Photobucket Photobucket


My Blog List


Ada Apa Dengan Mahasiswa !


Ahmad Shukri Kamarudin*

Jika disoroti beberapa dasawarsa yang lalu, tidak dapat dinafikan bahawa gerakan anak muda di Malaysia berada pada puncak perjuangan mereka. Bermula dengan aktiviti-aktiviti berbentuk kebajikan atau extramural activities oleh para pelajar Universiti Malaya sekitar tahun 1957-1958, gerakan mula berganjak kepada aktiviti-aktiviti yang lebih bersifat mencabar seperti penubuhan Sudut Pidato ataupun Speaker's Corner pada 27 Mei 1966 di kampus Universiti Malaya, demonstrasi mengutuk pengeboman Hanoi-Haiphong oleh Amerika Syarikat pada 21 Julai 1966 d hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur,peristiwa Hamid Tuah 1967,demonstrasi anti-Tunku 1969,penyebaran manifesto mahasiswa 1969,demostrasi Tasek Utara 1974,demostrasi Baling 1974,Ops Kriket 1997,reformasi 1998, demonstrasi Selatan Thai 2009 hinggalah kepada demonstrasi Demokrasi Kampus 2010. (sekadar beberapa peristiwa)

" Dan bagi mereka penentangan kepada setiap keadaan yang tidak dapat mereka terima, sama ada keadaan itu lahir dari kerajaan, masyarakat umum atau pihak universiti sendiri, adalah satu hak yang sudah pun menjadi sebahagian dari tradisi mereka - TRADISI MENCABAR ! " - Mahasiswa Menggugat, Prof. Muhammad Abu Bakar, 1971 -

" Politik kampus seterusnya menjadi aspek dan element penting dalam proses politik nasional. Dan hal ini seringkali berlaku dalam sejarah kegiatan pelajar-pelajar Universiti Malaya di mana mereka secara langsung atau tidak telah mempengaruhi proses pembangunan masyarakat dan negara. Yaitu ketika mana mahasiswa-mahasiswa tampil ke hadapan sebagai watch dog masyarakat, memberontak kepada setiap keadaan yang mereka anggap sebagai manifestasi ketidakadilan."- Mahasiswa Menggugat, Prof. Muhammad Abu Bakar, 1971 -

Kini sejarah tersebut hanya berdiri sebagai tinggalan seni usang yang terus menjadi tatapan berharga anak muda Malaysia yang tanpa rasa segan dan malu dengan perjuangan mereka pada hari ini. Segalanya sudah termaktub. Sejarah terus berlalu sebagai sebuah sejarah, tanpa kita mampu mengulangi sejarah tersebut.

Jika dahulu mahasiswa begitu gah dengan slogan "Mahasiswa Jurubicara Rakyat", kini mahasiswa hanya mampu berbangga dengan slogan "Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa". Jika dahulu para mahasiswa meletakkan martabat mereka ke tempat yang tertinggi hingga mampu berdialog dengan Perdana Menteri, hari ini mahasiswa hanya mampu berbangga dengan penyerahan memorandum kepada wakil Menteri Pengajian Tinggi.

Tuntas, di mana harus diletakkan tanggungjawab untuk kita kembali melestarikan nilai pengorbanan dan perjuangan anak muda yang bergelar mahasiswa di Malaysia kini.

Mahasiswa Wakil Rakyat

Mahasiswa pada hari ini harus bertindak dan bergerak sebagai wakil kepada rakyat. Usah dibiarkan masyarakat terus terkapai-kapai di dalam arus deras kebatilan yang melanda negara kita pada hari ini.

Menilai kembali seni perjuangan yang ditinggalkan oleh para pejuang anak muda terdahulu. Masyarakat dijadikan element utama di dalam agenda perjuangan mereka. Segala permasalahan yang melanda institusi kemasyarakatan menjadi antara aspek utama nilai perjuangan yang akan terus diangkat oleh anak muda mahasiswa pada ketika itu. Bermula dengan masalah bahasa kebangsaan, institusi masyarakat luar bandar, masalah pemilikan tanah, masalah perumahan dan penempatan hinggakan kepada permasalahan ekonomi masyarakat menjadi 'bahan mainan'  di atas kanvas perjuangan mahasiswa.

Sebaliknya mahasiswa dekad kini hanya mampu untuk berpencak di lapangan kampus masing-masing sahaja tanpa menghiraukan permasalahan besar yang melanda masyarakat di negara kita pada hari ini.

Di mana mahasiswa ketika berlakunya permasalahan moral yang kritikal di kalangan muda-mudi Malaysia, di mana jari harus ditudingkan ketika kadar jenayah terus meningkat saban tahun walaupun indeks jenayah dikatakan mencatat menurunan 15.35 % menurut Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan apa peranan kita untuk memastikan prestasi ekonomi negara terus berada pada tahap yang stabil ketika inflasi terus meningkat kerana antara lainya, kenaikan cukai, seumpama kesan GST, penarikan subsidi seumpama bahan bakar, kenaikan tarif utiliti seperti elektrik dan rakyat akan terus kehilangan kuasa membeli. 

