PUTRAJAYA, 29 Julai: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mendesak kerajaan Malaysia meneliti kes pembuangan pelajar Malaysia di Mesir kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.
Seorang pelajar Darul Ifta', Firdaus Mazlan dibuang universiti kerana disyaki menjadi penggerak kepada perhimpunan Bersih 2.0 di Mesir sedangkan beliau merupakan pelajar semester akhir.
Desakan tersebut dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Wisma Putra Kementerian Luar Negeri, dekat sini hari ini.
Memorandum tersebut turut membantah tindakan Jabatan Penuntut Mahasiswa Kaherah (JPMK) yang mengambil tindakan menarik balik biasiswa terhadap mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.
Selain itu, Gamis juga membantah tindakan kedutaan Malaysia yang ingin mengharamkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kerana didakwa menghasut mahasiswa menyertai perhimpunan Bersih 2.0.
Naib Presiden Korporat dan Pengantarabangsaan Gamis, Abdul Razak Omar berkata, Gamis tidak mahu isu kebajikan pelajar Malaysia di luar negara dicemari dengan campur tangan politik.
"PMRAM hanyalah sebuah badan yang menguruskan kebajikan pelajar Malaysia di Mesir, tidak ada campur tangan politik. Kami tidak mahu isu kebajikan pelajar dilibatkan dalam mana-mana isu politik," kata beliau selepas penyerahan memorandum tersebut.
Sehubungan itu, Gamis menggesa Wisma Putra membuat kenyataan secara terbuka berhubung pendirian mereka dalam isu melibatkan mahasiswa ini.
"Kita minta Wisma membuat respons melalui media mengenai tuntutan kita dan nyatakan pendirian mereka," katanya.
Tiada laporan daripada kedutaan
Sementara itu, Razak berkata, pihak Wisma Putra memberitahu Gamis bahawa mereka tidak menerima laporan daripada Kedutaan Malaysia di Mesir berhubung perkara ini.
Mereka juga mendakwa kes buang universiti dan kebajikan mahasiswa terletak di bawah tanggungjawab KPT.
"Kami minta Wisma Putra berbincang dengan pihak KPT mengenai perkara ini," katanya.
Sementara itu, setiausahanya, Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memainkan peranan dalam kes melibatkan kebajikan mahasiswa Malaysia di luar negara.
"Selain menunggu maklum balas daripada pihak Wisma Putra berhubung tuntutan kami, Gamis juga akan menyerahkan memorandum ini ke KPT dan memohon KPT campur tangan," katanya.
Selain itu, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan majlis solat hajat melibatkan mahasiswa Islam di seluruh kampus di negara ini sempena Ramadhan ini.
"Kami akan mengambil tindakan selanjutnya dengan mengadakan majlis solat hajat besar-besaran dan berdoa agar tekanan terhadap semua mahasiswa kita di Mesir dihentikan dan dapat meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah," katanya.
Turut bersama dalam penyerahan itu ialah Naib Presiden Gamis, Azahal Bangsawan, Ketua Penerangan, Mohd Yusof Hadhari, Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan, Mohd Ridhuan Che Hussein.
Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu menyerahkan senarai nama mahasiswa institut pengajian tinggi awam untuk diambil tindakan mendapat tentangan NGO dan aktivis mahasiswa.
Mereka rata-rata berpendapat "hukuman" tersebut bertujuan menyekat hak mahasiswa untuk bersuara.

Menurut Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Ahmad Syazwan Muhamad Hasan, tindakan itu dilihat sebagai tidak demokratik dan bersifat menghukum.
"Usaha KPT sepatutnya bukan mewakili kepentingan parti politik, mereka (KPT) perlu menjadi jururunding untuk mahasiswa bagi menjelaskan perkara ini (lapan tuntutan BERSIH)," katanya
Ahmad Syazwan (
kiri) juga mempersoalkan tindakan terbaru kementerian itu yang sebelum ini didakwa membiarkan mahasiswa yang terlibat mengadakan demonstrasi menentang dasar kerajaan Pakatan Rakyat tidak diambil tindakan.
Beliau mengingatkan kembali kepada perhimpunan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UITM) di Shah Alam tiga tahun lalu bagi menentang cadangan membuka universiti itu kepada pelajar bukan bumiputera.
"Mereka (kementerian) perlu berfikir panjang. Kenapa tidak ambil tindakan ke atas pelajar UITM?" soal Ahmad Syazwan kembali.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam dilaporkan masih
menunggu laporan daripada polis berhubung pembabitan penuntut institusi pengajian tinggi awam dalam perhimpunan Sabtu lalu.
Menurutnya, selepas diterima, ia akan diserahkan kepada universiti terbabit untuk tindakan lanjut.
Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (Gamis) melancarkan kempen “Anak Muda Sayang Malaysia”. Kempen tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan anak muda dan juga kebolehan anak muda dalam mencorak masa depan Malaysia.
Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari menyatakan bahawa “Anak Muda Sayang Malaysia” merupakan jenama yang kita bawakan untuk masyarakat khususnya, untuk anak muda turun bersama dengan masyarakat, dalam pelbagai bentuk inisiatif termasuk pogram-pogram yang telah kita rancangkan. Baru-baru ini kita turun di bangi dalam satu bentuk forum bertajuk “Sinergi Kasih Ibu” sebagai memperingati Hari Ibu kita sambut beberapa hari yang lalu.
Tambahnya lagi, kita sudah susun beberapa bentuk pogram susulan serta berperingkat. Kita harapkan keterlibatan anak muda akan lebih bertambah dan kita juga harapkan penerimaan baik masyarakat Malaysia terhadap usaha yang anak muda lakukan ini. Kita juga baru sahaja melancarkan laman blog dan fecebook khas sebagai rujukan dan juga sebagai media untuk anak muda lontarkan pandangan.
Dia menambah bahawa anak muda perlu ada media tersendiri untuk lontarkan pandangan dan kritikan kepada kerajaan negeri dan juga pusat. Pihak atasan perlu mendengar dan memberi ruang untuk anak muda bersama mencorak masa depan Negara.
Isu cukai tanah di Universiti Utara Malaysia (UUM) belum berakhir. Pihak UUM masih belum putus asa untuk terus merayu buat kali ke tujuh, meminta kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar.
UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun. Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.
Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan?
Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat- syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang 'tidak disengajakan' itu untuk menjelaskan cukai.
Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57 peratus dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir.
Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas IPTA itu ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00.
Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.
Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakan hasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30
bagi satu meter persegi.
Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!
Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan 'precedent case' atau kes duluan untuk dijadikan rujukan . Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31
juta setahun.
Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan
pembayar cukai tanah.
UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok pula yang meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?
Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00.
Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjankan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilantgan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.
Jika pihak UUM masing 'membuat bising' kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.
USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi.
Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang
didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi Universiti Uzur Malaysia.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya 'double standard' kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN.
Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat 'gila-gila' itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.
Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi
politik.
Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka 'eloklah' mereka meneruskan niat busuk
tersebut. Kita serahkan pada rakyat untuk menilai.
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru mahasiwa supaya hadir ‘Hari Kemarahan Rakyat’ di Masjid Negara esok bagi menyatakan anak muda menolak politik fitnah dan jijik.

Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari berkata seluruh mahasiswa wajar untuk turut sertai perhimpunan itu, bagi menyatakan pendirian sebagai anak muda yang menolak sama sekali politik fitnah dan jijik yang kian parah serta menjadi permainan dalam pentas politik negara sekarang ini.
“Saya yakin dan percaya, kehadiran mahasiswa esok akan memberikan mesej yang jelas kepada kerajaan dan juga masyarakat bahawa mahasiswa dan anak muda tegas menolak budaya politik kotor dan inginkan kembalinya nilai-nilai kebaikan dalam berpolitik iaitu kembali kepada politik Islam.
“Oleh itu, saya selaku Ketua Penerangan Gamis menggesa dan menyeru mahasiswa dan anak muda sekitar Lembah Klang terutamanya dan seluruh mahasiswa yang lain bergabung tenaga dan bersama turun menyatakan pendirian kita,” tegasnya.
Menurutnya, isu yang cuba dibawa oleh Datuk Eskay Shazryl Abdullah semasa melafazkan sumpah di Masjid Amru Al-As baru-baru ini termasuk dalam hukum qazaf dan bukannya mubahalah.
"Kerajaan harus terlibat secara langsung bagi menegakkan hukum Islam yang menjadi tuntutan, kerana keengganan untuk melaksanakan hukuman tersebut membawa kepada padah seperti mana yang berlaku sekarang ini,” tegas beliau.
‘Hari Kemarahan Rakyat’ anjuran Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf), Angkatan Muda Keadilan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Masjid Negara, esok.
Program tersebut akan bermula jam 12 tengah hari dengan mengumpulkan kesemua NGO dan demonstrasi akan bermula selesai solat Jumaat.
ALOR SETAR, 25 April: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak digesa memohon maaf kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati dan menghina pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Desakan itu dibuat mahasiswa berikutan kenyataan lantang Mohamed Mustafa yang menyifatkan Ustaz Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.
Dalam satu kenyataan, mahasiswa UUM memandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu yang jelas menghina Menteri Besar selaku tuan rumah.
Bagi mereka, kerajaan negeri berhak menerima atau menolak permohonan rebat cukai tanah. Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah.
“Seharusnya kita sebagai seorang Islam harus memandang tinggi institusi agama seperti ini kerana ia telah banyak menyumbang dalam melahirkan para alim ulamak di Malaysia sehingga kini,” kata wakil mahasiswa UUM.
Mahasiswa UUM juga berharap agar pihak atasan universiti bersikap lebih profesional dalam menyelesaikan isu-isu yang berlaku tanpa melibatkan kepentingan politik pihak tertentu.
Mahasiswa juga berpandangan UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang jauh lebih baik dan ia merupakan institusi terpenting dalam peneyebaran ilmu Islam di Malaysia sejak daru dahulu lagi.
Mengulas mengenai kenyataan Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.
“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.
Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.
Menurutnya, kewibawaan Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang IPT.
“Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di UKM, selain antara pengasas UIA dan menubuhkan fakulti syariah dan undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.
Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran nyata yang dilakukan oleh kerajaan.
Menurut Ketua Penerangan GAMIS Pusat, Mohd Yusof Hadhari , rakyat melihat hari ini, pelbagai penyedia perkhidmatan e-mel percuma seperti Yahoo, Gmail, Hotmail dan lain-lain sedangkan kini kerajaan Malaysia dengan murah hati menyediakan RM50 juta untuk perkhidmatan emel tambahan kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
“Emel@1Malaysia dikhabarkan akan diguna bagi urusan menghantar bil dan sebagainya. Jadi, apa perlunya kerajaan berbelanja RM50 juta untuk memperkenalkan e-mel 1Malaysia?
“Adakah untuk mengintai maklumat peribadi pengguna emel yang berurusan dengan kerajaan?” soalnya.
Menurutnya lagi, lebih meragukan, apabila kontrak bagi menyediakan perkhidmatan e-mel 1Malaysia ini diberikan kepada sebuah syarikat IT tempatan, Tricubes Berhad yang sedang menghadapi masalah kewangan dan juga sebuah syarikat yang mempunyai rekod kewangan yang buruk.
“Saya kira RM50 juta satu nilai yang cukup tinggi, projek emel 1Malaysia ini jelas kepada kita satu projek yang tidak munasabah dan merupakan pembaziran paling nyata jika diteruskan juga.
“Saya cadangkan supaya RM50 juta itu di salurkan atau ditambah dalam dana pendidikan. Sepertimana yang kita maklum, biaya pendidikan yang harus ditanggung para mahasiswa kini semakin membengkak,” ujarnya.
Gamis juga, katanya mengharapkan kerajaan akan menimbang semula cadangan untuk menyediakan akaun e-mel 1Malaysia tersebut.
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Persidangan Dewan Rakyat hari ini didedahkan dengan beberapa penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya kampus (PRK) di beberapa buah universiti baru-baru ini, terutama di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Antara penyelewengan yang berlaku di UM termasuklah penggantungan kemenangan dua calon Pro Mahasiswa (Pro-M) sehingga 23 hari yang terdiri daripada Mastura Abu Bakar dan seorang calon berketurunan Cina.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (kiri) ketika membangkitkan perkara itu berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas bertentangan dengan peraturan yang terdapat dalam Buku Tata Tertib yang digunakan oleh pihak pentadbiran UM sendiri.
Menurut beliau, perkara seperti itu tidak boleh dibiarkan kerana ia bukan sekadar mengganggu perjalanan demokrasi kampus, tetapi juga memperlihatkan sikap pihak pentadbiran universiti yang tidak adil dalam pengurusan PRK di IPT.
"Kalau mereka benar-benar bersalah, sudah sepatutnya mereka menerima tindakan, tetapi kejadian yang berlaku itu jelas memperlihatkan tindakan yang tidak sepatutnya yang dikenakan kepada mereka," katanya ketika bertanyakan soalan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pengajian Tinggi supaya campur tangan bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku lagi dalam PRK di IPT pada masa akan datang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik (kanan) ketika mencelah turut menyuarakan kekesalannya dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku di UPM dalam PRK universiti itu baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku itu berpunca dari campur tangan pihak pengurusan UPM dalam PRK universiti itu yang jelas memihak kepada pihak lawan Pro-M, sehingga menjadikan PRK itu juga turut memperlihatkan ketidakadilan kepada parti-parti yang bertanding.
Akibatnya, pihak yang menjadi mangsa terpaksa berhempas pulas mempertahankan kemenangan mereka yang dinafikan oleh pihak pentadbiran UPM sehingga mencetuskan beberapa kejadian tidak diingini.
Namun yang dikesalinya, pelajar-pelajar itu pula yang dipersalahkan, walaupun semua itu berpunca dari sikap pihak pentadbiran UPM sendiri yang tidak adil kepada mereka.
Beliau berharap Kementerian Pengajian Tinggi mengambil perhatian serius berhubung kejadian itu agar ia tidak berlaku lagi dalam PRK UPM pada masa akan datang.
Saifuddin ketika menjawab pertanyaan itu antara lain menegaskan Kementerian Pengajian Tinggi akan memantau perkara itu bagi memastikan perjalanan PRK di IPT berlangsung dengan baik pada masa akan datang.
Ketika mencelah balik, Nasir turut mengingatkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi agar tidak hanya sekadar berjanji untuk memantau dengan baik perkara itu, tetapi turut melakukan tindakan-tindakan yang sepatutnya bagi memastikan PRK di IPT benar-benar demokratik sejajar dengan amalan demokrasi di negara kita.
BANGI, 16 Mac: Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM (MPMUKM) menyeru kepada semua pihak agar bersikap rasional dan matang dalam memahami dan menangani isu kemalangan reaktor di Jepun.

“Kita seharusnya bersikap rasional dan matang dalam hal (kemalangan reaktor) ini,” kata Speaker MPMUKM, Mohd Arif Misrol.
Katanya, kekalutan dan kekeliruan maklumat yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab harus ditangani dengan cermat agar ia tidak menimbulkan polemik kepada semua.
Ketika diminta mengulas tentang kemalangan di Kompleks Reaktor Fukushima Daiichi di Jepun, beliau yang juga merupakan siswazah Sarjana Keselamatan Sinaran dan Nuklear berkata, letupan yang berlaku bukanlah letupan daripada tindak balas nuklear, tetapi berpunca daripada tindak balas kimia gas hidrogen dengan oksigen.
“Teras (core) reaktor tidak mengalami kebocoran dan masih stabil. Tidak timbul isu kemalangan ini bakal mengulangi peristiwa Chernobyl pada 1986,” katanya.
Tambahnya, kesan kemalangan itu tidak merebak ke Malaysia.

Menurutnya lagi, sehingga hari ini, pengesan keradioaktifan di stesen-stesen terpilih di negara ini menunjukkan bacaan yang normal.
“Pada peringkat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kemalangan ini berada pada tahap 4 (paling tinggi 7) iaitu kemalangan yang memberi ‘kesan pada peringkat tempatan’ (accident with local consequences)”
“Berkaitan dengan kesan radiasi, bacaan tertinggi dicatatkan dalam reaktor, tetapi tahap radiasi ini akan menurun ke tahap yang secara relatif masih selamat di luar reaktor. Cuma sebagai langkah berjaga-jaga, pemindahan orang awam dilakukan,” ujarnya.
Sambil menasihatkan pengamal media dan pemimpin negara agar berhati-hati dan mengkaji dalam menyampaikan maklumat dan memberikan pandangan, beliau berkata, pengamal media tidak harus menggunakan peristiwa itu sebagai bahan sensasi yang menimbulkan suasana yang tidak selesa di negara ini.
Katanya, mereka perlu menanamkan kefahaman yang betul kerana ini yang lebih baik dalam usaha menunaikan tuntutan mereka untuk mendidik rakyat.
Beliau menambah, pemimpin negara harus berilmu dan dilihat berpengetahuan dalam menyampaikan pandangan.
Baginya, agak memalukan sekiranya penerangan yang diberikan tersasar dan bersalahan dengan fakta yang sebenar.
Justeru, beliau mencadangkan agar pakar-pakar yang berkaitan dengan perkara itu, terutama daripada Jabatan Sains Nuklear UKM, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) diberikan peluang seluas-luasnya oleh semua pihak untuk memberikan pandangan dan nasihat, sama ada dalam temuramah televisyen, penulisan akhbar dan kenyataan akhbar agar polemik ini dapat ditangani dengan sihat dan matang.
KUALA LUMPUR, 13 Mac: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menggesa kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memantau pelajar dan juga warga Malaysia di Jepun untuk memastikan keselamatan mereka terjamin setiap masa.
Naib presidennya, Abdul Razak Omar membuat gesaan itu ekoran gempa bumi yang mencetuskan tsunami di Jepun beberapa hari lepas telah menyebabkan anggaran kematian melebihi sehingga 1,000 orang dan juga kehancuran yang teruk.
Katanya, kejayaan ops piramid lepas yang membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir menjadi kayu ukur kepada ketulusan kerajaan kali ini untuk memastikan rakyat kita di Jepun selamat.
“Namun begitu, jika keadaan kritikal, kami mendesak supaya kesemua warga negara dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Apa yang membimbangkan, katanya adalah berkenaan dengan loji nuklear yang dilaporkan telah mengalami kerosakan.
Ini, tambahnya boleh menyebabkan sinar radiasi merebak seluruh Jepun dengan pantas dan boleh mengganggu kesihatan termasuk mengancam nyawa rakyat kita.
Jika ia berlaku, ujarnya tiada cara yang terbaik melainkan membawa pulang seluruh rakyat negara ke tanah air.
Menurutnya, soal keselamatan rakyat tidak boleh sama sekali dikompromi dan perlu diambil tindakan segera.
“Kami menyambut baik keprihatinan yang dizahirkan oleh kerajaan Malaysia untuk Jepun, namun tugas utama iaitu menyelamatkan warga negara sendiri perlu diutamakan,” ujarnya.
Gamis juga, katanya menyeru kepada seluruh pihak yang berkaitan bertindak pantas sama ada dengan melaporkan kepada kerajaan apa-apa maklumat bagi membantu rakyat Malaysia di sana.
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Pro Mahasiswa Nasional akan mengadakan kongres Gerakan Mahasiswa Nasional(KGMN) ke-2 pada 12 Mac ini.
Menurut Jurucakap Majlis Politik Nasional (MPN) Gamis, Ahmad Shukri Kamaruddin, KGMN ke-2 bertujuan menghimpunkan aktivis mahasiswa daripada seluruh negara khususnya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk membincangkan hala tuju dan pergerakan mahasiswa sepanjang tahun 2011.
Selain itu katanya yang juga pengarah KGMN, ianya juga adalah untuk pemilihan kepimpinan dan pembentukan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan juga SMM.
"Kongres ini dijangka akan menghimpunkan kira-kira seribu aktivis mahasiswa daripada hampir dua puluh kampus IPTA.
"Kongres akan turut disertai oleh perwakilan aktivis mahasiswa daripada Indonesia, Singapura dan Thailand sebagai pemerhati," kata beliau dalam satu kenyataan.
Bertemakan Mahasiswa Untuk Malaysia, KGMN ke-2 akan berlangsung di Dewan Konvensyen Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bangi dari jam 8.30 pagi hingga 11 malam.
Ia akan berakhir pada sebelah malam dengan acara ‘Pentas Mahasiswa’ yang akan menampilkan beberapa orang pimpinan mahasiswa dan juga tokoh politik daripada kerajaan dan pembangkang.
Menurutnya, antara tokoh yang dijangka hadir menyampaikan pidato ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kongres ini juga adalah sebagai kesinambungan kongres pertama yang diadakan pada bulan Mac 2010 di Petaling Jaya.
Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Pro Mahasiswa UTM, Iskandar Zulkarnain memaklumkan MPM UTM akan menghantar surat bantahan penganjuran 'gig' THE TIMES semasa Fiesta International Johor Horse Show 2011. Beliau memaklumkan perkara ini pada wall laman Facebooknya semalam.
Selain itu, Pengarah Pusat Kebudayaan UTM, Profesor Madya Dr. Zahib juga akan menghantar surat bantahan mengenai isu ini. Mahasiswa menolak sebarang budaya hedonisme yang tidak diperlukan dalam kampus UTM.
Pro Mahasiswa | Pro Universiti
Melihat kepada fenomena politik yang sedang melanda di Pilihanraya Kecil Merlimau dan Kerdau kini, dapat dinatijahkan bahawa rakyat di kedua-dua kawasan tersebut sudah mampu untuk membuat satu keputusan yang lebih bijak berdasar intipati hak rakyat yang telah diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bertanding. Kemenangan kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) Roslan Ahmad di Merlimau dengan majoriti 3,643 undi dan Syed Ibrahim Syed Ahmad di Kerdau turut menang besar dengan majoriti 2,724 undi, yang dilihat mencerminkan 'mood' sokongan dan keyakinan rakyat Merlimau dan Kerdau kepada BN.
Dengan keputusan yang telah dicapai pada pilihanraya kecil bagi kedua-dua kawasan tersebut, pihak Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) melahirkan jutaan tahniah kepada parti Barisan Nasional (BN) kerana telah berjaya memenangi hati rakyat, lantas memenangi kedua-dua kerusi yang telah dipertandingkan. Dengan kemenangan tersebut, maka dapatlah dilihat bahawa rakyat di Merlimau dan Kerdau masih meletakkan BN sebagai juara di hati mereka.
Menurut Ketua Penerangan, Mohd Yusof Hadhari, “GAMIS yang mewakili seluruh suara mahasiswa Islam di Institut Pengajian Tinggi meletakkan harapan yang tinggi supaya kedua-dua wakil rakyat daripada parti kompenan BN tersebut dapat melaksanakan segala manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat di kedua-dua kawasan tersebut tanpa mengambil kira beberapa sentimen negatif yang berlaku sepanjang berlangsungnya proses pilihanraya kecil di Merlimau dan Kerdau”
Seterusnya, kepada mana-mana parti yang tidak berjaya pada pilihanraya kecil pada kali ini, diharapkan supaya terus istiqamah dalam membawa dan memperjuangkan suara rakyat ke arah kebajikan yang lebih sempurna dan telus, lantas menjadikan agenda kebajikan rakyat dan pembangunan infrastruktur serta sahsiah rakyat sebagai nadi perjuangan yang harus diteruskan bagi menjamin eksistensi sebuah Negara yang lebih berwawasan.
GAMIS juga mengharapkan agar parti Barisan Nasional selaku parti pemerintah dan Pakatan Rakyat agar mula melupakan segala titik bengik yang menjadi ‘big clash’ sepanjang tempoh PRK dan menumpukan sepenuhnya kepada agenda mendaulatkan suara dan kebajikan rakyat yang selama ini diisukan selama ini sepanjang tempoh berkempen melebihi dari idealisme perjuangan parti.
KUALA LUMPUR, 23 Feb — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengarahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan status 33 calon dan menarik balik keputusan membatalkan kemenangan 10 pelajar — yang kesemuanya sebelum ini dilabel sebagai barisan Pro Mahasiswa.
Kesemua 33 calon Pro Mahasiswa, yang didakwa beraliran condong kepada politik pembangkang, dibatalkan kelayakan bertanding kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atas alasan berkempen secara berkumpulan.
Keputusan itu termasuklah mereka yang menang pilihan raya kampus itu.
Justeru, Saifuddin mahu pentadbiran UPM agar mengekalkan keputusan pilihan raya kampus seperti yang diumumkan kelmarin.
Pro Mahasiswa juga mencatatkan keputusan baik kali ini di beberapa universiti lain.
“Pendirian saya sangat jelas dalam perkara ini, saya tida bersetuju dan saya cadangkan supaya kekalkan keputusan seperti keputusan pengundian.
“Jangan nanti orang anggap kita seperti Burma yang tak iktiraf Aung San Suu Kyi, jangan orang anggap kita seperti Palestin yang tak iktiraf kemenangan Hamas,” katanya
Beliau berkata tidak wajar pengurusan UPM membatalkan kelayakan Pro Mahasiswa kerana kumpulan itu tidak dapat membela diri ketika bantahan dibuat oleh kumpulan Pro Aspirasi.
“Pada saya perkara ini mudah sahaja, yang pertama siapa yang buat bantahan, apa alasan untuk bantahan dan adakah Pro Mahasiswa diberi keadilan untuk mempertahankan diri?
“Setahu saya (Pro) Aspirasi yang buat bantahan, alasan tanding berkumpulan dan Pro Mahasiswa tak diberi peluang untuk membela diri.
“UPM suruh mereka (Pro Mahasiswa) buat rayuan, tapi nak buat rayuan apa kalau nak pertahankan diri juga tidak boleh, macam mana nak buat rayuan,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, jadi mengapa hanya Pro Mahasiswa yang dikenakan tindakan.
“Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, katakan kepada saya dan dunia adakah Pro Aspirasi bukan sebuah kumpulan,” kata Saifuddin.
Laporan pagi tadi menyebut pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.
Di UPM kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.
Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.
Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.
Usaha untuk mendapatkan pengesahan pengurusan UPM belum berhasil.
Dalam pada itu, kira-kira 40 ahli Pro Mahasiswa UPM mengambil langkah drastik dengan mengepung pusat pentadbiran universiti sebagai membantah tindakan membatalkan status mereka.
Menurut jurucakap kumpulan itu, Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman, pihaknya mahukan penjelasan dari pentadbiran UPM berhubung pembatalan calon Pro Mahasiswa itu.
“Sekarang kami sedang mengepung pentadbiran UPM dan memohon menjelas dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berhubung pembatalan status calon Pro Mahasiswa yang bertanding.
“Kita hanya mahukan penjelasan dalam perkara ini, kenapa status kami dibatalkan? Apa yang saya tahu bantahan di buat oleh seorang ahli Aspirasi yang tewa (dalam pilihan raya kampus),” katanya sekitar pukul 11 pagi tadi.
SUARAM mengutuk proses pilihanraya kampus tahun ini yang penuh dengan tidak ketidakadilan, keganasan, dan jenayah di mana berlaku beberapa kes keganasan seperti kain rentang pro-Mahasiswa dibakar, kereta dirosakkan dengan cat serta terdapat calon pilihanraya kampus yang disyaki diculik pada 20 Februari.
SUARAM berasa amat tidak puas hati terhadap pihak universiti yang gagal memastikan pilihan raya kampus dilangsungkan dengan lancar dan adil serta memastikan keselamatan calon dan mahasiswa dijamin.
Pilihanraya kampus sepatutnya dilihat sebagai proses demokrasi di mana mahasiswa menpraktikkan hak sebagai mahasiswa untuk bertanding dan mengundi dalam pilihanraya kampus.
Setiap kali apabila berlangsungnya pilihan raya maka akan wujud isu penindasan dan ketidakadilan dalam proses tersebut malah pihak universiti bukan sahaja tidak mengambil tindakan serius untuk menyelesaikan isu tersebut tetapi membenarkan ia berlaku dalam kampus dan pihak universiti dilihat lebih memihak kepada kumpulan mahasiswa yang pro-Aspirasi.
SUARAM amat kecewa terhadap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang bukan sahaja tidak menegakkan demokrasi kampus malahan dikawal oleh pihak pemerintah Barisan Nasional.
SUARAM ingin menuntut penjelasan dari pihak Universiti mengenai tindakan yang diambil untuk menangani isu-isu penindasan dan ketidakadilan yang kian berlaku dalam kampus terutama kampus Universiti Malaya(UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia(USM).
Terutamanya kes kehilangan calon Pro-M iaitu Mastura Abu Bakar yang berlaku pada 20 Februari dan ditemui pada waktu tengah malam di Bangi dan kebakaran kain rentang yang berlaku di kampus UM serta USM.
Kami berpendapat bahawa pilihanraya sepatutnya dikendalikan dengan bebas, adil dan telus. Autoriti mahasiswa dan kampus demokrasi perlu ditegakkan dengan tiadanya campur tangan politik dalam pentadbiran kampus.
Isu-isu yang berlaku dalam pilihanraya kampus akan menjatuhkan kualiti dan kedudukan IPTA malah ia menunjukkan taraf demokrasi kampus yang masih tersekat dan dikawal oleh pihak kerajaan pemerintahan.
*Kenyataan oleh Yap Heng Lung selaku penyelaras SUARAM (Suara Rakyat Malaysia, NGO hak asasi manusia)
KUALA LUMPUR: Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) menang 23 dari 37 kerusi yang dipertandingkan pada pilihanraya kampus (PRK) 2011 bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut keputusan yang dimaklumkan Ketua Jentera Pro Mahasiswa UKM, Mohammad Ismail Aminuddin, sehingga jam 12 tengah malam tadi, jentera Pro-M menang kesemua lima kerusi umum bagi tahun tiga dan empat. Sementara bagi kerusi umum tahun satu dan dua, Pro-M menang dua kerusi dari tujuh yang dipertandingkan.
U2.26 Umum 1/2 NORAINI BINTI JUMAHIR
U2.26 Umum 1/2 NURAZIDAH BINTI MASHAN
U3.33 Umum 3/4 MUSLIMAH BINTI MARSI
U3.33 Umum 3/4 MUHAMMAD HARITH BIN ABDUL KADIR
U3.33 Umum 3/4 AIDA RAHAYU BINTI MOHD BADRI
U3.33 Umum 3/4 WAN AHMAD FAHMI BIN WAN ABDUL HAMED
U3.33 Umum 3/4 MOHD ABDULLAH BIN MOHAMED YUSOFF
F2.1 FSSK 1/2 MOHAMAD EZUAN BIN MOHD SAAD
F2.4 FPer 1/2 KAMARUL HATEM BIN MUHAMMAD
F3.5 FPer 3/5 MOHAMAD IDRUL BIN MOHAMAD DAUD
F3.7 FEP 3/4 AHMAD MUZZAMMIL BIN MUHD HAIRI
F2.8 FPI 1/2 MUHAMMAD IKRAM BIN DARUS
F3.9 FPI 3/4 MOHD ZAIM JUWAIDI BIN JAMALUDDIN
F3.12 FST 3/4 NOR AMALINA BINTI SAZALI
F3.12 FST 3/4 NURUL MARDHIAH BINTI KAMARUDDIN
F0.14 FPend MOHD IZZUDDIN BIN MOHD PISOL
F0.15 FUU PHANG SIEW CHIN
F3.17 FKAB 3/4 MOHD FAIZAL BIN AHMAD
F0.22 FFar NURUL AKMA BINTI ZULKIEFLI
F0.23 PPS NORIAH BINTI ABDUL RAHMAN
F0.23 PPS ABDUL MUSYRIF BIN MOHAMAD KHALIL
F0.23 PPS MOHD ARIF BIN MISROL
KUALA LUMPUR,21 Feb – Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) memenangi pilihan raya kampus universiti itu hari ini.

Mereka menyapu bersih kesemua 9 kerusi umum dan mendapat 14 kerusi fakulti.
Lawan mereka hanya berjaya mendapat 16 kerusi fakulti. Manakala calon bebas menang dua kerusi fakulti.
Keputusan diumumkan pada jam 6 petang tadi. Manakala tempoh bantahan ditetapkan sehingga jam 8 malam ini.
Bantahan tersebut akan diteliti esok dan keputusannya akan diumumkan lusa, lapor Malaysiakini.
Sebelum ini, pilihanraya kampus dikejutkan dengan misteri kehilangan calon umum Pro-Mahasiswa (pro-M), Masturah Abu Bakar kelmarin.
Namun, hal itu terjawab apabila, Mastura dan ibunya Mariam Abdul Rashid hadir hari ini dan membuat sidang akhbar untuk menjelaskan misteri kehilangan tersebut.
“Dia(Mastura) selepas berkempen di Pantai Permai ketika itu dia lenyap dari kumpulan kawan-kawan,” katanya.
“Dia sendiri yang call saya dalam keadaan menangis dan panggil umi, umi. dan saya minta dia panggil orang yang meminjamkan dia telefon. dia yang beritahu lokasi anak saya dan saya bergegas ke sana,” katanya.
Menceritakan detik berjumpa, Mariam dengan keadaan mengangis dan sangat lemah di tinggalkan di tepi Masjid Teras Jernang, Bangi.
Mariam berkata polis masih lagi menyiasat siapa yang menculik Mastura dan dikatakan Mastura di dalam keadaan tidak sedar semasa beliau dibawa lari oleh penculik tersebut.
Mariam menyatakan kekesalan kerana kehilangan tersebut dilaporkan oleh rakan-rakan kampus anaknya dan bukannya pihak universiti.
Selain itu Mariam turut mengatakan kemungkinan besar penculikan anak beliau ada kaitan dengan pilihanraya kampus UM di mana Mastura adalah salah seorang calon pilihanraya tersebut.
“Kebetulan dalam suasana kempen pilihanraya kampus ini berlaku kepada anak saya Mastura yang kebetulan calon, kemungkinan besar ada kaitan.
“Saya serahkan kepada pihak polis tentang siapa yang bertanggungjawab semua ini,” katanya.
Puan Mariam juga berharap termasuk untuk pihak universiti sendiri dimana pelajar-pelajar yang duduk diluar kampus contohnya di Pantai Dalam; hidup dengan lebih teratur kerana peratus pelajar duduk diluar adalah sangat tinggi dan tiada keselesaan belajar bagi mereka.
“Sekarang suasana masih baru bagi dia. Tidak adil kita menekan dia tanya apa yang berlaku. Saya sebagai keluarga memberi dia ruang dan di satu masa yang baik kita akan mendapat maklumat,”katanya.
Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi satu penempatan yang khusus bagi pelajar-pelajar UM khususnya pada pelajar perempuan.
“Harapan saya kepada pihak universiti, suara saya sebagai membela kebajikan pelajar. pengalaman anak saya, kempen diluar kampus pelajar duduk tidak teratur bersama rumah awam. Saya mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menempatkan pelajar secara berkelompok,” jelasnya.

Calon Umum Pro-Mahasiswa (pro-M) Masturah Abu Bakar yang dilaporkan hilang petang kelmarin, telah ditemui di sebuah masjid di Bangi kira-kira jam 12.30 malam tadi - beberapa jam selepas kumpulan itu mengadakan sidang media.
Menurut seorang calon umum Mohd Syahid Mohd Zaini berkata ketika Masturah ditemui, beliau dalam "keadaan lemah dan tidak mampu untuk berbicara panjang".

Mohd Syahid berkata Masturah (
kanan) sendiri yang menghubungi ibunya dengan meminjam telefon bimbit orang yang berada berdekatan masjid berkenaan.
Menurut Mohd Syahid panggilan itu dibuat kira-kira jam 11.19 malam tadi.
Susulan itu, ibu-bapa Masturah dan wakil calon Rohayu Rosli - yang bersama-sama dengan pelajar mengadakan solat hajat - bergegas ke masjid berkenaan untuk mengambil dan membawanya pulang.
"Beliau kini berada bersama ibu-bapanya di Sungai Buloh... Dia sekarang (masih) trauma, tidak mampu untuk bercerita panjang mengenai insiden itu," katanya dalam satu sidang media.
Sementera itu, sebanyak 18 pusat pengundian termasuk enam fakulti di Universiti Malaya (UM) dijadikan tempat mengundi dalam pilihan raya kampus itu hari ini.
Bagi pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman, pihak jawatankuasa pemilihan menetapkan pengundian dijalankan di kolej kediaman masing-masing.
P'raya muram dan perlahan
Sebanyak 12 kolej kediaman terdapat di kampus ini.
Manakala pelajar yang tinggal di luar kampus, mereka diarahkan untuk mengundi di enam pusat pengundian yang tetapkan.
Enam fakulti tersebut adalah Fakulti Sains, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Fakulti Alam Bina, Akademi Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Fakulti Perubatan.
Sebelum ini, Malaysiakini difahamkan pelajar yang tinggal di luar kampus mengundi di Dewan Tunku Canselor (DTC).
Ekoran itu, Tinjauan Malaysiakini ketika ini mendapati suasana pengundian kelihatan "muram dan perlahan" di universiti ini.
Tinjauan Malaysiakini di Fakulti Sains, perjalanan pengundian masih lagi lembab pada jam 9.30 pagi ini.
Kelihatan seorang atau dua baru sahaja keluar daripada pusat pengundian tersebut.
Pusat pengundian mula dibuka jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menjadi antara orang yang pertama dalam kerajaan BN yang mengingatkan supaya diambil iktibar daripada apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia.

Jika pihak berkuasa menekan suara golongan muda - sedang mereka
mereka dapat mengikuti perkembangan politik di seluruh dunia - Saifuddin (kanan) berkata, tenaga mereka yang tidak dapat dibendung, akan hanya melimpah ke jalanan.Senario pertama telah berkali-kali berlaku apabila mahasiswa
berdemonstrasi berhubung hak mereka terhadap pilihan raya kampus yang bebas dan adil.
Manakala minggu lalu, seratusan mahasiswa Universiti Malaya (UM) memecahkan pintu pejabat timbalan naib canselor kerana membantah penolakan calon daripada bertanding dalam pilihan raya kampus esok.
Dalam wawancara melalui emel dengan
Malaysiakini, Saifuddin mengakui bahawa mahasiswa mahu suara mereka didengar.
"Ini adalah hak asas dan sejagat. Pihak berkuasa harus melayani hak pelajar. Jika pihak berkuasa menafikan hak-hak ini, maka pihak berkuasa tidak seharusnya menyalahkan pelajar jika mereka bertindak dengan cara yang boleh dradikal, dan sebagainya," kata Saifuddin.
UNIVERSITI MALAYA: Kempen hari terakhir Pilihanraya Kampus Universiti Malaya (PRK UM) digemparkan dengan kehilangan seorang calon umum daripada Pro-Mahasiswa iaitu saudari Masturah Binti Abu Bakar.
Kehilangan saudari Masturah di laporkan berlaku petang semalam ketika beliau pergi ke kedai membeli top-up di Pantai Permai bersama seorang junior dan tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan.
Sebelum ini saudari masturah pernah diugut oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dan laporan polis sudah buat berkaitan kehilangan beliau.
Saudara Farid Jalpah yang juga merupakan Pengerusi Pro-Mahasiswa mengulas dengan berkata pihak mereka sedang giat mencari Masturah dan telah meminta bantuan daripada rakan-rakan yang berada di sekitar Pantai Permai dan sekelilingnya.
Beliau berharap rakan-rakan yang lain dapat turut serta mendoakan keselamatan saudari Masturah dan sama-sama berusaha mencari beliau. Beliau juga berharap pihak pentadbiran Universiti Malaya mengambil berat akan masalah ini kerana ianya melibatkan pelajar Universiti Malaya.
“setakat ini kami sudah membuat laporan polis dan polis sedang berusaha mengesan kehilangan beliau,saya harap kita sama-sama berdoa semoga beliau dapat ditemui secepat yang mungkin”.
Satu sidang media akan di buat di Gazebo pada pukul 4 petang ini berkaitan kehilangan saudari Masturah dan semua mahasiswa dijemput hadir bagi memberikan sokongan kepada keluarga Masturah berkaitan kehilangan beliau. - umkini.com
Ugutan: Calon Pro-Mahasiswa Diserang Bertalu-talu
UNIVERSITI MALAYA: Ugutan demi ugutan diterima oleh calon Pro-Mahasiswa sejak hari pertama kempen Pilihanraya Kampus Universiti Malaya lagi. Sehingga malam ini sudah 4 orang calon umum Pro-Mahasiswa di ugut melalui Mesej Pesanan Ringkas (SMS). Antara calon umum yang mendapat ugutan itu adalah Masturah Bt Abu Bakar (u14),Hawari Zakaria (u15),Nadzirah Bt Majed (u16) dan yang paling terbaru saudari Adawiah (u08).
Taktik kotor pihak yang tidak bertanggung jawab itu dilihat sangat terdesak untuk menjatuhkan moral calon-calon umum yang bertanding. SMS berbaur ugutan dan ancaman kepada calon itu juga dilihat seperti dihantar oleh orang yang sama dan apabila dihubungi panggilan tidak dijawab.
Terdapat ugutan yang mengancam calon akan diapa-apakan sekiranya masih meneruskan kempen di kolej kediaman.
Laporan polis bagi keempat-empat ugutan itu sudah dibuat tetapi pihak polis masih berusaha mencari dalang disebalik ugutan itu. Pengerusi Pro-Mahasiswa ketika ditemui mengulas berkenaan isu ini dengan menegaskan bahawa tindakan kurang bijak seperti itu hanya mengundang padah kepada si penghantar.
“saya harap pihak polis dapat mencari dalang di sebalik ugutan dan ancaman ini secepat mungkin kerana saya tidak mahu lebih ramai lagi calon yang akan di ugut” tegas beliau.
Beliau juga mengesa dengan berkata pihak pentadbiran sepatutnya mengambiil tahu akan masalah ini dan segera mengambil tindakan.tetapi pihak pentadbiran seakan-akan menyepi dan tidak campur tangan langsung dalam hal ini.
Setakat ini di peringkat calon Penggerak Mahasiswa tidak kedengaran langsung berkaitan masalah di ugut ataupun di ancam,ianya hanya berlaku di pihak Pro-Mahasiswa
UNIVERSITI MALAYA 19 Feb: Kempen hari kedua sempena Pilihanraya Kampus Universiti Malaya sesi 2010/2011 tidak sunyi daripada ugutan yang dilemparkan kepada individu yang bertanding. Sebentar tadi UmKini mendapat satu maklumat bahawa calon umum iaitu Saudari Masturah Binti Abu Bakar telah diugut melalui SMS.
Sms itu yang berbaur kata-kata ugutan berbunyi seperti ini ” Woi celaka!! jaga skit perangai kau 2,kami dah lama prhati kau,siapla kau lepas ni.kau ingt kau bagus sngt”. Dan nombor yang tertera adalah daripada rangkaian Maxis.
Sebelum ini, terdapat juga pihak yang tidak bertanggung jawab telah menghantar satu SMS kepada duta Pro-Mahasiswa yang memberi amaran supaya menarik diri daripada bertanding dalam PRK UM kali ini.
Suasana kempen secara ugutan tidak sihat seperti ini sedikit sebanyak merencatkan status Universiti Malaya sebagai Universiti terkemuka di Malaysia.Saudara Masturah turut melahirkan rasa kesal kerana ada pihak yang tidak berani bersemuka dan hanya mengugut melalui sms.
” Saya tidak bimbang dengan ugutan murahan seperti ini, bagi saya kalau dia berani mari bersemuka dan berbincang apa masalah yang dia hadapi” ulas beliau.
Setakat ini Saudari Masturah belum membuat sebarang laporan polis kerana masih sibuk berkempen di kolej-kolej kediaman.UmKini dimaklumkan beliau akan membuat satu laporan polis berkaitan ugutan itu petang nanti.
Prk Universiti Malaya terkenal dengan perlawanan antara dua pihak iaitu Penggerak Mahasiswa dan juga Pro-Mahasiswa sejak dari dahulu lagi. Kedua-dua belah pihak agresif dalam memperjuangkan hak-hak mahasiswa di Universiti Malaya.