PUTRAJAYA, 29 Julai: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mendesak kerajaan Malaysia meneliti kes pembuangan pelajar Malaysia di Mesir kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.
Seorang pelajar Darul Ifta', Firdaus Mazlan dibuang universiti kerana disyaki menjadi penggerak kepada perhimpunan Bersih 2.0 di Mesir sedangkan beliau merupakan pelajar semester akhir.
Desakan tersebut dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Wisma Putra Kementerian Luar Negeri, dekat sini hari ini.
Memorandum tersebut turut membantah tindakan Jabatan Penuntut Mahasiswa Kaherah (JPMK) yang mengambil tindakan menarik balik biasiswa terhadap mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.
Selain itu, Gamis juga membantah tindakan kedutaan Malaysia yang ingin mengharamkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kerana didakwa menghasut mahasiswa menyertai perhimpunan Bersih 2.0.
Naib Presiden Korporat dan Pengantarabangsaan Gamis, Abdul Razak Omar berkata, Gamis tidak mahu isu kebajikan pelajar Malaysia di luar negara dicemari dengan campur tangan politik.
"PMRAM hanyalah sebuah badan yang menguruskan kebajikan pelajar Malaysia di Mesir, tidak ada campur tangan politik. Kami tidak mahu isu kebajikan pelajar dilibatkan dalam mana-mana isu politik," kata beliau selepas penyerahan memorandum tersebut.
Sehubungan itu, Gamis menggesa Wisma Putra membuat kenyataan secara terbuka berhubung pendirian mereka dalam isu melibatkan mahasiswa ini.
"Kita minta Wisma membuat respons melalui media mengenai tuntutan kita dan nyatakan pendirian mereka," katanya.
Tiada laporan daripada kedutaan
Sementara itu, Razak berkata, pihak Wisma Putra memberitahu Gamis bahawa mereka tidak menerima laporan daripada Kedutaan Malaysia di Mesir berhubung perkara ini.
Mereka juga mendakwa kes buang universiti dan kebajikan mahasiswa terletak di bawah tanggungjawab KPT.
"Kami minta Wisma Putra berbincang dengan pihak KPT mengenai perkara ini," katanya.
Sementara itu, setiausahanya, Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memainkan peranan dalam kes melibatkan kebajikan mahasiswa Malaysia di luar negara.
"Selain menunggu maklum balas daripada pihak Wisma Putra berhubung tuntutan kami, Gamis juga akan menyerahkan memorandum ini ke KPT dan memohon KPT campur tangan," katanya.
Selain itu, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan majlis solat hajat melibatkan mahasiswa Islam di seluruh kampus di negara ini sempena Ramadhan ini.
"Kami akan mengambil tindakan selanjutnya dengan mengadakan majlis solat hajat besar-besaran dan berdoa agar tekanan terhadap semua mahasiswa kita di Mesir dihentikan dan dapat meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah," katanya.
Turut bersama dalam penyerahan itu ialah Naib Presiden Gamis, Azahal Bangsawan, Ketua Penerangan, Mohd Yusof Hadhari, Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan, Mohd Ridhuan Che Hussein.
KAHERAH, 27 Julai - Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menyatakan bahawa pihak PMRAM akan bertemu dengan pihak kedutaan pada 28 Julai 2011 di Mohandessin berhubung isu mahasiswa.
Pertemuan itu dibuat apabila pihak KBMK meminta untuk PMRAM datang berjumpa bagi menyatakan beberapa perkara penting hasil pejumpaan dengan Syeikuhl Azhar pada Isnin lalu.
Bahkan ia rentetan ekoran perjumpaan pihak PMRAM yang
diwakili oleh Presiden PMRAM bersama Dr
Umar Abdullah
Kamil pada 27
Julai di mana Dr
Umar Abdullah
Kamil meminta untuk diadakan pejumpaan antara PMRAM dengan KBMK bagi membincangkan segala masalah yang
berlaku.
"
Beliau (Dr
Umar Abdullah
Kamil)
sendiri telah menghubungi saya bagi meminta pertemuan antara PMRAM dengan pihak KBMK.
Selain itu, beliau
telah menghubungi Syeikhul
Azhar dan Rektor
Azhar mengenai
perkara ini," jelas
Presiden PMRAM.
"Justeru,
PMRAM menghormati permintaan dan nasihat yang diberikan
oleh beliau. Kita bersetuju
untuk berjumpa dan
telah membalas jawapan email
pihak KBMK mengenai
pertemuan pada 28
Julai 2011
di Mohandessin," tambah beliau lagi.
Apa yang
penting bagi PMRAM,
isu mahasiswa dapat diselesaikan
dengan cara yang baik dan profesional
bagi membuka lembaran yang baru sebagaimana yang dipinta
oleh Dr
Umar Abdullah
Kamil.
Tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu menyerahkan senarai nama mahasiswa institut pengajian tinggi awam untuk diambil tindakan mendapat tentangan NGO dan aktivis mahasiswa.
Mereka rata-rata berpendapat "hukuman" tersebut bertujuan menyekat hak mahasiswa untuk bersuara.
Menurut Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Ahmad Syazwan Muhamad Hasan, tindakan itu dilihat sebagai tidak demokratik dan bersifat menghukum.
"Usaha KPT sepatutnya bukan mewakili kepentingan parti politik, mereka (KPT) perlu menjadi jururunding untuk mahasiswa bagi menjelaskan perkara ini (lapan tuntutan BERSIH)," katanya
Ahmad Syazwan (
kiri) juga mempersoalkan tindakan terbaru kementerian itu yang sebelum ini didakwa membiarkan mahasiswa yang terlibat mengadakan demonstrasi menentang dasar kerajaan Pakatan Rakyat tidak diambil tindakan.
Beliau mengingatkan kembali kepada perhimpunan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UITM) di Shah Alam tiga tahun lalu bagi menentang cadangan membuka universiti itu kepada pelajar bukan bumiputera.
"Mereka (kementerian) perlu berfikir panjang. Kenapa tidak ambil tindakan ke atas pelajar UITM?" soal Ahmad Syazwan kembali.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam dilaporkan masih
menunggu laporan daripada polis berhubung pembabitan penuntut institusi pengajian tinggi awam dalam perhimpunan Sabtu lalu.
Menurutnya, selepas diterima, ia akan diserahkan kepada universiti terbabit untuk tindakan lanjut.
Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dan Kumpulan Anak Muda Sayang Malaysia hari ini membuat laporan polis terhadap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) berhubung seruannya kepada masyarakat Cina supaya menyediakan stok makanan bagi menghadapi perhimpunan BERSIH 2.0.
Laporan itu dibuat oleh Muhammad Zaki Sukery Timbalan Presiden GAMIS juga Jurucakap Anak Muda Sayang Malaysia di balai polis Travers pada jam 2.05 petang ini.
Beliau turut diiringi beberapa anggota Kumpulan Anak Muda Sayang Malaysia termasuk Naib Presiden Gamis, Abdul Razak, ketua penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari, Presiden SMM, Ahmad Syukri Abd Razab serta Presiden PMI UPM, Hazim Mohd Noh.
Dalam laporan polis itu, Muhammad Zaki mendakwa Ibrahim telah mengeluarkan kata-kata yang didakwa berbaur hasutan yang berunsurkan keganasan yang ditujukan secara khusus kepada kaum Cina apabila mengarahkan mereka jangan keluar rumah dan perlu menyimpan stok makanan dirumah jika perhimpunan BERSIh tidak dibatalkan.
Kenyataan tersebut dibuat sewaktu pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman Ahad lalu.
"Saya memandang bahawa kenyataan provokasi dan berbaur hasutan daripada PERKASA, terutamanya daripada Presidennya, Datuk Ibrahim Ali ialah kenyataan yang pre-matang, tidak berpijak di alam realiti dan mahu menganggu ketenteraman awam dalam negara. Kenyataan yang dibuat juga berbaur rasis dan cuba mencetuskan ketegangan antara kaum seterusnya membuktikan bahawa bukan BERSIH sebaliknya PERKASA yang sebenarnya mahu menimbulkan kekecohan dan kacau-bilau dalam negara," katanya.
Dalam laporan itu, Muhammad Zaki mendakwa perbuatan Ibrahim adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan.
"Kami dengan ini menuntut agar Ibrahim Ali Presiden PERKASA supaya disiasat dan dikenakan hukuman sewajarnya supaya kenyataan-kenyataan sebegini tidak lagi berulang pada masa depan." Katanya lagi.
Seksyen tersebut merujuk kepada perbuatan, mengedar atau membuat kenyataan yang berbentuk hasutan dan mengajak membuat jenayah.
Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (Gamis) melancarkan kempen “Anak Muda Sayang Malaysia”. Kempen tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan anak muda dan juga kebolehan anak muda dalam mencorak masa depan Malaysia.
Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari menyatakan bahawa “Anak Muda Sayang Malaysia” merupakan jenama yang kita bawakan untuk masyarakat khususnya, untuk anak muda turun bersama dengan masyarakat, dalam pelbagai bentuk inisiatif termasuk pogram-pogram yang telah kita rancangkan. Baru-baru ini kita turun di bangi dalam satu bentuk forum bertajuk “Sinergi Kasih Ibu” sebagai memperingati Hari Ibu kita sambut beberapa hari yang lalu.
Tambahnya lagi, kita sudah susun beberapa bentuk pogram susulan serta berperingkat. Kita harapkan keterlibatan anak muda akan lebih bertambah dan kita juga harapkan penerimaan baik masyarakat Malaysia terhadap usaha yang anak muda lakukan ini. Kita juga baru sahaja melancarkan laman blog dan fecebook khas sebagai rujukan dan juga sebagai media untuk anak muda lontarkan pandangan.