Segalanya harus dirobah segera ! Mahasiswa harus kembali kepada peranan asal mereka. Sekarang bukan lagi masanya untuk kita terus-menerus melayan permasalahan remeh yang berlegar di lapangan kampus kecil kita sahaja, bahkan kita sudah perlu turun ke lapangan masyarakat yang begitu dahagakan sentuhan tajdid.

Kita Mencipta 'AUKU' Kedua

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mula dibonsaikan oleh pihak tertentu pada tahun 1971 dan dipinda dengan lebih bersifat draconian pada tahun 1974 telah banyak membantutkan pembangunan intelektual dan aktivisme mahasiswa Malaysia. Walaupun telah dipinda untuk yang sekian kalinya pada februari 2009 dan dikatakan lebih bersifat terbuka dengan aktivisme mahasiswa, namun ia hanyalah sekadar retorika dan bersifat kosmetik semata-mata. Hakikatnya mahasiswa masih terus-menerus menjadi takut dan gentar dengan sebuah lembaga yang bernama AUKU dan proses pembodohan ini semakin berjaya. Tahniah !

Namun hari ini segalanya menjadi semakin kejam ! Mahasiswa sendiri telah berusaha menggubal 'AUKU' kedua di kampus masing-masing. Gerakan mahasiswa sendiri telah memasung dan mentempurungkan gerakan mereka. 

Gerakan mahasiswa pada hari ini dilihat gagal untuk mencipta ruang dan peluang bagi mengangkat nilai sebuah perjuangan dan pengorbanan. Ahli gerakan masih berada di posisi menunggu dan mengharap tanpa mahu berfikir, menjadi 'kreatif' dan membuat sesuatu tindakan yang bersifat 'X-factor' di dalam gerakan. Mungkinkah semua ini berpunca daripada tertutupnya pintu berfikir dan berijtihad di kalangan ahli gerakan?
 
Lebih membimbangkan lagi apabila terdapat segelintir ahli yang mengambil sikap berdiam diri, malas berfikir dan menggoyangkan kaki akibat keselesaan yang dikecapi hasil daripada perjuangan dan pengorbanan pejuang terdahulu. Memalukan !

Natijahnya, perjuangan kita tidak akan mampu ke mana-mana. Masyarakat terus hampa menunggu sentuhan tajdid mahasiswa. Pihak-pihak tertentu terus-menerus mentertawa dan memandang sinis terhadap perjuangan kita yang pada mereka hanya bersifat pra-matang.

Kita pula terus-menerus dibuai mimpi di alam fantasi ciptaan kita sendiri. Selagi mana kotak pemikiran kita tidak dirobah, selagi mana nadi perjuangan kita tidak dipasak dengan iltizam yang kuat, selagi itulah gerakan anak muda pada hari ini akan terus dipandang sepi oleh masyarakat. Mungkin bagi kita perjuangan yang kita angkat selama ini merupakan sebuah karya yang agung, namun mungkin bagi masyarakat luar ia hanyalah sebuah 'penambah rasa' di dalam potret kehidupan ini.

'Jangan menjadi pemusnah kepada perjuangan yang telah kita angkat selama ini.'

Mahasiswa Untuk Dunia

Di dalam negara demokrasi, adalah penting di mana kebebasan akademik atau sekurang-kurangnya jaminan hak mahasiswa itu wujud. Keyakinan asas kita ialah mahasiswa itu sendiri cukup bijak untuk menentu dan memutuskan pandangan dunia (world view) mereka. Sebarang bentuk sekatan, termasuk akta dan akujanji hanya dilakukan oleh pemerintah autokratik yang harus ditentang.

Perjuangan untuk menjamin kebebasan akademik daripada cengkaman kuasa politik adalah wajib menjadi antara agenda anak muda. Bukan esok-esok. Bukan nanti-nanti, tetapi hari ini juga. Sekarang !

 " Saya melihat dengan penuh bimbang tindak-tanduk pelajar-pelajar kita, kebanyakan daripada permintaan-permintaan yang mereka buat adalah baik dan patut diberi perhatian. Saya yakin bahawa pelajar-pelajar militan, radikal dan orang-orang muda boleh menjadi kuasa positif dalam membawa pembaikan yang radikal dan positif dalam masyarakat " - Presiden Marcos, mantan presiden Filipina -

" Sudah tentu hal ini lebih menyakinkan kita lagi bahawa kehadiran pelajar-pelajar dengan aktiviti-aktiviti politik mereka adalah satu peristiwa zaman yang penting bagi sesebuah masyarakat yang ingin dan sedang membangun. Apatah lagi jikalau difikirkan bahawa pelajar-pelajar aktivis, seperti aktivis-aktivis lain adalah manusia-manusia yang selalunya mimpikan masyarakat yang lebih adil, yang selalunya sanggup melakukan apa sahaja yang mereka percayai sebagai kebenaran, dan selalunya mempelajari kedudukan dan penderitaan rakyat dalam usaha memajukan mereka " - Pablo R. Jajalla, Phillippine Free Press -

" Pelajar-pelajar merupakan pengundi, orang dewasa yang masih muda, bakal pemimpin dan opinion maker masa hadapan..." - Dr. Hector Kinloch -


Penulis adalah mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Blog beliau boleh dilawati melalui : Mahasiswa Menggugat!!!

Posted by SiswaLaNie on 6:05 PM. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Ada Apa Dengan Mahasiswa !

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery