PUTRAJAYA, 29 Julai: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mendesak kerajaan Malaysia meneliti kes pembuangan pelajar Malaysia di Mesir kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.
Seorang pelajar Darul Ifta', Firdaus Mazlan dibuang universiti kerana disyaki menjadi penggerak kepada perhimpunan Bersih 2.0 di Mesir sedangkan beliau merupakan pelajar semester akhir.
Desakan tersebut dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Wisma Putra Kementerian Luar Negeri, dekat sini hari ini.
Memorandum tersebut turut membantah tindakan Jabatan Penuntut Mahasiswa Kaherah (JPMK) yang mengambil tindakan menarik balik biasiswa terhadap mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.
Selain itu, Gamis juga membantah tindakan kedutaan Malaysia yang ingin mengharamkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kerana didakwa menghasut mahasiswa menyertai perhimpunan Bersih 2.0.
Naib Presiden Korporat dan Pengantarabangsaan Gamis, Abdul Razak Omar berkata, Gamis tidak mahu isu kebajikan pelajar Malaysia di luar negara dicemari dengan campur tangan politik.
"PMRAM hanyalah sebuah badan yang menguruskan kebajikan pelajar Malaysia di Mesir, tidak ada campur tangan politik. Kami tidak mahu isu kebajikan pelajar dilibatkan dalam mana-mana isu politik," kata beliau selepas penyerahan memorandum tersebut.
Sehubungan itu, Gamis menggesa Wisma Putra membuat kenyataan secara terbuka berhubung pendirian mereka dalam isu melibatkan mahasiswa ini.
"Kita minta Wisma membuat respons melalui media mengenai tuntutan kita dan nyatakan pendirian mereka," katanya.
Tiada laporan daripada kedutaan
Sementara itu, Razak berkata, pihak Wisma Putra memberitahu Gamis bahawa mereka tidak menerima laporan daripada Kedutaan Malaysia di Mesir berhubung perkara ini.
Mereka juga mendakwa kes buang universiti dan kebajikan mahasiswa terletak di bawah tanggungjawab KPT.
"Kami minta Wisma Putra berbincang dengan pihak KPT mengenai perkara ini," katanya.
Sementara itu, setiausahanya, Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memainkan peranan dalam kes melibatkan kebajikan mahasiswa Malaysia di luar negara.
"Selain menunggu maklum balas daripada pihak Wisma Putra berhubung tuntutan kami, Gamis juga akan menyerahkan memorandum ini ke KPT dan memohon KPT campur tangan," katanya.
Selain itu, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan majlis solat hajat melibatkan mahasiswa Islam di seluruh kampus di negara ini sempena Ramadhan ini.
"Kami akan mengambil tindakan selanjutnya dengan mengadakan majlis solat hajat besar-besaran dan berdoa agar tekanan terhadap semua mahasiswa kita di Mesir dihentikan dan dapat meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah," katanya.
Turut bersama dalam penyerahan itu ialah Naib Presiden Gamis, Azahal Bangsawan, Ketua Penerangan, Mohd Yusof Hadhari, Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan, Mohd Ridhuan Che Hussein.
Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dan Kumpulan Anak Muda Sayang Malaysia hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berhubung seruannya kepada masyarakat Cina supaya menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 2.0.
Laporan itu dibuat oleh Muhammad Zaki Sukery Timbalan Presiden GAMIS juga Jurucakap Anak Muda Sayang Malaysia di balai polis Travers pada jam 2.05 petang ini.
Beliau turut diiringi beberapa anggota Kumpulan Anak Muda Sayang Malaysia termasuk Naib Presiden Gamis, Abdul Razak, ketua penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari, Presiden SMM, Ahmad Syukri Abd Razab serta Presiden PMI UPM, Hazim Mohd Noh.
Dalam laporan polis itu, Muhammad Zaki mendakwa Ibrahim telah mengeluarkan kata-kata yang didakwa berbaur hasutan yang berunsurkan keganasan yang ditujukan secara khusus kepada kaum Cina apabila mengarahkan mereka jangan keluar rumah dan perlu menyimpan stok makanan dirumah jika perhimpunan BERSIh tidak dibatalkan.
Kenyataan tersebut dibuat sewaktu pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu.
"Saya memandang bahawa kenyataan provokasi dan berbaur hasutan daripada PERKASA, terutamanya daripada Presidennya, Datuk Ibrahim Ali ialah kenyataan yang pre-matang, tidak berpijak di alam realiti dan mahu menganggu ketenteraman awam dalam negara. Kenyataan yang dibuat juga berbaur rasis dan cuba mencetuskan ketegangan antara kaum seterusnya membuktikan bahawa bukan BERSIH sebaliknya PERKASA yang sebenarnya mahu menimbulkan kekecohan dan kacau-bilau dalam negara," katanya.
Dalam laporan itu, Muhammad Zaki mendakwa perbuatan Ibrahim adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.
"Kami dengan ini menuntut agar Ibrahim Ali Presiden PERKASA supaya disiasat dan dikenakan hukuman sewajarnya supaya kenyataan-kenyataan sebegini tidak lagi berulang pada masa depan." Katanya lagi.
Seksyen tersebut merujuk kepada perbuatan, mengedar atau membuat kenyataan yang berbentuk hasutan dan mengajak membuat jenayah.
Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (Gamis) melancarkan kempen “Anak Muda Sayang Malaysia”. Kempen tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan anak muda dan juga kebolehan anak muda dalam mencorak masa depan Malaysia.
Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari menyatakan bahawa “Anak Muda Sayang Malaysia” merupakan jenama yang kita bawakan untuk masyarakat khususnya, untuk anak muda turun bersama dengan masyarakat, dalam pelbagai bentuk inisiatif termasuk pogram-pogram yang telah kita rancangkan. Baru-baru ini kita turun di bangi dalam satu bentuk forum bertajuk “Sinergi Kasih Ibu” sebagai memperingati Hari Ibu kita sambut beberapa hari yang lalu.
Tambahnya lagi, kita sudah susun beberapa bentuk pogram susulan serta berperingkat. Kita harapkan keterlibatan anak muda akan lebih bertambah dan kita juga harapkan penerimaan baik masyarakat Malaysia terhadap usaha yang anak muda lakukan ini. Kita juga baru sahaja melancarkan laman blog dan fecebook khas sebagai rujukan dan juga sebagai media untuk anak muda lontarkan pandangan.
Dia menambah bahawa anak muda perlu ada media tersendiri untuk lontarkan pandangan dan kritikan kepada kerajaan negeri dan juga pusat. Pihak atasan perlu mendengar dan memberi ruang untuk anak muda bersama mencorak masa depan Negara.
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru mahasiwa supaya hadir ‘Hari Kemarahan Rakyat’ di Masjid Negara esok bagi menyatakan anak muda menolak politik fitnah dan jijik.

Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari berkata seluruh mahasiswa wajar untuk turut sertai perhimpunan itu, bagi menyatakan pendirian sebagai anak muda yang menolak sama sekali politik fitnah dan jijik yang kian parah serta menjadi permainan dalam pentas politik negara sekarang ini.
“Saya yakin dan percaya, kehadiran mahasiswa esok akan memberikan mesej yang jelas kepada kerajaan dan juga masyarakat bahawa mahasiswa dan anak muda tegas menolak budaya politik kotor dan inginkan kembalinya nilai-nilai kebaikan dalam berpolitik iaitu kembali kepada politik Islam.
“Oleh itu, saya selaku Ketua Penerangan Gamis menggesa dan menyeru mahasiswa dan anak muda sekitar Lembah Klang terutamanya dan seluruh mahasiswa yang lain bergabung tenaga dan bersama turun menyatakan pendirian kita,” tegasnya.
Menurutnya, isu yang cuba dibawa oleh Datuk Eskay Shazryl Abdullah semasa melafazkan sumpah di Masjid Amru Al-As baru-baru ini termasuk dalam hukum qazaf dan bukannya mubahalah.
"Kerajaan harus terlibat secara langsung bagi menegakkan hukum Islam yang menjadi tuntutan, kerana keengganan untuk melaksanakan hukuman tersebut membawa kepada padah seperti mana yang berlaku sekarang ini,” tegas beliau.
‘Hari Kemarahan Rakyat’ anjuran Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf), Angkatan Muda Keadilan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Masjid Negara, esok.
Program tersebut akan bermula jam 12 tengah hari dengan mengumpulkan kesemua NGO dan demonstrasi akan bermula selesai solat Jumaat.
Uni. Malaya, 5.2 : Saya seorang mahasiswa tahun 3, daripada Universiti Malaya melahirkan rasa amat kesal dengan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi kali ini.
Sebelum ini, saya merupakan salah seorang yang mengundi calon Pro-Mahasiswa yang telah memenangi kerusi MPMUM pada sesi kali ini. Saya mengundi mereka dengan harapan mereka akan membawa perubahan yang besar dalam Universiti Malaya ini.

Namun, sehingga kini, setelah mereka memenangi kerusi MPMUM hampir 3 bulan, saya merasakan mereka tidak melakukan apa-apa untuk menjaga kebajikan kami di peringkat mahasiswa.
Apa yang saya dapati, mereka lebih sibuk melakukan program bersama mahasiswa Indonesia yang saya kira tidak membawa apa-apa manfaat pun kepada kami di peringkat mahasiswa Universiti Malaya. Ibarat kera dihutan disusukan anak di rumah mati kelaparan.
Sehingga kini, rintihan kami mengenai isu kelewatan bas, kecurian di kolej dan harga yuran yang mahal seolah dipandang sepi oleh MPMUM. Walhal, kamilah dahulu yang bertungkus lumus berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangkan mereka pada pilihan raya lepas.
Saya dapati ia tiada beza dengan MPMUM sesi-sesi yang lepas. Malahan saya kira MPMUM sesi kali ini lebih teruk. Jadi tidak hairanlah ramai mahasiswa kini yang tidak berminat lagi dengan politik kampus disebabkan perkara ini.
Perkara ini juga disiarkan di portal
Malaysiakini. dan luahan ini dilihat satu tamparan hebat kepada kepimpinan Mohd Syahid Mohd Zaini.
Mutakhir ini kita melihat negara semakin dihimpit dengan sikap politik kotor yang dangkal dan jijik mainan pemimpin yang hanya mahu terus kekal berkuasa.
Saban hari, hampir keseluruhan media menyajikan hidangan pemikiran kotor kepada generasi muda untuk menggambarkan suasana sebenar politik negara.
Media yang dikawal secara jelas dan berterusan menjadi boneka menjalankan propaganda liar yang tidak matang untuk ditatap oleh anak muda yang akhirnya menjejaskan kualiti generasi hari ini.
Perancangan anak muda terbantut apabila kehidupan diasak hebat dengan cara pemerintah mentadbir urusan rakyat. Ia sebenarnya adalah bukti beban dan punca masalah generasi ini.
Kos sara hidup yang meningkat, hutang yang semakin membebankan, keadaan dan persekitaran semasa yang tidak memberikan jaminan keselamatan memberi gambaran kepada generasi muda bahawa harapan untuk mempunyai sebuah kehidupan yang bernilai pada masa hadapan pudar dan lenyap.
Peningkatan masalah sosial dan akidah remaja semakin teruk dan membimbangkan. Saban hari muncul permasalahan baru dikalangan remaja yang dilaporkan.
Namun, ia hanya menjadi topik perbualan pinggiran dan tidak dibahaskan secara serius yang akhirnya meletakkan nasib mereka seolah-olah sedang diperjudi dan digadaikan atas nama kuasa.
Anak muda disajikan dengan hiburan yang terus melalaikan dari memikirkan kedudukan dan peranan mereka dalam sebuah negara yang bertamadun.
Manakala, pemerintah dilihat lebih senang melihat generasi ini untuk lalai dan tidak memikirkan langsung usaha meningkatkan kualiti kehidupan, yang seharusnya digarap melalui pendidikan, tahap kefahaman agama dan nilai kemasyarakatan yang lebih bertanggungjawab.
Namun, perkara yang penting dan perlu diberikan perhatian ialah nasib dan hala tuju generasi muda.
Tumpuan dan perhatian khusus kepada generasi ini perlu diberikan sehabis daya dengan fokus, kerana generasi ini adalah insan yang akan meneruskan perjuangan pada masa akan datang.
Sekiranya kerajaan masih meneruskan lanskap politik dinegara ini secara semberono dan membabi buta, apakah yang menjadi harapan kita untuk melihat generasi muda mencipta sebuah perubahan?
Kerana itulah anak muda keseluruhannya diseru untuk melakukan perubahan agar dilihat sebagai suatu kumpulan pendesak yang digeruni oleh pemerintah yang tidak tahu dan menghormati hak generasi ini untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik dan terjamin.
Ayuh anak muda kita berubah !!!
ALOR SETAR, 25 April: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak digesa memohon maaf kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati dan menghina pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Desakan itu dibuat mahasiswa berikutan kenyataan lantang Mohamed Mustafa yang menyifatkan Ustaz Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.
Dalam satu kenyataan, mahasiswa UUM memandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu yang jelas menghina Menteri Besar selaku tuan rumah.
Bagi mereka, kerajaan negeri berhak menerima atau menolak permohonan rebat cukai tanah. Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah.
“Seharusnya kita sebagai seorang Islam harus memandang tinggi institusi agama seperti ini kerana ia telah banyak menyumbang dalam melahirkan para alim ulamak di Malaysia sehingga kini,” kata wakil mahasiswa UUM.
Mahasiswa UUM juga berharap agar pihak atasan universiti bersikap lebih profesional dalam menyelesaikan isu-isu yang berlaku tanpa melibatkan kepentingan politik pihak tertentu.
Mahasiswa juga berpandangan UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang jauh lebih baik dan ia merupakan institusi terpenting dalam peneyebaran ilmu Islam di Malaysia sejak daru dahulu lagi.
Mengulas mengenai kenyataan Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.
“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.
Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.
Menurutnya, kewibawaan Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang IPT.
“Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di UKM, selain antara pengasas UIA dan menubuhkan fakulti syariah dan undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.
KUALA LUMPUR, 25 April: Dua mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang digantung satu semester bermula akhir Mac lalu atas dakwaan memalsukan dokumen cuti sakit hari ini bebas daripada pertuduhan tersebut.
Pihak Jawatankuasa Rayuan UM mengeluarkan keputusan rasmi hari ini setelah sebulan keputusan tersebut tergantung.
Selain digantung pengajian selama satu semester, Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee, masing-masing penuntut Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera sebelum ini juga dikehendaki membayar denda RM200 kerana didakwa memalsukan dokumen cuti sakit yang dikemukakan bagi tujuan pengecualian menghadiri bengkel persediaan calon yang dilaksanakan pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) pada fasa pilihan raya lepas.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), Mohd Syahid Mohd Zaini, pihaknya akan berusaha membantu mendapatkan slip peperiksaan bagi kedua-duanya bagi membolehkan mereka mengambil peperiksaan akhir semester seperti biasa.
"Pihak MPMUM akan bertindak segera membantu mereka mendapatkan slip peperiksaan supaya mereka boleh menjalani peperiksaan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Syahid juga berkata, memandangkan Tiong merupakan salah seorang ahli jawatankuasa MPMUM sebelum ini, namanya akan diserapkan kembali ke organisasi MPMUM.
Beliau turut menyatakan rasa gembira dengan keputusan itu dan berkata ianya membuktikan kedua-dua mahasiswa tersebut tidak bersalah.
"Keputusan ini di luar jangkaan kami dan saya amat gembira dengan keputusan ini dan sekali gus membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.
"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua mahasiswa yang memberikan sokongan kepada mereka sehingga kes ini selesai," katanya.
Sebelum ini, Pro Mahasiswa (Pro M) UM mendesak pihak pentadbiran universiti menarik semula hukuman tatatertib ke atas kedua-duanya.
Mereka turut mempertikai prosedur mahkamah universiti yang dilaksanakan terhadap kedua-duanya apabila mereka tidak boleh membawa sesiapa kecuali diwakili pekerja atau pelajar sedangkan mereka mempunyai saksi yang boleh membantu dalam sesi pembelaan.
SERDANG, 23 April: Lebih 40 mahasiswa, termasuk 9 ahli Pro Mahasiswa (Pro M) disingkirkan dari Kolej Kediaman Kedua Universiti Putra Malaysia (UPM) tanpa sebab yang munasabah walaupun masing-masing memenuhi merit minimum iaitu 60 mata untuk menghuni di kolej tersebut.
Antara ahli Pro M yang disingkirkan termasuk mereka yang mempunyai lebih 100 merit.
Seorang pemimpin mahasiswa yang enggan namanya disiarkan mendakwa pengetua di kolej tersebut merupakan dalang di sebalik tindakan tidak berperundangan tersebut.
Katanya lagi, pengetua sejak seminggu yang lalu secara tidak bertanggungjawab sanggup menghilangkan diri ketika diminta menjelaskan motif penyahsenaraian mahasiswa terbabit dari menghuni di kolej tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, beliau turut dipertikai kerana menawarkan kediaman dalam universiti kepada seorang pelajar pro Aspirasi walaupun siswi itu hanya mempunyai 52 merit. Dia juga menganggotai MPP sesi 2011/2012.
Pengetua kolej itu merupakan penyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM yang boleh dihubungi melalui telefon pejabat 03-89467357.
Kolej tersebut boleh menampung melebihi 350 penghuni, namun sehingga kini khabarnya masih banyak tempat dikosongkan.
Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran nyata yang dilakukan oleh kerajaan.
Menurut Ketua Penerangan GAMIS Pusat, Mohd Yusof Hadhari , rakyat melihat hari ini, pelbagai penyedia perkhidmatan e-mel percuma seperti Yahoo, Gmail, Hotmail dan lain-lain sedangkan kini kerajaan Malaysia dengan murah hati menyediakan RM50 juta untuk perkhidmatan emel tambahan kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.
“Emel@1Malaysia dikhabarkan akan diguna bagi urusan menghantar bil dan sebagainya. Jadi, apa perlunya kerajaan berbelanja RM50 juta untuk memperkenalkan e-mel 1Malaysia?
“Adakah untuk mengintai maklumat peribadi pengguna emel yang berurusan dengan kerajaan?” soalnya.
Menurutnya lagi, lebih meragukan, apabila kontrak bagi menyediakan perkhidmatan e-mel 1Malaysia ini diberikan kepada sebuah syarikat IT tempatan, Tricubes Berhad yang sedang menghadapi masalah kewangan dan juga sebuah syarikat yang mempunyai rekod kewangan yang buruk.
“Saya kira RM50 juta satu nilai yang cukup tinggi, projek emel 1Malaysia ini jelas kepada kita satu projek yang tidak munasabah dan merupakan pembaziran paling nyata jika diteruskan juga.
“Saya cadangkan supaya RM50 juta itu di salurkan atau ditambah dalam dana pendidikan. Sepertimana yang kita maklum, biaya pendidikan yang harus ditanggung para mahasiswa kini semakin membengkak,” ujarnya.
Gamis juga, katanya mengharapkan kerajaan akan menimbang semula cadangan untuk menyediakan akaun e-mel 1Malaysia tersebut.

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) membidas tuduhan yang dilemparkan oleh beberapa pihak mengenai mahasiswa/wi Malaysia yang menuntut pengajian di Mesir khususnya di Universiti Al-Azhar lemah dalam berbahasa Arab.
Baru-baru ini juga kenyataan tersebut dimainkan di peringkat Malaysia apabila Datuk Khalid Nordin, Menteri Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan peperiksaan kelayakan (Imtihan Qabul) akan diadakan di Malaysia bagi mana-mana individu yang mahu melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.
Tuduhan tersebut telah menimbulkan kontroversi ramai pihak kerana ia melibatkan imej dan kredibiliti Universiti Al-Azhar yang bertaraf dunia dan merupakan pusat ilmu bagi Umat Islam.
Hal ini demikian kerana universiti yang telah melahirkan ribuan ulama terkini seolah-olah gagal dalam menyampaikan ilmu Islam yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Arab.
Tambahan pula, tuduhan tersebut menyatakan bahawa mahasiswa/wi Malaysia yang berada di Mesir 'malas' ekoran pengangkutan yang susah didapati dan pensyarah yang mengajar tidak menggunakan bahasa Arab yang fasih sebaliknya menggunakan bahasa Arab tempatan (lahjah ammiah).
PMRAM memandang tuduhan tersebut adalah tidak tepat kerana ia tidak mengambarkan suasana sebenar bagi penuntut-penuntut Universiti Al-Azhar di Mesir. Sedangkan sejak akhir-akhir ini kita melihat kebanyakkan kelas-kelas pengajian sama ada yang dilangsungkan di kuliah mahupun di luar kuliah didominasi oleh penuntut-penuntut Malaysia.
Begitu juga, kelas-kelas tafaqquh yang dianjurkan di peringkat negeri masing-masing makin bertambah. Ini jelas membuktikan budaya cintakan ilmu makin menebal dalam jiwa mahasiswa/wi Malaysia di sini.
Kegagalan penuntut-penuntut Malaysia menghabiskan pengajian mereka di Al-Azhar dalam jangka masa 4 tahun tidak boleh dijadikan bukti bahawa mereka ini lemah bahasa Arab. Sedangkan sistem pengajian dan peperiksaan ini amat berbeza dengan sistem yang digunapakai di negara kita. Justeru adalah tidak adil sekiranya kita melihat perkara tersebut sebagai ukuran utama bagi membuktikan kelemahan mereka dalam bahasa Arab.
PMRAM yang merupakan persatuan induk pelajar-pelajar Malaysia di sini sudah sekian lama mengambil inisiatif membantu pelajar dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan juga kecemerlangan akademik.
Pelbagai program yang menjurus ke arah tujuan tersebut telah dilaksanakan saban tahun antaranya ialah :
1) Mengadakan pengajian ilmiah bersama para Ulama'-Ulama' besar Al-Azhar
3) Mengadakan Majlis Pembacaan Hadis Kutub Sittah bersama Ulama’ Al-Azhar
4) Melaksanakan kelas tutorial berpusat dan memantau perjalanan study group di kalangan ahli
5) Mengadakan bengkel cara-cara menjawab soalan kepada mahasiswa baru
6) Mengadakan peperiksaan Pra-Imtihan Qabul sebagai medan latihan untuk menguji dan mengenalpasti tahap pencapaian mahasiswa baru sebelum menduduki Imtihan Qabul yang sebenar.
7) Mengadakan kelas tafaqquh khas bagi pelajar yang gagal dalam Imtihan Qabul.
8) Polisi persatuan yang menjadikan hari Jumaat sebagai hari berbahasa Arab.
9) Bekerjasama dengan markaz-markaz bahasa di Kaherah dalam melaksanakan kelas pengukuhan bahasa Arab
Justeru, PMRAM amat mengharapkan agar semua pihak mengkaji dan menilai semula fakta mengenai dakwaan yang dilemparkan serta lebih banyak membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk terus belajar di bumi Mesir ini seterusnya dapat mencurahkan bakti kepada negara sekembalinya ke tanah air kelak.
wacana SISWARAKYAT
" tolak politik jijik "
GAMIS akan bawakan wacana politik negara dengan panel :
panel 1 : Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin ( Pensyarah USM, Bekas MUFTI)
panel 2 : Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dato' Dusuki ( Naib Presiden PERKASA )
panel 3 : Dr Zuhdi Marzuki ( Pengarah Institut Kajian Dasar DPPP )
moderator : Ahmad syazwan (presiden GAMIS)
Tarikh: 14/4/2011
Masa : 7 malam
Tempat : dewan MBPJ petaling jaya
Dimulakan dengan solat hajat, dan kuliah maghrib bersama Bob Lokman
Anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Hubungi : Ustaz Nazri (0133566430)
Apabila disebutkan politik, ramai khalayak menghalakan maksudnya kepada parti politik. Kefahaman awam secara dasarnya masih kabur dan kurang jelas dengan definisi politik dan parti politik. Sudah semestinya, politik adalah sesuatu yang berbeza maknanya dan mempunyai skop yang lebih luas.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (www.dbp.gov.my), Politik adalah segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah Negara atau hubungannya dengan negara lain. Walaupun ia biasanya digunakan untuk merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh di dapati di dalam bidang korporat, akademik dan lain-lain. Secara sedar atau tidak, setiap hari kita sebagai insan berpolitik. Dari bangunnya kita di pagi hari sehinggalah tidurnya kita di malam hari.
Secara literalnya, Parti Politik bermaksud satu golongan (kumpulan) orang yang bergerak untuk tujuan (dasar dll) yg sama dalam politik. Parti politik juga boleh difahamkan sebagai suatu pertubuhan politik di mana ahlinya mempunyai ideologi serta agendanya tersendiri. Secara jelas, tujuan parti politik ditubuhkan adalah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi parti yang memerintah. Dengan menjadi parti pemerintah, penerapan ideologi dan agendanya dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. Mandat yang diberikan oleh rakyat bermakna rakyat yakin dan percaya dengan agenda dan pembawaan sesuatu parti, sama ada parti itu baru ataupun lama.
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Maksud demokrasi yang mudah difahami di zaman moden ini ialah “form of government, where a constitution guarantees basic personal and political rights, fair and free elections, and independent courts of law” (satu bentuk kerajaan, di mana perlembagannya menjamin hak asasi dan hak politik, pilihanraya yang adil dan badan kehakiman yang bebas). Ini bermaksud, kewujudan pihak pembangkang adalah sesuatu yang biasa di dalam sesebuah sistem demokrasi. Berlawanan pula dengan konsep kerajaan secara Totalitarian, yang menganggap pembangkang adalah musuh dan patut dihapuskan.
Pembangkang di dalam sesebuah sistem demokrasi ialah merupakan satu kumpulan pengimbang yang mengimbangi kuasa kerajaan. Parti memerintah sebagai kerajaan, akan bertindak dengan lunas-lunas yang akan menjamin kesejahteraan rakyat dari semasa ke semasa. Jika kerajaan gagal menangani sesuatu masalah atau mendatangkan satu cadangan yang baik, maka pembangkang akan mengisi kelompongan ini secara tidak langsung. Baik atau tidak cadangan dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, hanya rakyat yang menilai. Pernilaian berterusan akan berlaku di pihak rakyat jelata dan bila mana tiba pilihanraya bagi memilih kerajaan setiap lima tahun, segala perkara ini akan ditimbang bagi memilih kerajaan seterusnya. Adakah terus kekal dengan parti pemerintah yang sedia ada atau memilih parti pembangkang bagi menjadi kerajaan seterusnya, pilihannya di tangan rakyat.
