Photobucket Photobucket


My Blog List


2011 TAHUN PENUHI PERMINTAAN MAHASISWA


Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganjuran Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia 1.1.11 dan mendoakan ia berjaya menjadi katalis untuk memperkasa gerakan mahasiswa negara dalam seluruh spektrum kehidupan, termasuk politik.

YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini menyatakan bahawa beliau menganggap remaja sebagai “rakan kongsi” kerajaan. Seruan ini amat bersesuaian dengan dua keperluan besar dalam gerakan pembangunan mahasiswa. Pertama, keperluan untuk memenuhi tiga permintaan asas mahasiswa, iaitu: mahasiswa mahu suaranya didengar, mahasiswa mahu peranannya diiktiraf, dan mahasiswa mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasikan mahasiswa. Dan kedua, keperluan menghayati hakikat bahawa, di samping sebagai pemimpin masa depan, sebenarnya mahasiswa adalah juga pemimpin hari ini, iaitu pemimpin bagi generasi yang lebih muda, pemimpin bagi angkatannya, dan rakan kepemimpinan dengan universiti, kerajaan dan sebagainya.

Justeru, sudah tiba masanya kita bersama dalam langkah untuk memenuhi kedua-dua keperluan tersebut. Satu daripada kaedahnya ialah dengan melakukan inovasi demokrasi, iaitu dengan meningkatkan dan meluaskan partisipasi mahasiswa dalam struktur dan proses membuat keputusan.

Di sinilah relevannya isu membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, iaitu dalam maknanya yang sebenar. Dalam konteks ini, terdapat banyak usaha yang mencadangkan agar ia menjadi realiti. Contohnya, mutakhir ini, ia didokong oleh pelbagai pihak, seperti GAMIS, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPT 2010, Makmal Pemuda Barisan Nasional dan Makmal Belia Kementerian Belia dan Sukan.

Di samping itu, kita perlu memulakan diskusi inisiatif-inisiatif inovasi demokrasi yang lain seperti pendaftaran automatik pemilih, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, melantik wakil belia sebagai Senator dan ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sebagainya.

Semua ini adalah langkah-langkah untuk mengisi perjuangan membentuk masyarakat baik yang berteraskan budaya ilmu, tamadun tauhidik, keadilan sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar, sesuai dengan gagasan IMalaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Selamat menyambut tahun 2011 dan salam perjuangan.


SAIFUDDIN ABDULLAH
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi

Posted by SiswaLaNie on 11:15 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for 2011 TAHUN PENUHI PERMINTAAN MAHASISWA

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery