Photobucket Photobucket


My Blog List


Shazni Munir Tabah Hadapi Ujian Dan Dugaan

"Tak apa bang, teruskan perjuanganmu. Jika rintangan dan ujian yang diberikan kepada kamu, hadapinya dan kita akan lawan." Dia tidak akan melupakan kata-kata itu.

Semangat yang diberikan oleh kedua-dua ibu dan bapanya sentiasa tersemat di dada anak muda in. Malah, katanya, mutiara kata insan kesayangannya itu sentiasa menjadi azimat dan pegangan dalam meneruskan perjuangan bersama rakan-rakan.

Itulah semangat yang ditonjolkan oleh anak muda ini. Bagi mahasiswa Universiti Malaya (UM), nama Shazni Munir Mohd Ithnin rasanya tidak asing lagi pada mereka Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) UM ini bahkan bermain di bibir penuntut. Lebih daripada itu, dia dan rakan-rakannya terkenal di seluruh negara ekoran suatu insiden yang menjadi tumpuan umum suatu ketika dulu.

Pengalaman Getir

Pemuda berusia 23 tahun ini punya kisah yang unik. Namun, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam hidupnya. Melalui pelbagai pengalaman getir, ranjau dan onak berduri sejak terlibat dalam gerakan mahasiswa, Shazni Munir tidak pernah melahirkan kekesalannya.

"Bahkan saya rasa menyesal kerana tidak didedahkan dengan gerakan ini sejak dari awal-awal lagi. Tiada niat lain ketika mula-mula berada di dalam gerakan ini, hanyalah untuk memberikan khidmat dan kebaikan kepada masyarakat seluruhnya.

"Malah jika ditanya kepada saya, sudah tentu saya merasakan malu jika dibanding kepada tokoh Islam terkenal, Sultan Muhamad al-Fateh yang ketika usianya masih belasan tahun, sudah berjaya memimpin angkatan tentera Islam menawan Kota Kostantinopale,' ujarnya bersungguh-sungguh.

Mahasiswa yang sedang menuntut di peringkat ijazah kedua dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Sumber Manusia ini berkata, segala-galanya bermula daripada kesedaran dalam hatinya.

Tarbiyah dan didikan yang diterima sejak terjun dalam gerakan Islam telah banyak menyedarkan dan memberikan kefahaman kepadanya. Bahkan katanya, dia akan berasa malu di hadapan Allah SWT kelak seandainya dirinya tidak dapat berperanan sebagaimana yang diamanahkan.

"Saya hadir ke universiti bukan sekadar untuk belajar dalam bidang akademik semata-mata. Ya, berjaya di dalam bidang itu adalah penting. Namun ia tidak seharusnya menghalang seseorang mahasiswa untuk berfungsi kepada agama dan masyarakat.

"Saya barangkali boleh meninggalkan gerakan ini untuk menyertai orang lain. Seperti remaja biasa. Pagi pergi ke kelas, petang pula bermain bola sepak di padang. Namun, katakan kepada saya, apakah yang akan saya jawab di hadapan Allah kelak," ujarnya.

Biodata Shazni Munir

Nama : Shazni Munir Mohd Ithnin
Asal : Segamat, Johor
Tarikh Lahir : 14 Januari 1987
Bilangan Adik-Beradik : 3 (sulung)
Pendidikan : Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat (2000-2004), Universiti Malaya, Kolej Universiti Islam Selangor
Kerjaya : Pelajar
Jawatan Dalam Persatuan :
Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, Timbalan Presiden GAMIS, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia

Pembahagian Masa

Menyentuh tentang pembahagian masa antara pelajaran dan gerakan mahasiswanya, Shazni Munir berkata, terlalu banyak pengorbanan yang dilalui. Namun, ia tidak semudah disangka. Begitupun, dia menyatakan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantunya.

Selain itu, dorongan keluarga banyak menyuntik semangatnya untuk terus memperjuangkan apa yang diyakininya. Walau bagaimanapun, dia mengakui, pada permulaan, agak sukar sebenarnya ibu bapanya menyatakan persetujuan.

"Namun selepas saya nyata dan terangkan kepada mereka bahawa apa yang saya lakukan hari ini adalah kerana keyakinan sebenar, mereka tanpa berbelah bahagi memberikan sokongan sehingga hari ini.

"Begitu juga dengan rakan-rakan yang banyak membantu saya sehingga hari ini. Banyak sudah pengorbanan yang mereka lakukan dan saya mengucapkan terima kasih," katanya tanpa berselindung.

Posted by SiswaLaNie on 3:51 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Shazni Munir Tabah Hadapi Ujian Dan Dugaan

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery