Buang bayi : HEWI PMIUM sokong jatuh hukuman berat
14 Ogos, Petaling Jaya : Hal Ehwal Mahasiswa (HEWI) PMIUM hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Jemaah Menteri yang mengarahkan agar polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.
Keputusan yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kelmarin itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam membanteras gejala pembuangan bayi yang dilihat semakin kritikal.
Pengerusi HEWI PMIUM, Siti Nadzirah bt Majid menyatakan rasa bimbang melihat kemusnahan institusi sosial yang kian meruncing. “Saya cukup risau dengan masalah masyarakat kita. Setiap hari ada sahaja kes yang memperlihatkan kemusnahan institusi sosial. Kes buang anak, rogol, sumbang mahram dan berzina sudah menjadi amalan masyarakat kita.” katanya.“Tindakan Datuk Seri Shahrizat dan Jemaah Menteri sangat tepat dengan kondisi yang kritikal kini. Sememangnya, jika isu ini tidak ditangani segera, kita bakal menyaksikan keruntuhan institusi sosial dan masa depan negara.”
Beliau dalam kenyataannya turut mencadangkan kerajaan supaya mengambil langkah mendidik masyarakat ke arah pembentukan akhlak dan peribadi mengikut lunas-lunas Islam.
“Dalam Islam, aspek akhlak merupakan antara 3 sendi utama agama. Maka penekanan aspek akhlak ini harus dititikberatkan dalam konteks pendidikan kita sekarang.” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Exco Kebajikan dan Perpaduan PMIUM,
Norhasimah bt Bujang berkata sekarang tibalah masanya kerajaan memikirkan cara melaksanakan syariatullah secara menyeluruh.
“Sebenarnya, kita perlu kembali bermuhasabah, segala yang berlaku kini adalah akibat tidak ada pasakan kepada kehidupan beragama yang sempurna dalam masyarakat.”
Beliau juga mencadangkan kerajaan melaksanakan kempen ‘Jom hidup cara Islam’ sebagai salah satu cara membendung kebejatan sosial ummah.
Terdahulu PMIUM menjalankan kempen ‘Pemakaian Beretika’ sebagai inisiatif menyelesaikan masalah sosial di kampus. -Umtoday