Dia menambah bahawa anak muda perlu ada media tersendiri untuk lontarkan pandangan dan kritikan kepada kerajaan negeri dan juga pusat. Pihak atasan perlu mendengar dan memberi ruang untuk anak muda bersama mencorak masa depan Negara.
Isu cukai tanah di Universiti Utara Malaysia (UUM) belum berakhir. Pihak UUM masih belum putus asa untuk terus merayu buat kali ke tujuh, meminta kerajaan negeri Kedah memberikan rebat cukai tanah sehingga mereka hanya perlu membayar RM100 ribu sahaja berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar.
UUM meminta kadar semurah itu untuk tempoh lima tahun. Cukai tanah bagi tahun 2011 sepatutnya perlu dijelaskan segera untuk mengelak dari didenda. Tarikh akhirnya ialah 1 Jun 2011.
Antara alasan yang dikemukakan UUM dalam rayuannya untuk mendapatkan rebat ialah UUM bukan institusi pengajian tinggi yang berorientasikan keuntungan. Benarkah langsung tidak berorientasikan keuntungan?
Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat- syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta. Semua keuntungan itu dibuat di atas tanah yang dikategorikan untuk IPTA, bukan tanah premis perniagaan. Apa salahnya gunakan keuntungan besar yang 'tidak disengajakan' itu untuk menjelaskan cukai.
Satu lagi alasan yang diberikan ialah keluasan tanah UUM adalah 1,104.3 hektar tetapi hanya 57 peratus dari keluasan tanah tersebut atau 627.8 hektar sahaja yang dibangunkan. Orang kampung yang mengusahakan sawah padi tetap perlu membayar cukai tanah meskipun pada tahun tertentu sawah mereka dilanda banjir.
Kadar cukai tanah yang dikenakan ke atas IPTA itu ialah RM0.20 bagi satu meter persegi, bermakna jumlah keseluruhan ialah RM1,744,357.00.
Bagaimanapun berlaku pengambilan sejumlah kecil tanah UUM iaitu 3119.3662 meter persegi menyebabkan taksiran cukai berkurang menjadi RM1,743,735.00.
Kadar RM0.20 bagi satu meter persegi adalah kadar cukai tanah mengikut semakan hasil tanah pada 2005 yang menjadikan cukai tanah UUM sebanyak RM1,743,735.00. Cukai tersebut tidak dikira mengikut rebat cukai yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2008 iaitu pada kadar RM0.30
bagi satu meter persegi.
Jika rebat tersebut diikuti maka cukai tanah yang baru bagi UUM ialah RM2,615,602.00!
Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah dilaporkan tidak bersetuju terhadap rebat oleh UUM itu kerana ia boleh dijadikan 'precedent case' atau kes duluan untuk dijadikan rujukan . Hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri Kedah dari tanah-tanah milik Persekutuan di negeri ialah RM31
juta setahun.
Jika UUM diberikan rebat, bayangkan jika semua jabatan Persekutuan tersebut, khususnya IPTA membuat rayuan terhadap kerajaan negeri menggunakan alasan yang sama yang digunakan UUM; maka ia meletakkan kerajaan negeri dalam dilema kerana tidak adil dalam melayan
pembayar cukai tanah.
UiTM Merbok dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, lebih sekali ganda dari yang ditanggung UUM. Bagaimana jika UiTM Merbok pula yang meminta rebat, kerana alasan mereka lebih kuat untuk meminta rebat?
Sepanjang tiga tahun memberi rebat pada UUM (2006-2009) kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM4,933,071.00.
Sekiranya permohonan untuk mendapat jumlah rebat yang sama dipanjankan lagi selama lima tahun maka negeri akan kehilantgan hasil sebanyak RM8,218,675.00. Jumlah tersebut adalah terlalu besar untuk bukan sebuah negeri maju macam Kedah.
Jika pihak UUM masing 'membuat bising' kononnya kadar cukai tanah RM0.20 satu meter persegi yang dikenakan terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar, maka eloknya kita meneliti kadar cukai tanah yang dikenakan terhadap IPTA di negeri lain sebagai rujukan.
USM Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi.
Manakala semua premis milik Pusat seperti sekolah, balai polis, hospital dan lain-lain yang
didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan maka kadar untuk satu meter persegi ialah RM0.55. Semua premis tersebut tidak sibuk meminta rebat, UUM pula yang tiba-tiba menjadi Universiti Uzur Malaysia.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan yang berpihak kepada UUM. Cakapnya 'double standard' kerana dia tidak mengulas hal yang sama bagi UNIMEPS atau mana-mana IPTA yang terletak di negeri-negeri ditadbir BN.
Sepatutnya negeri BN menjadi contoh dalam memberi rebat 'gila-gila' itu kepada semua IPTA yang terdapat di negeri masing-masing, tapi ia tidak berlaku.
Di Kedah, di mana sahaja ceramah politik BN diadakan maka isu cukai tanah UUM menjadi isu wajib untuk diulas. Ini menunjukkan bahawa permohonan rebat oleh UUM terhadap kerajaan negeri bukan ikhlas demi pembangunan pendidikan tetapi lebih menjurus kepada provokasi
politik.
Apabila nanti kerajaan negeri menolak maka bolehlah jentera propaganda mereka menjelaskan kepada seluruh rakyat jelata bahawa kerajaan negeri menindas institusi pengajian tinggi. Jika itulah maksud yang tersirat dari apa yang tersurat, maka 'eloklah' mereka meneruskan niat busuk
tersebut. Kita serahkan pada rakyat untuk menilai.
Universiti Malaya, 14 Mei : Berikut adalah senarai terkini (setelah dikemas kini) nama pelajar Universiti Malaya yang telah menerima surat amaran daripada Jawatankuasa Tindakan Tatatertib Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM (HEP UM) setakat ini (Sabtu, 14 Mei 2011) :
1) Mohd Syahid (YDP MPMUM 2010/2011)
2) Izzuddin Hilmi (Setiausaha SMM)
3) Mohamad Aizat Roslan (Pro-M)
4) Mohd Sabri Jamaluddin (Jurucakap Pro-M)
5) Mohd Syahrul Deen (Pro-M)
6) Ahmad Syazwan Muhammad Hassan (Presiden GAMIS)
7) Mohd Zulramzie (Pro-M)
8 ) Mohd Akmal (Pro-M)
9) Mohd Fikhri Haron (Pro-M)
10 ) Mohd Amirul (Pro-M)
11) Mohd Hafiz Ilyas (MPMUM 2009/2010)
12) Mohd Fadzil Jamal (MPMUM 2009/2010)
13) Mohd Asri Zulkifli (Presiden SPKUM)
14) Ahmad Kamilin Ahmad Husni (Pro-M)
15) Mohd Farid Jalpah (Pengerusi Pro-M 2010/2011)
Kesemua 15 pelajar di atas dituduh atas kesalahan mengadakan sidang media (Akta 15 C) tanpa kebenaran pihak Naib Canselor kerana :
1) Mengadakan himpunan haram di kawasan kampus (melebihi 5 orang) iaitu Akta 9.
2) Mengancam keselamatan universiti.
Dan 15 pelajar terbabit perlu hadiri proses prosiding yang akan dijalankan pada 20 Mei nanti (Jumaat) pada pukul 9.30 pagi di Bilik Mesyuarat HEP, Aras 2 Blok E, Kompleks Perdana Siswa ,UM. – GZDaily
Sumber : Pro-M UM
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru mahasiwa supaya hadir ‘Hari Kemarahan Rakyat’ di Masjid Negara esok bagi menyatakan anak muda menolak politik fitnah dan jijik.
Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari berkata seluruh mahasiswa wajar untuk turut sertai perhimpunan itu, bagi menyatakan pendirian sebagai anak muda yang menolak sama sekali politik fitnah dan jijik yang kian parah serta menjadi permainan dalam pentas politik negara sekarang ini.
“Saya yakin dan percaya, kehadiran mahasiswa esok akan memberikan mesej yang jelas kepada kerajaan dan juga masyarakat bahawa mahasiswa dan anak muda tegas menolak budaya politik kotor dan inginkan kembalinya nilai-nilai kebaikan dalam berpolitik iaitu kembali kepada politik Islam.
“Oleh itu, saya selaku Ketua Penerangan Gamis menggesa dan menyeru mahasiswa dan anak muda sekitar Lembah Klang terutamanya dan seluruh mahasiswa yang lain bergabung tenaga dan bersama turun menyatakan pendirian kita,” tegasnya.
Menurutnya, isu yang cuba dibawa oleh Datuk Eskay Shazryl Abdullah semasa melafazkan sumpah di Masjid Amru Al-As baru-baru ini termasuk dalam hukum qazaf dan bukannya mubahalah.
"Kerajaan harus terlibat secara langsung bagi menegakkan hukum Islam yang menjadi tuntutan, kerana keengganan untuk melaksanakan hukuman tersebut membawa kepada padah seperti mana yang berlaku sekarang ini,” tegas beliau.
‘Hari Kemarahan Rakyat’ anjuran Gerakan Saf Anti Fitnah (Saf), Angkatan Muda Keadilan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Masjid Negara, esok.
Program tersebut akan bermula jam 12 tengah hari dengan mengumpulkan kesemua NGO dan demonstrasi akan bermula selesai solat Jumaat.