
Tulisan ini (sekadar yang termampu) bertujuan bagi memastikan mahasiswa jelas dengan apa sepatutnya yang dijadikan pegangan dalam berhadapan dengan isu tersebut. Maka saya seru agar tulisan ini dibaca dengan neraca kebenaran dan penilaian intelektual pemikiran mahasiswa.
[1] Perbuatan mencari-cari dan mendedahkan kesalahan dan keaiban seseorang adalah suatu perkara yang jelas larangannya di dalam al-Quran (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Sebarang tindakan tersebut dalam apa jua bentuk mesti dijauhi dan ditentang supaya tidak menjadi budaya dalam masyarakat kita khususnya dikalangan umat Islam.
[2] Islam juga melarang ummatnya berprasangka (Surah al-Hujrat, 49 : 12). Larangan tersebut kerana prasangka mendatangkan bahaya dan menyusahkan ramai orang. Bagi mengelakkan wujudnya prasangka, maklumat-maklumat atau berita-berita tentang sesuatu perkara mestilah diambil daripada sumber yang benar dan beretika. Adapun sumber-sumber yang tidak memelihara etika dan sengaja mewujudkan persepsi negatif (sangkaan jahat), mestilah diboikot dan ditentang.
[3] Perbuatan fitnah dan menyebarkannya adalah suatu dosa di sisi Allah s.w.t. Orang yang membuat fitnah dan menyebarkan fitnah, kedua-duanya menerima azab seksa daripada Allah s.w.t. (Surah an-Nur, 24 : 11). Perbuatan meneruskan agenda fitnah dan penyebarannya adalah suatu perisytiharan terbuka terhadap perasaan tidak takut terhadap azab Allah s.w.t. Orang-orang sebegini mestilah dinasihati dan disekat daripada terus mendatangkan huru-hara dalam masyarakat.
[4] Sikap yang mesti dipegang oleh orang-orang yang beriman apabila berhadapan dengan berita fitnah ialah segera menafikan berita tersebut dan memberhentikan aliran penyebarannya (Surah an-Nur, 24 : 12, 16). Sikap ‘cakap-cakap kedai kopi’ dan membincangkannya secara terbuka (melaluli media cetak dan elektronk) hanya akan menggalakkan lagi penyebaran berita fitnah tersebut. Sudah pasti, cara tersebut adalah suatu perbuatan yang tercela dan membelakangkan cara yang ditentukan oleh Allah s.w.t.
[5] Bagi mendakwa seseorang melakukan zina (atau liwat) mestilah dengan mendatangkan 4 orang saksi (Surah an-Nur, 24 : 13) yang adil dan tidak fasik. Jika gagal mengemukakan saksi, orang yang dituduh bebas daripada sabitan kesalahan tersebut bahkan orang yang membuat pertuduhan akan (mesti) dihukum. Orang yang dituduh adalah tidak bersalah selagi tidak disabitkan kesalahan tersebut setelah dikemukakan 4 orang saksi dan mestilah diberikan haknya, dilayan sebagai orang yang tidak bersalah dan dibersihkan namanya.
[6] Bersumpah dengan nama Allah (Wallahi, Wabillahi, Watallahi) adalah bertujuan untuk membersihkan nama seseorang daripada sebarang tohmahan dan ia bukannya suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah. Beerti sumpah adalah terletak pada orang yang dituduh bukannya pada orang yang menuduh. Sumpah tersebut pula mestilah dilakukan di dalam mahkamah dan dengan arahan daripada hakim. Sumpah yang dilakukan oleh orang yang mendakwa dan dilakukan di luar mahkamah adalah bukan daripada kaedah Islam.
[7] Kaedah yang paling tepat dalam menyelesaikan kemelut ini ialah dengan menurut kaedah Islam iaitu melalui hukum Qazaf. Kaedah-kaedah lain hanya akan memanjangkan dan mengkusutkan lagi kemelut ini serta menunjukkan sikap tidak ikhlas dan tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah tersebut bahkan seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’.
Mohd Eikhwan M Ali
Presiden Ma'ruf Club UIAM
Universiti Utara Malaysia (UUM) dikenali (bukan terkenal) sebagai universiti yang banyak memfokuskan bidang pengajian kepada falsafah dan pengaplikasian pengurusan. Kami sebagai graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) merasa terpanggil untuk mengemukakan komentar tentang isu-isu yang menyentuh kepada aspek tata-kelola universiti pengurusan ini.
Isu terbaru yang melanda UUM ialah mengenai isu air dan isu cukai tanah yang mana telah mengheret kerajaan PAS Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Jentera media diperkakaskan sepenuhnya oleh rejim Umno BN, apa yang menjadikan isu ini bertambah panas ialah apabila kesalahan tersebut dibebankan sepenuhnya ke atas bahu kerajaan PAS Kedah walaupun pada hakikatnya masalah ini berpunca daripada kelemahan yang ketara oleh pentadbiran dan pengurusan UUM untuk menangani masalah ini dari akar umbinya.
Apabila memperkatakan mengenai isu air, hal ini sebenarnya melibatkan dua persoalan yang utama iaitu, kegagalan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri untuk membekalkan air secukupnya kepada UUM atau masalah infrastruktur yang tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan pusat justeru infrastruktur universiti terletak sepenuhnya dalam tanggungjawab kerajaan pusat iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Utusan Malaysia melaporkan bahawa masalah ini berpunca daripada persoalan yang pertama walaupun pada hakikatnya pengurusan UUMlah yang patut disalahkan kerana gagal menangani masalah ini. Dilaporkan juga bahawa UUM menghabiskan purata sebanyak RM80,000 untuk bekalan air dengan menyewa lori untuk mengangkut air setiap bulan. Bayangkan jika duit yang dibazirkan ini digunakan untuk menyelenggarakan infrastruktur yang sedia ada, saya percaya bahawa pembaziran ini dapat dielakkan.
