Mutakhir ini kita melihat negara semakin dihimpit dengan sikap politik kotor yang dangkal dan jijik mainan pemimpin yang hanya mahu terus kekal berkuasa.
Saban hari, hampir keseluruhan media menyajikan hidangan pemikiran kotor kepada generasi muda untuk menggambarkan suasana sebenar politik negara.
Media yang dikawal secara jelas dan berterusan menjadi boneka menjalankan propaganda liar yang tidak matang untuk ditatap oleh anak muda yang akhirnya menjejaskan kualiti generasi hari ini.
Perancangan anak muda terbantut apabila kehidupan diasak hebat dengan cara pemerintah mentadbir urusan rakyat. Ia sebenarnya adalah bukti beban dan punca masalah generasi ini.
Kos sara hidup yang meningkat, hutang yang semakin membebankan, keadaan dan persekitaran semasa yang tidak memberikan jaminan keselamatan memberi gambaran kepada generasi muda bahawa harapan untuk mempunyai sebuah kehidupan yang bernilai pada masa hadapan pudar dan lenyap.
Peningkatan masalah sosial dan akidah remaja semakin teruk dan membimbangkan. Saban hari muncul permasalahan baru dikalangan remaja yang dilaporkan.
Namun, ia hanya menjadi topik perbualan pinggiran dan tidak dibahaskan secara serius yang akhirnya meletakkan nasib mereka seolah-olah sedang diperjudi dan digadaikan atas nama kuasa.
Anak muda disajikan dengan hiburan yang terus melalaikan dari memikirkan kedudukan dan peranan mereka dalam sebuah negara yang bertamadun.
Manakala, pemerintah dilihat lebih senang melihat generasi ini untuk lalai dan tidak memikirkan langsung usaha meningkatkan kualiti kehidupan, yang seharusnya digarap melalui pendidikan, tahap kefahaman agama dan nilai kemasyarakatan yang lebih bertanggungjawab.
Namun, perkara yang penting dan perlu diberikan perhatian ialah nasib dan hala tuju generasi muda.
Tumpuan dan perhatian khusus kepada generasi ini perlu diberikan sehabis daya dengan fokus, kerana generasi ini adalah insan yang akan meneruskan perjuangan pada masa akan datang.
Sekiranya kerajaan masih meneruskan lanskap politik dinegara ini secara semberono dan membabi buta, apakah yang menjadi harapan kita untuk melihat generasi muda mencipta sebuah perubahan?
Kerana itulah anak muda keseluruhannya diseru untuk melakukan perubahan agar dilihat sebagai suatu kumpulan pendesak yang digeruni oleh pemerintah yang tidak tahu dan menghormati hak generasi ini untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik dan terjamin.
Ayuh anak muda kita berubah !!!
Tidak ramai yang tahu, tidak ramai yang ambil tahu apatah lagi berbuat sesuatu. Tidak heboh di media arus perdana, supaya masyarakat tak banyak soal. Namun, inilah realitinya nasib kolej yang pertama berdiri di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kolej Mohamad Rashid (KMR), usianya tidak setua usia penjara pudu, dinding dan lantainya masih kukuh berdiri. Hanya kerana masalah pendawaian (wiring), kos baikpulihnya didakwa terlalu besar, justeru KMR diisytihar tidak selamat.

Atas nama pembangunan, nasib kolej ini hampir sama seperti Penjara Pudu di kotaraya Kuala Lumpur. Penjara Pudu salah satu warisan bangunan lama berdiri di negara kita.
Bezanya, Penjara Pudu tempat orang bersalah dan KMR tempat golongan terpelajar. KMR akan dirobohkan dan dibina bangunan baru berfungsi sebagai kompleks dan kolej.
KMR adalah warisan UPM. Pembinaannya di atas tapak estet Serdang oleh Macmillan and Company yang pada awalnya dikenali sebagai Kolej Kediaman Pertama.
Kolej inilah teratak sebahagian profesor dan doktor-doktor di UPM yang dahulunya sejak UPM dikenali sebagai sekolah pertanian.
Sekilas pandang, projek ini memang memberi manfaat kepada UPM dan warganya. Itu tidak dinafikan.
Namun, penulis mula musykil dengan ketelusan pentadbiran untuk laksanakan projek ini apabila wakil pelajar KMR meminta laporan rasmi kerosakan bagi membuktikan KMR tidak selamat, TNC HEPA dan Pejabat Pembangunan berdalih dan beralasan untuk serahkan, rupa-rupanya belum ada laporan kerosakan KMR dibuat. Ini berlaku kira-kira pertengahan Mac lalu.
Lebih menghairankan, ada wakil KMR mendakwa mereka pernah ditunjukkan cadangan rekabentuk kompleks baru yang akan didirikan. Namun, apabila mereka minta laporan rasmi kerosakan KMR, tidak diberi pula.
Datangnya cadangan projek terlebih dahulu sebelum laporan rasmi kerosakan dikeluarkan. Ini petanda projek dilaksanakan tidak telus.
Oleh itu, penulis beranggapan KMR dirobohkan untuk membolehkan projek bernilai jutaan ringgit itu diteruskan. Persoalannya, mengapa di tapak KMR itu kompleks baru dibina? Sedangkan tanah umpama padang ragut di UPM masih luas.
Penulis tidak menolak pembangunan di UPM. Penulis hanya mahu luahkan rasa kecewa penulis terhadap pentadbiran universiti yang tidak telus dalam melangsungkan projek sebesar ini. Banyak lagi perkara yang disembunyikan pentadbiran dari pengetahuan awam. Belum lagi penulis sentuh tentang kesan-kesan projek ini dibuat.
Penulis mahukan ketelusan pentadbiran UPM dan tidak terlalu berdolak-dalih dengan pelajar sehingga timbulnya rasa kurang senang terhadap pentadbiran universiti penyelidikan ini.
Alumni-alumni, pelajar-pelajar dan warga UPM, ingatlah KMR sebagai warisan UPM akan hilang. KMR akan roboh hanya kerana pembangunan yang dibuat dengan rasa dukacita dan kecewa pelajar serta mereka yang cintakan keadilan dan integriti. Kalau sudah roboh, menangislah air mata darah sekali pun, kompleks baru tetap tidak sama dengan KMR.
Pentadbiran gagal meyakinkan pelajar dan warga UPM. Penulis tetap beranggap bahawa KMR dirobohkan hanya untuk membolehkan projek baru dibuat demi kepentingan ekonomi. Bukannya kerana KMR tidak selamat lagi didiami. Bukankah tanah di UPM masih luas?

Pada 27 Mac 2008 yang lalu, umat Islam seluruh dunia digemparkan dengan kewujudan filem “Fitna” yang jelas memburukkan Islam dihasilkan oleh Menteri Kabinet Belanda Geert Wilders. Pada awal April baru-baru ini, digemparkan pula Parti Haiwan dari Belanda yang berjaya merampas 2 kerusi di parlimen dikhabarkan berjaya mendapat sokongan untuk mengadakan pengundian bagi menghapuskan undang-undang penyembelihan haiwan secara Islam. Majoriti wakil rakyat Belanda menganggap kaedah penyembelihan halal yang diamalkan umat Islam bersifat kejam terhadap haiwan sehingga satu rang undang-undang mengenainya akan didebat di parlimen pada hujung bulan ini. Cadangan untuk mengharamkan penyembelihan ini ditentang hebat oleh komuniti Islam dan Yahudi di sana. Sekiranya cadangan itu diluluskan, maka sukar bagi komuniti Islam di sana untuk mendapat daging yang halal.
Mereka menganggap bahawa perbuatan menyembelih haiwan yang dilaksanakan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha. Hakikatnya, kaedah penyembelihan yang digariskan oleh Islam adalah yang terbaik bukan sahaja untuk kebaikan haiwan tersebut malah memberi manfaat kepada kesihatan manusia. Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit.
Sabda Nabi saw bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya itu” (Hadis riwayat Muslim).
Selain itu, dalam etika sembelihan juga, haiwan yang disembelih juga tidak disembelih di hadapan haiwan lain dan pisau tidak diasah di hadapan haiwan yang bakal disembelih. Proses penyembelihan dilakukan dengan memutuskan saluran pernafasan (halqum) dan saluran makanan (mari’) dan kedua-dua urat karotid dan jugular untuk mempercepatkan pengaliran keluar darah dan kematian haiwan. Melalui penyembelihan, darah daripada haiwan akan dikeluarkan secara total di mana daging yang dihasilkan adalah bersih dan bebas daripada jangkitan kuman dan mikroorganisma yang bersumber daripada darah itu seterusnya daging yang dihasilkan adalah berkualiti.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 3,
Maksudnya: “Diharamkan bagimu memakan bangkai, darah, daging babi, daging binatang yang disembelih selain nama Allah, mati kerana tercekik, dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam binatang buas kecuali yang sempat kamu menyembelihnya”
Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 118
Maksudnya: “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya”
Selepas berlakunya penerbitan filem “Fitna”, sebagai tanda protes, ramai dikalangan umat Islam yang memulaukan produk keluaran Belanda daripada membelinya dan saya merasakan pemulauan ini perlu berlaku secara berterusan kerana sekiranya pemulauan dilakukan secara berterusan oleh seluruh umat Islam, maka saya yakin ekonomi Belanda akan lumpuh kerana komposisi umat Islam adalah meliputi sebahagian besar penduduk dunia. Dalam konteks ini, kita perlu meletakkan Islam dan kepentingan umat Islam daripada keperluan individu jika mahukan pemulauan ini berkesan.
