SERDANG, 23 April: Lebih 40 mahasiswa, termasuk 9 ahli Pro Mahasiswa (Pro M) disingkirkan dari Kolej Kediaman Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) tanpa sebab yang munasabah walaupun masing-masing memenuhi merit minimum iaitu 60 mata untuk menghuni di kolej tersebut.
Antara ahli Pro M yang disingkirkan termasuk mereka yang mempunyai lebih 100 merit.
Seorang pemimpin mahasiswa yang enggan namanya disiarkan mendakwa pengetua di kolej tersebut merupakan dalang di sebalik tindakan tidak berperundangan tersebut.
Katanya lagi, pengetua sejak seminggu yang lalu secara tidak bertanggungjawab sanggup menghilangkan diri ketika diminta menjelaskan motif penyahsenaraian mahasiswa terbabit dari menghuni di kolej tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut dipertikai kerana menawarkan kediaman dalam universiti kepada seorang pelajar pro Aspirasi walaupun siswi itu hanya mempunyai 52 merit. Dia juga menganggotai MPP sesi 2011/2012.
Pengetua kolej itu merupakan penyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM yang boleh dihubungi melalui telefon pejabat 03-89467357.
Kolej tersebut boleh menampung melebihi 350 penghuni, namun sehingga kini khabarnya masih banyak tempat dikosongkan.

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) yang menguasai kerusi dalam pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) kini membentuk barisan kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dalam "terpaksa" tanpa kehadiran dua calon umum mereka.
Ia berikutan pihak universiti "menggantung kemenangan" calon popular mereka Masturah Abu Bakar yang dilaporkan hilang lebih 24 jam sewaktu kehangatan kempen berlangsung.
Manakala Tan Tiong Yih - pelajar fakulti kejuruteraan - pula sedang disiasat polis atas dakwaan memalsukan surat cuti sakit.
"Kami diberi pilihan oleh HEP sama ada untuk menangguhkan pembentukan kabinet atau meneruskannya.
"Jadi (kami) meneruskan (pembentukan kabinet) kerana terpaksa, bahkan pelajar lain merungut supaya menubuhkan kabinet," kata Yang Dipetua MPM kampus itu Mohd Syahid Mohd Zaini (
kanan) ketika dihubungi
Malaysiakini. Menurutnya lagi, pihaknya terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk mengetahui hasil siasatan pihak polis berhubung kedua-dua kes berkenaaan.
Dalam pilihan raya kampus 21 Februari lalu, pro-M
menang 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan. Masturah dan Tan turut turut terpilih.
Mohd Syahid berkata, pembentukan kabinet semalam dihadiri 38 calon yang menang, tidak termasuk Masturah dan Tan.
Manakala seorang calon daripada kumpulan lawan mereka Penggerak Mahasiswa tidak hadir kerana berada di Sabah.
Nasihat peguam Walaupun jumlah keanggotaan kumpulan mereka kini tinggal 21 kerusi sahaja, itu sudah memadai kerana Penggerak Mahasiswa hanya mendapat 16 kerusi manakala bebas cuma dua.
Mohd Syahid berkata, pihaknya membangkitkan dan mempertahankan dua calon mereka di hadapan Timbalan Naib Canselor (TNC) HEP Prof Datuk Rohana Yusoff dalam pertemuan lebih tiga jam semalam.

"Pro-M tidak bersetuju dan terkejut dengan keputusan (penggantungan) itu. Mereka sebelum itu tidak pernah dipanggil sebelum digantung.
"Tidak ada perbicaraan atau diambil keterangan, tiba-tiba sahaja digantung," kata pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam itu.
Mohd Syahid berkata, mereka berpendapat bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) memperuntukan bahawa penggantungan pelajar hanya boleh dibuat berdasarkan kepada keputusan perbicaraan, bukannya ketika masih dalam siasatan.
Malangnya, Mohd Syahid mendakwa, universiti tetap dengan keputusan bahawa Masturah dan Tan tidak boleh menganggotai kabinet MPM sehingga siasatan ke atas mereka selesai.
Ditanya mengenai tindakan pro-M selepas ini bagi membela kedua-dua calon itu, Mohd Syahid berkata pihaknya sudah mendapatkan nasihat peguam, sekali gus menimbangkannya membawa ke mahkamah.
Mohd Syahid turut menjelaskan pihak pentadbiran UM akan memanggil Tan untuk memberi keterangan berhubung dakwaan memalsukan surat cuti sakit pada 24 Mac ini.
Gabungan Mahasiswa UKM merakamkan ucapan takziah kepada rakyat dan kerajaan Jepun yang baru-baru ini mengalami bencana gempa bumi dan Tsunami.
Sumber televisyen NHK negara tersebut melaporkan, suatu gempa bumi telah berlaku sekuat 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami setinggi empat meter berlaku pada jam 2.46 petang dan diikuti siri gegaran kuat termasuk 7.4 magnitud kira-kira 30 minit selepas itu.
Kedapatan juga Tsunami setinggi setinggi 10 meter telah melanda pelabuhan Sendai yang menghasilkan ombak yang telah merosakkan seluruh kawasan pertanian dan menghanyutkan rumah, kenderaan dan lain-lain. Bencana tersebut juga dilaporkan menyebabkan kebakaran dan tanah runtuh.
Perkhidmatan keretapi ke utara Jepun juga dihentikan manakala lapangan terbang antarabangsa Narita ditutup. Ribuan penumpang terkandas dan dipindahkan apabila semua penerbangan ke luar Jepun dibatalkan.
Setakat ini bekalan elektrik kepada empat juta penduduk di Tokyo dan kawasan sekitarnya diputuskan.
Kebanyakan laluan di Tohoku yang menyambung ibu negara Jepun itu ke kawasan utara negara tersebut turut dilapokan terputus.
GMUKM dalam pada itu mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut dan berharap pihak Kementerian Luar Malaysia melalui Wisma Putra melakukan yang terbaik bagi memastikan mereka yang berdepan dengan pelbagai kesukaran ekoran bencana alam itu mendapat bantuan yang sewajarnya.
KUALA LUMPUR, 22 Feb: Meskipun kalah kepada Pro-Aspirasi, Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) tetap berpuas hati dengan pencapaian mereka meningkatkan bilangan kerusi fakulti yang dimenangi.
Keputusan yang diumumkan lewat petang semalam menyaksikan, Pro-M memenangi sebelas kerusi daripada 43 kerusi yang dipertandingkan iaitu sembilan kerusi fakulti dan dua kerusi umum.
Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Pro-M UPM, Syed Syafiq Syed Hashim berkata, kemenangan sembilan kerusi fakulti tersebut merupakan peningkatan yang mendadak berbanding empat kerusi dimenangi pada sesi lepas.
"Kami berpuas hati dengan keputusan di fakulti sebab kenaikan mendadak. Dulu kita menang empat kerusi sekarang kita menang sembilan kerusi. Ini satu pencapaian yang memuaskan bagi Pro-M," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Mengakui sedikit kecewa dengan keputusan bagi kerusi umum, beliau bagaimanapun berkata perkara itu sudah dijangka apabila melihat kepada pecahan undi yang banyak.
"Bagi kerusi umum kami kecewa sebab dulu Pro-M menang tujuh sekarang hanya menang dua.
"Tapi keputusan itu kami sudah jangka sebab pecahan undi yang terlalu banyak agak susahlah nak menang," katanya.
Calon Pro-M yang menang di kerusi umum ialah Muhammad Amiruddin dan Khor Wen Jie.
Manakala calon fakulti terdiri daripada Mohamedd Sufiyan Mohamed Nor (Fakulti Pertanian), Nur Hasanah Hamzah (Ekologi), Khairunnisak Bakri (Pendidikan), Muhammad Syafiq Ashaari (Sains), Nur Syahirah Hatta (Sains), Muhammad Hafiz Saad (Teknologi Makanan), Nor Atiqah Isa (Teknologi Makanan), Arasyi Yahaya (Perubatan & Sains Kesihatan) dan Wan Ibrahim (Sekolah Pengajian Siswazah).
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera Pro-M yang bertungkus lumus membantu kempen calon dan penyokong-penyokong yang memberikan sokongan yang memberangsangkan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada jentera yang bertungkus lumus lumus dan kepada calon yang memberi komitmen, para penyokong yang tiba-tiba bangkit sesi ini dan pihak keselamatan yang banyak menolong mengawal dari berlaku kekecohan sepanjang tempoh kempen," katanya.
Penyokong pro-Mahasiswa (pro-M) mengusung 'mayat' ketika berkumpul di hadapan bangunan pejabat timbalan naib canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) kerana membantah penolakan pencalonan empat calon pro-M dalam pilihan raya kampus universiti tersebut.

Mereka 'membaringkan' empat 'mayat' tersebut di Gazebo yang terletak di hadapan bangunan pejabat TNC HEP kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.
Seorang daripada calon tersebut ditolak kerana tidak menghadiri sepenuhnya kursus mengenai pilihan raya kampus anjuran HEP sesi taklimat yang diadakan hari Sabtu lalu.
Manakala dua lagi kerana tidak menghadiri kursus tersebut kerana terpaksa menghadiri program wajib jabatan masing-masing.

Seorang lagi calon pro-M ditolak kerana lewat menghantar borang pencalonan atas terpaksa menghadiri urusan keluarga.
Mereka yang ditolak itu meliputi satu kerusi umum dan tiga kerusi fakulti.
Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan di UM yang merangkumi sembilan kerusi umum, 32 kerusi fakulti dan dua kerusi siswazah.
Dalam satu sidang media, jurucakap Pro-M Mohd Sabri Jamaluddin menjelaskan dua calon mereka tidak hadir Sabtu lalu kerana terpaksa menghadiri program lain.

"Mereka mendapat surat dari ketua jabatan untuk diserahkan kepada TNC HEP tetapi ditolak sekeras-kerasnya," kata Mohd Sabri.
Beliau juga memberitahu terdapat seorang lagi calon menghadiri dua daripada empat slot kursus tersebut dan terpaksa pulang awal kerana menghadapi masalah alahan.
Surat cuti sakit turut di majukan tetapi ditolak oleh TNC HEP.
Manakala soerang lagi, lewat menghantar borang pencalonan kerana pulang ke kampung untuk menyelesaikan masalah harta pusaka keluarganya.
Calon terbabit menghantar borang pencalonan pada hari berikutnya - Sabtu - semasa taklimat kepada calon-calon yang bertanding.
Sementara pengerusi Pro-M UM Farid Jalpah memberitahu Malaysiakini, terdapat dua calon bebas yang cenderung kepada pro-M, turut ditolak kertas pencalonan mereka.
Setakat ini, Farid tidak dapat memastikan sebab kertas pencalonan mereka ditolak.
Menurut Farid, beliau telah menemui Naib Canselor UM Prof Ghauth Jasmon untuk mendapat penjelasan mengenainya memandangkan calon-calon terbabit telah mengemukakan bukti ketidakhadiran mereka.
Katanya, pertemuan dengan Ghauth di pejabatnya selama 30 minit itu bermula jam 10.45 pagi. Naib canselor itu akan memberikan keputusan mengenai bantahan mereka itu.
Farid juga turut menemui pengerusi jawatankuasa pemilihan Dr David, yang menyatakan "tidak ada masalah" untuk menerima pencalonan pro-M.
Pagi tadi, kira-kira 120 penyokong kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), termasuk calon, berarak dari padang di hadapan fakulti kejuruteraan menuju ke kompleks perdana siswa untuk penamaan calon.

Mereka akan bertanding untuk merebut 43 kerusi, termasuk dua kerusi siswazah dalam pilihan raya kampus kali ini.
Mereka bergerak kira-kira jam 8.50 pagi, sambil melaungkan 'bangkit mahaiswa', 'hidup mahasiswa' dan 'bantah e voting'.
Pelajar yang menyertai perarakan itu juga membawa dua kain rentang besar yang tertulis "university muted".
Selain UM, empat lagi universiti akan mengadakan penamaan calon masing-masing esok, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor.
[GAMBAR : Sekitar Penamaan Calon UM]
Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM) hari ini membuat dua laporan polis berhubung dua insiden - kejadian kereta disimbah cat dan kain rentang calon kumpulan itu dibakar, menjelang pilihan raya kampus itu 21 Februari ini.

Pentadbiran UM menetapkan esok sebagai hari penamaan calon untuk 41 kerusi yang akan dipertandingkan kali ini.
Kedua-dua laporan polis itu dibuat secara berasingan. Kejadian kereta disimbah cat dibuat pemilik kereta Proton Saga Iswara, kelabu dibuat oleh pemiliknya, Ahmad Bashier Muhamad Afifi, di Balai Polis Damansara kira-kira jam 9.51 pagi ini.
Manakala bagi kes membakar kain rentang calon umum pro-M, pula dilaporkan oleh pengerusi pro-M nasional Mohd Taufiq Abdul di Balai Polis Seksyen 17 Petaling Jaya kira-kira jam 5 pagi.Dalam laporan polisnya, Ahmad Bashier berkata beliau dimaklumkan oleh rakannya pada kira-kira jam 8.45 pagi ini bahawa bumbung serta kiri dan kanan keretanya telah disimbah cat berwarna oren.
Aktivis pro-M itu berkata keretanya itu diletakan di luar kawasan rumah sewanya di Petaling Jaya.

"Saya berasa teraniaya dan terancam dengan kejadian ini. Saya mengesyaki ada unsur ugutan berikutan pilihan raya kampus yang semakin hampir," laporan polis itu dipetik.
Sementara itu, Mohd Taufiq pula, ketika temui Malaysiakini pagi ini, berkata kejadian berlaku di rumah sewa mahasiswi di Seksyen 12 Petaling Jaya kira-kira jam 4.50 pagi ini.Ketika kejadian itu, katanya, beliau serta enam lagi mahasiswa sedang tidur selepas berkawal di luar rumah berkenaan.
"Tiba-tiba saya tersedar, api sedang marak," katanya sambil menambah bahawa lima kain rentang calon umum pro-M hangus terbakar.
Dalam perkembangan berkaitan, kira-kira 25 aktivis pro-M berkumpul di luar pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof Datuk Dr Rohana Yusof tengahari tadi.

Mereka berkumpul untuk mendapat penjelasan berhubung dua lagi tuntutan mereka, antaranya pelaksanaan sistem elektornik (4E) - proses penamaan, pengundian, bantahan dan rayuan dan melanjutkan tempoh berkempen.
Sebelum ini, pihak pentadbiran universiti tunduk dengan desakan kumpulan tersebut apabila memenuhi dua daripada empat tuntutan mereka.
Jurucakap pro-M, Mohd Sabri Jamaluddin berkata hasil perbincangan dengan Dr Rohana, pihak universiti "berkeras" untuk melaksanakan juga sistem tersebut dalam pilihan raya kampus kali ini.
"Pihak universiti masih (mahu) mengekalkan sistem 4E ini. Bagi mereka (menggunakan) teknologi dan sistem elektronik lebih mudah," katanya dalam satu sidang media selepas pertemuan ini.
Selain itu, Mohd Sabri meminta pentadbiran universiti lebih "bersikap adil" supaya membenarkan pro-M berkempen di kolej-kolej kediaman yang kebanyakannya dikuasai oleh Penggerak Mahasiswa (pro-Aspirasi).
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Pro Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (Pro-M UPM) mengecam tindakan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) kampus berkenaan menghalang anggotanya daripada terlibat dalam pilihan raya kampus.
Pengerusinya, Syed Syafiq Syed Hashim berkata, larangan itu sangat tidak wajar kerana setiap mahasiswa termasuk anggota Palapes berhak menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya kampus.
"Pihak kami pagi tadi dikejutkan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UPM yang menghalang mahasiswa daripada menjadi calon, pencadang serta penyokong pencadang dalam pilihan raya kampus yang dijadualkan berlangsung pada 21 Februari nanti," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurut Syed Syafiq, larangan berkenaan merupakan satu lagi usaha pihak universiti menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dalam demokrasi kampus.
"Pihak kami mendapati, larangan ini merupakan satu usaha bagi menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat dengan proses demokrasi di kampus," katanya.
Notis pengumuman pilihan raya kampus dikeluarkan pada cuti pertengahan semester yang lalu.
Ekoran itu, semua pihak daripada Pro-Mahasiswa serta Pro-Aspirasi yang ditaja Bahagian Hal Ehwal Pelajar semakin sibuk memperkemaskan jentera masing-masing.
Sementara itu, tarikh pilihan raya kampus bagi kampus lain iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) ialah pada 21 Februari, manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Pahang pada 22 Februari. - Harakahdaily

Ketika tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi sudah diketahui umum, beberapa perubahan besar yang berlaku dalam Pilihan Raya Kampus kali ini menjadi persoalan dan tanda tanya buat mahasiswa yang mengikuti secara dekat perkembangan politik kampus.
Berdasarkan kepada perubahan yang telah dimaklumkan melalui notis yang ditampal sewaktu cuti pertengahan semester lalu, pertambahan EMPAT KERUSI FAKULTI serta PENGURANGAN SEMBILAN KERUSI UMUM menimbulkan persoalan tentang maksud sebenar perubahan tersebut dilakukan.


Jika kita merujuk kepada PERLEMBAGAAN UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA yang baru sahaja dipinda baru-baru ini, SEKSYEN 57 (3) menjelaskan bagaimana kaedah sebenar bagi menentukan bilangan wakil mengikut kawasan bagi sebuah PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UPM.
Seksyen 57 (3) :
Kesatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar-Pelajar (kemudian daripada ini dalam Perlembagaan ini disebut “MPP”) mengikut cara berikut:
(a) pelajar berdaftar setiap Kampus Cawangan, Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institusi hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh ketua Kampus Cawangan atau Dekan Fakulti atau ketua Sekolah, Pusat, Akademi atau Institusi, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebilangan pelajar berdaftar yang sama bilangannya daripada Kampus Cawangan, Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institusi itu untuk menjadi wakil dalam MPP, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor.
(b) pelajar berdaftar sebagai keseluruhan hendaklah memilih dengan undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar, mengikut sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil dalam MPP, dan bilangan pelajar itu hendaklah, walaubagaimanapun, tidak lebih daripada setengah daripada wakil yang dipilih di bawah perenggan (a).
(Seksyen 37 (3) (a) adalah bagi kawasan fakulti & Seksyen 37 (3) (b) adalah bagi kawasan umum)
Bagi kawasan fakulti, Seksyen 37 (3) (a) telah menjelaskan segala-galanya berkenaan dengan pertambahan sebanyak 4 kerusi yang melibatkan Sekolah Pengajian Siswazah serta Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan.
Walaubagaimanapun, timbul persoalan besar yang melibatkan perubahan dalam kerusi umum yang menyaksikan bagaimana pengurangan sebanyak 9 buah kerusi.
Mengikut kepada amalan biasa selama ini, pertambahan 4 buah kerusi di dua buah sekolah siswazah sepatutnya akan menyebabkan kerusi umum akan bertambah sebanyak 2 buah kerusi menjadikan keseluruhan kerusi umum sebanyak 18 buah kerusi (sebelum ini 16 buah kerusi).
Menyelak semula kembali sejarah Pilihan Raya Kampus sebelum ini, pada tahun 2003, sebanyak 45 kerusi keseluruhan dipertandingkan dengan 15 daripadanya adalah kerusi umum dan 30 bagi kerusi fakulti.
Beberapa tahun kemudian, setelah kemasukan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) ke dalam Pilihan Raya Kampus, ia memperlihatkan bagaimana pertambahan sebanyak 2 buah kerusi fakulti dan sebuah kerusi umum yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 48 kerusi ( 16 kerusi umum & 32 kerusi fakulti).
Justeru itu, beberapa persoalan besar seharusnya dijawab oleh pihak yang bertanggungjawab melakukan perubahan dalam menentukan kawasan bagi Pilihan Raya Kampus kali ini;
1. Mengapakah pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mengecilkan suara mahasiswa dengan mengurangkan 9 buah kerusi umum?
2. Bagaimanakah kaedah atau cara pengukuran yang menyaksikan hanya 7 kerusi umum diperuntukan untuk Pilihan Raya Kampus tahun ini?
SKUDAI 18 Jan : Pengerusi Pro-Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), saudara Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid menafikan tuduhan kumpulan Evolusi universiti tersebut yang mendakwa kumpulan yang diterajui beliau adalah mewakili pembangkang.
Beliau dalam kenyataannya meminta agar tuduhan tersebut ditarik balik berikutan tuduhan tersebut umpama tindakan kurang sopan yang beliau sifatkan sebagai ‘cucuk belakang’ dan ‘tidak seperti anak jantan’.
Ujar beliau lagi, pihak Pro-Mahasiswa sedia untuk mengadakan perdebatan dengan kumpulan Evolusi atau mana-mana pihak bagi membincangkan pihak mana sebenarnya yang benar-benar memperjuangkan hak mahasiswa secara indepandent tanpa kaitan dengan pihak pembangkang termasuk membincangkan isu-isu semasa.
“Kami sedia untuk berbincang secara ilmiah dengan pihak Evo. Bila-bila masa saja. Tentang tuduhan anda, sila tarik balik jika tidak mampu tampilkan bukti. Anda berani, kita boleh berjumpa untuk berbincang” Ujarnya.
Pro-Mahasiswa UTM yang secara rasmi melancarkan jentera mereka 14 Januari lalu dilihat semakin aktif dengan pelbagai aktiviti melibatkan mahasiswa universiti tersebut.
Dalam majlis pelancaran kumpulan tersebut, dilaporkan hampir 100 mahasiswa telah hadir sebagai tanda sokongan walaupun majlis terpaksa berpindah tempat di saat akhir ke Masjid Sultan Ismail disebabkan hujan.
Majlis tersebut antaranya juga sebagai satu medan untuk menyatakan lima tuntutan mereka terhadap universiti seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
- Mahasiswakini.com
Jan 17, Kuala Selangor : Kehangatan Pilihanraya Kampus semakin menghampiri ambang kehangatan dengan bermulanya proses pilihanraya di sebuah kampus di Lembah Klang hari ini.
Hari ini (Isnin), Universiti Industri Selangor (Unisel) merupakan universiti pertama tahun ini yang telah pun mengadakan sesi penamaan calon (Pagi tadi) sehingga 26 Januari ini.
Menurut sumber, Ahli Majlis Tertinggi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Hilman Idham berkata, Unisel menjadi universiti awal kepada pilihan raya kampus dengan keseluruhan 16 kerusi akan dipertandingkan di sana nanti.
Daripada 16 kerusi itu, 12 daripadanya adalah kerusi umum manakala empat lagi kerusi universiti.
“Unisel membuka tirai dengan memulakan proses penamaan calon awal pagi tadi. Ini akan diikuti universiti-universiti lain.
“Penamaan calon hari ini bermula dengan perarakan seramai 100 orang mahasiswa mengiringi calon yang bertanding. Perarakan bermula daripada Dewan Biru ke Canselori,” katanya ketika dihubungi.
Diberitakan selain Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), turut hadir ketika penamaan calon berlangsung adalah pimpinan SMM termasuk Pengerusinya, Shazni Munir, Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Mohd Taufiq Abdul, Majlis Politik Nasional GAMIS, Shukri Abd Razab dan bekas pemimpin Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) Unisel.
Setakat jam tengahari tadi, seramai 14 calon umum dan 4 calon falkulti telah dikhabarkan bakal bertanding ketika penamaan calon sebentar tadi dan kesemua calon tersebut adalah daripada Pro-Mahasiswa Unisel.
Dimaklumkan, proses pengundian tetap akan dijalankan memandangkan hanya 12 kerusi diperuntukkan untuk kerusi umum dan 4 fakulti.
Dengan situasi pihak lawan tidak menghantar seorang pun calon untuk bertanding, Pro-Mahasiswa telah diisytiharkan menang sebelum bertanding.
Pro-M Unisel sebelum ini telah pun memegang tampuk pemerintahan di kampus berkenaan tahun lalu.
“Semua dalam keadaan baik. Empat kerusi dipertandingan bagi kerusi universiti; terdiri daripada fakulti kejuruteraan, bioteknologi, pendidikan dan sains sosial dan teknologi maklumat,” katanya.
Beliau turut menyeru mahasiswa untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab dalam proses penamaan calon ini.
“Harapan kami agar para mahasiswa dapat menjalankan tanggunjawab mereka untuk mencalonkan mana-mana individu yang sesuai agar dapat menerajui pimpinan mahasiswa di Unisel ini,” katanya yang turut mewakili persatuan mahasiswa lain.
Sementara itu, Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Taufiq Abdul pula berharap momentum kemenangan Pro-M di Unisel dapat dibawa ke kampus lain.
“Permulaan kita sudah berjaya menang, jadi saya harap Pro-M di seluruh kampus lain dapat menjadikan kemenangan ini sebagai pembakar semangat.”
“Yang penting kita jangan berada dalam keadaan selesa lagi, perjuangan masih awal, banyak lagi yang perlu kita buat untuk terus mengubah landskap kepimpinan akan datang di semua kampus.”, jelasnya ketika dihubungi. – UMtoday.
SKUDAI, 14 Januari : Lebih 300 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia telah memeriahkan Majlis Pelancaran Jentera Pro Mahasiswa UTM walaupun hujan renyai-renyai turun membasahi bumi UTM. Majlis yang pada asalnya dirancang untuk diadakan di hadapan bilik 24 jam PSZ telah ditukar ke Dataran Agora bagi menghormati permintaan pejabat Hal Ehwal Mahasiswa.
Walau bagaimanapun, disebabkan hujan turun, tempat majlis itu dipindahkan sekali lagi di hadapan Masjid Sultan Ismail. Hujan yang turun tidak menghalang warga kampus termasuk staf dan pensyarah untuk hadir mendengar ucapan pemimpin mahasiswa.
Dalam majlis ringkas itu, Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Leftenan Muda Ku Abdul Muhyi telah menyampaikan penerangan berkenaan moto ‘Pro Mahasiswa Pro Universiti’ yang akan diguna pakai oleh jentera Pro Mahasiswa dalam pilihanraya kampus akan datang.
“Kita kena sedar bahawa kita sekarang mendokong aspirasi universiti, mendokong gagasan Dato’ Naib Canselor dalam memacu UTM ke mata dunia. Kita akan menyokong apa yang baik dan mengkritik apa yang tidak baik.”
Menurut beliau lagi, Pro Mahasiswa Pro Universiti bukan bermaksud pro kepada mana-mana pihak. Sebaliknya Pro Mahasiswa akan bersama-sama semua pihak yang ingin menjayakan gagasan universiti yang ada pada hari ini.
Beliau juga mengingatkan kepada seluruh mahasiswa agar tidak takut untuk bersama Pro Mahasiswa atas dasar gagasan yang dibawa oleh Pro Mahasiswa tidak bercanggah dengan visi dan misi universiti.
Berikutan kes ugut senior yang disahkan sebagai salah seorang penggerak utama Evolusi utm ke atas aktivis ProM Tahun 1, Ku Abdul Muhyi juga mengingatkan kepada mana-mana pihak agar tidak mencabar Pro Mahasiswa dengan bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan.
“Jangan cabar kita. Kita adalah harimau yang tidak perlu diajar untuk mengaum.”
Turut berucap petang tadi ialah dua orang wakil Duta Pro Mahasiswa yang baru dilantik iaitu Saudara Munzir Musa dan Saudari Khairulwafa’. Sokongan mahasiswa kepada Pro Mahasiswa dilihat semakin meningkat dan dijangka memberi harapan cerah untuk gelombang oren menawan UTM. ProMProU
KOTA BHARU,13 JAN-Universiti Malaysia Kelantan yang sudah beroperasi selama 4 tahun kini mempunyai populasi mahasiswa sebanyak 2,000 orang.Kapasiti kampus sementara UMK yang terletak di Pengkalan Chepa kini sudah mencapai tahap yang maksimum dan ekoran populasi yang cukup padat ini membuat penggunaan kemudahan asrama secara maksimum dan melebihi hadnya seperti penggunaan air.
Beberapa orang mahasiswa meluahkan rasa kecewa atas sikap pengurusan universiti yang bertangguh dan lambat menyelesaikan masalah ini.Rahimi,mahasiswa Tahun ke-2 daripada Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW) melahirkan rasa kecewa dengan janji-janji manis mereka untuk menyelesaikan masalah ini seperti janji untuk memperbetulkan system yang sedia ada,dan memasang tangki-tangki baru untuk keperluan mahasiswa UMK
Sufian Ismail,mahasiswa tahun akhir FTKW pula kecewa dengan pengurusan universiti yang tidak ada perubahan langsung. “UMK sudah 4 tahun ditubuhkan,aku dah lali dengan masalah ketiadaan air ,sistem peparitan banjir,wifi yang , astro dan sbgainya...takkan dah 4 tahun usia umk,sama je situasi dari dulu hingga sekarang?”
Bagi Siti Rahimah pula, “Ketiadaan air di UMK ini cukup membebankan mahasiswa,kami tidak boleh membasuh baju,mandi untuk bersiap ke kelas serta berwudhuk.Ini ternya mengecewakan”,kata mahasiswa tahun 1 itu.
Masalah ketiadaan air ini bukanlah merupakan satu perkara yang baru,ia telah bermula sejak 3 tahun yang lalu tetapi masalah ini menjadi semakin kritikal sejak setahun yang lalu.Pernah sampai terjadi satu peristiwa di mana beberapa blok kolej kediaman mengalami ketiadaan air hamper sebulan.Bahkan di suatu ketika hamper setiap hari bekalan air tidak mencukupi.Rata-rata mahasiswa terpaksa ke bilik air tingkat bawah blok asrama serta ke blok asrama yang lain.Tambahan pula,mereka terpaksa tunggu berjam-jam untuk mandi kerana terpaksa berkongsi dengan mahasiswa yang lain.
Seorang mahasiswa Tahun 3 pula berkata, “masalah ini cukup membebankan kita,air adalah keperluan asas,kita perlukan air untuk mandi,bersiap ke kelas,membasuh baju,minum dan memasak,mengapa mereka (pihak pentadbiran) tidak mampu menyelesaikannya? Mereka tak rasa apa yang kami rasa,kami cabar supaya duduk dengan kami di kolej kediaman selama seminggu,baru mereka tahu akan siksaan ini.Saban hari mereka menjanjikan untuk memperbetulkan masalah ini,pihak MPP kerap buat kenyataan bahawa mereka sudah berbincang dengan pihak pengurusan dan perkara ini akan diselesaikan pada tarikh-tarikh tersebut.Terbaru,mereka mengatakan bahawa pihak kontraktor akan memulakan kerja-kerja tapi hanya kata-kata manis sahaja yang dilontarkan.Sekarang mereka menggunakan paip bomba untuk mendapatkan air.Kami sudah tidak tahan,sila lakukan sesuatu atau kami akan mulakan demonstrasi dan menghebahkan kepada media!.”
Pro-Mahasiswa UMK melihat masalah ini adalah berpunca daripada sikap alpa pihak pengurusan yang kerap bertangguh-tangguh dalam melaksanakan pekerjaan.Dikhabarkan daripada pihak MPP bahawa mereka telah mengusulkan banyak perkara,membuat kertas kerja dan kerap berjumpa dengan TNC HEPA bagi menyelesaikan masalah ini.Tetapi semuanya berakhir setakat janji manis di mulut sahaja.Fungsi MPP sebagai badan yang menjaga kebajikan mahasiswa kini hanya omongan kosong sahaja,sejauhmanakah MPP mampu merubah dan menyelesaikan masalah mahasiswa ini sedangkan berapa kerat sahaja kuasa yang mereka ada?
Menurut Naib Presiden 2 MPP UMK yang juga pengerusi pro-mahasiswa UMK,Saudara Hafizuddin,mereka hanya mampu mengusul,membuat kertas kerja,bermesyuarat,bincang dan mendesak pihak atasan untuk melaksanakan kebajikan mahasiswa.Tetapi mereka tidak ada banyak kuasa untuk melaksanakan.Inilah akibatnya apabila mahasiswa tiada autonomi.Jika tahun 60-an dahulu,student union yang dikenali sebagai MPP pada hari ini mempunyai kuasa bebas untuk mentadbir pengurusan universiti,mereka mempunyai kerajaan sendiri dan menguruskan kebajikan mahasiswa dengan cekap dan pantas.Mahasiswa ketika itu mampu menguruskan bas sendiri untuk kegunaan mahasiswa kerana mereka mempunyai autonomi.Sesetengah dasar-dasar universiti ditentukan oleh mahasiswa bahkan mahasiswa menjadi penggerak utama Negara ketika itu.
“Kini autonomi universiti sudah dirampas sejak penggubalan AUKU,mahasiswa sudah tidak mempunyai kuasa dalam menentukan jalan mereka sendiri.Hak-hak mereka telah hilang dan kebajikan mereka tidak terjaga.Mahasiswa kini hanya mampu mengharapkan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah mereka.Kononnya dengan menggunakan prosedur yang betul serta ikut cara mainstream,perkara itu boleh selesai.Namun kebanyakan keputusan tidak menyebelahi mahasiswa dan kadang-kadang membebankan mahasiswa sahaja akibat karenah birokrasi yang rumit”.
Segala bajet-bajet kewangan dari KPT,tabung kebajikan pelajar serta yuran yang diperuntukkan untuk mahasiswa seperti hal kebajikan dan aktiviti semuanya dipegang oleh pihak pentadbiran.Untuk menggunakannya mahasiswa perlu membuat kertas kerja,mengisi borang permohonan dan prosedur-prosedur tertentu yang hanya melambatkan serta membebankan mahasiswa sendiri dan selalunya lambat akibat karenah birokrasi.Kertas-kertas kerja yang kami bentangkan untuk maslahat mahasiswa sehingga kini masih tertangguh dan tidak dilaksanakan.
Kini sudah ada banyak suara mendesak untuk kami berdemonstrasi.Jika tidak mampu membela kebajikan kami,berikan kami autonomi,berikan kami hak untuk menguruskan kebajikan kami.Kami boleh menyelesaikannya.Jika tiada air,kami boleh upah kontraktor untuk pasang tangki baru hari ini juga!”,katanya.
Oleh itu,Pro-Mahasiswa UMK mendesak agar masalah ini diatasi dengan segera oleh pihak terbabit dan mendesak kerajaan memansuhkan peraturan-peraturan dalam AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa lalu mengembalikan autonomi universiti kepada mahasiswa semula!.
Laman rasmi Pro-M UMK: http://promahasiswaumk.blogspot.com
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini membuat tuntutan agar mahasiswa diberi peluang sepenuhnya untuk menguruskan pilihan raya kampusnya (PRK) sendiri.
Pengerusinya, Syed Syafiq Syed Hashim berkata, tuntutan itu dibuat kerana pihaknya sudah hilang kepercayaan terhadap jawatankuasa yang diamanahkan untuk menguruskan PRK setelah berlakunya beberapa insiden sebelum ini.
"Pilihan Raya Kampus merupakan medan serta wadah untuk mahasiswa dalam memilih pemimpin yang akan membawa suara mereka kepada pihak pentadbiran universiti.
“Walaubagaimanapun, saban tahun kita sering mendengar pelbagai masalah seperti penyelewengan serta ketidaktelusan yang melibatkan jawatankuasa yang dilantik bagi menguruskan pilihan raya kampus khususnya daripada para pegawai di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP)," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurut Syed Syafiq, pegawai BHEP dalam PRK yang lepas telah bertindak membatalkan kemenangan semua calon Pro-M UPM di kerusi umum kerana didakwa melanggar tatacara kempen.
Pihak BHEP juga, katanya mewujudkan peraturan kempen yang lucu kerana tidak membenarkan mahasiswa untuk berkempen di mana-mana laman sesawang, blog, sistem pesanan ringkas serta media elektronik selain perbezaan keputusan yang dikeluarkan pada hari pengumuman keputusan dengan notis rasmi yang dikeluarkan oleh pihak jawatankuasa pemilihan.
Sehubungan itu, Pro-M UPM mencadangkan penubuhan jawatankuasa di peringkat mahasiswa yang berfungsi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menguruskan PRK bermula dari pembelian borang, pendaftaran penamaan calon, hari penamaan calon sehinggalah kepada pengumuman keputusan rasmi.
Selain itu, turut dicadangkan agar badan pemantau bebas dari luar seperti Malaysia of Free Election (Mafrel) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai pemerhati dalam PRK.
Pro-M UPM ujarnya memberikan tempoh seminggu kepda pihak pentadbiran universiti untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan tersebut.
"Sehubungan itu, kami juga mengharapkan agar pihak pentadbiran universiti dapat memberi respons terhadap tuntutan kami ini dalam tempoh satu minggu setelah memorandum tuntutan tersebut dihantar," katanya.
Bangi, 11 Jan – Hari ini merupakan kali ke-2 Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) digemparkan dengan poster-poster yang bertaburan pada pagi tadi. Poster-poster tersebut dilihat bertebaran di sekitar kawasan UKM terutamanya di ‘Bus Stop’ kawasan kolej kediaman.
Dalam poster tersebut terkandung gambar duta-duta Gabungan Mahasiswa (GMUKM) iaitu Mohamad Fariq Fitri Bin Mohd Saleh (duta bagi tahun 2) , Muslimah Binti Marsi (duta bagi tahun 3) , dan Wah Ahmad Fahmi Bin Wan Abd Hamid (duta bagi tahun 3). Namun begitu, setiap daripada gambar-gambar tersebut dikaitkan dengan perkataan-perkataan yang berbaur fitnah seperti Gay Malaya (Fariq Fitri), Bohsia Ronggeng (Muslimah) dan Sotong Kering (Wah Ahmad Fahmi). Tambahan, GMUKM juga ditukar kepada “Ganyang Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia”
Tindakan ini merupakan satu tindakan yang agak keterlaluan sehingga sanggup menyerang peribadi duta-duta GMUKM. Pihak NadiUKM berpendapat bahawa tindakan ini adalah bertujuan untuk menjatuhkan kredabiliti duta-duta GMUKM dalam keadaan Pilihanraya Kampus yang semakin hampir.
Penyokong-penyokong GMUKM ketika ditemui pagi tadi menyifatkan tindakan ini merupakan satu tindakan yang melampau dan sangat tidak bermaruah.
“Saya tidak sangka ada orang yang sanggup melemparkan tohmahan yang begitu dasyat sekali kepada duta-duta GMUKM. Adakah mereka ini tidak tahu dosa, pahala dan syurga neraka? Saya harap, mereka-mereka ini datang mohon maaf kepada duta-duta GMUKM. Sekiranya mereka enggan, kami akan tuntut sampai ke padang mahsyar nanti“ –tegas salah seorang penyokong GMUKM
Gelombang Pilihanraya Kampus kini semakin dirasai. PRK makin hari makin panas dengan isu yang pelbagai. Berbagai isu yang cuba dimainkan oleh kedua-dua belah pihak bagi menjuarai PRK yang akan datang. Ini mungkin petanda bahawasanya Pilihanraya Kampus semakin hampir. – NadiUKM
MPP Gabungan Mahasiswa UKM (MPP GMUKM) merujuk akhbar Berita Harian bertarikh 08 Januari 2011 bertajuk 'Harga bawang melambung, stok minyak masak kurang' dan berasa bimbang serta khuatir dengan 'trend' kenaikan harga barangan khususnya barangan runcit rumah yang semakin hari semakin tidak terkawal.
Mahasiswa selaku jurubicara rakyat melihat perkaitan antara harga minyak petrol dan diesel yang dinaikkan bulan lepas adalah berkadar langsung dengan kenaikan barangan runcit rumah ketika ini sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar hari ini.
MPP GMUKM memandang serius isu ini kerana ia melibatkan kepentingan bersama rakyat dan pemimpin di mana secara jelas mengikut Teori Rantaian, apabila minyak petrol dan diesel dinaikkan, maka kos tersebut terpaksa ditanggung oleh pihak peniaga. Maka, tidak dapat tidak harga jualan barangan runcit rumah terpaksa dinaikkan mengikut keperluan.
MPP GMUKM yang telah menjalankan kaji selidik sekitar UKM kampus Bangi dan Cheras mendapati majoriti mahasiswa UKM hari ini mengeluh dan mengaku semakin kesusutan kewangan akibat kenaikan harga barangan dan makanan yang mana rata-rata mahasiswa akan makan di kedai. Justeru, apabila harga minyak petrol dan diesel dinaikkan makan harga barangan runcit dinaikkan. Maka pengusaha kedai makan turut terpaksa menaikkan harga minuman dan makanan untuk menyerap kos yang ditanggungnya. Akhirnya akibatnya jelas terpaksa ditanggung oleh golongan mahasiswa selaku pengguna akhir yang terpaksa akur suka atau tidak.
Tinjauan kaji selidik GMUKM mendapati secara purata, mahasiswa terpaksa membelanja RM 5 - 7 untuk satu hidangan tengah hari atau malam manakala RM 3 - 4 untuk sarapan.
Isu ini telah kami utarakan kepada pengurusan universiti. Namun malangnya pihak pengurusan menjawab mereka tidak dapat membantu mahasiswa kerana kontrak dengan pihak kafe-kafe sudah dimeterai. Manakala untuk kedai-kedai luar universiti adalah terletak pada pengusaha kedai makan itu sendiri. Apa yang mampu dilakukan oleh pihak pengurusan universiti adalah sekadar menasihati mahasiswa untuk berjimat-cermat dan bersabar.
Tinjauan GMUKM juga mendapati terdapat segelintir mahasiswa yang mengambil langkah bekerja secara sambilan di luar waktu kelas untuk menampung kos sara hidup di universiti. MPP GMUKM berpandangan perihal ini tidak perlu kerana sepatutnya pinjaman atau biasiswa yang diperoleh sepatutnya sudah mencukupi. Ironinya perihal ini disanggah sendiri oleh rakan-rakan mahasiswa yang memaklumkan bahawa duit pinjaman atau biasiswa yang diperoleh sekadar cukup untuk makan dan belanja 'isi minyak', tetapi tidak cukup untuk membeli buku-buku rujukan dan tidak termasuk kos untuk membuat kerja lapangan di luar kelas.
Justeru itu, kami di peringkat ahli Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa UKM (MPP GMUKM) menggesa pihak-pihak terbabit khususnya pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) serta agensi-agensi di bawahnya untuk segera bertindak segera mengawal inflasi dengan cara mengekang sebarang kenaikan barangan primer seperti minyak gas, minyak masa, gula, tepung serta yang lebih penting minyak petrol dan diesel. Ini demi menyelamat dan mengekang inflasi yang semakin hari kelihatan semakin tidak terkawal di dalam negara.
Dikeluarkan Oleh :
Unit Media & Penerangan
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
Gabungan Mahasiswa UKM
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
seUngu hari itu..
kami berkampung atas dasar 1 DAKWAH
kami berintima’ atas baiah yg telah dipatri
kami menginfaq segala yg termampu
kami berjemaah dalam tiap derapan
kami menyemai benih-benih kasih
lantas menyemarakkan izzah mujahid mujahidah
kerna kami mencari NUR dan mardhatillahMU
seUngu hari itu..
percambahan minda terus didoktrin
penyatuan fikrah makin dipahat
seia sekata senada dan seirama
dalam merealisasikan perancangan itu
insyaallah dengan menelurusi jalan-jalan syariat
berpaksikan al Quran & as Sunnah
seUngu hari itu..
hati-hati kami telah berSATU
berhimpun dalam naungan cintaMU
bertemu dalam ketaatan
bersama menegakkan kebenaran
bermusyawarah dalam membuat keputusan
berijtima’ dalam memantapkan tanzim
bermukhayyam rehlah untuk jasadiyyah
sambil taqarubbillah menyuntik ruhiyyah
seUngu hari itu..
akan kusimpul menjadi cebisan kenangan terindah
dalam meniti kehidupan yang mendatang
yang pasti memerlukan bekalan yang cukup
untuk kubawa bersama meneruskan wasilah ini
ya Allah, ya Rahman ya Rahim
KAU limpahkan cahaya buat kami
KAU permudahkan segala gerakeje kami
KAU bukakanlah pintu-pintu rezeki buat kami
moga dari dulu, kini dan selamanya
ISLAM IMAN sentiasa di HATI kami..
amenn..ameenn ya rabbal alamin.
Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyasarkan akan dapat menghantar seramai 250 - 300 orang mahasiswa-mahasiswa UKM dari kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur ke program Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia 1.1.11 pada hari Sabtu ini.
Jurucakap GMUKM yang juga Pengerusi Gerakan Mahasiswa Lantang Negara, saudara Fadhlan bin Sugiman berkata, "Setakat kini (daripada) maklumat yang kita peroleh daripada 'front-front' sama ada di Bangi, Cheras dan KL (Kuala Lumpur) mendapat respon yang positif.
" Mobilasi ahli-ahli daripada GMLN, AKSIS, MAMPU, KAMI dan di segenap lain-lain kawasan telah memberikan jaminan bahawa kita mampu mengumpul dan menghantar seramai kira-kira 250 hingga 300 mahasiswa. Itu tidak termasuk mahasiswa-mahasiswa yang tidak respon dan berdaftar dengan kita lagi. Tetapi jika masih ada mana-mana mahasiswa yang ingin menyertai himpunan ini juga masih dapat mendaftar dengan kami melalui Facebook.
" Kita percaya dengan semangat azam tahun baru di dekad baru ini; 2011 ini akan menyuntik dan memberi sedikit sebanyak semangat yang baru yang sinergi dan mantap. Kita percaya, sebagai salah sebuah universiti yang agak senior, jumlah seramai 250 atau 300 bukan sekadar itu sahaja, tetapi akan bertambah dalam sedikit masa lagi, " tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, pengarah program himpunan ini, saudara Mohd Ezuan Saad, himpunan yang bakal disertai lebih daripada 50 buah institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta itu dan diharap akan dapat membawa mahasiswa turun ke lapangan masyarakat serta memainkan peranan penting dalam pemerintahan negara.
"Himpunan ini diharapkan dapat berperanan sebagai medan kapada setiap mahasiswa di seluruh negara untuk tampil dengan wajah dan nafas baru yang lebih dinamik pada tahun baru 2011.
" (Di peringkat) kami mahu para mahasiswa terus memainkan peranan yang dominan di dalam masyarakat serta politik dalam negara kita," ujar beliau lagi.
Sementara itu pula menurut jurucakap MPN GAMIS, saudara Ahmad Shukri Kamarudin berkata, program lima jam tersebut bermula seawal pukul 8.30 pagi itu bertujuan memberikan mesej bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat.
Program ini juga antara lain telah menggariskan beberapa buah objektif yang ingin dicapai seperti;
i. Menghimpunkan mahasiswa Malaysia sebagai tanda solidariti di bawah semangat patriotisme
ii. Merangka deklarasi Mahasiswa Malaysia bersempena dengan kedatangan tahun baru 2011
iii. Memberikan mesej kepada masyarakat bahawa mahasiswa bersama-sama dengan masyarakat Malaysia
iv. Memberi gambaran kepada masyarakat bahawa segala tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa adalah berdasarkan rasa tanggungjawab terhadap Negara.