Persoalan lain yang turut terkait dengan isu air ini ialah tidak semua Dewan Penginapan Pelajar (DPP) mengalami masalah ini bahkan hanya segelintir sahaja. Namun media membesar-besarkan isu ini untuk menunjukkan bahawa seluruh universiti ‘kelam kabut’ kerana isu ketiadaan air ini. Saya difahamkan bahawa DPP yang berada di luar kampus utama iaitu DPP Bank Rakyat dan DPP SME Bank tidak pula mengalami masalah ini.
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah melalui portal kerajaan negeri, dipetik sebagai berkata bahawa kelemahan ini berpunca daripada kelemahan pengurusan universiti yang gagal untuk menaiktaraf infrastruktur ada sesuai dengan pertambahan mahasiswa yang semakin meningkat. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menegaskan bahawa pihaknya telah membawa isu ini kepada kerajaan pusat (merujuk kepada Kementerian Pengajian Tinggi) namun tidak berhasil.
Isu air ini sebenarnya telah berlaku sejak pemerintahan rejim Umno BN memerintah Kedah sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Hal ini bermakna kerajaan Umno BN sememangnya gagal membantu menyelesaikan masalah ini dan pemimpin sebelum ini yang patut dipersalahkan.
Isu yang seiring dengan isu air adalah mengenai isu cukai tanah. Dilaporkan bahawa kerajaan negeri menaikkan cukai tanah sehingga sepuluh kali ganda sejak mengambil alih pemerintahan negeri. UUM juga dilaporkan bahawa perlu membayar sebanyak RM1.8 juta setahun berbanding RM150,000 sebelum ini.
Fitnah yang berterusan terus dihamburkan kepada kerajaan PAS Kedah dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri mengaut keuntungan daripada institut pengajian tinggi (IPT) itu. Kerajaan Pusat juga mendakwa bahawa mereka ingin untuk bersahabat dan menjalin lebih banyak kerja dengan kerajaan negeri. Jika ini disebutkan dengan hati yang tulus, selesaikanlah masalah air yang telah sekian lama berlaku dan jangan hanya tau menyalahkan kerajaan negeri.
Dalam Harakahdaily.net, Menteri Besar Kedah mengeluarkan kenyataan bahawa, tempoh pemberian rebat kepada universiti itu telah berakhir, dan oleh kerana itulah UUM perlu membayar penuh. Namun, jika UUM tidak mampu untuk membayar cukai tersebut, UUM boleh memohon untuk mendapatkan rebat semula. Kenyataan yang dikeluarkan ini tidak ‘sampai’ kepada masyarakat kerana semua media massa adalah pro kerajaan dan sememangnya kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat adalah ‘haram’ dikeluarkan di media massa ini. Hal ini akan menampakkan bahawa PR sememangnya lemah dan tidak mampu untuk mentadbir negeri yang dimenanginya ketika pilihan raya yang lalu.
Saya sangat berharap agar mahasiswa UUM bijak untuk menilai situasi ini dan jangan hanya menuduh membabi buta tanpa mendapatkan berita daripada sumber yang benar. Mahasiswa perlu bersuara jika hak anda dicabuli. Jangan hanya menjadi mahasiswa yang bisu dan pekak, hanya mengikut telunjuk universiti yang nyata telah memanipulasi anda untuk menampakkan bahawa kesalahan perlu ditanggung oleh kerajaan yang sedang memerintah!
Sudah lebih kurang 2 minggu calon-calon yang bertanding untuk pemilihan MPP dalam pilihanraya kampus (PRK) UIAM meraikan kemenangan masing-masing. Kesyukuran yang diraikan tidak lain dan tidak bukan bersandarkan kepada keyakinan terhadap kuasa Allah yang memberikan kemenangan ini.

Setelah berlalunya AGM Students' Representative Council (SRC) sesi yang lepas, bermulalah pembubaran kerajaan pimpinan mahasiswa. Jangkaan terbentuknya kerajaan baru selepas PRK akhirnya tidak berhasil. Seolah-olah kemenangan wakil-wakil mahasiswa tidak diambil serius. Tradisi pengishtiharan kerajaan SRC yang baru pada kebiasaanya adalah melalui sistem syura yang akan dianjurkan oleh pihak pentadbiran.
Sangat dikesali apabila sehingga sekarang, masih tiada sebarang tindakan daripada pihak atasan untuk mengadakan proses syura tersebut. Ini bermaksud, sehingga hari ini bidang tugas pimpinan SRC hanya mampu berada dalam skop kuliyyah masing-masing. Kerajaan SRC masih lagi belum dibentuk dan tidak disahkan lagi.
Perlu ditegaskan di sini, mereka semua ahli MPP yang diberikan mandat oleh mahasiswa bukan melalui perlantikan oleh pihak pentadbiran. Oleh itu, amat memalukan andai perkara ini tidak diambil serius kerana mahasiswa UIAM tidak sama sekali bodoh.
Hal ini seolah-olah menyatakan bahawa PRK yang berlaku pada semester ini adalah tidak berfungsi. PRK dianjurkan hanya untuk menutup mulut-mulut mahasiswa yang menerima bulat-bulan apa yang berlaku. Cuti semester yang semakin hampir membuktikan bahawa peranan SRC tidak akan berjaya dilihat pada semester ini.
Rasional SRC perlu disahkan dalam masa yang cepat adalah kerana:
1. Mandat mahasiswa
2. Tempoh berkhidmat singkat
3. Penangguhan kerajaan mahasiswa terlalu lama
Sebarang alasan yang diberikan oleh pihak pentadbiran tidak sepatutnya menjadi penyebab utama atas kelembapan proses tersebut. Amanah dan tanggungjawab SRC untuk membawa suara mahasiswa tidak sepatutnya disekat atas alasan birokrasi dan sealirannya. Kondisi kehangatan PRK pada baru-baru ini seolah-olah terus membeku. Hal ini akan membantutkan kefahaman pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa.
Justeru, diharapkan pihak pentadbiran UIAM selaku pihak paling berkuasa dapat menyelesaikan masalah tersebut. Walaupun ianya masalah terpencil, namun impaknya amat besar. Mahasiswa UIAM masih tertunggu-tunggu di manakah pimpinan SRC yang dipilih oleh mereka.
WE UNITE FOR ISLAM
Muhammad Hafizuddin Bin Muhamed Noor
Pro-Mahasiswa (WUFI) UIAM

Bahang kepanasan pilihanraya kampus (PRK) masih lagi terasa walaupun semua peserta telah melepasi garisan penamat. Meraikan kemenangan Pro-Mahasiswa yang berjaya menguasai beberapa kampus utama IPT tahun ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan besar.
Pada PRK kali ini, Pro-Mahasiswa telah berjaya menguasai Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian (USMKK), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan (UMSL) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Kemenangan besar di kampus-kampus tersebut tidak boleh sama sekali menyebabkan para aktivis mahasiswa berada di zon yang selesa dan senang. Usaha yang padu berserta doa dan tawakal kepada Allah akhirnya membuahkan hasil. Dalam kemenangan ada ujian. Ujian kemenangan yang diberikan ini lebih besar berbanding sebelum ini. Hasil kemenangan inilah menjadi kayu ukur kepada kerajaan mahasiswa Pro-M untuk membuktikan komitmen dan integriti kita dalam pemerintahan.
Antara fokus utama masyarakat untuk menilai prestasi MPP baru ini adalah manifesto. Manifesto yang menjadi bahan utama semasa kempen akan dinilai kembali. Merealisasikan manifesto mestilah sekuat momentum kempen. Hal ini demikian supaya manifesto yang hebat itu tidak dilabelkan sebagai janji manis di mulut, hanyalah retorik semata-mata.
Penilaian kepada calon MPP yang menang juga akan diukur. Masyarakat akan melihat samada wujud atau tidak perbezaan berbanding calon lain yang menjadi lawan. Pimpinan dari Pro-M mestilah mempunyai identiti yang tersendiri. Identiti inilah yang membezakan kita daripada kumpulan lain supaya kita dilihat membawa perubahan sebenar. Sangatlah teruk andai pimpinan mahasiswa yang menang bertanding membawa tradisi korupsi yang lama.
Kita perlu sedar dan yakin, bermula dengan kemenangan ini kita bukanlah di pihak pembangkang lagi. Kita adalah pemerintah kerajaan. Oleh yang demikian, tindakan dan perilaku kita sebagai kerajaan mestilah lebih profesional dan rasional. Pembawaan pimpinan mahasiswa mestilah berubah dengan lebih dinamik. Jika pendekatan agresif itu sudah sinonim, maka ubahlah kepada pendekatan yang lebih diplomatik.
Tidak dinafikan, pastinya sekatan demi sekatan terus dikemaskini oleh pihak atasan, namun dengan memegang tampuk kerajaan, mahasiswa mesti mencatur dengan lebih bijak dan efektif. Bermula tampuk kepimpinan yang baru di setiap kampus, sudah tiba masanya kerajaan Pro-Mahasiswa membuktikan sebab dan rasional masyarakat kampus perlu menerima kerajaan kita. Jangan biarkan kemenangan ini menjadi sebab kekalahan akan datang.
Justeru, seluruh pendokong dan penyokong Kerajaan Mahasiswa diseru agar memberi tumpuan dan komitmen yang tinggi untuk mengisi kemenangan yang besar ini. Jangan biarkan sahabat-sahabat pimpinan mahasiswa berseorangan dalam mencapai tujuan menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan. Kemenangan bukan untuk bermegah, tetapi kemenangan itu untuk diisi dengan perubahan.
WE UNITE FOR ISLAM
Muhammad Hafizuddin Bin Muhamed Noor
Mahasiswa UIAM
Kebangkitan mahasiswa bukan sesuatu yang baru kepada sejarah negara kita. Nama-nama seperti Kamarazaman Yacob, Abu Zer, Yunus Ali, Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim dan ramai lagi aktivis mahasiswa sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa suatu ketika dahulu.
Kerajaan melihat kebangkitan mahasiswa sekitar tahun 1970-an membuktikan bahawa "student power" ini bukan subjek yang boleh dipandang enteng
Sebab itu mereka telah memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1971 yang dilihat bertujuan mengekang kebangkitan dan mengongkong mahasiswa dari aktif berpolitik. Malah negara menyaksikan ramai aktivis mahasiswa dari dahulu sehingga kini ditahan di bawah akta zalim ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).
Kita mengakui bahawa universiti-universiti awam di negara ini telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh-tokoh ulung. Golongan cendekiawan ini telah melontarkan banyak idea, pandangan, kajian dan sebagainya. Semua ini telah banyak membantu dalam perkembangan ilmu pengetahuan, perindustrian, menaik taraf sosio ekonomi masyarakat dan negara amnya. Tetapi fakta ini cuma berada sebuah sudut yang umum mengetahui. Kita harus mengeluarkan minda mahasiswa kita dari kefahaman sempit. Universiti kita bukan cuma sebuah pusat pengumpulan manusia-manusia untuk diprogramkan. Kalau begitu lebih baik belajar di sekolah sahaja - Profesor kangkung, sebagaimana yang disifatkan Hishamuddin Rais. Ia merujuk kepada peranan universiti adalah lebih besar dari sekadar "pusat pengajian".
Mahasiswa: Produk tertentu memenuhi permintaan pasaran?