Selain itu, penghasilan produk-produk Muslim perlu dipertingkatkan di seluruh dunia khususnya Malaysia serta tidak lagi bergantung secara total kepada produk-produk keluaran Barat terutamanya produk makanan. Secara kasarnya, hanya 10% produk makanan dikeluarkan oleh syarikat bumiputera Islam dan kebanyakan produk-produk ini adalah dari syarikat-syarikat IKS yang tidak mudah untuk menembusi pasaraya-pasaraya besar di negara kita. Maka sebagai umat Islam, Kita perlu mengubah sikap dan beralih kepada produk-produk keluaran umat Islam sendiri dan memberi sokongan 100% tanpa berbelah bagi.
Saya mengharapkan cadangan untuk mengharamkan penyembelihan haiwan secara Islam di Belanda itu ditarik semula demi kemaslahatan umat Islam di sana dan sekiranya ia berlaku, seluruh umat Islam perlu bangkit untuk memprotes tindakan tersebut.
Maryam 'Afifah Bt Abdul Latif
Timbalan Bendahari GAMIS
Jurusan Sains Makanan & Pemakanan UKM
Apabila disebutkan politik, ramai khalayak menghalakan maksudnya kepada parti politik. Kefahaman awam secara dasarnya masih kabur dan kurang jelas dengan definisi politik dan parti politik. Sudah semestinya, politik adalah sesuatu yang berbeza maknanya dan mempunyai skop yang lebih luas.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (www.dbp.gov.my), Politik adalah segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah Negara atau hubungannya dengan negara lain. Walaupun ia biasanya digunakan untuk merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh di dapati di dalam bidang korporat, akademik dan lain-lain. Secara sedar atau tidak, setiap hari kita sebagai insan berpolitik. Dari bangunnya kita di pagi hari sehinggalah tidurnya kita di malam hari.
Secara literalnya, Parti Politik bermaksud satu golongan (kumpulan) orang yang bergerak untuk tujuan (dasar dll) yg sama dalam politik. Parti politik juga boleh difahamkan sebagai suatu pertubuhan politik di mana ahlinya mempunyai ideologi serta agendanya tersendiri. Secara jelas, tujuan parti politik ditubuhkan adalah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi parti yang memerintah. Dengan menjadi parti pemerintah, penerapan ideologi dan agendanya dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. Mandat yang diberikan oleh rakyat bermakna rakyat yakin dan percaya dengan agenda dan pembawaan sesuatu parti, sama ada parti itu baru ataupun lama.
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Maksud demokrasi yang mudah difahami di zaman moden ini ialah “form of government, where a constitution guarantees basic personal and political rights, fair and free elections, and independent courts of law” (satu bentuk kerajaan, di mana perlembagannya menjamin hak asasi dan hak politik, pilihanraya yang adil dan badan kehakiman yang bebas). Ini bermaksud, kewujudan pihak pembangkang adalah sesuatu yang biasa di dalam sesebuah sistem demokrasi. Berlawanan pula dengan konsep kerajaan secara Totalitarian, yang menganggap pembangkang adalah musuh dan patut dihapuskan.
Pembangkang di dalam sesebuah sistem demokrasi ialah merupakan satu kumpulan pengimbang yang mengimbangi kuasa kerajaan. Parti memerintah sebagai kerajaan, akan bertindak dengan lunas-lunas yang akan menjamin kesejahteraan rakyat dari semasa ke semasa. Jika kerajaan gagal menangani sesuatu masalah atau mendatangkan satu cadangan yang baik, maka pembangkang akan mengisi kelompongan ini secara tidak langsung. Baik atau tidak cadangan dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, hanya rakyat yang menilai. Pernilaian berterusan akan berlaku di pihak rakyat jelata dan bila mana tiba pilihanraya bagi memilih kerajaan setiap lima tahun, segala perkara ini akan ditimbang bagi memilih kerajaan seterusnya. Adakah terus kekal dengan parti pemerintah yang sedia ada atau memilih parti pembangkang bagi menjadi kerajaan seterusnya, pilihannya di tangan rakyat.
Kami, di pihak Pro-Mahasiswa melihat mahasiswa sepatutnya menjadi kuasa ketiga (third force) di Malaysia. Mahasiswa berupaya mengkritik pihak kerajaan dan pada masa yang sama membidas pihak pembangkang. Suara mahasiswa wakil suara marhaen, suara jerih perit rakyat yang berupaya menentukan kerajaan di masa depan dengan memobilasi kekuatan. Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada mahasiswanya. Jika lemah, layu dan longlai, maka masa depan negara itu akan kelihatan suram dan kelam. Sebaliknya, jika mahasiswanya lantang, bersemangat dan berpendirian, maka kekuatan dan keampuhan negara masa depan akan mulai terbentuk.
Mahasiswa hari ini adalah pemimpin pada masa depan. Pemimpin-pemimpin yang hebat pada hari ini lahir daripada kepimpinan di peringkat kampus. Dato’ Saifuddin Abdullah, Dato’ Ibrahim Ali, Dato’ Seri Shabery Chik, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah nama-nama yang pernah menghiasi gerakan mahasiswa di kampus di sekitar tahun 60an dan 70an. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah (www.saifuddinabdullah.com.my) pernah mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa jangan memperkecilkan suara mahasiswa. Tumbangnya kerajaan Tunisia dan Mesir adalah dari satu revolusi yang digerakkan oleh mahasiswanya.
Sebagai kesimpulannya, kerajaan, parti politik dan mahasiswa adalah tiga elemen yang digaulkan bersekali namun tidak pernah bercampur. Kerajaan itu penting untuk memimpin sesebuah negara. Parti pembangkang itu penting bagi mengimbangi kuasa yang dipunyai oleh parti pemerintah. Mahasiswa atau anak muda yang terpelajar adalah unsur paling penting bagi menjamin kemandirian sesebuah negara di masa depan.
sumber : http://promahasiswauthm.blogspot.com/
Secara peribadi, saya merasakan isu cadangan untuk membina loji nuklear di Malaysia perlu dinilai secara adil oleh semua pihak. Hal ini perlu dinilai tanpa sebarang prejudis fahaman politik. Semua pihak perlu menilai secara halus berkenaan Pro dan Kontra cadangan tersebut. Hanya kerana Tsunami yang berlaku di jepun, pelbagai idea pesimis menerjah ruang media biarpun isu sebenar belum diperjelaskan oleh pihak kerajaan.
Nilai Isu Secara Adil
Saya juga terbaca beberapa pandangan yang bagi saya amat tidak wajar untuk dijadikan hujah dalam menafikan cadangan kerajaan untuk membina loji jana kuasa nuklear di Malaysia. Salah satu hujah yang menarik minat saya ialah terdapat pihak yang cuba mengaitkan peristiwa bumbung stadium runtuh sebagai kayu ukur dalam meragui keupayaan Malaysia untuk mengembangkan teknologi nuklear. Bagi saya, hujah ini adalah tidak adil dan terlalu bersifat prejudis terhadap kerajaan Malaysia. Mengapa tidak kita jadikan kehebatan binaan Putrajaya, Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar, Terowong SMART, dan perlbagai lagi projek mega kerajaan sebagai bukti Malaysia mampu merialisasikan cadangan loji nuklear ini. Saya kira perbandingan bumbung stadium runtuh ini adalah satu usaha propaganda pihak tertentu dalam membina persepsi negatif rakyat tanpa berlatarkan hujah ilmiah. Jika pun ingin mempertikaikan kemampuan Malaysia berhubung isu ini, mestilah berdasarkan fakta yang jelas menunujukkan kelemahan Malaysia dalam mengurus teknologi baru.
Mahasiswa Perlu Fokus Kepada Isu Sebenar Dan Bukan Propaganda
Saya merasakan mahasiswa sewajarnya memberi tambahan maklumat terhadap fokus perbincangan dan bukan sekadar bermain disekitar pesemisme terhadap isu. Saya kira ada beberapa isu yang sepatutnya menjadi tumpuan untuk mahasiswa memberi input tambahan untuk dipertimbangkan semua pihak. Antaranya isu keselamatan, isu kos, dan isu tenaga pakar dalam negara. Mahasiswa sewajarnya mampu memberi cadangan yang praktikal untuk ditimbang tara oleh pihak yang berkaitan. Dalam isu keselamatan misalnya, Kerajaan perlu memberi jaminan secara terperinci mengenai mekanisme keselamatan sekiranya pembinaan janakuasa nuklear dijalankan. Bukan sekadar keselamatan proses janakuasa, tetapi juga sektor keselamatan terhadap bahaya luar jangka. Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa ancaman bencana alam seperti di jepun tidak mungkin berlaku di Malaysia. Dalam masa yang sama kerajaan sendiri masih gagal memberi penjelasan kepada rakyat berhubung gegaran kecil yang semakin kerap berlaku di Malaysia.
Menyentuh kos pula, dibandingkan dengan janakuasa minyak dan nuklear, ternyata kos untuk mendapatkan rod uranium adalah terlalu mahal disamping kos pembinaan reaktor janakuasa yang sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan sistem janakuasa sedia ada. Dalam keadaan ekonomi negara yang masih tidak stabil, apakah wajar kerajaan membelanjakan kewangan yang besar untuk pembinaan loji nuklear ini sedangkan sumber tenaga sedia ada masih mampu menampung keperluan negara. Saya kira, dengan peruntukan yang sebegitu besar lebih sesuai digunakan untuk menaiktaraf sektor-sektor yang boleh memberi kesan terus kepada ekonomi negara seperti sektor pertanian dan mengemaskini serta menaiktaraf industri petroleum.
Biar Rakyat Jadi Hakim
Dalam isu pembinaan loji nuklear 2023 ini, saya kira rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk memperjelaskan mengenai cadangan tersebut secara terperinci. Hanya dengan cara itu segenap lapisan rakyat akan lebih memahami mengenai latar dasar cadangan dan gambaran keseluruhan idea janakuasa nuklear tersebut. Saya juga mengharapkan agar tidak ada pihak yang membuat provokasi murahan bagi membangkitkan persepsi negatif rakyat terhadap usaha pihak kerajaan ini. Setelah rakyat benar-benar memahami, maka menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menerima apa juga pandangan dan kehendak rakyat mengenai cadangan tersebut.
Saya juga mengingatkan pihak kerajaan agar tidak mengulangi kesilapan dengan melaksanakan dasar-dasar yang membelakangkan rakyat. Isu PPSMI adalah pengajaran terbaik untuk pihak kerajaan mengambil iktibar agar setiap dasar yang ingin diputuskan oleh kabinet mestilah mengutamakan kehendak rakyat.
Ahmad Syukri Ab Razab
Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis.
Ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sewaktu membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Saya memulakan ucapan dengan membaca sepotong ayat Al-Quran, maksudnya, "Mereka adalah orang-orang yang diberikan peluang berkuasa di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengajak manusia kepada yang makruf, mencegah kemungkaran dan kepada Allah lah kembalinya segala urusan".
Saya juga mengambil kesempatan Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang saya rasa telah menyentuh tentang perkara-perkara penting yang menjadi teras kepada kekuatan negara ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara ini walau apa pun, walau bertukar kerajaan sekali pun perlembagaannya, kekuatannya akan tetap utuh dan memastikan rakyat supaya jangan bimbang kerana demokrasi ini mengizinkan peralihan kuasa, mengizinkan rakyat memberikan mandat kepada sesiapa pun.
Yang pentingnya mereka yang diberikan kekuasaan itu jujur dan amanah untuk memikul beban amanah ini yang dipertanggungjawabkan kepada kita, dunia dan akhirat.
Antara Titah yang penting yang saya ingin kekalkan dalam ucapan saya adalah tentang keselamatan negara, tentang justice dan keadilan, dan juga tentang kekuatan yang harus dibina kepada orang-orang muda dalam negara kita. Saya hendak ucap tahniah kepada rakan saya daripada Pengerang. Walaupun kita berbeza parti tetapi dalam aspek untuk beliau menyatakan tentang orang muda dan juga tentang bagaimana kita melihat kekuatan yang ada kepada manusia itu harus dilihat secara objektif. Beliau, saya rasa telah mengusik sedikit pemikiran kita pada hari ini tentang bagaimana seharusnya kita memberikan kredit, memberikan pujian kepada mereka yang benar-benar layak. Bukannya kepada mereka yang semua dalam hidup ini memberikan pujian kepada kita.
Kita ada pengalaman bersahabat. Kalau sahabat itu siang malam memuji kita, tidak habis bercakap puji kita, mengampu kita, that mean something wrong dengan sahabat kita itu. Akan tetapi, kalau sahabat itu ada ketika dan kalanya memberikan sedikit pujian, mengkritik kita, memberikan kita teguran, itu adalah sahabat yang baik, yang dalam pelarian umur kita, akhirnya kita akan mendapati sahabat yang banyak mengkritik kita itu adalah merupakan sahabat yang baik, sahabat yang dianggap sahabat yang jujur dalam kehidupan kita.
Demikian juga kita dalam dunia demokrasi. Saya rasa kita harus melihat perkara-perkara yang melibatkan negara ini kepada satu skala yang lebih besar, bukan dalam minda yang sempit dan mengajak kita semua berfikir bahawa kita telah meninggalkan garisan kemerdekaan ini 50 tahun. Perkara pertama yang saya ingin katakan ialah tentang bagaimana seharusnya kita mengenal pasti tentang ancaman-ancaman baru.
Orang muda
Saya hendak bercakap daripada konteks orang muda, generasi muda yang harus kita bimbing pemikiran mereka dan potensi mereka ke arah menjadi orang muda yang bertanggungjawab.
Setiap parti ada keanggotaan pemudanya baik daripada pembangkang atau pun dari pihak Barisan Nasional. Akan tetapi, apa yang penting adalah tidak semua yang kita didik itu akhirnya akan pergi kepada parti kita. Ini pengalaman kita. Bila mereka telah keluar daripada universiti, tamat pengajian, mereka bebas untuk memilih parti yang mereka hendak pilih. Jangan kongkong mereka. Saya ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa cara kita melayani pelajar-pelajar kita dalam pilihan raya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan memalukan.
Kita kembali pada zaman kuno. Kita ugut pelajar-pelajar kita. Kita susahkan untuk mereka mengisi borang. Kemudian, ada kejadian-kejadian mereka di kidnap. Ada kejadian-kejadian mereka diugut dengan SMS yang berunsur jenayah. Kenapa ini harus berlaku dalam dunia kita pada hari ini sedangkan di sanalah tempat kita melihat potensi anak-anak muda ini perlu kita didik, perlu kita beri ruang untuk mereka berfikir, memilih dan untuk mereka membuat keputusan, untuk mereka menilai parti mana atau kerajaan mana yang mereka hendak pilih atau dalam konteks kampus, mereka memilih pemimpin yang mereka rasa yakin untuk mereka undi dalam konteks mereka.
Akan tetapi, kenapa kita layan mereka seperti itu? Kenapa kita bina minda generasi muda dalam keadaan yang sebegitu? Kita undur balik ke belakang. Kalau ada menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri yang bercakap tentang sedikit kebebasan yang perlu diberikan kepada mereka, kita sudah mula lihat menteri tersebut atau timbalan menteri tersebut mula dipinggirkan. Ini pemikiran yang saya rasa tidak setaraf dengan apa yang kita hendak bina dalam negara kita pada hari ini.
Potensi orang muda saya hendak beritahu. Apabila Alvin Toffler menulis buku The Third Wave , mungkin Alvin Toffler pun tidak menyangka hari ini dunia siber, era teknologi maklumat pada hari ini menjangkau satu kemajuan yang sangat luar biasa.
Kemudian, Samuel Huntington meramalkan the clash of civilization, dengan izin. Pertembungan antara agama, antara budaya tetapi nampaknya pertembungan dalam agama dan budaya tidak sehebat sebagaimana yang kita alami pada hari ini kemajuan IT. Sehingga hari ini kita melihat telah ada sarjana yang menulis dan meramalkan akan berlaku satu pertarungan yang hebat dalam apa yang dikatakan cyber warfare, peperangan siber, cyber attack.
Ini dipraktikkan dan ditunjukkan bagaimana Barack Hussein Obama menggunakan facilities ini, menggunakan facebook nya untuk menamatkan legitimasi atau pun keangkuhan orang kulit putih. Dalam kempen pertamanya, dalam saingannya bersama Hillary Clinton, Barack Obama menggunakan kaedah atau pun pendekatan change .
Ancaman baru dunia yang seharusnya difikirkan bersama dalam konteks saya memberikan pandangan konstruktif saya terhadap layanan kita terhadap orang-orang muda, potensi mereka dan juga keupayaan mereka sebagai suatu tenaga penting kepada negara satu hari esok.
Apabila kita bercakap tentang kehebatan dunia siber ini, saya menjelaskan sebentar tadi tentang bagaimana Barrack Hussein Obama telah menggunakan kaedah dan pendekatan ini dalam kempennya di peringkat awal bersaing dengan Hillary Clinton dengan slogan ‘Change Now’ dan menggunakan kekuatan Facebook dan Twitter dan kemudian beliau berjaya untuk ke langkah seterusnya bersaing dengan rakan beliau untuk merebut kerusi nombor satu di White House. Beliau telah menggunakan slogan ’The Change That We Can Believe In’, dengan izin, dan juga menggunakan Facebook dan Twitter ini sebagai bahan kempen utama Barrack Hussein Obama.
Dengan jelas ia membuktikan bahawa kekuatan walaupun mungkin tidak keseluruhannya tetapi faktor utama dalam sejarah terbaru Amerika dan dunia baru ini menyaksikan bagaimana seorang yang berkulit hitam boleh menjadi orang nombor satu di Amerika, orang nombor satu di White House dengan kekuatan jari-jemari golongan muda menggunakan pendekatan ini untuk mereka menunjukkan sikap politik mereka.
Kita apabila berhadapan dengan orang muda ini jangan diperlekehkan tentang keupayaan mereka, jangan diperkecilkan, jangan kita membuat suatu undang-undang yang walaupun pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman kepada mereka tetapi dalam satu waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu telah memperbodohkan mereka, mengheret pemikiran mereka ke arah zaman yang jauh jutaan tahun yang lalu, zaman batu, malah lebih dahsyat daripada itu. Dengan jari-jemari orang muda pada hari ini mereka boleh mengubah sejarah.
Saya ingin menyatakan dalam ucapan ini tentang fenomena dunia. Kita lihat perang dunia yang pertama telah mengubah sejarah Eropah Timur mendapat kemerdekaan. Negara seperti Hungary, Poland, Yugoslavia, Republic Chech dan seumpamanya merdeka selepas fenomena perang dunia yang pertama. Perang dunia yang kedua kita melihat bagaimana jatuhnya pelbagai empayar dan kita juga melihat Eropah Timur mendapat kemerdekaan keduanya dan seterusnya kita melihat dengan keupayaan dari fenomena itu akhirnya jatuh apa yang dikatakan the fall of the Berlin Wall . Jatuh dan runtuhnya Tembok Berlin.
Kemudian selepas cold war, selepas perang dingin, kita menyaksikan bagaimana negara-negara yang dahulunya diperintah oleh para diktator. Apa yang saya sifatkan sebagai Old Order ini runtuh satu demi satu dan fenomena ini berterusan kerana manusia itu akan terus potensinya berkembang kerana ia manusia. Ia bukan satu yang statik. Manusia ini pemikirannya walau satu waktu dahulu tidak berubah tetapi ia mesti berubah mengikut zaman dan keperluan apatah lagi dalam the third wave ini.
Maka, dengan sebab itulah kita melihat Old Order ini ataupun empayar-empayar besar dunia ini jatuh walaupun mereka ditekan dengan undang-undang yang zalim tetapi akhirnya mereka bangkit untuk mendapatkan hak mereka.
Maka, dalam dunia yang saya katakan tadi, dengan siber attack ini ada dua dimensi di situ. Dimensi pertama mereka menggunakan peralatan canggih ini untuk mereka menentukan sikap mereka. Hari ini kita melihat jatuhnya Hosni Mubarak di Mesir, jatuhnya empayar atau diktator di Tunisia, sekarang di Yaman, di Bahrain dan mungkin esok di Arab Saudi. Ini fenomena yang berlaku dan perhatikan dengan cermat bahawa semuanya berlaku pada negara-negara yang demokrasinya dibunuh ataupun negara yang tidak punya demokrasi walaupun dengan kekuatan persenjataan, kekuatan undang-undang memenjarakan mereka, menekan mereka, membunuh mereka tetapi ingat suatu hari manusia ini pasti akan bangkit.
Kita hari ini menyaksikan depan mata kita dan semua orang bercakap pada hari ini Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, Malaysia tidak mungkin akan jadi macam negara-negara lain tetapi saya ingin memberikan suatu pandangan yang mungkin unjuran yang jauh, yang mungkin tidak dapat diperakui pada hari ini. Jangan bunuh demokrasi pada orang muda pada hari ini. Kalau kita mengakui negara kita punya demokrasi, suburkan demokrasi itu dan jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda. Ini yang saya maksudkan kerana dengan jari-jemari mereka boleh merubah dunia.
Saya ingin menjelaskan satu lagi faktor dalam aspek ini ialah bahawa orang muda ini mereka boleh merubah sejarah, mereka boleh meruntuhkan empayar, mereka boleh menggunakan ruang siber yang ada pada hari ini untuk mereka mencapai tujuan mereka. Cuba kita bayangkan Hosni Mubarak yang belanjawan negaranya untuk tentera sahaja, untuk persenjataan sahaja, untuk kononnya bersaing dengan Israel berbelanja hampir 5% atau pun 6 % daripada KDNK mereka untuk kekuatan itu.
Orang dahulu takut terhadap bom atom. Hari ini dunia masih lagi berbincang tentang senjata nuklear tetapi apa yang berlaku pada hari ini tanpa bom atom, tanpa senjata nuklear, kerajaan boleh jatuh dengan cyber attack, dengan jari-jemari. Oleh itu bagi saya, kita harus melihat potensi anak muda ini untuk kita bangunkan.
Saya sendiri tidak mahu jadi seperti itu dalam negara kita. Akan tetapi kalau demokrasi ini tidak disuburkan, kalau tahun hadapan lagi kita melihat agaimana anak-anak muda kecewa dengan cara mereka diperlakukan dalam pilihan raya kampus, ini membakar semangat mereka. Mereka manusia, mereka human, mereka insan yang mahu suatu idealisme sebagai seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi dan jangan lagi layan mereka macam budak sekolah. Ini yang saya maksudkan supaya kita harus ingat tentang bahaya kalau kita mengongkong pemikiran manusia, mengongkong kehendak mereka, kita menyekat pemikiran mereka dan kita menggunakan undang-undang untuk mereka.
Kalau berlakunya pilihan raya kecil pun atau pilihan raya umum, kenapa tidak? Kalau ada fakulti sains politik..., di Universiti Malaya telah ada UMCEDEL, telah ada suatu badan bebas yang kita pertanggungjawaban mengkaji politik, UKM ada fakulti sains politik, kenapa tidak izinkan mereka turun? Kalau ada dua fakta yang kita ragui – sebagai contoh hari ini kalau kita menyatakan dengan fakta bahawa FELDA Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan falsafah asal atau matlamat DEB. Ia kita anggap bertentangan dengan kehendak Allahyarham Tun Razak yang pada waktu itu mahukan FELDA ini sebagai senjata yang dua serampang, membasmi kemiskinan dan menyusun kembali masyarakat. Kita mendakwa apa gunanya FELDA Plantation?
Kalau ada fakta yang begini, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat? Biar mereka melihat, biar mereka mengkaji tentang kebenaran fakta ini. Ini cara kita menyuburkan pandangan. Ini cara kita berhujah dalam dunia dan iklim politik yang sihat kalau kita mahu menjauhkan diri kita daripada politik fitnah dan seumpamanya. Akan tetapi kita sekat mereka. Kita kenakan undang-undang pada mereka. Kita gantung pengajian mereka. Kita gantung biasiswa mereka. Ini cara apa? Jadi saya rasa harus kita melihat perkara ini dalam suatu kehendak orang muda yang kita raikan pemikiran mereka.
Kalau suatu hari esok di kalangan mereka lahir sebagai pemimpin negara, rakyat yang untung, rakyat yang akan mendapat manfaatnya. Tidak kiralah sama ada mereka Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Kalau Barisan Nasional kalah, kita memerintah. Insya-Allah PR memerintah. Kalau kita kalah tidak mengapa, teruskanlah memerintah tetapi apa yang penting bagi saya ialah jangan bunuh potensi anak muda.
Kedua, saya ingin menyatakan tentang ancaman kedua kepada cyber attack ini iaitu apa yang dikatakan sekarang sebagai cyber terrorism.
Yang tadi mereka menggunakan seluruh kecanggihan peralatan untuk mereka bersaing, untuk mereka mencapai kehendak mereka. Dimensi yang kedua yang lebih bahaya adalah bagaimana hari ini dengan menggunakan dunia IT yang ada pada hari ini, peperangan siber ini juga kita melihat bahawa ancaman kepada kerajaan dan negara dengan apa yang saya sebut di sini sebagai cyber terrorism atau cyber security.
Sekarang sudah ada satu virus yang dikatakan stacks net. Satu virus yang telah dicipta untuk ia boleh dengan izin, disable computer system. Keupayaan keselamatan negara yang disimpan dalam data boleh dipunahkan dan boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.
Iran sekarang ini mengalami ancaman ini, Amerika sekarang ini mengalami ancaman ini. Bukan lagi nuklear, bukan lagi atomic bomb tetapi dengan virus yang dihantar melalui sistem kecanggihan IT. Adakah negara telah bersedia ke arah itu? Ini soalan saya kepada Kementerian Pertahanan. Kalau yang tadi itu menggunakan jari jemari mereka untuk meruntuhkan atau menjatuhkan kerajaan, menjatuhkan diktator, sekarang dengan virus stacks net ini, mereka melumpuhkan sistem keselamatan negara. Apa akan jadi kepada negara kita?
Ketenteraan
Saya suka untuk membuat sedikit perbandingan di sini tentang keprihatinan saya kepada negara, menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang peralatan fizikal ketenteraan kita. Ya, bukan kita mahu berperang dengan negara jiran.
Bukan itu matlamat kita, tetapi bila negara jiran dari tahun ke tahun meningkatkan belanjawan mereka dalam bidang ketenteraan, apa sikap kita? Saya membaca beberapa fakta di sini. Izinkan saya Tuan Yang di-Pertua.
Sejumlah RM35.5 bilion diperuntukkan bagi tahun kewangan Singapura 2011 bermula 1 April ini berbanding RM11.46 bilion pada tahun lalu untuk ketenteraan mereka. Untuk mengukuhkan hujah saya, data dari Stockholm International Peace Research Institute dari tahun 1990 hingga 2007, jelas menunjukkan terhadap enam tahun di mana bajet tentera diturunkan. Dahulu badan ini turut mendedahkan bahawa jurang antara Malaysia dan Singapura dalam perbelanjaan tentera berbeza hanya USD800 juta setahun pada tahun 1991 tetapi menjarak kepada USD1.3 bilion setahun pada tahun 1995.
Pada tahun 2008, Republik Singapura berbelanja lebih USD2.3 bilion lebih tinggi berbanding Malaysia. Bila data itu dikaji bagi tempoh 10 tahun, jurang perbelanjaan menjadi semakin besar. Ini jarak kita dengan Singapura dari segi mereka membeli senjata canggih mereka. Mereka ada stealth, pesawat tercanggih paling pantas di dunia. Apa yang ada di Israel, ada di Singapura. Mereka ada peluru berpandu. Mereka ada kereta kebal anti tank paling canggih yang ada pada hari ini. Kita ada apa? Kita ada dengan izin, disable weapon. Ada kapal selam pun tidak boleh hendak menyelam. Ada tiga kapal laut tentera yang ada pada hari ini, satu terbakar. Kita ada apa yang ada pada hari ini?
Bukan saya dengan niat untuk menghina negara sendiri tetapi ini peralatan yang kita ada pada hari ini. Kita ada skyhawk jenis apa, tahun berapa, kapasitinya bagaimana? Walaupun saya faham dan saya mengerti bahawa itu bukan untuk tujuan peperangan tetapi ini hakikat yang ada pada hari ini. Kalau ini pun kita tidak boleh hendak bina, apa pula persediaan kita dalam konteks cyber attack yang saya katakan tadi di mana dunia menghadapi ancaman cyber terrorism. Iran dilanda sekarang ini, negara Eropah dilanda dengan virus ini. Apakah persediaan kita terhadap perlindungan keselamatan data dalam negara kita?
Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, Balik Pulau sedikit penjelasan. Saya bersetuju dari segi aspek keselamatan negara. Cuma, yang saya juga mohon Yang Berhormat Kubang Kerian beri sedikit pandangan ialah mengenai ketika era apa yang dipanggil sebagai the era of soft power, bajet kita kepada Kementerian Luar untuk teman-teman kakitangan kerajaan terutama untuk mewakili negara terhadap kerja-kerja diplomasi kurang banyak untuk tahun ini.
Akan tetapi yang saya tahu, dengan perkembangan globalisasi sekarang, cabaran untuk kerja-kerja diplomasi ini amat lebih mencabar. Saya rasa di era soft power ini, selain daripada keperluan untuk kekuatan fizikal, military sifatnya, tetapi saya rasa untuk meningkatkan dengan izin, the sophistication of our staff iaitu kakitangan Kerajaan Malaysia yang saya rasa perlu. Saya rasa mungkin Yang Berhormat Kubang Kerian boleh beri sedikit pandangan.
Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ya, satu pandangan yang bijak daripada rakan saya Yang Berhormat Balik Pulau di mana saya juga melihat bahawa dunia diplomatik juga menjadi semakin penting dalam kita mencatur, dalam kita melihat our way forward dengan izin, tentang kesediaan negara dalam kita berinteraksi dengan dunia yang ada pada hari ini. Peralatan mereka dan juga kelengkapan mereka harus dipertingkatkan supaya mereka juga dapat memainkan peranan yang maksimum dalam kita menentukan tentang efficiency, kecekapan negara kita dalam kita menyaingi mereka.
Saya tertarik dengan sejarah masa lampau. Hari ini, bila ada perundingan damai yang melibatkan – termasuk dunia Islam, negara yang menawarkan adalah negara Norway, Finland ataupun Sweden. Negara-negara yang menawarkan perlindungan politik juga, yang rasa selamat ialah negara-negara dengan izin di Scandinavian countries. Jadi walaupun dulu mereka adalah ‘Viking’, mereka adalah lanun laut utara yang kita belajar di sekolah dahulu, namun dalam masa yang cepat mereka belajar dan mereka hari ini menjadi peacemaker, mereka menjadi mediator untuk mereka tampil di pentas dunia dan menawarkan khidmat mereka untuk perundingan damai. Jadi saya rasa Malaysia juga mesti ke arah itu dalam kita bersaing dengan dunia-dunia yang berada pada hari ini. Terima kasih sahabat saya daripada Balik Pulau.
Buku Jingga
Saya beralih kepada Buku Jingga. Walaupun apa pun yang dikatakan tentang Buku Jingga ini, terima kasihlah kepada sahabat kita daripada Kota Belud walaupun tidak ada di sini kerana sebahagian besar ucapannya menyentuh tentang buku ini walaupun diperkecilkan. Ya lah, maklumlah kami tidak lagi di tahap duduk di sebelah sana tetapi ini yang kita tawarkan kepada rakyat. Saya rasa dengan diskusi itu yang walaupun ada kritikan, saya faham tidak mungkin mereka memuji tentang Buku Jingga ini. Akan tetapi saya rasa itu satu permulaan yang baik di mana di sebelah sana juga telah menerima ini sebagai satu dokumen yang perlu dibahaskan.
Saya rasa ini satu perkara yang baik. Kalau ia nanti menjadi satu perkara yang lebih penting, ada banyak lagi forum-forum tertentu yang boleh kita bahaskan tentang Buku Jingga ini kerana kita juga datang dengan suatu latar belakang pimpinan yang ada, latar belakang pengalaman mereka dalam kerajaan. Saya rasa dalam konteks ini saya bersetuju dengan rakan-rakan macam Yang Berhormat Pengerang tadi. Janganlah tuduh kita ini membangkang semata-mata. Tidak ada budi langsung kepada negara ini. Tidak ada suatu jasa langsung kami ini kepada negara. Itu tidak betul. Lihat sahaja Parlimen ini. Caucus yang dikemukakan. Siapa yang menganggotainya? Tidak semua seratus peratus Barisan Nasional. Juga daripada kami. Lawatan-lawatan kerja ke luar negara saya rasa juga dijemput kepada kami. Baru-baru ini saya dengan rakan daripada BN, Yang Berhormat Pokok Sena, kemudian Yang Berhormat Kuala Krai bersama Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak. Kita pergi kepada satu persidangan Global Peace Conference di Jepun dan Korea. Kita boleh duduk semeja berhadapan dengan parti baru di Jepun dan kita boleh kemukakan idea bersama. Tidak timbul masalah kita hendak mencaci negara sendiri di hadapan negara lain. Itu satu perkara yang saya rasa harus dilihat.
Jadi dalam konteks Buku Jingga, terima kasih dan tahniah kerana memberikan kesempatan untuk dibahaskan. Saya rasa kalau ada perkara-perkara yang perlu dikritik, ayuh kita boleh bincang secara intelektual, adakan intellectualist course untuk kita tengok apa yang baik dan positif. Ini pandangan kita kepada rakyat yang harus kita panjangkan untuk kebaikan negara.
Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena]: Sikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kubang Kerian. Setuju atau tidak bahawa sepatutnya dalam proses pengundian demokrasi dalam negara kita ini dalam konteks Buku Jingga, buku biru tua dan sebagainya, dalam konteks untuk membina masyarakat Malaysia yang bermaklumat, yang menentukan hala tuju negara kita ini berasaskan kepada knowledge, pengetahuan yang cukup. Sepatutnya agensi-agensi media elektronik ini seperti RTM, TV3, Kumpulan Media Prima dan sebagainya memperbanyakkan lagi intellectualist course yang berkaitan dengan bukan sekadar Buku Jingga tetapi saya kata bahawa kalau BN boleh keluarkan buku biru tua, jadi kita boleh membuat perbandingan. Buku Jingga dengan buku biru tua supaya masyarakat diberi peluang untuk melihat dan menilai sama ada Buku Jinggakah yang lebih baik atau buku biru tuakah yang lebih baik. Jadi yang mana?
Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena, ya. Satu pandangan yang sangat baik yang Yang Berhormat Pokok Sena kemukakan untuk Parlimen ini. Saya rasa dalam era selepas 2004, ada sedikit keterbukaan RTM. Ini saya hendak – ya lah kalau benda yang boleh saya puji, saya puji. Dulu ada Debat Perdana. Satu ruang waktu yang saya rasa walaupun pendek, sejam. Kemudian, Astro hari ini membuka ruang untuk kita dan dipanggil ahli-ahli panel daripada semua pihak. Saya rasa satu perkara yang sangat baik. Rakyat melihat kemunculan kita dalam televisyen yang dulu orang anggap pembangkang ini akan bercakap dengan bahasa yang kesat.
Satu persembahan yang memang rupanya rupa pembangkang. Namun dalam ruang waktu itu kita melihat semua bercakap tentang kebaikan negara. Sumbangan kita kepada negara. Tidak ada orang hendak look stupid on air. Jadi Astro telah buat satu ruang waktu. Namun saya hairan sekarang ini Astro pun sudah mula longlai. Mungkin ada suatu arahan.
Jadi saya rasa kalau ini boleh kita lebar luaskan dalam konteks kita menggalakkan satu minda yang berpengetahuan, masyarakat yang base on k-Knowledge, saya rasa kita sangat membantu kepada negara kita sendiri.
Mereka yang sinis akan menyamakan universiti tempatan dengan kandang, tiada hak bersuara selain disuapkan pagi dan malam, dibesarkan dan kemudian disembelih untuk dipasarkan. Malah bukan sesuatu yang baru untuk menyifatkan institusi pengajian tinggi sebagai kilang - siswa-siswi dihasilkan dengan acuan mengikut piawaian tertentu - semuanya sama, bagaikan tin makanan.
Dan jenaka sedemikian diterapkan sebagai falsafah sistem pengajian tinggi Malaysia. Gambar bagaimana Ketua Pegawai Keselamatan menutup mulut seorang wakil siswa dengan tangannya itu sudah cukup untuk menjelaskan situasi sebenar dalam Universiti Malaya. Tidak lama kemudian, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang enggan ditinggalkan kesunyian di Sintok menarik tumpuan media dengan memberi saman kepada kepada siswa-siswinya - atas kesalahan warna dan panjang rambut yang melanggar peraturan.
Saya gagal melihat bagaimana kedua-dua usaha di atas meningkatkan reputasi menara gading di Malaysia ke dalam senarai 100 universiti terbaik di dunia. Padahal ia mungkin satu cubaan pentadbir universiti untuk mencatat rekod Guinness, yang jelas lebih mencungkil minat politikus yang bergelar profesor. Jikalau ia sesuatu yang "tidak masuk akal" apabila universiti mengupah pegawai keselamatan untuk mengawasi mulut siswa/i; bagaimana pula dengan perlantikan Naib Canselor untuk menjaga hal rambut dan pakaian siswa/i?
Alasan yang tidak masuk akal
Saya terpegun apabila membaca wawancara China Press bersama Naib Canselor UUM, Mohamed Mustafa Ishak yang bermegah dengan kejayaannya menyeragamkan pakaian siswa-siswinya. Setahu saya Naib Canselor adalah pengemudi yang menentukan hala tuju universitinya. Maknanya, persoalan yang berlegar dalam tengkorak Naib Canselor adalah sejauh manakah siswa-siswinya berjiwa kemanusiaan; apakah siswa-siswinya ghairah untuk menghambat kebebasan, mencari kebenaran, dan menegakkan keadilan?
Pendek kata, Naib Canselor seharusnya lebih mengambil berat tentang apa yang tersirat di dalam jiwa siswa-siswi, daripada apa yang tersurat pada rupa bentuk luarannya. Ini kerana andaian bahawa paras rupa dan pakaian seseorang yang memenuhi peraturan yang ditetapkan adalah "orang baik" terbukti meleset. Logiknya senang difahami selagi kita tidak berfikir menggunakan usus besar. Cuba lihat penampilan Chan Kong Choy, bekas Menteri Pengangkutan ketika berada di mahkamah untuk berdepan dengan tuduhan "menipu Perdana Menteri" dalam skandal PKFZ. Penampilannya cukup segak dan kemas, malah memperlihatkan "profesional"-nya, dari kaca mata Naib Canselor UUM. Persoalannya, apakah Chan Kong Choy layak untuk dijadikan contoh kepada siswa-siswi?
Dan kita wajib bertanya, adakah rambut Pornthip Rojanasunand yang berwarna-warni itu bakal menjejaskan profesionalnya sebagai seorang pakar patalogi forensik? Dan siapakah pula kita untuk menafikan ketokohan Mahatma Gandhi - hanya atas alasan beliau tidak memakai kot dan tali leher yang segak?
Jelas, peraturan sedemikian merupakan bingkai yang langsung tidak masuk akal. Ia dipaksakan ke atas setiap siswa/i yang umurnya sudah melebihi 18 tahun. Malah, Naib Canselor UUM dengan angkuh mencabar, pergi belajar di universiti lain jikalau tidak mahu mematuhi peraturan!
Men-tadika-kan Universiti
Sebagai pendidik, mungkin ada antaranya yang berniat baik ketika mewajibkan agar peraturan diperketatkan. Sering kita dengar peraturan seperti larangan keluar dan masuk kawasan kampus selepas jam 12 tengah malam. Jangan pakai selipar dan seluar pendek ketika berada dalam kampus. Kesemuanya diwajibkan atas nama "demi kebaikan siswa/i". Malah pertubuhan yang diluluskan dengan timbunan borang permohonan juga diwajib untuk mendapatkan cop mohor HEP sebelum sebarang notis ditampal, atau sebarang risalah diedar.
"Saya layan siswa-siswi bagaikan anak saya." Demikianlah ungkapan yang sering kedengaran dari bibir Naib Canselor. Namun, "niat" bukan segala-galanya ketika kita membicarakan masalah. Sememangnya Naib Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Teh Chee Seng berniat baik untuk menasihati siswa/i-nya agar tidak terlibat dalam perhimpunan haram melalui Facebook-nya, tetapi tidak menjawab soalan apakah kesalahan untuk makan kek bersama? Masalahnya, "perlindungan yang terlebih" ini bukan pendekatan yang sewajarnya untuk mendidik siswa-siswi. Mengapa Naib Canselor sesebuah universiti mentadbir siswa/i seakan-akan beliau mengasuh kanak-kanak dalam tadika?
Dengan memberi amaran "dengar arahan saya", Naib Canselor sebenarnya memaksakan nilai dirinya kepada siswa/i, lantas merampas hak siswa/i untuk membuat pertimbangan secara berdikari. Cuma, mengapa perlu seorang Naib Canselor bergelar profesor membuat keputusan untuk seorang siswa/i -yang seharusnya dilayan sebagai seorang dewasa - sama ada untuk memakai selipar atau tidak dalam kampus? NC wajib bertanya dirinya, sama ada beliau lebih merunsingkan masalah pendek akal siswa/i-nya, atau panjang rambut siswa/i-nya?
Persoalan pokoknya
Segala-gala ini sebenarnya kembali kepada satu persoalan pokok: Sama ada kita mahu melahirkan siswa/i yang patuh kepada AUKU, atau siswa/i yang berani bertanya, mampu membuat pertimbangan, mempunyai pandangan tersendiri dan tegas ketika membuat keputusan? Adakah tujuan kita menubuhkan Universiti adalah untuk melatih generasi yang akur dan membiasakan diri dengan status quo, biarpun tidak wajar - atau kita mahu membentuk generasi yang berani mempersoalkan ketidakadilan dan bertekad untuk membawa perubahan?
Tepuk dada tanya selera - kita sebenarnya takut apabila siswa-siswi tampil bersuara, lantas tanpa segan silu kita menutup mulutnya dengan tangan. Kita sebenarnya takut siswa-siswi bangkit mencabar kewibawaan kita, lantas kita menambat mereka dengan Aku Janji. Kita sebenarnya sedar bahawa "bingkai" yang berada dalam tangan kita sudah berkarat ditinggalkan zaman - kita ugut, denda dan hukum siswa/i bukan kerana mereka mengingkari peraturan, tetapi berdendam kerana kewibawaan kita tercabar apabila mereka mempertikaikannya.
Persoalannya, bagaimana siswa-siswi boleh akur dengan larangan keluar masuk kampus selepas jam 12 tengah malam, jikalau mereka berani mempersoalkan teori "konflik tamadun" oleh Samuel P. Huntington dalam kuliahnya? Sebaliknya, jikalau siswa-siswi tidak berani mempertikaikan apa salahnya untuk memakai seluar pendek dalam kampus yang terletak pada garisan khatulistiwa - apakah kita mengharapkan golongan ini mampu melakukan sesuatu yang mana prestasinya boleh menandingi pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg?
Kita sering kehilangan arah apabila cuba mengenalpasti dan kemudian menyelesaikan masalah kita. Masalah sebenar pada pentadbir universiti kita adalah mereka mengandaikan pendidikan itu adalah latihan semata-mata. Logik yang mendasar dalam tengkorak mereka adalah, semakin ketat peraturan universiti, maka semakin berdisiplin siswa/i yang dihasilkan. Kita menjaga dan melindungi siswa/i dari panjang rambut hinggalah seliparnya, supaya mereka menumpukan masa sepenuhnya untuk pengajian mereka.
Ini falsafah kilang pembuatan, siswa/i dilayan bagaikan binatang penternakan dan pendidik berperanan sebagai pengasuh di tadika. Sering kali kita mendengar aduan bahawa siswa/i tempatan tidak kreatif, tidak berkeyakinan diri - tunduk membisu dalam kuliah apabila sesi dibuka untuk bertanya soalan.
Maka pendidik kita mencuba seribu satu cara untuk menangani masalah ini. Power point digunakan untuk membuktikan bahawa kita seiring langkah teknologi; modul pengajian ditiru dari universiti yang terunggul di dunia - namun kita tetap gagal melahirkan siswa/i yang unggul. Malah, graduan yang tamat pengajian perlu dilatih semula melalui Skim Latihan Siswazah Menganggur.
Dan kita pelik apabila bakat anak watan kita terserlah bersinar di luar negeri. Sementara kita mengimport mahupun menyeludup buruh asing, kita sebenarnya antara negara pengeksport bakat terbesar tanpa disedari. Seandainya kita jujur dalam hal ini, kita semestinya sedar bahawa puncanya adalah kegagalan kita untuk menyediakan satu suasana yang menggalakkan percambahan potensi. Kita terus mencantas apabila benih bercambah di luar bingkai yang berkarat.
Apa tidaknya, siswa/i dari Fakulti Sains Politik boleh disuapkan sebanyak teori yang mungkin, mereka dipaksa untuk menghafalnya dan memuntahkannya semula pada kertas peperiksaan - tetapi mereka akan didenda apabila turun ke gelanggang untuk memerhatikan dengan mata sendiri perjalanan pilihan raya kecil. Bukankah kita sedang mengajar anak untuk berenang tanpa kolam? Bukankah kita sebenarnya mengharapkan kayu balak dari benih yang ditabur ke dalam pasu bonsai?
Saya agak mual apabila membaca alasan pendidik dalam universiti tempatan untuk menyekat kebebasan siswa/i-nya. Demi kepentingan politik diri mereka menyarankan agar siswa/i tidak terjerumus ke dalam kancah politik. Demi pangkat dan nama diri mereka memperingatkan agar siswa/i tidak dipergunakan parti politik. Tanpa segan silu mereka mengerah pegawai keselamatan untuk melindungi kuasa dirinya dan menutup mulut siswa/i-nya. Maklumlah mengapa bakat siswa/i tempatan hanya bersinar bagai kaca yang meretak di depan pejabat HEP.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Sebahagian kritikan di atas pernah diketengahkan cendekiawan di Taiwan terhadap universiti tempatannya, lebih 25 tahun dahulu; dan penulis mendapati ia masih relevan untuk Malaysia, selepas suku abad.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas penganjuran Himpunan Mahasiswa Untuk Malaysia 1.1.11 dan mendoakan ia berjaya menjadi katalis untuk memperkasa gerakan mahasiswa negara dalam seluruh spektrum kehidupan, termasuk politik.
YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini menyatakan bahawa beliau menganggap remaja sebagai “rakan kongsi” kerajaan. Seruan ini amat bersesuaian dengan dua keperluan besar dalam gerakan pembangunan mahasiswa. Pertama, keperluan untuk memenuhi tiga permintaan asas mahasiswa, iaitu: mahasiswa mahu suaranya didengar, mahasiswa mahu peranannya diiktiraf, dan mahasiswa mahu isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasikan mahasiswa. Dan kedua, keperluan menghayati hakikat bahawa, di samping sebagai pemimpin masa depan, sebenarnya mahasiswa adalah juga pemimpin hari ini, iaitu pemimpin bagi generasi yang lebih muda, pemimpin bagi angkatannya, dan rakan kepemimpinan dengan universiti, kerajaan dan sebagainya.
Justeru, sudah tiba masanya kita bersama dalam langkah untuk memenuhi kedua-dua keperluan tersebut. Satu daripada kaedahnya ialah dengan melakukan inovasi demokrasi, iaitu dengan meningkatkan dan meluaskan partisipasi mahasiswa dalam struktur dan proses membuat keputusan.
Di sinilah relevannya isu membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, iaitu dalam maknanya yang sebenar. Dalam konteks ini, terdapat banyak usaha yang mencadangkan agar ia menjadi realiti. Contohnya, mutakhir ini, ia didokong oleh pelbagai pihak, seperti GAMIS, Majlis Belia Malaysia (MBM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar IPT 2010, Makmal Pemuda Barisan Nasional dan Makmal Belia Kementerian Belia dan Sukan.
Di samping itu, kita perlu memulakan diskusi inisiatif-inisiatif inovasi demokrasi yang lain seperti pendaftaran automatik pemilih, menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun, melantik wakil belia sebagai Senator dan ahli Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan sebagainya.
Semua ini adalah langkah-langkah untuk mengisi perjuangan membentuk masyarakat baik yang berteraskan budaya ilmu, tamadun tauhidik, keadilan sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar, sesuai dengan gagasan IMalaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Selamat menyambut tahun 2011 dan salam perjuangan.
SAIFUDDIN ABDULLAH
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
1. Kenaikan harga petrol pada beberapa hari lepas adalah bebanan yang tidak sepatutnya ditanggung oleh rakyat.

2. Adalah pemahamam umum bahawa seandainya subsidi petrol dikurangkan, harganya akan naik dan mengakibatkan kenaikan harga barang secara tidak langsung.
3. GDP negara pada suku ketiga 2010 (5.3%) menyusut teruk berbanding suku pertama (10.1%) menjadi indikator jelas bahawa ekonomi negara tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih.
4.Pada masa yang sama, umum juga mengetahui bahawa Malaysia adalah negara pengeluar minyak.
5. Kekayaan hasil negara yang dipunggah oleh individu tertentu di kala ekonomi negara berada dalam tahap merisaukan dan harga barang yang kian melambung adalah suatu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
6. Mahasiswa hari ini telah berhimpun di Putrajaya, menyatakan sokongan mereka kepada rakyat yang kian terbeban dan disusahkan oleh tindak-tanduk Pemerintah yang tidak peduli akan keadaan rakyat.

7. Slogan "Rakyat Didahulukan" adalah tidak lebih dari sekadar retorik politik untuk menggula-gulakan penyokong-penyokong yang buta politik dan menyokong secara buta tuli. Walhal hakikatnya, rakyat tidak pernah berada pada konsiderasi nombor wahid.
8. Mahasiswa hari ini mengecam dengan tegas tindakan Pemerintah yang telah gagal membaca isyarat dari akar umbi dan terus-terusan berlagak seolah-olah mereka raja di negara ini, tanpa mengambil peduli suara dan kuasa rakyat.
9. Mahasiswa hari ini mengutuk tindakan pihak aparat keamanan yang telah menahan mahasiswa-mahasiswa yang hadir untuk menyampaikan keluh kesah rakyat kepada Pemerintah.
10. Mahasiswa hari ini berasa kesal dengan sikap Pemerintah yang menutup mata dan telinga dari mendengar masalah rakyat, dan sebaliknya mementingkan tembolok dan perut masing-masing.

11. Mahasiswa tidak akan pernah apologetik apabila menyatakan bahawa Pemerintah akan ditumbangkan dalam pilihanraya umum akan datang, bersabit perbuatan-perbuatan mereka akhir-akhir ini.
12. Mahasiswa terus bertegas bahawa Pemerintah perlu insaf dan sedar diri, bahawa jawatan dan kuasa itu adalah amanah yang perlu ditadbir secara amanah juga. Ketirisan akibat salah laku dan salah guna kuasa pihak Pemerintah adalah penyebab kepada kebangkitan rakyat tertindas; dan Mahasiswa akan tetap terus memberi tekanan agar nasib rakyat ini terbela.
13. Mahasiswa akan tetap terus menjadi jurubicara rakyat, sehingga ketikanya Pemerintah sedar bahawa mereka sudah tersalah arah apabila menerima gaji yang datang dari titik peluh rakyat, namun membelasah dan membebankan rakyat hari demi hari.
14. Mahasiswa turut berarap agar anak-anak Mahasiswa yang ditahan pihak aparat keamanan:
a.Mohd Ridzuan Othman,
b.Ahmad Shukri Abdul Razak, dan
c.Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli; dibebaskan serta-merta tanpa syarat.
15. Perbuatan menahan anak Mahasiswa di Putrajaya ini dilihat sebagai keangkuhan pihak Pemerintah Barisan Nasional. Putrajaya, sebagai lambang kekuasaan Barisan Nasional seolahnya adalah tanah suci yang tidak boleh dijejak hamba rakyat yang mahu menyuarakan rasa kesal atas sikap pimpinan parti itu.
16. Mahasiswa sedia berikrar, seandainya Pemerintah dari Barisan Nasional tidak menginsafi diri, Mahasiswa akan bergerak dan menumbangkan kezaliman mereka pada Pilihanraya Umum akan datang demi kebaikan dan kemaslahatan rakyat yang tidak lagi rela dizalimi.
KUALA LUMPUR, 9 Dis: Golongan muda perlu diberi faham tentang isu semasa terutama situasi politik kerana mereka sahaja yang boleh merubah bentuk kuasa politik negara, tegas Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A. Samad Said.
Menurutnya, harapan tidak banyak boleh diletakkan kepada kalangan dewasa kerana mereka sudah bersikap dan selesa dengan keadaan itu seperti menjadi pengundi Umno atau bukan.
Sebaliknya, jelas beliau lagi, golongan muda merupakan faktor perubah kuasa negara kerana selain ramai, mereka masih belum mempunyai pegangan politik taksub seperti kalangan dewasa.
Pak Samad berkata demikian ketika menjadi panelis forum bertajuk Persoalan Masa Depan Umat Di tanganmu anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dekat sini kelmarin.
Turut menyertai forum sempena himpunan tahunan ke 13 Teras itu adalah Editor Majalah Sabili, Indonesia, Herry Nurdi dan Juara Akademi Nasyid 2009, Azhar Atan dengan Saudara Saidi sebagai moderator.
“Hanya melalui undi di dalam pilihan raya sahaja boleh diubah kuasa dalam negara ini dan golongan muda adalah perubah yang mesti diberi faham.
“Antaranya mereka perlu disedarkan, kenapa dalam lebih lima dekad negara merdeka dengan enam perdana menteri, enam timbalan perdana menteri dan kebanyakan menteri adalah Melayu, kenapa keadaan kita masih lagi perlu 'menjerit',” tegas Samad.
Tanpa merubah kuasa, tambahnya, tidak ada apa-apa perubahan yang boleh dilakukan dan dalam masa sama, tidak timbul masalah tidak mengenang budi pemerintah yang ada atau tidak mahu kepada kemajuan.

Tambahnya, apa lagi yang boleh diharapkan kepada mereka yang sudah menghilangkan ekuiti Melayu daripada RM50 bilion kini hanya tinggal sekitar RM2 bilion sahaja?
Sebelum itu, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid telah menyampaikan ucaptama bertajuk Saatnya Generasi Pewaris Bangsa Bersiap Memimpin Kebangkitan Ummah yang telah menggaris agenda bertindak yang perlu disegerakan.
Cikgu Azmi menyatakan negara kini sedang dipacu ke arah pembangunan berasaskan kreteria pertumbuhan ekonomi bukan kepada kualiti keinsanan di mana kemajuan sasaran diukur dengan tahap pendapatan bukan pengkayaan fikiran dan budaya.
“Pencapaian yang dikejar adalah projek berskala mega buka berhemat dan sederhana dalam membangunkan keperluan asas rakyat, tranformasi yang diwar-warkan adalah untuk menyertai persaingan global bukan untuk mengukuhkan tradisi bukan keupayaan diri sendiri sesuai dengan sosio budaya.
“Prasarana kesihatan dibangunkan lebih terdorong untuk menjadikan negara hub pelancongan perubatan bukan untuk mendahulukan kesihatan asasi rakyat.
