SERDANG, 23 April: Lebih 40 mahasiswa, termasuk 9 ahli Pro Mahasiswa (Pro M) disingkirkan dari Kolej Kediaman Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) tanpa sebab yang munasabah walaupun masing-masing memenuhi merit minimum iaitu 60 mata untuk menghuni di kolej tersebut.
Antara ahli Pro M yang disingkirkan termasuk mereka yang mempunyai lebih 100 merit.
Seorang pemimpin mahasiswa yang enggan namanya disiarkan mendakwa pengetua di kolej tersebut merupakan dalang di sebalik tindakan tidak berperundangan tersebut.
Katanya lagi, pengetua sejak seminggu yang lalu secara tidak bertanggungjawab sanggup menghilangkan diri ketika diminta menjelaskan motif penyahsenaraian mahasiswa terbabit dari menghuni di kolej tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut dipertikai kerana menawarkan kediaman dalam universiti kepada seorang pelajar pro Aspirasi walaupun siswi itu hanya mempunyai 52 merit. Dia juga menganggotai MPP sesi 2011/2012.
Pengetua kolej itu merupakan penyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM yang boleh dihubungi melalui telefon pejabat 03-89467357.
Kolej tersebut boleh menampung melebihi 350 penghuni, namun sehingga kini khabarnya masih banyak tempat dikosongkan.

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) yang menguasai kerusi dalam pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) kini membentuk barisan kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dalam "terpaksa" tanpa kehadiran dua calon umum mereka.
Ia berikutan pihak universiti "menggantung kemenangan" calon popular mereka Masturah Abu Bakar yang dilaporkan hilang lebih 24 jam sewaktu kehangatan kempen berlangsung.
Manakala Tan Tiong Yih - pelajar fakulti kejuruteraan - pula sedang disiasat polis atas dakwaan memalsukan surat cuti sakit.
"Kami diberi pilihan oleh HEP sama ada untuk menangguhkan pembentukan kabinet atau meneruskannya.
"Jadi (kami) meneruskan (pembentukan kabinet) kerana terpaksa, bahkan pelajar lain merungut supaya menubuhkan kabinet," kata Yang Dipetua MPM kampus itu Mohd Syahid Mohd Zaini (
kanan) ketika dihubungi
Malaysiakini. Menurutnya lagi, pihaknya terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk mengetahui hasil siasatan pihak polis berhubung kedua-dua kes berkenaaan.
Dalam pilihan raya kampus 21 Februari lalu, pro-M
menang 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan. Masturah dan Tan turut turut terpilih.
Mohd Syahid berkata, pembentukan kabinet semalam dihadiri 38 calon yang menang, tidak termasuk Masturah dan Tan.
Manakala seorang calon daripada kumpulan lawan mereka Penggerak Mahasiswa tidak hadir kerana berada di Sabah.
Nasihat peguam Walaupun jumlah keanggotaan kumpulan mereka kini tinggal 21 kerusi sahaja, itu sudah memadai kerana Penggerak Mahasiswa hanya mendapat 16 kerusi manakala bebas cuma dua.
Mohd Syahid berkata, pihaknya membangkitkan dan mempertahankan dua calon mereka di hadapan Timbalan Naib Canselor (TNC) HEP Prof Datuk Rohana Yusoff dalam pertemuan lebih tiga jam semalam.

"Pro-M tidak bersetuju dan terkejut dengan keputusan (penggantungan) itu. Mereka sebelum itu tidak pernah dipanggil sebelum digantung.
"Tidak ada perbicaraan atau diambil keterangan, tiba-tiba sahaja digantung," kata pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam itu.
Mohd Syahid berkata, mereka berpendapat bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) memperuntukan bahawa penggantungan pelajar hanya boleh dibuat berdasarkan kepada keputusan perbicaraan, bukannya ketika masih dalam siasatan.
Malangnya, Mohd Syahid mendakwa, universiti tetap dengan keputusan bahawa Masturah dan Tan tidak boleh menganggotai kabinet MPM sehingga siasatan ke atas mereka selesai.
Ditanya mengenai tindakan pro-M selepas ini bagi membela kedua-dua calon itu, Mohd Syahid berkata pihaknya sudah mendapatkan nasihat peguam, sekali gus menimbangkannya membawa ke mahkamah.
Mohd Syahid turut menjelaskan pihak pentadbiran UM akan memanggil Tan untuk memberi keterangan berhubung dakwaan memalsukan surat cuti sakit pada 24 Mac ini.
Gabungan Mahasiswa UKM merakamkan ucapan takziah kepada rakyat dan kerajaan Jepun yang baru-baru ini mengalami bencana gempa bumi dan Tsunami.
Sumber televisyen NHK negara tersebut melaporkan, suatu gempa bumi telah berlaku sekuat 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter berlaku pada jam 2.46 petang dan diikuti siri gegaran kuat termasuk 7.4 magnitud kira-kira 30 minit selepas itu.
Kedapatan juga Tsunami setinggi setinggi 10 meter telah melanda pelabuhan Sendai yang menghasilkan ombak yang telah merosakkan seluruh kawasan pertanian dan menghanyutkan rumah, kenderaan dan lain-lain. Bencana tersebut juga dilaporkan menyebabkan kebakaran dan tanah runtuh.
Perkhidmatan keretapi ke utara Jepun juga dihentikan manakala lapangan terbang antarabangsa Narita ditutup. Ribuan penumpang terkandas dan dipindahkan apabila semua penerbangan ke luar Jepun dibatalkan.
Setakat ini bekalan elektrik kepada empat juta penduduk di Tokyo dan kawasan sekitarnya diputuskan.
Kebanyakan laluan di Tohoku yang menyambung ibu negara Jepun itu ke kawasan utara negara tersebut turut dilapokan terputus.
GMUKM dalam pada itu mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut dan berharap pihak Kementerian Luar Malaysia melalui Wisma Putra melakukan yang terbaik bagi memastikan mereka yang berdepan dengan pelbagai kesukaran ekoran bencana alam itu mendapat bantuan yang sewajarnya.
KUALA LUMPUR, 22 Feb: Meskipun kalah kepada Pro-Aspirasi, Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka meningkatkan bilangan kerusi fakulti yang dimenangi.
Keputusan yang diumumkan lewat petang semalam menyaksikan, Pro-M memenangi sebelas kerusi daripada 43 kerusi yang dipertandingkan iaitu sembilan kerusi fakulti dan dua kerusi umum.
Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Pro-M UPM, Syed Syafiq Syed Hashim berkata, kemenangan sembilan kerusi fakulti tersebut merupakan peningkatan yang mendadak berbanding empat kerusi dimenangi pada sesi lepas.
"Kami berpuas hati dengan keputusan di fakulti sebab kenaikan mendadak. Dulu kita menang empat kerusi sekarang kita menang sembilan kerusi. Ini satu pencapaian yang memuaskan bagi Pro-M," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Mengakui sedikit kecewa dengan keputusan bagi kerusi umum, beliau bagaimanapun berkata perkara itu sudah dijangka apabila melihat kepada pecahan undi yang banyak.
"Bagi kerusi umum kami kecewa sebab dulu Pro-M menang tujuh sekarang hanya menang dua.
"Tapi keputusan itu kami sudah jangka sebab pecahan undi yang terlalu banyak agak susahlah nak menang," katanya.
Calon Pro-M yang menang di kerusi umum ialah Muhammad Amiruddin dan Khor Wen Jie.
Manakala calon fakulti terdiri daripada Mohamedd Sufiyan Mohamed Nor (Fakulti Pertanian), Nur Hasanah Hamzah (Ekologi), Khairunnisak Bakri (Pendidikan), Muhammad Syafiq Ashaari (Sains), Nur Syahirah Hatta (Sains), Muhammad Hafiz Saad (Teknologi Makanan), Nor Atiqah Isa (Teknologi Makanan), Arasyi Yahaya (Perubatan & Sains Kesihatan) dan Wan Ibrahim (Sekolah Pengajian Siswazah).
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera Pro-M yang bertungkus lumus membantu kempen calon dan penyokong-penyokong yang memberikan sokongan yang memberangsangkan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada jentera yang bertungkus lumus lumus dan kepada calon yang memberi komitmen, para penyokong yang tiba-tiba bangkit sesi ini dan pihak keselamatan yang banyak menolong mengawal dari berlaku kekecohan sepanjang tempoh kempen," katanya.
Penyokong pro-Mahasiswa (pro-M) mengusung 'mayat' ketika berkumpul di hadapan bangunan pejabat timbalan naib canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) kerana membantah penolakan pencalonan empat calon pro-M dalam pilihan raya kampus universiti tersebut.

Mereka 'membaringkan' empat 'mayat' tersebut di Gazebo yang terletak di hadapan bangunan pejabat TNC HEP kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.
Seorang daripada calon tersebut ditolak kerana tidak menghadiri sepenuhnya kursus mengenai pilihan raya kampus anjuran HEP sesi taklimat yang diadakan hari Sabtu lalu.
Manakala dua lagi kerana tidak menghadiri kursus tersebut kerana terpaksa menghadiri program wajib jabatan masing-masing.

Seorang lagi calon pro-M ditolak kerana lewat menghantar borang pencalonan atas terpaksa menghadiri urusan keluarga.
Mereka yang ditolak itu meliputi satu kerusi umum dan tiga kerusi fakulti.
Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan di UM yang merangkumi sembilan kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan dua kerusi siswazah.
Dalam satu sidang media, jurucakap Pro-M Mohd Sabri Jamaluddin menjelaskan dua calon mereka tidak hadir Sabtu lalu kerana terpaksa menghadiri program lain.

"Mereka mendapat surat dari ketua jabatan untuk diserahkan kepada TNC HEP tetapi ditolak sekeras-kerasnya," kata Mohd Sabri.
Beliau juga memberitahu terdapat seorang lagi calon menghadiri dua daripada empat slot kursus tersebut dan terpaksa pulang awal kerana menghadapi masalah alahan.
Surat cuti sakit turut di majukan tetapi ditolak oleh TNC HEP.
Manakala soerang lagi, lewat menghantar borang pencalonan kerana pulang ke kampung untuk menyelesaikan masalah harta pusaka keluarganya.
Calon terbabit menghantar borang pencalonan pada hari berikutnya - Sabtu - semasa taklimat kepada calon-calon yang bertanding.
Sementara pengerusi Pro-M UM Farid Jalpah memberitahu Malaysiakini, terdapat dua calon bebas yang cenderung kepada pro-M, turut ditolak kertas pencalonan mereka.
Setakat ini, Farid tidak dapat memastikan sebab kertas pencalonan mereka ditolak.
Menurut Farid, beliau telah menemui Naib Canselor UM Prof Ghauth Jasmon untuk mendapat penjelasan mengenainya memandangkan calon-calon terbabit telah mengemukakan bukti ketidakhadiran mereka.
Katanya, pertemuan dengan Ghauth di pejabatnya selama 30 minit itu bermula jam 10.45 pagi. Naib canselor itu akan memberikan keputusan mengenai bantahan mereka itu.
Farid juga turut menemui pengerusi jawatankuasa pemilihan Dr David, yang menyatakan "tidak ada masalah" untuk menerima pencalonan pro-M.
Pagi tadi, kira-kira 120 penyokong kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), termasuk calon, berarak dari padang di hadapan fakulti kejuruteraan menuju ke kompleks perdana siswa untuk penamaan calon.

Mereka akan bertanding untuk merebut 43 kerusi, termasuk dua kerusi siswazah dalam pilihan raya kampus kali ini.
Mereka bergerak kira-kira jam 8.50 pagi, sambil melaungkan 'bangkit mahaiswa', 'hidup mahasiswa' dan 'bantah e voting'.
Pelajar yang menyertai perarakan itu juga membawa dua kain rentang besar yang tertulis "university muted".
Selain UM, empat lagi universiti akan mengadakan penamaan calon masing-masing esok, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor.
[GAMBAR : Sekitar Penamaan Calon UM]
Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM) hari ini membuat dua laporan polis berhubung dua insiden - kejadian kereta disimbah cat dan kain rentang calon kumpulan itu dibakar, menjelang pilihan raya kampus itu 21 Februari ini.

Pentadbiran UM menetapkan esok sebagai hari penamaan calon untuk 41 kerusi yang akan dipertandingkan kali ini.
Kedua-dua laporan polis itu dibuat secara berasingan. Kejadian kereta disimbah cat dibuat pemilik kereta Proton Saga Iswara, kelabu dibuat oleh pemiliknya, Ahmad Bashier Muhamad Afifi, di Balai Polis Damansara kira-kira jam 9.51 pagi ini.
Manakala bagi kes membakar kain rentang calon umum pro-M, pula dilaporkan oleh pengerusi pro-M nasional Mohd Taufiq Abdul di Balai Polis Seksyen 17 Petaling Jaya kira-kira jam 5 pagi.Dalam laporan polisnya, Ahmad Bashier berkata beliau dimaklumkan oleh rakannya pada kira-kira jam 8.45 pagi ini bahawa bumbung serta kiri dan kanan keretanya telah disimbah cat berwarna oren.
Aktivis pro-M itu berkata keretanya itu diletakan di luar kawasan rumah sewanya di Petaling Jaya.

"Saya berasa teraniaya dan terancam dengan kejadian ini. Saya mengesyaki ada unsur ugutan berikutan pilihan raya kampus yang semakin hampir," laporan polis itu dipetik.
Sementara itu, Mohd Taufiq pula, ketika temui Malaysiakini pagi ini, berkata kejadian berlaku di rumah sewa mahasiswi di Seksyen 12 Petaling Jaya kira-kira jam 4.50 pagi ini.Ketika kejadian itu, katanya, beliau serta enam lagi mahasiswa sedang tidur selepas berkawal di luar rumah berkenaan.
"Tiba-tiba saya tersedar, api sedang marak," katanya sambil menambah bahawa lima kain rentang calon umum pro-M hangus terbakar.
Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 25 aktivis pro-M berkumpul di luar pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof Datuk Dr Rohana Yusof tengahari tadi.

Mereka berkumpul untuk mendapat penjelasan berhubung dua lagi tuntutan mereka, antaranya pelaksanaan sistem elektornik (4E) - proses penamaan, pengundian, bantahan dan rayuan dan melanjutkan tempoh berkempen.
Sebelum ini, pihak pentadbiran universiti tunduk dengan desakan kumpulan tersebut apabila memenuhi dua daripada empat tuntutan mereka.
Jurucakap pro-M, Mohd Sabri Jamaluddin berkata hasil perbincangan dengan Dr Rohana, pihak universiti "berkeras" untuk melaksanakan juga sistem tersebut dalam pilihan raya kampus kali ini.
"Pihak universiti masih (mahu) mengekalkan sistem 4E ini. Bagi mereka (menggunakan) teknologi dan sistem elektronik lebih mudah," katanya dalam satu sidang media selepas pertemuan ini.
Selain itu, Mohd Sabri meminta pentadbiran universiti lebih "bersikap adil" supaya membenarkan pro-M berkempen di kolej-kolej kediaman yang kebanyakannya dikuasai oleh Penggerak Mahasiswa (pro-Aspirasi).
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Pro Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (Pro-M UPM) mengecam tindakan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) kampus berkenaan menghalang anggotanya daripada terlibat dalam pilihan raya kampus.
Pengerusinya, Syed Syafiq Syed Hashim berkata, larangan itu sangat tidak wajar kerana setiap mahasiswa termasuk anggota Palapes berhak menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya kampus.
"Pihak kami pagi tadi dikejutkan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UPM yang menghalang mahasiswa daripada menjadi calon, pencadang serta penyokong pencadang dalam pilihan raya kampus yang dijadualkan berlangsung pada 21 Februari nanti," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurut Syed Syafiq, larangan berkenaan merupakan satu lagi usaha pihak universiti menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dalam demokrasi kampus.
"Pihak kami mendapati, larangan ini merupakan satu usaha bagi menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dengan proses demokrasi di kampus," katanya.
Notis pengumuman pilihan raya kampus dikeluarkan pada cuti pertengahan semester yang lalu.
Ekoran itu, semua pihak daripada Pro-Mahasiswa serta Pro-Aspirasi yang ditaja Bahagian Hal Ehwal Pelajar semakin sibuk memperkemaskan jentera masing-masing.
Sementara itu, tarikh pilihan raya kampus bagi kampus lain iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) ialah pada 21 Februari, manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Pahang pada 22 Februari. - Harakahdaily

Ketika tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi sudah diketahui umum, beberapa perubahan besar yang berlaku dalam Pilihan Raya Kampus kali ini menjadi persoalan dan tanda tanya buat mahasiswa yang mengikuti secara dekat perkembangan politik kampus.
Berdasarkan kepada perubahan yang telah dimaklumkan melalui notis yang ditampal sewaktu cuti pertengahan semester lalu, pertambahan EMPAT KERUSI FAKULTI serta PENGURANGAN SEMBILAN KERUSI UMUM menimbulkan persoalan tentang maksud sebenar perubahan tersebut dilakukan.


Jika kita merujuk kepada PERLEMBAGAAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA yang baru sahaja dipinda baru-baru ini, SEKSYEN 57 (3) menjelaskan bagaimana kaedah sebenar bagi menentukan bilangan wakil mengikut kawasan bagi sebuah PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UPM.
Seksyen 57 (3) :
Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar-Pelajar (kemudian daripada ini dalam Perlembagaan ini disebut “MPP”) mengikut cara berikut:
(a) pelajar berdaftar setiap Kampus Cawangan, Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institusi hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh ketua Kampus Cawangan atau Dekan Fakulti atau ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institusi, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebilangan pelajar berdaftar yang sama bilangannya daripada Kampus Cawangan, Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institusi itu untuk menjadi wakil dalam MPP, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor.
(b) pelajar berdaftar sebagai keseluruhan hendaklah memilih dengan undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar, mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil dalam MPP, dan bilangan pelajar itu hendaklah, walaubagaimanapun, tidak lebih daripada setengah daripada wakil yang dipilih di bawah perenggan (a).
(Seksyen 37 (3) (a) adalah bagi kawasan fakulti & Seksyen 37 (3) (b) adalah bagi kawasan umum)
Bagi kawasan fakulti, Seksyen 37 (3) (a) telah menjelaskan segala-galanya berkenaan dengan pertambahan sebanyak 4 kerusi yang melibatkan Sekolah Pengajian Siswazah serta Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan.
Walaubagaimanapun, timbul persoalan besar yang melibatkan perubahan dalam kerusi umum yang menyaksikan bagaimana pengurangan sebanyak 9 buah kerusi.
Mengikut kepada amalan biasa selama ini, pertambahan 4 buah kerusi di dua buah sekolah siswazah sepatutnya akan menyebabkan kerusi umum akan bertambah sebanyak 2 buah kerusi menjadikan keseluruhan kerusi umum sebanyak 18 buah kerusi (sebelum ini 16 buah kerusi).
Menyelak semula kembali sejarah Pilihan Raya Kampus sebelum ini, pada tahun 2003, sebanyak 45 kerusi keseluruhan dipertandingkan dengan 15 daripadanya adalah kerusi umum dan 30 bagi kerusi fakulti.
Beberapa tahun kemudian, setelah kemasukan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) ke dalam Pilihan Raya Kampus, ia memperlihatkan bagaimana pertambahan sebanyak 2 buah kerusi fakulti dan sebuah kerusi umum yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 48 kerusi ( 16 kerusi umum & 32 kerusi fakulti).
Justeru itu, beberapa persoalan besar seharusnya dijawab oleh pihak yang bertanggungjawab melakukan perubahan dalam menentukan kawasan bagi Pilihan Raya Kampus kali ini;
1. Mengapakah pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mengecilkan suara mahasiswa dengan mengurangkan 9 buah kerusi umum?
2. Bagaimanakah kaedah atau cara pengukuran yang menyaksikan hanya 7 kerusi umum diperuntukan untuk Pilihan Raya Kampus tahun ini?
SKUDAI 18 Jan : Pengerusi Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saudara Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid menafikan tuduhan kumpulan Evolusi universiti tersebut yang mendakwa kumpulan yang diterajui beliau adalah mewakili pembangkang.
Beliau dalam kenyataannya meminta agar tuduhan tersebut ditarik balik berikutan tuduhan tersebut umpama tindakan kurang sopan yang beliau sifatkan sebagai ‘cucuk belakang’ dan ‘tidak seperti anak jantan’.
Ujar beliau lagi, pihak Pro-Mahasiswa sedia untuk mengadakan perdebatan dengan kumpulan Evolusi atau mana-mana pihak bagi membincangkan pihak mana sebenarnya yang benar-benar memperjuangkan hak mahasiswa secara indepandent tanpa kaitan dengan pihak pembangkang termasuk membincangkan isu-isu semasa.
“Kami sedia untuk berbincang secara ilmiah dengan pihak Evo. Bila-bila masa saja. Tentang tuduhan anda, sila tarik balik jika tidak mampu tampilkan bukti. Anda berani, kita boleh berjumpa untuk berbincang” Ujarnya.
Pro-Mahasiswa UTM yang secara rasmi melancarkan jentera mereka 14 Januari lalu dilihat semakin aktif dengan pelbagai aktiviti melibatkan mahasiswa universiti tersebut.
Dalam majlis pelancaran kumpulan tersebut, dilaporkan hampir 100 mahasiswa telah hadir sebagai tanda sokongan walaupun majlis terpaksa berpindah tempat di saat akhir ke Masjid Sultan Ismail disebabkan hujan.
Majlis tersebut antaranya juga sebagai satu medan untuk menyatakan lima tuntutan mereka terhadap universiti seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
- Mahasiswakini.com
Jan 17, Kuala Selangor : Kehangatan Pilihanraya Kampus semakin menghampiri ambang kehangatan dengan bermulanya proses pilihanraya di sebuah kampus di Lembah Klang hari ini.
Hari ini (Isnin), Universiti Industri Selangor (Unisel) merupakan universiti pertama tahun ini yang telah pun mengadakan sesi penamaan calon (Pagi tadi) sehingga 26 Januari ini.
Menurut sumber, Ahli Majlis Tertinggi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Hilman Idham berkata, Unisel menjadi universiti awal kepada pilihan raya kampus dengan keseluruhan 16 kerusi akan dipertandingkan di sana nanti.
Daripada 16 kerusi itu, 12 daripadanya adalah kerusi umum manakala empat lagi kerusi universiti.
“Unisel membuka tirai dengan memulakan proses penamaan calon awal pagi tadi. Ini akan diikuti universiti-universiti lain.
“Penamaan calon hari ini bermula dengan perarakan seramai 100 orang mahasiswa mengiringi calon yang bertanding. Perarakan bermula daripada Dewan Biru ke Canselori,” katanya ketika dihubungi.
Diberitakan selain Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), turut hadir ketika penamaan calon berlangsung adalah pimpinan SMM termasuk Pengerusinya, Shazni Munir, Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul, Majlis Politik Nasional GAMIS, Shukri Abd Razab dan bekas pemimpin Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) Unisel.
Setakat jam tengahari tadi, seramai 14 calon umum dan 4 calon falkulti telah dikhabarkan bakal bertanding ketika penamaan calon sebentar tadi dan kesemua calon tersebut adalah daripada Pro-Mahasiswa Unisel.
Dimaklumkan, proses pengundian tetap akan dijalankan memandangkan hanya 12 kerusi diperuntukkan untuk kerusi umum dan 4 fakulti.
Dengan situasi pihak lawan tidak menghantar seorang pun calon untuk bertanding, Pro-Mahasiswa telah diisytiharkan menang sebelum bertanding.
Pro-M Unisel sebelum ini telah pun memegang tampuk pemerintahan di kampus berkenaan tahun lalu.
“Semua dalam keadaan baik. Empat kerusi dipertandingan bagi kerusi universiti; terdiri daripada fakulti kejuruteraan, bioteknologi, pendidikan dan sains sosial dan teknologi maklumat,” katanya.
Beliau turut menyeru mahasiswa untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab dalam proses penamaan calon ini.
“Harapan kami agar para mahasiswa dapat menjalankan tanggunjawab mereka untuk mencalonkan mana-mana individu yang sesuai agar dapat menerajui pimpinan mahasiswa di Unisel ini,” katanya yang turut mewakili persatuan mahasiswa lain.
Sementara itu, Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Taufiq Abdul pula berharap momentum kemenangan Pro-M di Unisel dapat dibawa ke kampus lain.
“Permulaan kita sudah berjaya menang, jadi saya harap Pro-M di seluruh kampus lain dapat menjadikan kemenangan ini sebagai pembakar semangat.”
“Yang penting kita jangan berada dalam keadaan selesa lagi, perjuangan masih awal, banyak lagi yang perlu kita buat untuk terus mengubah landskap kepimpinan akan datang di semua kampus.”, jelasnya ketika dihubungi. – UMtoday.