beberapa contoh seperti tiadanya kemudahan WiFi di kampus, buku rujukan yang kurang, perkhidmatan pinjaman buku yang masih kurang memuaskan, pengurangan peruntukan kewangan untuk program-program pelajar dan pelbagai lagi masalah yang timbul.
Mahasiswa juga tidak berpuashati dengan kenaikan harga bagi setiap jam kredit. Hal ini merujuk kepada kenaikan harga yang dikenakan kepada pelajar-pelajar fakulti muamalat. Sebagai contoh jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan telah berlaku kenaikan harga kepada RM 150.00 bagi setiap satu jam kredit.
Hal ini, telah menimbulkan satu tanda tanya yang besar terhadap sejauhmanakah kenaikan ini relevan? Kenaikan ini langsung tidak mendatangkan sebarang perubahan kepada sistem pengajian pelajar dan tidak ada satu pemakluman yang jelas serta tidak terperinci.
Implikasi besar terhadap kenaikan yuran ialah bebanan hidup yang ditanggung oleh mereka. Terdapat beberapa orang mahasiswa yang terpaksa berlapar selama beberapa bulan akibat wang sara diri yang terhad khususnya mahasiswa antarabangsa.
Apabila dikaji, didapati bahawa kekangan kos ini berlaku akibat tiada pinjaman luar yang diperolehi dan hanya bergantung daripada pendapatan keluarga. Manakala bagi pelajar Malaysia pula, baki wang pinjaman yang diperolehi oleh pelajar tersebut terlalu kecil setelah digunakan untuk membayar yuran pengajian. Selain daripada bayaran yuran pengajian, baki pinjaman juga terpaksa digunakan oleh mahasiswa untuk membeli keperluan akademik seperti buku, alat tulis, dan keperluan yang lain. Akhirnya mahasiswa yang kesempitan ini terpaksa menjadikan mi segera sebagai hidangan rutin walaupun mengetahui risiko lain.
Terdapat juga mahasiswa yang telah berkerja untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung keperluan hidup. Keputusan ini diambil atas desakan kadar yuran yang tinggi dan sumber kewangan yang tidak mencukupi. Natijahnya, mahasiswa yang kurang bernasib baik ini terpaksa melewatkan tempoh tamat pengajian dan menyebabkan perancangan jangka masa pendek mereka sedikit terganggu. Dan timbulnya masalah-masalah sosial pelajar di luar kampus yang secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada imej universiti.
Semua itu adalah antara isu yang terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak pentadbir Insaniah. Apa yang dibangkitkan itu adalah perkara yang boleh ditangani oleh pihak pentadbir universiti. Cuma mungkin akibat tersalah memberi keutamaan maka pihak atasan terlepas pandang untuk memberi fokus kepada isu kebajikan pelajar.
Demonstari pelajar Insaniah itu bukanlah agenda untuk menyanggahi kerajaan negeri tetapi hanya untuk membetulkan pentadbiran dalaman universiti jika terdapat kelemahan. Apabila Menteri Besar menyatakan sokongan terhadap tindakan pelajar berdemonstrasi maka pihak pembangkang di Kedah eloklah beralih kepada isu lain untuk dibuat modal politik.
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersedia menjadi perunding dan penganjur kepada debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana tawaran yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, semalam.
Presiden Gamis, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, mahasiswa melihat ia merupakan suatu ruang yang sihat bagi pihak kerajaan dan pembangkang menyatakan iltizam dan inspirasi dalam memacu program ekonomi negara pada masa akan datang.
Katanya, anak muda memerlukan komitmen yang jelas daripada pihak parti politik supaya mereka khususnya mahasiswa boleh menimbangtara program terbaik yang ditawarkan.
“Gamis mengambil perhatian kepada tawaran yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagi suatu usaha yang baik dalam pengamalan demokrasi negara.
“Debat ini perlu dilaksanakan atas garisan akademik dan intelektual tanpa pengaruh emosi kepolitikan daripada kedua-dua pihak. Maka kami syorkan untuk debat ini diadakan dalam universiti yang menjadi medan pertempuran ilmu dan intelek dan bebas dari pengaruh politik berbanding di luar,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Tambahnya, isu yang ingin dibincangkan ialah berkait soal ekonomi negara yang menjadi nadi utama kepada pembangunan negara, maka kepentingan percambahan idea dan pandangan dalam memajukan negara sangat diperlukan.
Menurutnya, debat itu bakal menjadi pentas meraikan demokrasi dalam negara dan rakyat boleh menilai hujah dan pandangan yang bakal dilontarkan oleh kedua-dua pihak.
Mahasiswa, katanya sudah muak dengan hanya mendengar kenyataan balas melalui media tanpa ada suatu pertentangan idea secara terus dan berdepan.
Beliau berkata, permainan isu yang menjadi tanda tanya kepada rakyat khususnya berkaitan hutang negara, ketirisan dalam perbelanjaan, penarikan subsidi barangan asas, pembinaan menara 100 tingkat, FDI yang berkurangan dan banyak lagi isu yang akan pasti menjadi perkara yang perlu dibahaskan melalui debat itersebut.
“Maka besar harapan mahasiswa agar debat ini dapat dijalankan supaya pihak kerajaan boleh menjelaskan isu yang bermain disekitar dan dalam masa yang sama kita boleh menilai kerelevanan manifesto yang dibawa oleh pihak Pakatan Rakyat,” katanya lagi.
Menurutnya, debat bukan semata-mata untuk mencari siapa menang dan kalah, tetapi menilai kepada keberanian dan kekuatan hujah yang disampaikan oleh kedua-dua pihak.
“Gamis merasakan ini adalah suatu permulaan kepada politik baru yang dicanangkan bersama untuk melihat masa depan negara yang lebih baik,” ujarnya.