Tugas sebagai mahasiswa bukan semata-mata untuk belajar dalam jurusan yang diambil- menyiapkan kerja kursus dan menduduki peperiksaan. Menjadi mahasiswa juga bukan semata-mata bercuti ke Genting pada hari minggu. Tugas sebagai mahasiswa adalah sebagai penggerak massa dan minda masyarakat zamannya. Tugas sebagai mahasiswa adalah untuk memberi solidariti kepada perjuangan rakyat. Mahasiswa merupakan nadi dan tulang belakang gerakan rakyat dalam memerangi kezaliman. Tugas mahasiswa adalah untuk menyedarkan rakyat. Mahasiswa perlu menceburkan diri dalam politik untuk menyeimbangkan suara rakyat. Lihatlah sejarah yang pernah tercipta di Iran, Perancis, Tunisia, Mesir, Greece, Korea dan sebagainya. Mahasiswa mencipta sejarah! Adalah amat menyedihkan sebahagian besar mahasiswa dilihat cuma mahu menjadi produk-produk tertentu dalam memenuhi permintaan pasaran.
Pilihanraya Kampus sangat penting bertujuan untuk menyediakan barisan kepemimpinan di kalangan mahasiswa itu sendiri. Pilihanraya Kampus ini merupakan sebuah platform kepada mahasiswa untuk berjuang menggangkat isu-isu berkaitan kebajikan pelajar, pentadbiran universiti malah isu-isu melibatkan kepentingan negara. Di sinilah mahasiswa mengetengahkan, memperkenalkan idealisme perjuangan mereka. Mereka yang memenangi pilihanraya kampus perlu bertindak sebagai mata-kepala dan suara pelajar-pelajar yang diwakili dan bukan sebagai "pak turut" pentadbiran universiti mahupun kerajaan. Gerakan mahasiswa perlu menjadi sebuah gerakan yang non-partisan demi menjamin kestabilan dan keutuhan gerakan pelajr itu sendiri.
Adalah sangat tidak tepat jika kita tafsirkan bahawa Pilihanraya Kampus merupakan sebuah platform untuk "belajar" dan "merasa berpolitik" semata-mata. Malah di sinilah bakat calon-calon yang bakal menerajui negara diasah. Partisipasi mahasiswa dalam politik kampus mahupun luar kampus harus dilihat sebagai sesuatu yang positif tetapi "mahasiswa yang berpolitik" ini sering sahaja dilabel menentang kerajaan dan mencabar pentadbiran universiti.
Tahun 2010 dilihat sebagai zaman kebangkitan semula mahasiswa. Tertangkapnya beberapa orang pelajar semasa membantu jentera PR di pilihanraya kecil Hulu selangor dan kes "bini puaka", diikuti dengan perhimpunan-perhimpunan aman di Kementerian Pengajian Tinggi, perhimpunan-perhimpunan solidariti mahasiswa amat meresahkan kerajaan lebih-lebih lagi taring AUKU semakin menumpul.
Cabaran kepada semangat demokrasi
Insiden mengejutkan kehilangan calon Pro Mahasiswa UM; Masturah Abu Bakar merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah pilihanraya kampus. Kehilangan Masturah dilihat sebagai "konspirasi terancang" pihak-pihak tertentu dalam menakutkan gerakan Pro Mahasiswa seterusnya menggagalkan kemenangan mereka di universiti-universiti. Apa yang akan berlaku sekiranya gerakan Pro Mahasiswa tewas? Ya. Pentadbiran universiti akan lebih mudah untuk menjalankan dasar-dasar yang menekan mahasiswa dari beraktivisme.
Berbalik kepada insiden kehilangan Masturah sebuah laporan polis telah pun dibuat oleh temannya. Nurhanis Wahidah diikuti dengan sebuah perhimpunan di Dewan Tunku Canselor yang melibatkan sekurang-kurangnya 200 mahasiswa untuk menyerahkan memorandum yang menuntut pihak universiti agar bertanggungjawab atas kehilangat tersebut.
Mengulas insiden kehilangan Masturah, pihak pentadbiran universiti menekankan bahawa mahasiswa dilarang berkempen di luar kampus. Sekiranya berbuat demikian, mereka harus bertanggungjawab di atas tindakan yang mereka lakukan. Ini merupakan sebuah kenyataan yang sangat memalukan.
Logiknya seseorang individu itu memang bertanggungjawab atas apa yang dilakukan-tidak perlu peraturan bertulis pun kita sudah mengetahuinya. Isunya ialah - Masturah adalah seorang pelajar UM sendiri dan merupakan Calon Pro Mahasiswa yang bakal bertanding. Pihak universiti harus lebih prihatin dengan insiden yang menimpa Masturah dan bukan mengambil sikap eskapis. Ini sangat tidak profesional. Sikap acuh tidak acuh pentadbiran UM ke atas insiden yang menimpa Masturah cuma akan menjejaskan ketelusan dan kepercayaan pelajar dan masyarakat kepada institusi ulung tersebut.
Kebebasan beraktivisme mahasiswa cuba dikekang sebaik mungkin. Seorang demi seorang aktivis Pro Mahasiswa bakal dikenakan tindakan akibat program "ziarah mesra" bagi mendekati masyarakat kampus. Soalan saya, apakah impak negatif dari ziarah mesra tersebut? Apakah ini sebuah pencabulan terhadap demokrasi? Malah program ziarah ini akan merapatkan lagi hubungan sesama pelajar. Satu lagi isu yang harus diketengahkan sebagai isu yang dilihat cuma mengongkong kebebasan beraktivisme dan kebebasan berkreativiti mahasiswa adalah isu dari pentadbiran UM yang mewajibkan calon pilihan raya kampus menghadiri bengkel calon. Isu ini telahpun dijawab dan disokong oleh Front mahasiswa.