Menurut saudara Ahmad Shukri lagi, program itu akan diisi dengan acara melakar kain rentang bertemakan Jalur Gemilang, Pidato Mahasiswa 'berantai' dan pengisytiharan Deklarasi Mahasiswa 1.1.11
MPP Gabungan Mahasiswa UKM (MPP GMUKM) mengucapkan selamat berjaya kepada skuad bola sepak Kebangsaan yang bakal menghadapi perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta malam ini.
Umum mengetahui pasukan Malaysia hanya berada setapak daripada mencatat sejarah untuk menjulang mahkota kejuaraan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Piala Suzuki setelah mencatat 3 jaringan dalam perlawanan akhir pertama Ahad lalu.
Namun begitu, anak buah K. Rajagobal perlu berwaspada kerana apa-apa situasi boleh terjadi di Stadium Gelora Bung Karno Senayan, Jakarta malam ini. Biarpun Indonesia ketinggalan tiga gol di Stadium Bukit Jalil, akan tetapi para pemain Alfred Riedl jelas belum bersedia untuk mengibarkan bendera putih.
MPP GMUKM juga mengharapkan fokus skuad negara tidak terjejas biarpun berita dari seberang melaporkan beberapa orang penyokong Indonesia sengaja mencetuskan provokasi untuk mensabotaj persiapan skuad kebangsaan. Diharapkan mereka menghadapinya dengan tenang tanpa gementar.
BARISAN wira negara yang akan berjuang menjulang nama Malaysia di bumi Indonesia malam ini kecuali Amirulhadi Zainal (berdiri tiga dari kanan) dan Mahali Jasuli (depan dua dari kanan) yang terlepas aksi akibat menerima kad kuning kedua.
- - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - - -
Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) bersetuju dan sependapat dengan Datuk Mukhriz
Tun Dr Mahathir yang meminta mahasiswa-mahasiswi membandingkan apa yang telah dibuat oleh kerajaan di bawah pentadbiran
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). (Rujuk
SINI)
Gabungan Mahasiswa memahami kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini yang secara tersirat mengaku dan bersetuju, bahawa apabila negeri-negeri diperintah oleh parti-parti yang berlainan, maka kita akan dapat lihat dan menilai secara jujur parti mana yang memerintah negeri dengan lebih efisen dan efektif. Kenyataan Datuk Mukhriz ini juga bermaksud beliau bersetuju bahawa apabila monopoli pentadbiran negeri dan negara dipecahkan, (seperti yang terjadi pada Tsunami 08 Mac 08 dahulu ) maka rakyat negara akan dapat merasa dan melihat parti mana lebih jujur berpolitik.
Gabungan Mahasiswa juga memahami kenyataan Datuk Mukhriz ini bahawa beliau secara tersirat cuba mengajak rakan-rakan komponen BN untuk kembali ke pangkal jalan. Ini kerana, beliau secara tersirat mengingatkan mahasiswa-mahasiswi IPT bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh komponen BN kini sebenarnya mengalami masalah amalan rasuah yang kian meruncing berbanding negeri-negeri PR sepertimana yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara untuk Laporan Tahunan 2009 , akhir bulan Oktober lalu. Malahan umum sudah mengetahui kerajaan negeri Kelantan yang beralih pentadbiran sejak 1990 sudah bersih daripada amalan korupsi dan nepotisme yang kini juga diikuti tiga buah negeri seterusnya.
Gabungan Mahasiswa juga menyedari bahawa rancangan realiti 'Bersamamu' yang disiarkan di TV3, seringkali terpaksa memaparkan kisah-kisah kemiskinan dan kesulitan rakyat-rakyat negeri yang telah diperintah secara monopoli dan sekian lama seperti di Sabah dan Pahang akibat permasalahan-permasalahan yang dibangkitkan oleh Datuk Mukhriz tersebut. Ini bersamaan dengan Indeks Kemiskinan Rakyat Malaysia yang cuba disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu. Sebagai rujukan, sila lihat gambar di bawah.
Justeru itu, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dengan ini jelas bersetuju dan mengakui secara jujurnya bahawa pandangan Datuk Mukhriz Tun Mahathir adalah tepat dan benar bahawa rakan-rakan mahasiswa di IPT-IPT seluruh Malaysia perlu melihat kembali dan menilai sejujur-jujurnya akan keadaan semasa negeri-negeri dan membandingkannya seterusnya bertindak sebagai ejen perubahan masyarakat dan negeri tersebut.
Tarikh : 23 Disember 2010
Ber-GM Lebih Baik!
BANGI, 29 NOV : MPP Gabungan Mahsiswa UKM (GMUKM) amat prihatin dan memandang berat akan situasi tegang dan kurang senang di Semenanjung Korea ekoran ketegangan yang timbul antara Korea Utara dan Korea Selatan yang kelihatan semakin memuncak selepas tentera Korea Utara membedil pulau Yeonpyeong Sharp pada 23 November lalu dan telah mengakibatkan empat orang terbunuh. Kita mengambil sikap menggesa semua pihak di segenap peringkat antarabangsa yang berauthoriti agar cakna dan prihatin serta berusaha mengelak tindakan yang boleh memburukkan keadaan lagi.
Kita amat bersetuju dengan Datuk Seri Anifah Aman selaku Menteri Luar Malaysia yang menyarankan supaya semua pihak berusaha ke arah langkah membina kembali kepercayaan dan keyakinan ekoran kelihatan dua faktor tersebut langsung tidak wujud di antara pihak-pihak yang bertelagah kini.
Kita di peringkat MPP GMUKM juga berpandangan yang sama dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru negara-negara kuasa besar yang mempunyai kuasa veto di PBB seperti Amerika Syarikat dan China memainkan peranan bagi meredakan keadaan di Semenanjung Korea tersebut. Kedua-dua negara berkenaan jelas mempunyai pengaruh besar yang masing-masing yang boleh membawa kepada usaha memulihkan konflik dan ketegangan di rantau tersebut.
Ini selaras dengan pandangan Wisma Putra yang berpendapat sebarang ketegangan di mana-mana rantau di dunia ini akan turut menjejaskan kemakmuran rantau ASEAN ini ekoran isu keselamatan dunia kini bukan lagi bersikap eksklusif, tetapi jelas adalah masalah inklusif semua negara dunia pada era globalisasi hari ini.
Untuk rekod, insiden ketegangan di antara Korea Utara dan Korea Selatan yang bermula di pulau Yeonpyeong Sharp pada 23 November lalu sehingga kini masih belum selesai. Dikhuatiri ketegangan ini turut akan menyebabkan banyak aktiviti di kedua-dua negara dan negara-negara sekeliling terganggu akibat ketegangan tersebut.
Dikeluarkan Oleh :
Unit Media & Penerangan
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
Gabungan Mahasiswa UKM
http://pm-ukm.blogspot.com