Kami, di pihak Pro-Mahasiswa melihat mahasiswa sepatutnya menjadi kuasa ketiga (third force) di Malaysia. Mahasiswa berupaya mengkritik pihak kerajaan dan pada masa yang sama membidas pihak pembangkang. Suara mahasiswa wakil suara marhaen, suara jerih perit rakyat yang berupaya menentukan kerajaan di masa depan dengan memobilasi kekuatan. Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada mahasiswanya. Jika lemah, layu dan longlai, maka masa depan negara itu akan kelihatan suram dan kelam. Sebaliknya, jika mahasiswanya lantang, bersemangat dan berpendirian, maka kekuatan dan keampuhan negara masa depan akan mulai terbentuk.
Mahasiswa hari ini adalah pemimpin pada masa depan. Pemimpin-pemimpin yang hebat pada hari ini lahir daripada kepimpinan di peringkat kampus. Dato’ Saifuddin Abdullah, Dato’ Ibrahim Ali, Dato’ Seri Shabery Chik, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah nama-nama yang pernah menghiasi gerakan mahasiswa di kampus di sekitar tahun 60an dan 70an. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah (www.saifuddinabdullah.com.my) pernah mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa jangan memperkecilkan suara mahasiswa. Tumbangnya kerajaan Tunisia dan Mesir adalah dari satu revolusi yang digerakkan oleh mahasiswanya.
Sebagai kesimpulannya, kerajaan, parti politik dan mahasiswa adalah tiga elemen yang digaulkan bersekali namun tidak pernah bercampur. Kerajaan itu penting untuk memimpin sesebuah negara. Parti pembangkang itu penting bagi mengimbangi kuasa yang dipunyai oleh parti pemerintah. Mahasiswa atau anak muda yang terpelajar adalah unsur paling penting bagi menjamin kemandirian sesebuah negara di masa depan.
sumber : http://promahasiswauthm.blogspot.com/
KAHERAH, 29 Mac - Seorang mahasiswi telah diacukan sebilah pisau ketika sedang menunggu kawannya di luar rumah sewa yang berdekatan dengan Kompleks Haiyyu A'syir pagi tadi.
Kejadian berlaku diantara jam 7.30 sehingga 8.30 pagi ketika beliau sedang menelefon kawannya dan telah didatangi dua orang lelaki asing yang berada tidak jauh dengannya.
Ketika dihubungi wakil pelajar tersebut, mangsa telah menyedari yang lelaki terbabit sedang memegang sebilah pisau dan apabila mangsa menjerit meminta tolong mereka terus mengacukan pisau kepadanya, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa dan kemudian telefonnya dirampas. Mangsa kini dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.
Berikutan kejadian ini, HEWI PMRAM Pusat menasihatkan agar mahasiswi agar lebih berhati-hati ketika berada di dalam mahupun diluar rumah. Diingatkan juga mengikuti pekeliling keselamatan yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Secara peribadi, saya merasakan isu cadangan untuk membina loji nuklear di Malaysia perlu dinilai secara adil oleh semua pihak. Hal ini perlu dinilai tanpa sebarang prejudis fahaman politik. Semua pihak perlu menilai secara halus berkenaan Pro dan Kontra cadangan tersebut. Hanya kerana Tsunami yang berlaku di jepun, pelbagai idea pesimis menerjah ruang media biarpun isu sebenar belum diperjelaskan oleh pihak kerajaan.
Nilai Isu Secara Adil
Saya juga terbaca beberapa pandangan yang bagi saya amat tidak wajar untuk dijadikan hujah dalam menafikan cadangan kerajaan untuk membina loji jana kuasa nuklear di Malaysia. Salah satu hujah yang menarik minat saya ialah terdapat pihak yang cuba mengaitkan peristiwa bumbung stadium runtuh sebagai kayu ukur dalam meragui keupayaan Malaysia untuk mengembangkan teknologi nuklear. Bagi saya, hujah ini adalah tidak adil dan terlalu bersifat prejudis terhadap kerajaan Malaysia. Mengapa tidak kita jadikan kehebatan binaan Putrajaya, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar, Terowong SMART, dan perlbagai lagi projek mega kerajaan sebagai bukti Malaysia mampu merialisasikan cadangan loji nuklear ini. Saya kira perbandingan bumbung stadium runtuh ini adalah satu usaha propaganda pihak tertentu dalam membina persepsi negatif rakyat tanpa berlatarkan hujah ilmiah. Jika pun ingin mempertikaikan kemampuan Malaysia berhubung isu ini, mestilah berdasarkan fakta yang jelas menunujukkan kelemahan Malaysia dalam mengurus teknologi baru.
Mahasiswa Perlu Fokus Kepada Isu Sebenar Dan Bukan Propaganda
Saya merasakan mahasiswa sewajarnya memberi tambahan maklumat terhadap fokus perbincangan dan bukan sekadar bermain disekitar pesemisme terhadap isu. Saya kira ada beberapa isu yang sepatutnya menjadi tumpuan untuk mahasiswa memberi input tambahan untuk dipertimbangkan semua pihak. Antaranya isu keselamatan, isu kos, dan isu tenaga pakar dalam negara. Mahasiswa sewajarnya mampu memberi cadangan yang praktikal untuk ditimbang tara oleh pihak yang berkaitan. Dalam isu keselamatan misalnya, Kerajaan perlu memberi jaminan secara terperinci mengenai mekanisme keselamatan sekiranya pembinaan janakuasa nuklear dijalankan. Bukan sekadar keselamatan proses janakuasa, tetapi juga sektor keselamatan terhadap bahaya luar jangka. Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa ancaman bencana alam seperti di jepun tidak mungkin berlaku di Malaysia. Dalam masa yang sama kerajaan sendiri masih gagal memberi penjelasan kepada rakyat berhubung gegaran kecil yang semakin kerap berlaku di Malaysia.
Menyentuh kos pula, dibandingkan dengan janakuasa minyak dan nuklear, ternyata kos untuk mendapatkan rod uranium adalah terlalu mahal disamping kos pembinaan reaktor janakuasa yang sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan sistem janakuasa sedia ada. Dalam keadaan ekonomi negara yang masih tidak stabil, apakah wajar kerajaan membelanjakan kewangan yang besar untuk pembinaan loji nuklear ini sedangkan sumber tenaga sedia ada masih mampu menampung keperluan negara. Saya kira, dengan peruntukan yang sebegitu besar lebih sesuai digunakan untuk menaiktaraf sektor-sektor yang boleh memberi kesan terus kepada ekonomi negara seperti sektor pertanian dan mengemaskini serta menaiktaraf industri petroleum.
Biar Rakyat Jadi Hakim
Dalam isu pembinaan loji nuklear 2023 ini, saya kira rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk memperjelaskan mengenai cadangan tersebut secara terperinci. Hanya dengan cara itu segenap lapisan rakyat akan lebih memahami mengenai latar dasar cadangan dan gambaran keseluruhan idea janakuasa nuklear tersebut. Saya juga mengharapkan agar tidak ada pihak yang membuat provokasi murahan bagi membangkitkan persepsi negatif rakyat terhadap usaha pihak kerajaan ini. Setelah rakyat benar-benar memahami, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menerima apa juga pandangan dan kehendak rakyat mengenai cadangan tersebut.
Saya juga mengingatkan pihak kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan dengan melaksanakan dasar-dasar yang membelakangkan rakyat. Isu PPSMI adalah pengajaran terbaik untuk pihak kerajaan mengambil iktibar agar setiap dasar yang ingin diputuskan oleh kabinet mestilah mengutamakan kehendak rakyat.
Ahmad Syukri Ab Razab
Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis.
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Persidangan Dewan Rakyat hari ini didedahkan dengan beberapa penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya kampus (PRK) di beberapa buah universiti baru-baru ini, terutama di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Antara penyelewengan yang berlaku di UM termasuklah penggantungan kemenangan dua calon Pro Mahasiswa (Pro-M) sehingga 23 hari yang terdiri daripada Mastura Abu Bakar dan seorang calon berketurunan Cina.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (kiri) ketika membangkitkan perkara itu berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas bertentangan dengan peraturan yang terdapat dalam Buku Tata Tertib yang digunakan oleh pihak pentadbiran UM sendiri.
Menurut beliau, perkara seperti itu tidak boleh dibiarkan kerana ia bukan sekadar mengganggu perjalanan demokrasi kampus, tetapi juga memperlihatkan sikap pihak pentadbiran universiti yang tidak adil dalam pengurusan PRK di IPT.
"Kalau mereka benar-benar bersalah, sudah sepatutnya mereka menerima tindakan, tetapi kejadian yang berlaku itu jelas memperlihatkan tindakan yang tidak sepatutnya yang dikenakan kepada mereka," katanya ketika bertanyakan soalan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pengajian Tinggi supaya campur tangan bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berlaku lagi dalam PRK di IPT pada masa akan datang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik (kanan) ketika mencelah turut menyuarakan kekesalannya dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku di UPM dalam PRK universiti itu baru-baru ini.
Kejadian yang berlaku itu berpunca dari campur tangan pihak pengurusan UPM dalam PRK universiti itu yang jelas memihak kepada pihak lawan Pro-M, sehingga menjadikan PRK itu juga turut memperlihatkan ketidakadilan kepada parti-parti yang bertanding.
Akibatnya, pihak yang menjadi mangsa terpaksa berhempas pulas mempertahankan kemenangan mereka yang dinafikan oleh pihak pentadbiran UPM sehingga mencetuskan beberapa kejadian tidak diingini.
Namun yang dikesalinya, pelajar-pelajar itu pula yang dipersalahkan, walaupun semua itu berpunca dari sikap pihak pentadbiran UPM sendiri yang tidak adil kepada mereka.
Beliau berharap Kementerian Pengajian Tinggi mengambil perhatian serius berhubung kejadian itu agar ia tidak berlaku lagi dalam PRK UPM pada masa akan datang.
Saifuddin ketika menjawab pertanyaan itu antara lain menegaskan Kementerian Pengajian Tinggi akan memantau perkara itu bagi memastikan perjalanan PRK di IPT berlangsung dengan baik pada masa akan datang.
Ketika mencelah balik, Nasir turut mengingatkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi agar tidak hanya sekadar berjanji untuk memantau dengan baik perkara itu, tetapi turut melakukan tindakan-tindakan yang sepatutnya bagi memastikan PRK di IPT benar-benar demokratik sejajar dengan amalan demokrasi di negara kita.

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) yang menguasai kerusi dalam pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) kini membentuk barisan kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dalam "terpaksa" tanpa kehadiran dua calon umum mereka.
Ia berikutan pihak universiti "menggantung kemenangan" calon popular mereka Masturah Abu Bakar yang dilaporkan hilang lebih 24 jam sewaktu kehangatan kempen berlangsung.
Manakala Tan Tiong Yih - pelajar fakulti kejuruteraan - pula sedang disiasat polis atas dakwaan memalsukan surat cuti sakit.
"Kami diberi pilihan oleh HEP sama ada untuk menangguhkan pembentukan kabinet atau meneruskannya.
"Jadi (kami) meneruskan (pembentukan kabinet) kerana terpaksa, bahkan pelajar lain merungut supaya menubuhkan kabinet," kata Yang Dipetua MPM kampus itu Mohd Syahid Mohd Zaini (
kanan) ketika dihubungi
Malaysiakini. Menurutnya lagi, pihaknya terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk mengetahui hasil siasatan pihak polis berhubung kedua-dua kes berkenaaan.
Dalam pilihan raya kampus 21 Februari lalu, pro-M
menang 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan. Masturah dan Tan turut turut terpilih.
Mohd Syahid berkata, pembentukan kabinet semalam dihadiri 38 calon yang menang, tidak termasuk Masturah dan Tan.
Manakala seorang calon daripada kumpulan lawan mereka Penggerak Mahasiswa tidak hadir kerana berada di Sabah.
Nasihat peguam Walaupun jumlah keanggotaan kumpulan mereka kini tinggal 21 kerusi sahaja, itu sudah memadai kerana Penggerak Mahasiswa hanya mendapat 16 kerusi manakala bebas cuma dua.
Mohd Syahid berkata, pihaknya membangkitkan dan mempertahankan dua calon mereka di hadapan Timbalan Naib Canselor (TNC) HEP Prof Datuk Rohana Yusoff dalam pertemuan lebih tiga jam semalam.

"Pro-M tidak bersetuju dan terkejut dengan keputusan (penggantungan) itu. Mereka sebelum itu tidak pernah dipanggil sebelum digantung.
"Tidak ada perbicaraan atau diambil keterangan, tiba-tiba sahaja digantung," kata pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam itu.
Mohd Syahid berkata, mereka berpendapat bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) memperuntukan bahawa penggantungan pelajar hanya boleh dibuat berdasarkan kepada keputusan perbicaraan, bukannya ketika masih dalam siasatan.
Malangnya, Mohd Syahid mendakwa, universiti tetap dengan keputusan bahawa Masturah dan Tan tidak boleh menganggotai kabinet MPM sehingga siasatan ke atas mereka selesai.
Ditanya mengenai tindakan pro-M selepas ini bagi membela kedua-dua calon itu, Mohd Syahid berkata pihaknya sudah mendapatkan nasihat peguam, sekali gus menimbangkannya membawa ke mahkamah.
Mohd Syahid turut menjelaskan pihak pentadbiran UM akan memanggil Tan untuk memberi keterangan berhubung dakwaan memalsukan surat cuti sakit pada 24 Mac ini.
Ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sewaktu membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Saya memulakan ucapan dengan membaca sepotong ayat Al-Quran, maksudnya, "Mereka adalah orang-orang yang diberikan peluang berkuasa di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengajak manusia kepada yang makruf, mencegah kemungkaran dan kepada Allah lah kembalinya segala urusan".
Saya juga mengambil kesempatan Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang saya rasa telah menyentuh tentang perkara-perkara penting yang menjadi teras kepada kekuatan negara ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara ini walau apa pun, walau bertukar kerajaan sekali pun perlembagaannya, kekuatannya akan tetap utuh dan memastikan rakyat supaya jangan bimbang kerana demokrasi ini mengizinkan peralihan kuasa, mengizinkan rakyat memberikan mandat kepada sesiapa pun.
Yang pentingnya mereka yang diberikan kekuasaan itu jujur dan amanah untuk memikul beban amanah ini yang dipertanggungjawabkan kepada kita, dunia dan akhirat.
Antara Titah yang penting yang saya ingin kekalkan dalam ucapan saya adalah tentang keselamatan negara, tentang justice dan keadilan, dan juga tentang kekuatan yang harus dibina kepada orang-orang muda dalam negara kita. Saya hendak ucap tahniah kepada rakan saya daripada Pengerang. Walaupun kita berbeza parti tetapi dalam aspek untuk beliau menyatakan tentang orang muda dan juga tentang bagaimana kita melihat kekuatan yang ada kepada manusia itu harus dilihat secara objektif. Beliau, saya rasa telah mengusik sedikit pemikiran kita pada hari ini tentang bagaimana seharusnya kita memberikan kredit, memberikan pujian kepada mereka yang benar-benar layak. Bukannya kepada mereka yang semua dalam hidup ini memberikan pujian kepada kita.
Kita ada pengalaman bersahabat. Kalau sahabat itu siang malam memuji kita, tidak habis bercakap puji kita, mengampu kita, that mean something wrong dengan sahabat kita itu. Akan tetapi, kalau sahabat itu ada ketika dan kalanya memberikan sedikit pujian, mengkritik kita, memberikan kita teguran, itu adalah sahabat yang baik, yang dalam pelarian umur kita, akhirnya kita akan mendapati sahabat yang banyak mengkritik kita itu adalah merupakan sahabat yang baik, sahabat yang dianggap sahabat yang jujur dalam kehidupan kita.
Demikian juga kita dalam dunia demokrasi. Saya rasa kita harus melihat perkara-perkara yang melibatkan negara ini kepada satu skala yang lebih besar, bukan dalam minda yang sempit dan mengajak kita semua berfikir bahawa kita telah meninggalkan garisan kemerdekaan ini 50 tahun. Perkara pertama yang saya ingin katakan ialah tentang bagaimana seharusnya kita mengenal pasti tentang ancaman-ancaman baru.
Orang muda
Saya hendak bercakap daripada konteks orang muda, generasi muda yang harus kita bimbing pemikiran mereka dan potensi mereka ke arah menjadi orang muda yang bertanggungjawab.
Setiap parti ada keanggotaan pemudanya baik daripada pembangkang atau pun dari pihak Barisan Nasional. Akan tetapi, apa yang penting adalah tidak semua yang kita didik itu akhirnya akan pergi kepada parti kita. Ini pengalaman kita. Bila mereka telah keluar daripada universiti, tamat pengajian, mereka bebas untuk memilih parti yang mereka hendak pilih. Jangan kongkong mereka. Saya ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa cara kita melayani pelajar-pelajar kita dalam pilihan raya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan memalukan.
Kita kembali pada zaman kuno. Kita ugut pelajar-pelajar kita. Kita susahkan untuk mereka mengisi borang. Kemudian, ada kejadian-kejadian mereka di kidnap. Ada kejadian-kejadian mereka diugut dengan SMS yang berunsur jenayah. Kenapa ini harus berlaku dalam dunia kita pada hari ini sedangkan di sanalah tempat kita melihat potensi anak-anak muda ini perlu kita didik, perlu kita beri ruang untuk mereka berfikir, memilih dan untuk mereka membuat keputusan, untuk mereka menilai parti mana atau kerajaan mana yang mereka hendak pilih atau dalam konteks kampus, mereka memilih pemimpin yang mereka rasa yakin untuk mereka undi dalam konteks mereka.