Tempoh berkempen bagi pilihanraya kampus seluruh negara diperlihatkan dengan insiden-insiden buruk yang menjejaskan sistem demokrasi pilihanraya kampus. Antara lain adalah insiden mengoyak poster calon Pro Mahasiswa, membaling cat kepada kenderaan, membakar sepanduk dan sebagainya. Apakah yang boleh diertikan dengan semua insiden ini? Ya. Mahasiswa kita cuba diterapkan dengan budaya "kebudak-budakan" dan tidak matang. Pihak lawan cuba melakukan provokasi, menakut-nakutkan calon Pro Mahasiswa; tujuan akhirnya agar calon Pro Aspirasi menang. Maka; mahasiswa sebolehnya akan dikawal dengan ketat.
Sehingga saat artikel ini ditulis, pilihanraya kampus telahpun berlangsung. Ia menyaksikan kemenangan calon-calon Pro Mahasiswa di UM, UKM, UIA dan pengaruh Pro Mahasisa mula bertapak universiti lain. Nampaknya, gerakan mahasiswa mula mendapat momentum. Idealisme perjuangan mahasiswa harus dilaungkan. Perjuangan untuk menggangkat martabat mahasiswa perlu diperluaskan. Dan untuk hari-hari seterusnya, gerakan Pro Mahasiswa bakal menghadapi rintangan demi rintangan. Teruskan perjuangan! Ayuh ciptakan sejarah! Mantapkan agenda perubahan!
*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.
Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang sepatutnya dijalankan pada 21 Februari (Isnin ini) serentak dengan kampus-kampus lain sedikit tergendala kerana telah ditunda ke hari kemudiannya berikutan pembatalan keseluruhan proses penamaan calon yang telah berlangsung pada 17 Februari lalu.
Kesemua 56 calon-calon yang layak bertanding merebut 30 kerusi yang ditawarkan dalam kabinet MPP UTHM telah dibatalkan pencalonan mereka atas alasan masalah teknikal.

Semalam, sehari selepas hari penamaan calon, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) memanggil kesemua calon yang bertanding dalam satu perjumpaan tergempar membabitkan Timbalan Pendaftar HEP Abdul Malek Ibrahim pada jam 6.30 petang di hadapan foyer pejabat bahagian itu bagi memaklumkan pembatalan keseluruhan proses penamaan calon.
Dalam pengumuman itu,, beliau membacakan hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP yang menasihati naib canselor supaya membatalkannya.
Ketika beberapa wakil calon yang bertanding bertanyakan sebabnya, pihak HEP meminta agar semua calon yang bertanding menerima keputusan yang diputuskan.
Justeru, proses penamaan calon UTHM hanya akan bermula pada tarikh 19 Februari. Proses pembelian borang calon dibuka semula pada 9 malam hingga 12 malam pada hari pembatalan proses pencalonan tersebut.
Proses pengesahan borang calon oleh dekan-dekan fakulti atau wakil rasmi Dekan fakulti juga turut akan diadakan pada tarikh yang sama dengan hari penamaan calon.
Pada hari penamaan calon yang lalu, seramai 57 pelajar mengemukakan borang pencalonan masing-masing. Seorang dibatalkan pencalonan kerana menerima bantahan, menjadikan 56 calon layak bertanding.
Dalam proses yang sama juga, seorang calon Pro-mahasiswa dibantah oleh calon Pro-Aspirasi atas alasan mata nilai purata terkumpul (CPA) calon terbabit bawah 2.7 mata. Namun, dalam bantahan terhadap beliau ditolak berikutan syarat yang termaktub dalam peraturan jawatankuasa pemilihan menyebutkan bahawa calon dengan CPA 2.7 bawah adalah layak bertanding tetapi tidak digalakkan.
Perkara 4.2 menyatakan: "Walaubagaimanapun, pelajar yang mempunyai CPA kurang daripada 2.7 tidak digalakkan untuk menjadi calon."
Pembatalan keseluruhan proses penamaan calon tersebut telah menimbulkan isu di kalangan mahasiswa UTHM.
Ini kerana selepas pembatalan, wujud notis tambahan dalam borang calon yang menekankan soal kelayakan sebagai calon dengan menyatakan:
"Pelajar yang mempunyai CPA kurang daripada 2.7 tidak digalakkan untuk menjadi calon. Walaubagaimanapun, permohonan calon adalah tertakluk kepada budi bicara Dekan atau wakil rasmi Dekan atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar) 2011 bagi menyokong atau menolak permohonan pelajar untuk menjadi calon."
Ia dilihat sebagai satu campurtangan pihak tertentu untuk cuba mempengaruhi atau menekan dekan-dekan fakulti bagi tidak membenarkan calon tertentu diberi kebenaran bertanding pada proses penamaan calon yang lepas, daripada diberi peluang sekali lagi untuk bertanding.
Menurut seorang mahasiswa UTHM, sekiranya benar tindakan tersebut dibuat atas tujuan dan niat berkenaan, maka tindakan ini sangat tidak adil kerana kriteria dan syarat layak untuk menjadi calon yang bertanding adalah ditetapkan sendiri oleh jawatankuasa induk pelaksana pemilihan MPP dan mahasiswa telah mengikut syarat sebagaimana yang telah ditetapkan.
Malah, mahasiswa sendiri telah mendapat kelulusan dari pihak dekan fakulti masing-masing bagi membuktikan bahawa mereka telah mendapat perkenan dari pihak dekan fakulti sekaligus boleh dikira sebagai mendapat galakan dari pihak dekan sendiri.
Kenyataan dalam notis terbabit sangat jelas menunjukkan ia satu pindaan yang masih baru dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Perwakilan UTHM 2011 untuk mensabotaj calon yang berjaya dalam rayuan melawan bantahan yang dibuat ke atasnya.
Dengan wujudnya notis penambahan yang baru tersebut, ianya boleh dimanipulasi oleh pihak yang mempunyai kuasa dalam menyokong atau menolak permohonan pelajar untuk menjadi calon.
