SMM CADANG Anjur Forum Bincang Larangan Mahasiswa Berpolitik
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bercadang untuk menganjurkan satu forum yang melibatkan wakil kerajaan, parti pembangkang, ahli akademik dan mahasiswa bagi membahaskan keputusan kerajaan mengekalkan larangan mahasiswa daripada terlibat dalam politik kepartian.
Setiausaha SMM, Mohd Ridhuan Othman berkata cadangan forum itu adalah respons kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan pindaan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 berkaitan kebenaran kepada mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam politik kepartian, selepas mendapat kebenaran Naib Canselor.
"Kita bercadang untuk mengadakan forum tersebut sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadual pada 27 Ogos ini," kata Mohd Ridhuan pada sidang media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah jurucakap Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Ahmad Shukri Kamarudin, Pengerusi Pro Mahasiswa Malaysia (Pro-M) Mohd Shafie Hashim dan Presiden Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Abdullah Omar Muhammad Fuad.
Sementara itu Pengerusi SMM, Shazni Munir berkata beliau bersama-sama pertubuhan mahasiswa akan mengadakan 'roadshow' ke kampus di seluruh negara bagi memberi penerangan mengenai pro dan kontradiksi pembabitan mahasiswa dalam lapangan politik.
"Penglibatan daripada semua pihak termasuk mahasiswa, parti politik dan ahli akademik adalah sangat dialu-alukan. Kalau ada penglibatan daripada pihak Kementerian, itu lebih baik, kerana forum ini adalah platform yang baik kepada semua pihak," katanya.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam sebuah program bual bicara di TV3 minggu lalu yang menegaskan penglibatan mahasiswa dalam politik tidak merencatkan prestasi mahasiswa dalam bidang akademik.
"Ini satu perkembangan yang positif, cuma masalahnya ialah, dia sebagai Timbalan Menteri tidak dapat membawa pandangan dan suaranya ke peringkat kementerian. Bahkan sejak awal lagi, perjuangan beliau memang hendak memansuhkan Auku. Ini kerana Perlembagaan jelas menyatakan adalah hak warganegara untuk berekspresi dan berpersatuan.
"Cuma yang hairan segelintir ahli akademik seperti bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang berpendirian tidak terbuka. Kebiasaannya, ahli politik yang berminda tertutup, tetapi kini berjangkit kepada ahli akademik. Ini memang pelik. kerana sepatutnya ahli akademik bersikap objektif," kata Shazni.