Akan tetapi, kenapa kita layan mereka seperti itu? Kenapa kita bina minda generasi muda dalam keadaan yang sebegitu? Kita undur balik ke belakang. Kalau ada menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri yang bercakap tentang sedikit kebebasan yang perlu diberikan kepada mereka, kita sudah mula lihat menteri tersebut atau timbalan menteri tersebut mula dipinggirkan. Ini pemikiran yang saya rasa tidak setaraf dengan apa yang kita hendak bina dalam negara kita pada hari ini.
Potensi orang muda saya hendak beritahu. Apabila Alvin Toffler menulis buku The Third Wave , mungkin Alvin Toffler pun tidak menyangka hari ini dunia siber, era teknologi maklumat pada hari ini menjangkau satu kemajuan yang sangat luar biasa.
Kemudian, Samuel Huntington meramalkan the clash of civilization, dengan izin. Pertembungan antara agama, antara budaya tetapi nampaknya pertembungan dalam agama dan budaya tidak sehebat sebagaimana yang kita alami pada hari ini kemajuan IT. Sehingga hari ini kita melihat telah ada sarjana yang menulis dan meramalkan akan berlaku satu pertarungan yang hebat dalam apa yang dikatakan cyber warfare, peperangan siber, cyber attack.
Ini dipraktikkan dan ditunjukkan bagaimana Barack Hussein Obama menggunakan facilities ini, menggunakan facebook nya untuk menamatkan legitimasi atau pun keangkuhan orang kulit putih. Dalam kempen pertamanya, dalam saingannya bersama Hillary Clinton, Barack Obama menggunakan kaedah atau pun pendekatan change .
Ancaman baru dunia yang seharusnya difikirkan bersama dalam konteks saya memberikan pandangan konstruktif saya terhadap layanan kita terhadap orang-orang muda, potensi mereka dan juga keupayaan mereka sebagai suatu tenaga penting kepada negara satu hari esok.
Apabila kita bercakap tentang kehebatan dunia siber ini, saya menjelaskan sebentar tadi tentang bagaimana Barrack Hussein Obama telah menggunakan kaedah dan pendekatan ini dalam kempennya di peringkat awal bersaing dengan Hillary Clinton dengan slogan ‘Change Now’ dan menggunakan kekuatan Facebook dan Twitter dan kemudian beliau berjaya untuk ke langkah seterusnya bersaing dengan rakan beliau untuk merebut kerusi nombor satu di White House. Beliau telah menggunakan slogan ’The Change That We Can Believe In’, dengan izin, dan juga menggunakan Facebook dan Twitter ini sebagai bahan kempen utama Barrack Hussein Obama.
Dengan jelas ia membuktikan bahawa kekuatan walaupun mungkin tidak keseluruhannya tetapi faktor utama dalam sejarah terbaru Amerika dan dunia baru ini menyaksikan bagaimana seorang yang berkulit hitam boleh menjadi orang nombor satu di Amerika, orang nombor satu di White House dengan kekuatan jari-jemari golongan muda menggunakan pendekatan ini untuk mereka menunjukkan sikap politik mereka.
Kita apabila berhadapan dengan orang muda ini jangan diperlekehkan tentang keupayaan mereka, jangan diperkecilkan, jangan kita membuat suatu undang-undang yang walaupun pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman kepada mereka tetapi dalam satu waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu telah memperbodohkan mereka, mengheret pemikiran mereka ke arah zaman yang jauh jutaan tahun yang lalu, zaman batu, malah lebih dahsyat daripada itu. Dengan jari-jemari orang muda pada hari ini mereka boleh mengubah sejarah.
Saya ingin menyatakan dalam ucapan ini tentang fenomena dunia. Kita lihat perang dunia yang pertama telah mengubah sejarah Eropah Timur mendapat kemerdekaan. Negara seperti Hungary, Poland, Yugoslavia, Republic Chech dan seumpamanya merdeka selepas fenomena perang dunia yang pertama. Perang dunia yang kedua kita melihat bagaimana jatuhnya pelbagai empayar dan kita juga melihat Eropah Timur mendapat kemerdekaan keduanya dan seterusnya kita melihat dengan keupayaan dari fenomena itu akhirnya jatuh apa yang dikatakan the fall of the Berlin Wall . Jatuh dan runtuhnya Tembok Berlin.
Kemudian selepas cold war, selepas perang dingin, kita menyaksikan bagaimana negara-negara yang dahulunya diperintah oleh para diktator. Apa yang saya sifatkan sebagai Old Order ini runtuh satu demi satu dan fenomena ini berterusan kerana manusia itu akan terus potensinya berkembang kerana ia manusia. Ia bukan satu yang statik. Manusia ini pemikirannya walau satu waktu dahulu tidak berubah tetapi ia mesti berubah mengikut zaman dan keperluan apatah lagi dalam the third wave ini.
Maka, dengan sebab itulah kita melihat Old Order ini ataupun empayar-empayar besar dunia ini jatuh walaupun mereka ditekan dengan undang-undang yang zalim tetapi akhirnya mereka bangkit untuk mendapatkan hak mereka.
Maka, dalam dunia yang saya katakan tadi, dengan siber attack ini ada dua dimensi di situ. Dimensi pertama mereka menggunakan peralatan canggih ini untuk mereka menentukan sikap mereka. Hari ini kita melihat jatuhnya Hosni Mubarak di Mesir, jatuhnya empayar atau diktator di Tunisia, sekarang di Yaman, di Bahrain dan mungkin esok di Arab Saudi. Ini fenomena yang berlaku dan perhatikan dengan cermat bahawa semuanya berlaku pada negara-negara yang demokrasinya dibunuh ataupun negara yang tidak punya demokrasi walaupun dengan kekuatan persenjataan, kekuatan undang-undang memenjarakan mereka, menekan mereka, membunuh mereka tetapi ingat suatu hari manusia ini pasti akan bangkit.
Kita hari ini menyaksikan depan mata kita dan semua orang bercakap pada hari ini Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, Malaysia tidak mungkin akan jadi macam negara-negara lain tetapi saya ingin memberikan suatu pandangan yang mungkin unjuran yang jauh, yang mungkin tidak dapat diperakui pada hari ini. Jangan bunuh demokrasi pada orang muda pada hari ini. Kalau kita mengakui negara kita punya demokrasi, suburkan demokrasi itu dan jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda. Ini yang saya maksudkan kerana dengan jari-jemari mereka boleh merubah dunia.
Saya ingin menjelaskan satu lagi faktor dalam aspek ini ialah bahawa orang muda ini mereka boleh merubah sejarah, mereka boleh meruntuhkan empayar, mereka boleh menggunakan ruang siber yang ada pada hari ini untuk mereka mencapai tujuan mereka. Cuba kita bayangkan Hosni Mubarak yang belanjawan negaranya untuk tentera sahaja, untuk persenjataan sahaja, untuk kononnya bersaing dengan Israel berbelanja hampir 5% atau pun 6 % daripada KDNK mereka untuk kekuatan itu.
Orang dahulu takut terhadap bom atom. Hari ini dunia masih lagi berbincang tentang senjata nuklear tetapi apa yang berlaku pada hari ini tanpa bom atom, tanpa senjata nuklear, kerajaan boleh jatuh dengan cyber attack, dengan jari-jemari. Oleh itu bagi saya, kita harus melihat potensi anak muda ini untuk kita bangunkan.
Saya sendiri tidak mahu jadi seperti itu dalam negara kita. Akan tetapi kalau demokrasi ini tidak disuburkan, kalau tahun hadapan lagi kita melihat agaimana anak-anak muda kecewa dengan cara mereka diperlakukan dalam pilihan raya kampus, ini membakar semangat mereka. Mereka manusia, mereka human, mereka insan yang mahu suatu idealisme sebagai seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi dan jangan lagi layan mereka macam budak sekolah. Ini yang saya maksudkan supaya kita harus ingat tentang bahaya kalau kita mengongkong pemikiran manusia, mengongkong kehendak mereka, kita menyekat pemikiran mereka dan kita menggunakan undang-undang untuk mereka.
Kalau berlakunya pilihan raya kecil pun atau pilihan raya umum, kenapa tidak? Kalau ada fakulti sains politik..., di Universiti Malaya telah ada UMCEDEL, telah ada suatu badan bebas yang kita pertanggungjawaban mengkaji politik, UKM ada fakulti sains politik, kenapa tidak izinkan mereka turun? Kalau ada dua fakta yang kita ragui – sebagai contoh hari ini kalau kita menyatakan dengan fakta bahawa FELDA Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan falsafah asal atau matlamat DEB. Ia kita anggap bertentangan dengan kehendak Allahyarham Tun Razak yang pada waktu itu mahukan FELDA ini sebagai senjata yang dua serampang, membasmi kemiskinan dan menyusun kembali masyarakat. Kita mendakwa apa gunanya FELDA Plantation?
Kalau ada fakta yang begini, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat? Biar mereka melihat, biar mereka mengkaji tentang kebenaran fakta ini. Ini cara kita menyuburkan pandangan. Ini cara kita berhujah dalam dunia dan iklim politik yang sihat kalau kita mahu menjauhkan diri kita daripada politik fitnah dan seumpamanya. Akan tetapi kita sekat mereka. Kita kenakan undang-undang pada mereka. Kita gantung pengajian mereka. Kita gantung biasiswa mereka. Ini cara apa? Jadi saya rasa harus kita melihat perkara ini dalam suatu kehendak orang muda yang kita raikan pemikiran mereka.
Kalau suatu hari esok di kalangan mereka lahir sebagai pemimpin negara, rakyat yang untung, rakyat yang akan mendapat manfaatnya. Tidak kiralah sama ada mereka Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Kalau Barisan Nasional kalah, kita memerintah. Insya-Allah PR memerintah. Kalau kita kalah tidak mengapa, teruskanlah memerintah tetapi apa yang penting bagi saya ialah jangan bunuh potensi anak muda.
Kedua, saya ingin menyatakan tentang ancaman kedua kepada cyber attack ini iaitu apa yang dikatakan sekarang sebagai cyber terrorism.
Yang tadi mereka menggunakan seluruh kecanggihan peralatan untuk mereka bersaing, untuk mereka mencapai kehendak mereka. Dimensi yang kedua yang lebih bahaya adalah bagaimana hari ini dengan menggunakan dunia IT yang ada pada hari ini, peperangan siber ini juga kita melihat bahawa ancaman kepada kerajaan dan negara dengan apa yang saya sebut di sini sebagai cyber terrorism atau cyber security.
Sekarang sudah ada satu virus yang dikatakan stacks net. Satu virus yang telah dicipta untuk ia boleh dengan izin, disable computer system. Keupayaan keselamatan negara yang disimpan dalam data boleh dipunahkan dan boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.
Iran sekarang ini mengalami ancaman ini, Amerika sekarang ini mengalami ancaman ini. Bukan lagi nuklear, bukan lagi atomic bomb tetapi dengan virus yang dihantar melalui sistem kecanggihan IT. Adakah negara telah bersedia ke arah itu? Ini soalan saya kepada Kementerian Pertahanan. Kalau yang tadi itu menggunakan jari jemari mereka untuk meruntuhkan atau menjatuhkan kerajaan, menjatuhkan diktator, sekarang dengan virus stacks net ini, mereka melumpuhkan sistem keselamatan negara. Apa akan jadi kepada negara kita?
Ketenteraan
Saya suka untuk membuat sedikit perbandingan di sini tentang keprihatinan saya kepada negara, menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang peralatan fizikal ketenteraan kita. Ya, bukan kita mahu berperang dengan negara jiran.
Bukan itu matlamat kita, tetapi bila negara jiran dari tahun ke tahun meningkatkan belanjawan mereka dalam bidang ketenteraan, apa sikap kita? Saya membaca beberapa fakta di sini. Izinkan saya Tuan Yang di-Pertua.
Sejumlah RM35.5 bilion diperuntukkan bagi tahun kewangan Singapura 2011 bermula 1 April ini berbanding RM11.46 bilion pada tahun lalu untuk ketenteraan mereka. Untuk mengukuhkan hujah saya, data dari Stockholm International Peace Research Institute dari tahun 1990 hingga 2007, jelas menunjukkan terhadap enam tahun di mana bajet tentera diturunkan. Dahulu badan ini turut mendedahkan bahawa jurang antara Malaysia dan Singapura dalam perbelanjaan tentera berbeza hanya USD800 juta setahun pada tahun 1991 tetapi menjarak kepada USD1.3 bilion setahun pada tahun 1995.
Pada tahun 2008, Republik Singapura berbelanja lebih USD2.3 bilion lebih tinggi berbanding Malaysia. Bila data itu dikaji bagi tempoh 10 tahun, jurang perbelanjaan menjadi semakin besar. Ini jarak kita dengan Singapura dari segi mereka membeli senjata canggih mereka. Mereka ada stealth, pesawat tercanggih paling pantas di dunia. Apa yang ada di Israel, ada di Singapura. Mereka ada peluru berpandu. Mereka ada kereta kebal anti tank paling canggih yang ada pada hari ini. Kita ada apa? Kita ada dengan izin, disable weapon. Ada kapal selam pun tidak boleh hendak menyelam. Ada tiga kapal laut tentera yang ada pada hari ini, satu terbakar. Kita ada apa yang ada pada hari ini?
Bukan saya dengan niat untuk menghina negara sendiri tetapi ini peralatan yang kita ada pada hari ini. Kita ada skyhawk jenis apa, tahun berapa, kapasitinya bagaimana? Walaupun saya faham dan saya mengerti bahawa itu bukan untuk tujuan peperangan tetapi ini hakikat yang ada pada hari ini. Kalau ini pun kita tidak boleh hendak bina, apa pula persediaan kita dalam konteks cyber attack yang saya katakan tadi di mana dunia menghadapi ancaman cyber terrorism. Iran dilanda sekarang ini, negara Eropah dilanda dengan virus ini. Apakah persediaan kita terhadap perlindungan keselamatan data dalam negara kita?
Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, Balik Pulau sedikit penjelasan. Saya bersetuju dari segi aspek keselamatan negara. Cuma, yang saya juga mohon Yang Berhormat Kubang Kerian beri sedikit pandangan ialah mengenai ketika era apa yang dipanggil sebagai the era of soft power, bajet kita kepada Kementerian Luar untuk teman-teman kakitangan kerajaan terutama untuk mewakili negara terhadap kerja-kerja diplomasi kurang banyak untuk tahun ini.
Akan tetapi yang saya tahu, dengan perkembangan globalisasi sekarang, cabaran untuk kerja-kerja diplomasi ini amat lebih mencabar. Saya rasa di era soft power ini, selain daripada keperluan untuk kekuatan fizikal, military sifatnya, tetapi saya rasa untuk meningkatkan dengan izin, the sophistication of our staff iaitu kakitangan Kerajaan Malaysia yang saya rasa perlu. Saya rasa mungkin Yang Berhormat Kubang Kerian boleh beri sedikit pandangan.
Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ya, satu pandangan yang bijak daripada rakan saya Yang Berhormat Balik Pulau di mana saya juga melihat bahawa dunia diplomatik juga menjadi semakin penting dalam kita mencatur, dalam kita melihat our way forward dengan izin, tentang kesediaan negara dalam kita berinteraksi dengan dunia yang ada pada hari ini. Peralatan mereka dan juga kelengkapan mereka harus dipertingkatkan supaya mereka juga dapat memainkan peranan yang maksimum dalam kita menentukan tentang efficiency, kecekapan negara kita dalam kita menyaingi mereka.
Saya tertarik dengan sejarah masa lampau. Hari ini, bila ada perundingan damai yang melibatkan – termasuk dunia Islam, negara yang menawarkan adalah negara Norway, Finland ataupun Sweden. Negara-negara yang menawarkan perlindungan politik juga, yang rasa selamat ialah negara-negara dengan izin di Scandinavian countries. Jadi walaupun dulu mereka adalah ‘Viking’, mereka adalah lanun laut utara yang kita belajar di sekolah dahulu, namun dalam masa yang cepat mereka belajar dan mereka hari ini menjadi peacemaker, mereka menjadi mediator untuk mereka tampil di pentas dunia dan menawarkan khidmat mereka untuk perundingan damai. Jadi saya rasa Malaysia juga mesti ke arah itu dalam kita bersaing dengan dunia-dunia yang berada pada hari ini. Terima kasih sahabat saya daripada Balik Pulau.
Buku Jingga
Saya beralih kepada Buku Jingga. Walaupun apa pun yang dikatakan tentang Buku Jingga ini, terima kasihlah kepada sahabat kita daripada Kota Belud walaupun tidak ada di sini kerana sebahagian besar ucapannya menyentuh tentang buku ini walaupun diperkecilkan. Ya lah, maklumlah kami tidak lagi di tahap duduk di sebelah sana tetapi ini yang kita tawarkan kepada rakyat. Saya rasa dengan diskusi itu yang walaupun ada kritikan, saya faham tidak mungkin mereka memuji tentang Buku Jingga ini. Akan tetapi saya rasa itu satu permulaan yang baik di mana di sebelah sana juga telah menerima ini sebagai satu dokumen yang perlu dibahaskan.
Saya rasa ini satu perkara yang baik. Kalau ia nanti menjadi satu perkara yang lebih penting, ada banyak lagi forum-forum tertentu yang boleh kita bahaskan tentang Buku Jingga ini kerana kita juga datang dengan suatu latar belakang pimpinan yang ada, latar belakang pengalaman mereka dalam kerajaan. Saya rasa dalam konteks ini saya bersetuju dengan rakan-rakan macam Yang Berhormat Pengerang tadi. Janganlah tuduh kita ini membangkang semata-mata. Tidak ada budi langsung kepada negara ini. Tidak ada suatu jasa langsung kami ini kepada negara. Itu tidak betul. Lihat sahaja Parlimen ini. Caucus yang dikemukakan. Siapa yang menganggotainya? Tidak semua seratus peratus Barisan Nasional. Juga daripada kami. Lawatan-lawatan kerja ke luar negara saya rasa juga dijemput kepada kami. Baru-baru ini saya dengan rakan daripada BN, Yang Berhormat Pokok Sena, kemudian Yang Berhormat Kuala Krai bersama Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak. Kita pergi kepada satu persidangan Global Peace Conference di Jepun dan Korea. Kita boleh duduk semeja berhadapan dengan parti baru di Jepun dan kita boleh kemukakan idea bersama. Tidak timbul masalah kita hendak mencaci negara sendiri di hadapan negara lain. Itu satu perkara yang saya rasa harus dilihat.
Jadi dalam konteks Buku Jingga, terima kasih dan tahniah kerana memberikan kesempatan untuk dibahaskan. Saya rasa kalau ada perkara-perkara yang perlu dikritik, ayuh kita boleh bincang secara intelektual, adakan intellectualist course untuk kita tengok apa yang baik dan positif. Ini pandangan kita kepada rakyat yang harus kita panjangkan untuk kebaikan negara.
Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena]: Sikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kubang Kerian. Setuju atau tidak bahawa sepatutnya dalam proses pengundian demokrasi dalam negara kita ini dalam konteks Buku Jingga, buku biru tua dan sebagainya, dalam konteks untuk membina masyarakat Malaysia yang bermaklumat, yang menentukan hala tuju negara kita ini berasaskan kepada knowledge, pengetahuan yang cukup. Sepatutnya agensi-agensi media elektronik ini seperti RTM, TV3, Kumpulan Media Prima dan sebagainya memperbanyakkan lagi intellectualist course yang berkaitan dengan bukan sekadar Buku Jingga tetapi saya kata bahawa kalau BN boleh keluarkan buku biru tua, jadi kita boleh membuat perbandingan. Buku Jingga dengan buku biru tua supaya masyarakat diberi peluang untuk melihat dan menilai sama ada Buku Jinggakah yang lebih baik atau buku biru tuakah yang lebih baik. Jadi yang mana?
Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena, ya. Satu pandangan yang sangat baik yang Yang Berhormat Pokok Sena kemukakan untuk Parlimen ini. Saya rasa dalam era selepas 2004, ada sedikit keterbukaan RTM. Ini saya hendak – ya lah kalau benda yang boleh saya puji, saya puji. Dulu ada Debat Perdana. Satu ruang waktu yang saya rasa walaupun pendek, sejam. Kemudian, Astro hari ini membuka ruang untuk kita dan dipanggil ahli-ahli panel daripada semua pihak. Saya rasa satu perkara yang sangat baik. Rakyat melihat kemunculan kita dalam televisyen yang dulu orang anggap pembangkang ini akan bercakap dengan bahasa yang kesat.
Satu persembahan yang memang rupanya rupa pembangkang. Namun dalam ruang waktu itu kita melihat semua bercakap tentang kebaikan negara. Sumbangan kita kepada negara. Tidak ada orang hendak look stupid on air. Jadi Astro telah buat satu ruang waktu. Namun saya hairan sekarang ini Astro pun sudah mula longlai. Mungkin ada suatu arahan.
Jadi saya rasa kalau ini boleh kita lebar luaskan dalam konteks kita menggalakkan satu minda yang berpengetahuan, masyarakat yang base on k-Knowledge, saya rasa kita sangat membantu kepada negara kita sendiri.
BANGI, 16 Mac: Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM (MPMUKM) menyeru kepada semua pihak agar bersikap rasional dan matang dalam memahami dan menangani isu kemalangan reaktor di Jepun.

“Kita seharusnya bersikap rasional dan matang dalam hal (kemalangan reaktor) ini,” kata Speaker MPMUKM, Mohd Arif Misrol.
Katanya, kekalutan dan kekeliruan maklumat yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab harus ditangani dengan cermat agar ia tidak menimbulkan polemik kepada semua.
Ketika diminta mengulas tentang kemalangan di Kompleks Reaktor Fukushima Daiichi di Jepun, beliau yang juga merupakan siswazah Sarjana Keselamatan Sinaran dan Nuklear berkata, letupan yang berlaku bukanlah letupan daripada tindak balas nuklear, tetapi berpunca daripada tindak balas kimia gas hidrogen dengan oksigen.
“Teras (core) reaktor tidak mengalami kebocoran dan masih stabil. Tidak timbul isu kemalangan ini bakal mengulangi peristiwa Chernobyl pada 1986,” katanya.
Tambahnya, kesan kemalangan itu tidak merebak ke Malaysia.

Menurutnya lagi, sehingga hari ini, pengesan keradioaktifan di stesen-stesen terpilih di negara ini menunjukkan bacaan yang normal.
“Pada peringkat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kemalangan ini berada pada tahap 4 (paling tinggi 7) iaitu kemalangan yang memberi ‘kesan pada peringkat tempatan’ (accident with local consequences)”
“Berkaitan dengan kesan radiasi, bacaan tertinggi dicatatkan dalam reaktor, tetapi tahap radiasi ini akan menurun ke tahap yang secara relatif masih selamat di luar reaktor. Cuma sebagai langkah berjaga-jaga, pemindahan orang awam dilakukan,” ujarnya.
Sambil menasihatkan pengamal media dan pemimpin negara agar berhati-hati dan mengkaji dalam menyampaikan maklumat dan memberikan pandangan, beliau berkata, pengamal media tidak harus menggunakan peristiwa itu sebagai bahan sensasi yang menimbulkan suasana yang tidak selesa di negara ini.
Katanya, mereka perlu menanamkan kefahaman yang betul kerana ini yang lebih baik dalam usaha menunaikan tuntutan mereka untuk mendidik rakyat.
Beliau menambah, pemimpin negara harus berilmu dan dilihat berpengetahuan dalam menyampaikan pandangan.
Baginya, agak memalukan sekiranya penerangan yang diberikan tersasar dan bersalahan dengan fakta yang sebenar.
Justeru, beliau mencadangkan agar pakar-pakar yang berkaitan dengan perkara itu, terutama daripada Jabatan Sains Nuklear UKM, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) diberikan peluang seluas-luasnya oleh semua pihak untuk memberikan pandangan dan nasihat, sama ada dalam temuramah televisyen, penulisan akhbar dan kenyataan akhbar agar polemik ini dapat ditangani dengan sihat dan matang.
Semua pihak menyuarakan kebimbangan masing-masing terhadap masalah sosial yang melanda masyarakat, tetapi bagi sebahagian mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM), subjek itu diangkat melalui cara lebih kreatif, iaitu persembahan teater.

Memilih naskhah pengarah terkenal Aminah Raphor berjudul "Tanah Bernanah", sekumpulan mahasiswa Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik universiti itu akan menjayakannya di Auditorium Muzium Negara, Kuala Lumpur bermula 1 April depan.
"Dalam teater ini, banyak isu diangkat. Ia memaparkan pergolakan dalam masyarakat, yang turut melibatkan mahasiswa," kata jurucakapnya Zaryzar Jaafar sambil memberitahu sasaran utama mereka adalah golongan muda.
Zaryzar berkata kesemua tenaga produksinya terdiri daripada pelajar yang sekali gus dipercayai dapat membentuk mereka lebih matang menghadapi cabaran dan membentuk displin diri.
Tanah Bernanah mengisahkan kehidupan sosial di sebuah setinggan yang menyedihkan sehingga ada daripada mereka mencari rezki dengan berkhidmat sebagai "tukang tilik tapak tangan lelaki" atau pelacur.
Dipentaskan selama tiga hari, teater bercorak realisme sepanjang 90 minit itu diarahkan oleh pelakon muda Harith Shah Idris Hamshah yang pernah teribat menjayakan beberapa drama, antaranya
Tersasar Di Jalanmu karya Erma Fatima.
TARIKH:
1 APRIL 2011 (8.30 MALAM)
2 APRIL 2011 (8.30 MALAM)
3 APRIL 2011 (3.00 PETANG & 8.30 MALAM)
...TEMPAT:
AUDITORIUM MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
TIKET:
RM 10 RINGGIT
~~ SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI DI TALIAN 017-6044579 & 013-3156601 ~~
SINOPSIS....
Anjah dan Minah ialah dua orang budak yang tinggal di sebuah perkampungan setinggan, di pinggir sebuah kota. Penduduk kampung ini terdiri daripada masyarakat kelas bawahan dengan latar belakang sosial yang menyedihkan.
Suatu hari ketika Anjah dan Minah bermain-main, Anjah memberitahu minah bahawa dia tidak menghadapi kesulitan untuk tinggal di tempat lain jika ’orang-orang’ datang menghalau mereka kerana ibunya mempunyai pekerjaan. Kata Anjah ibunya bekerja sebagai ’tukang telek tapak tangan’. Ibunya menelek tapak tangan lelaki sahaja di dalam bilik. Malah ibunya menyuruh Anjah keluar bermain-main seorang diri kerana ada pelanggan (ibu Anjah sebenarnya seorang Pelacur).