Sebagai contoh, ia boleh dimanipulasikan oleh pihak yang mempunyai kuasa untuk menyokong calon yang disukai tetapi dalam masa yang sama menolak permohonan calon yang tidak disukai meskipun kedua-dua calon memiliki CPA kurang dari 2.7.
Lebih menimbulkan persoalan di fikiran mahasiswa apabila mesyuarat yang dilakukan jawatankuasa induk pemilihan MPP tersebut dilakukan setelah satu kenyataan memboikot pemilihan MPP dikeluarkan oleh pihak Pro-aspirasi setelah mereka gagal membantah calon Pro-mahasiswa atas alasan CPA terbabit.
Penulis merupakan penyelaras kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pemimpin merupakan seseorang yang bertanggungjawab untuk memikul amanah yang telah dibebankan agar menjadi ketua atau orang yang bertanggungjawab ke atas golongan bawahannya. Rasulullah S.A.W telah bersabda:"Setiap daripada kamu adalah PENJAGA, dan setiap daripada kamu BERTANGGUNGJAWAB ke atas yang DIJAGA"
Tahun ini memperlihatkan dua pemilihan kepimpinan di dua peringkat besar yang boleh dikatakan sebagai golongan pemacu negara. Kedua-duanya bakal menjadi perhatian dan liputan luas oleh media rasmi mahupun media tidak rasmi. Pilihanraya Kampus (PRK) dan Pilihanraya Umum (PRU) tahun ini bakal menggegarkan pentas politik tanah air.
Bulan Februari menjadi sasaran mahasiswa. Beberapa kampus telah mengumumkan tarikh PRK akan berlangsung pada bulan ini. Jentera mahasiswa juga telah berada di garisan perlumbaan, hanya menantikan saat wisel ditiupkan. Pro-Mahasiswa mahupun Pro-Aspirasi akan mempersembahkan kehebatan masing-masing.
Milik siapakah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) pada tahun ini? Pemilihan kerajaan mahasiswa ini menjadi ukuran kepada pengaruh dan kepercayaan terhadap kumpulan mahasiswa yang bertanding. Benar atau tidak, Pro-Mahasiswa tetap akan dilabel sebagai Pro-PR dan Pro-Aspirasi terus dilabel sebagai Pro-BN.
Jikalau tahun lepas menyaksikan kemenangan yang besar kepada Pro-Aspirasi di beberapa buah kampus, begitulah yang terjadi di dalam Kerajaan Malaysia. Tidak dapat dinafikan juga, beberapa buah universiti yang dilabelkan sebagai Pusat Pengajian Islam atau Akademi Pengajian Islam Terbesar menjadi kubu utama untuk kemenangan Pro-Mahasiswa.
Bulan Mei, Jun dan Julai menjadi persoalan. Beberapa ahli politik tanah air yang terkenal mensasarkan PRU akan berlaku pada pertengahan tahun ini. Ini bermaksud, sejurus beberapa bulan selepas PRK, pemilihan pemimpin untuk negara tercinta bakal menyusul. Pastinya pelbagai strategi dan perancangan dicaturkan di segenap peringkat parti-parti politik Malaysia.
Mahasiswa dilihat sebagai golongan perubah yang besar dan dipercayai rakyat pada PRU beberapa tahun yang lepas mengakibatkan berlakunya Tsunami Politik tanah air. Hal tersebut menyebabkan mahasiswa disekat secara besar-besaran. Gari AUKU digunakan untuk memenjarakan mahasiswa daripada berpolitik.
Rentetan daripada itu, beberapa tahun ini senapang Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilihat berkesan. Mahasiswa diselami trauma dan takut untuk beraksi dalam politik kepartian. Anak muda terpelajar ini disia-siakan di universiti masing-masing.
Namun, dunia cepat berubah. AUKU hanyalah AUKU. Keberanian dan kecerdikan mahasiswa mesti diiktiraf. PRK yang akan menjenguk hanya dalam beberapa minggu ini menjadi kayu ukur. Mahasiswa tidak perlu terikat dengan idea politik pihak-pihak tertentu, tetapi mahasiswa perlu menerima politik. Politik kampus mahupun politik negara.
Persoalan di sini, adakah bulan lompat ini akan meneruskan lompatannya ke pertengahan tahun? Apakah pergerakan politik anak muda intelek bernama mahasiswa ini akan menjadi cerminan kepada orientasi politik negara? Masyarakat yang bijak mampu membaca cerita-cerita politik ini.
Justeru, mahasiswa hari ini mestilah lebih berhikmah dan matang dalam mengatur perencanaan politik kampus. Tidak perlu terlalu agresif jika bukan di tempatnya dan jangan sekali-kali membiarkan kepala kita dipijak. Pastinya, kumpulan hanyalah jenama, produklah akan merealisasikan kehebatan jenama tersebut. Agenda yang perlu dijelaskan, mahasiswa pembawa agenda Islam melalui gerakan mahasiswa bukan berjuang untuk agenda mahasiswa semata-mata.
WE UNITE FOR ISLAM
Muhammad Hafizuddin Bin Muhamed Noor
Mahasiswa UIAM
Apabila memperkatakan tentang ketuanan Melayu, maka kita akan bercakap mengenai hak orang Melayu. Hari ini banyak pihak begitu lantang menyuarakan berkenaan itu terutama daripada Umno dan NGO Pro-Umno.
Bagi anak muda, sesetengah mereka berasa tidak ada keperluan ‘terpekik-pekik’ seperti mana yang dilakukan sesetengah pihak. Mungkin kerana anak muda hari ini tidak tahu langsung, ataupun barangkali sudah faham benar.
Bagi anak muda, khususnya pasca-Merdeka yakni mereka yang lahir selepas Merdeka ataupun sepuluh tahun selepas merdeka, Ketuanan Melayu tidak boleh dipaksa kepada mereka untuk diperjuangkan.
Lebih lagi anak muda yang faham.
Sejarah
Bukan bermaksud anak muda ini gagal menghayati sejarah, jauh sekali ‘menderhaka’ perjuangan tokoh-tokoh Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan dahulu. Malah ada dikalangan mereka, walaupun tidak melaluinya (situasi perjuangan kemerdekaan), lebih menjiwai melalui penceritaan tokoh dan dokumentari.
Jika dahulu, pelajar dipaksa memahami sejarah melalui buku-buku teks sejarah yang kadangkala faktanya lebih berat sebelah yakni hanya memaparkan perjuangan tokoh Umno yang pro-penjajah. Mereka seumpama Dr Burhanuddin dilabel sebagai tokoh berhaluan kiri, walaupun beliau juga memperjuangkan kemerdekaan yang bersifat anti-penjajah.
Namun, anak muda hari ini, maklumat dan aksesnya lebih luas. Ada facebook, blog, e-book, wikipedia dan pelbagai lagi sumber maklumat untuk mengetahui sejarah.
Bahkan buku-buku sejarah orang Melayu yang bersifat analisis semakin banyak diterbitkan. Misalnya karya Dr Syed Hussin Ali bertajuk Melayu: Masalah dan Masa Depan dan The Malay Dillema karya Tun Dr Mahathir. Malah karya bertajuk Membina dan Meruntuh Malaysia yang ditulis oleh Datuk Ahmad Mustafa Hassan juga sebagai catatan sejarah berkenaan perjuangan Melayu era dahulu dan kini.
Tidak boleh tipu anak muda
Anak muda hari ini tidak lagi boleh ditipu dengan sejarah, apatah lagi ditipu dengan perjuangan menuntut Ketuanan Melayu.
Anak muda akan mempersoalkan dicelah manakah perjuangan Ketuanan Melayu, namun dalam masa yang sama hak mereka untuk mendapatkan biasiswa di dalam pendidikan yang sepatutnya diberikan kepada kesemua anak-anak Melayu dinafikan.
Anak muda juga akan mempersoalkan siapakah sebenarnya pejuang sebenar Ketuanan Melayu pada hari ini, apabila usul di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan ditolak oleh Adun Umno. Sedangkan anak muda boleh membaca sejarah tentang perjuangan Melayu itu.
Anak muda boleh dengan mudah mendapatkan fakta dengan luas dan dapat membezakan bagaimana harga barang yang melambung naik pada hari ini di negara Malaysia jika dibandingkan dengan negara-negara jauh lebih murah yang sama majunya dengan Malaysia.
Begitu juga anak muda akan mempersoalkan berkenaan ‘kekeringan’ peluang pekerjaan di negara tanah tumpah air mereka ini jika hendak dibandingkan dengan negara yang sudah merdeka sama seperti Malaysia. Semua itu anak muda ketahui.
Justeru untuk menipu ‘bulat-bulat’ anak muda dengan perjuangan Ketuanan Melayu sebagai pembela adalah tindakan yang meludah ke langit, terpercik ke muka sendiri.
Walhal nasib anak muda hari ini tidak juga berubah. Sudahlah perlu membayar semula pinjaman pendidikan, dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu serta gaji yang tidak sepadan dengan harga barang dan perbelanjaan. Belum lagi memikirkan bagaimana tempat tinggal, jauh sekali mahu mendirikan rumah tangga.
Saya tidak pasti, bilakah akan berlaku ‘pemuda membakar diri’ kerana kesempitan ini. Kita jangan rasa tidak mungkin berlaku. Ini kerana sifat anak muda itu adalah tidak mudah dijangka (unpredictable).
Mohd Aizat Mohd Salleh
ISU pembayaran balik semula PTPTN sentiasa menjadi ‘igauan’ kepada penuntut yang sudah menamatkan pelajaran di universiti masing-masing. Polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini adalah, selepas 6 (enam) bulan bergraduasi, mereka wajib membayar semula pinjaman tersebut, sama ada sudah bekerja atau tidak.
Dengan ditambah kos pentadbiran sebanyak 3% (dahulu), dan 1% (Ujrah), maka jumlah bayaran balik pinjaman akan meningkat, dan tidak berkurang. Jika peminjam meminjam sebanyak RM19,000, maka ditambah kos pentadbiran 3% sebanyak RM3,800, maka jumlah yang perlu dibayar adalah sebanyak RM23,000. (Secara purata).
Jumlah ini yang menjadi ‘hantu’ kepada para pelajar hari ini. Mungkin bagi mahasiswa, mereka belum merasai lantaran masih berada di universiti dan sedang ‘enak’ berbelanja dengan wang saku mereka.
PTPTN dalam ‘Buku Jingga’
Seperkara yang tidak dibuat dan tidak diusahakan pun oleh kerajaan BN pada hari ini adalah menyelesaikan kemelut anak muda ini. Iaitu bagaimana semua rakyat itu boleh mendapat pendidikan tanpa bebanan, kerana pendidikan merupakan tanggungjawab asasi yang perlu dimiliki oleh rakyat seperti juga air.
Saya ingin menarik anak muda atau mereka yang lepasan universiti yang sedang bergelut dengan masalah bayaran balik PTPTN ini adalah dengan melihat salah satu manifesto PR di dalam ‘Buku Jingga’nya. Antara janji PR apabila memerintah adalah:
“Menyelesaikan krisis pembiayaan pendidikan tinggi (yang dijangka akan menyebabkan defisit PTPTN melambung ke paras RM46 bilion dalam masa sedekad) dengan mengurangkan beban peminjam dengan cara memperkenalkan polisi pinjaman tanpa faedah dan membenarkan pembayaran semula enam bulan setelah peminjam mendapat pekerjaan tetap.”
Saya yakin, sumber kerajaan Malaysia hari ini sangat banyak. Daripada syarikat-syarikat milik kerajaan, hasil-mahsul minyak petroleum, pelaburan saham dan sebagainya, andai diurus dengan baik, maka apa salahnya beberapa peratus disalurkan bagi mengurangkan bebanan ini.
Bantuan pendidikan tidak berasaskan ‘bisnes’
Selain itu juga usaha mendapatkan pendidikan tinggi kepada rakyat pada kadar yang paling minima juga wajar diperhatikan disini:
“Menjamin hak setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mendapatkan pendidikan tinggi pada kadar yang paling minima.”
Disamping mengusahakan setiap rakyat mendapat biasiswa dalam pendidikan bagi mereka yang layak dan menghentikan budaya ‘bisnes’ di dalam pendidikan wajar juga disokong:
“Mengembalikan hak rakyat yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan biasiswa bagi mereka yang layak dan menghentikan kecenderungan memperdagangkan pendidikan tinggi demi keuntungan.”
Oleh hal yang demikian, saya bukan mahu ‘mengangkat bakul’ kepada janji PR ini, namun ia adalah pendekatan serta penyelesaian realistik yang wajar anak muda hari ini beri perhatian. Setidak-tidaknya ‘suara’ mahasiswa dan anak muda didengari oleh pemimpin PR, dan apa salahnya memberi peluang kepada PR mandat memimpin kerajaan Malaysia. Jika janji ini ditepati, maka pada penggal akan datang anak muda wajar meneruskan sokongan. Jika tidak, kita beralih kepada yang lebih baik. Mudah saja.
Mohd Aizat Mohd Salleh
Penulis adalah Mantan Exco Kepimpinan, Kerohanian dan Pembangunan Insan, Majlis Perwakilan Mahasiswa, Universiti Malaya 2009
1.1.11 merupakan tarikh bersejarah bagi gerakan mahasiswa Malaysia. Suatu himpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang bertemakan ‘Mahasiswa Untuk Malaysia’ telah berlangsung dengan jayanya di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Kehadiran pelbagai ‘front’ seperti GAMIS, KAMI, DEMA dan sebagainya menyemarakkan lagi himpunan yang dihadiri oleh aktivis mahasiswa dari seluruh pelusuk negara. Himpunan ini dilihat mampu menjadi suatu titik tolak kebangkitan mahasiswa pada tahun 2011 untuk meneruskan momentum dan aksi dalam usaha menuju Malaysia baru yang lebih gemilang.
Posisi Mahasiswa
Mahasiswa perlu sedar bahawa mereka berada pada kedudukan yang istimewa baik di dalam mahupun luar kampus. Gerakan mahasiswa merupakan sebuah gerakan yang independen dan bersifat non partisan. Mahasiswa tidak mempunyai kepentingan politik kepartian malah, mahasiswa berdiri atas susuk tubuh tersendiri untuk memainkan peranan yang aktif dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Gerakan mahasiswa adalah berasaskan rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Justeru, mahasiswa perlu terus konsisten dalam memperjuangkan hak mahasiswa dan rakyat. Mahasiswa perlu bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2011 dan bertindak lebih kreatif agar gerakan anak muda sentiasa relevan berpencak dalam arus politik negara. Di samping itu, mahasiswa harus mengupayakan gerakan ini bagi mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih terjamin.
Neraca Yang Benar dan Suluhan Ilmu
Mahasiswa harus bijak menganalisis dan menilai realiti semasa, bukan sekadar menurut dan membiarkan diri mereka hanyut dibawa arus pembodohan. Kita memerlukan neraca yang benar berteraskan prinsip kebenaran dan keadilan. Kita tidak harus membiarkan kebenaran terus dinodai. Kita tidak wajar membiarkan keadilan terus diperkosa. Mahasiswa bertanggungjawab untuk menggerakkan ‘kuasa’ generasi muda untuk memastikan pemerintahan negara berjalan seperti yang sepatutnya.
Namun begitu, kita harus mengangkat martabat diri melalui penguasaan ilmu. Ilmu merupakan asas kepada kehidupan yang lebih baik dan ia dilihat mampu menjadi suluhan bermakna kepada gerakan ini. Kita tidak mahu mahasiswa dianggap sebagai golongan bodoh yang sibuk berbicara mengenai masalah masyarakat. Penguasaan ilmu amat penting dalam menunjangi agenda perubahan dan mendepani cabaran semasa yang kian kompleks. Mahasiswa juga perlu mengelakkan berlakunya ‘bencana intelektual’ yang akhirnya mensia-siakan potensi sebenar mahasiswa. Kesannya, mahasiswa gagal terdidik sehingga lenyap budaya intelektual, hilang sensitiviti dan cenderung menjadi pelaku pasif.
Deklarasi Mahasiswa 2011
Himpunan ini turut mempersetujui tiga deklarasi yang merangkumi kata kunci Mahasiswa Untuk Mahasiswa, Mahasiswa Untuk Rakyat dan Mahasiswa Untuk Negara. Deklarasi ini dilihat bertepatan dengan aspirasi anak muda yang menginginkan keterlibatan secara lebih meluas dalam konteks pembinaan negara. Mahasiswa mahu pendirian mereka didengari dan diperhalusi, justeru keterbukaan semua pihak dalam menanggapi idea mahasiswa amat penting.
Akhir kata, saya berharap agar gerakan anak muda Malaysia dapat mengerah seluruh keringat demi memastikan tahun 2011 menjadi tahun gemilang buat mahasiswa. Kita perlu sahut cabaran untuk kembali menjadi generasi mahasiswa yang bermaruah dan tegas memperjuangkan prinsip. Kita perlu ikhlaskan niat dan lipatgandakan usaha. Perjuangan ini masih panjang dan penuh liku-liku. Apa yang pasti, kita harus lakukan sesuatu demi merealisasikan hasrat menjadi MAHASISWA UNTUK MALAYSIA. Selamat Maju Jaya!
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
MPP Umum Gabungan Mahasiswa UKM sesi 2009/2010