“Kini riuh rendah dengan projek super mewah dari gedung 100 tingkat kepada hub hiburan malam. Padahal sudah dijeritkan berkali-kali, ada rakyat tidak cukup makan, ada tidak mampu sekolahkan anak, keluarga tinggal di bawah jambatan dan ada kampung bakal dilenyapkan atas nama pembangunan,” tegasnya.
Justeru, beliau mengemukakan pembinaan khairo ummah seperti dasar pegangan hidup kukuh berpaksi soal pengabdian kepada Allah, asas nilai rohani dan keutuhan akhlak, kemajuan dalam meningkatkan taraf hidup mesti memelihara agama, akal, nyawa, harta dan akhlak serta pembangunan dalam apa bentuk mesti berkonsepkan insan sebagai penjaga amanah alam dengan segala sumbernya.
Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin, wakil Abim dan ramai tetamu serta perwakilan dari seluruh negara termasuk luar negeri turut hadir.
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memandang serius terhadap semua kes melibatkan mahasiswa sepanjang tahun ini terutama dua kes berprofil tinggi – ‘Rosmah Puaka’ dan ‘UKM 4′ – serta menyeru mahasiswa bangkit memberi sokongan.
“Kebanyakan kes melibatkan pertembungan di antara mahasiswa dan pentadbiran universiti serta pemerintah,” kata Ahli Majlis Pimpinan SMM Hilman Idham dalam satu kenyataan media hari ini.
Keputusan ‘prima facie’ kes ‘Rosmah Puaka’ akan didengar pada 24 September manakala penghakiman kes ‘UKM 4′ akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September ini.
Dalam menghadapi dua kes tersebut katanya, SMM menyeru seluruh mahasiswa, anak muda serta rakyat Malaysia menyatakan sokongan dan memberi semangat serta kekuatan.
Menurut beliau, kedua-dua kes ini adalah pemangkin kepada kebangkitan seluruh mahasiswa di Malaysia.
“Kes ‘Rosmah Puaka’ dan ‘Kes UKM 4’ adalah kes yang melibatkan penindasan dan kezaliman terhadap mahasiswa. Atas nama perpaduan pelajar, SMM mengesa seluruh mahasiswa bersatu, biar dari pelbagai latar dan fahaman, agar menuntut keadilan buat mahasiswa.
Justeru itu, SMM akan memobilasi mahasiswa, berkumpul di Mahkamah untuk mendengar keputusan bagi kedua kes ini. Kita juga menyeru agar seluruh mahasiswa, anak muda dan rakyat Malaysia hadir untuk menyatakan sokongan mereka,” ujar beliau.
Serdang, 20 Ogos 2010 - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengalu-alukan mahasiswa Islam seluruh Malaysia untuk mendaftarkan diri sebagai ahli GAMIS.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Mohd Aizat Mohd Salleh baru-baru ini.
“GAMIS mendapat banyak permintaan daripada mahasiswa Islam untuk berdaftar sebagai ahli, namun ketika itu pihak GAM
IS masih belum lagi mempunyai sistem pengurusan ahli yang tersusun” katanya.
Beliau menyatakan, sehingga hari ini, GAMIS mempunyai ahli di seluruh kampus di Malaysia dan majoriti adalah mereka yang terlibat dengan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI).
Justeru itu, ujarnya, GAMIS berhasrat untuk menambah bilangan ahlinya dan membuka lebih ramai penyertaan kepada mahasiswa Islam dan bukan Islam.
Ditanya berkenaan jumlah keahlian GAMIS, Aizat berkata, sekitar lima ribu bagi kampus-kampus di Lembah Kelang sahaja.
“Dua tahun lepas, kita (GAMIS) pernah mengadakan demonstrasi di Kedutaan Mesir berkenaan isu Palestin, dan kehadiran mahasiswa Islam sekitar Lembah Kelang sahaja adalah sejumlah lima ribu lebih” katanya lagi.
GAMIS akan menerima lebih ramai ahli setelah sistem pengurusan ahli lengkap sepenuhnya.
Setakat ini, mahasiswa yang ingin mendaftarkan diri sebagai ahli GAMIS, dialu-alukan menghantar butiran diri kepada email rasmi GAMIS iaitu mygamis@gmail.com.
-mygamis.blogspot.com
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersikap terbuka berhubung idea membenarkan mahasiswa dan pensyarah institusi pengajian tinggi awam menyertai politik tanpa halangan.
Ahli Parlimen Rembau ini membeirtahu bahawa beliau ada membangkitkan perkara tersebut dengan Najib, yang juga Presiden Umno ketika berbual dengannya pada majlis berbuka puasa di Sri Perdana, Putrajaya semalam.
“(Saya) sempat berbincang beberapa isu bersama Perdana Menteri, antaranya penglibatan mahasiswa dalam politik. Pemuda BN tegas dengan pendirian. Perdana Menteri nampak terbuka,” kata Khairy yang juga Ketua Pemuda BN menerusi mesej ‘Twitter’ malam tadi.
Akhir bulan lalu, Khairy mengetengahkan langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik.
Oleh itu sudah tiba masa Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dipinda bagi membolehkan penuntut universiti dan pensyarah melibatkan diri dengan politik, kata beliau.
Ia dirasakan perlu selaras dengan kelonggaran kepada guru-guru siswazah.
Bermula 1 Ogos lalu pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik.
Dalam mesej ‘Twitter’ minggu lalu, Khairy secara terbuka menyifatkan keputusan Kabinet untuk tidak membenarkan pelajar universiti menyertai parti politik sebagai satu pemikiran ketinggalan zaman dan tidak berani.
Pandangan itu dikeluarkan ekoran laporan Bernama yang menyebut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata Kabinet memutuskan untuk tidak menggugurkan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang pelajar universiti tempatan daripada menyertai politik secara aktif.
Bagaimanapun laporan itu ditarik kemudian, tetapi berita akhbar beberapa selepas itu turut memetik sumber mengatakan Kabinet mengekalkan larangan itu.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang sebelum ini melahirkan idea itu dijangka membawa isu berkenaan ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 27 Ogos ini.
Saifuddin berkata sudah tiba masanya Akta Universiti dan Kolej Universiti dikaji semula bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik.
Walaupun akta itu dipinda pada tahun 2008 di mana penuntut institut pengajian tinggi awam dibenar menyertai pertubuhan politik setelah mendapat kebenaran Naib Canselor, beliau berkata, peruntukan tersebut perlu dikaji semula.
SUMBER : http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pm-terbuka-dengan-idea-benar-mahasiswa-sertai-politik-kata-khairy/

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bercadang untuk menganjurkan satu forum yang melibatkan wakil kerajaan, parti pembangkang, ahli akademik dan mahasiswa bagi membahaskan keputusan kerajaan mengekalkan larangan mahasiswa daripada terlibat dalam politik kepartian.
Setiausaha SMM, Mohd Ridhuan Othman berkata cadangan forum itu adalah respons kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan pindaan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 berkaitan kebenaran kepada mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam politik kepartian, selepas mendapat kebenaran Naib Canselor.
"Kita bercadang untuk mengadakan forum tersebut sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadual pada 27 Ogos ini," kata Mohd Ridhuan pada sidang media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah jurucakap Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Ahmad Shukri Kamarudin, Pengerusi Pro Mahasiswa Malaysia (Pro-M) Mohd Shafie Hashim dan Presiden Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Abdullah Omar Muhammad Fuad.
Sementara itu Pengerusi SMM, Shazni Munir berkata beliau bersama-sama pertubuhan mahasiswa akan mengadakan 'roadshow' ke kampus di seluruh negara bagi memberi penerangan mengenai pro dan kontradiksi pembabitan mahasiswa dalam lapangan politik.
"Penglibatan daripada semua pihak termasuk mahasiswa, parti politik dan ahli akademik adalah sangat dialu-alukan. Kalau ada penglibatan daripada pihak Kementerian, itu lebih baik, kerana forum ini adalah platform yang baik kepada semua pihak," katanya.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam sebuah program bual bicara di TV3 minggu lalu yang menegaskan penglibatan mahasiswa dalam politik tidak merencatkan prestasi mahasiswa dalam bidang akademik.
"Ini satu perkembangan yang positif, cuma masalahnya ialah, dia sebagai Timbalan Menteri tidak dapat membawa pandangan dan suaranya ke peringkat kementerian. Bahkan sejak awal lagi, perjuangan beliau memang hendak memansuhkan Auku. Ini kerana Perlembagaan jelas menyatakan adalah hak warganegara untuk berekspresi dan berpersatuan.
"Cuma yang hairan segelintir ahli akademik seperti bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang berpendirian tidak terbuka. Kebiasaannya, ahli politik yang berminda tertutup, tetapi kini berjangkit kepada ahli akademik. Ini memang pelik. kerana sepatutnya ahli akademik bersikap objektif," kata Shazni.
JUARA Imam Muda Asyraf (gambar) mengajak para remaja melepak dan menghabiskan masa masjid atau surau.
Memandangkan bulan Ramadan ini menuntut umat Islam mengerjakan solat terawih, bagi Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, tidak salah sekiranya remaja melepak di masjid atau surau berbanding di tempat lain.
Sekurang-kurangnya dengan mengajak remaja walaupun hanya duduk di tepi masjid atau surau, mampu meninggalkan kesan yang baik kepada mereka pada masa akan datang.
Mungkin dengan cara tersebut, para remaja akan terbuka hati untuk sama-sama melakukan solat dan mengimarahkan rumah ibadat.
Selepas memenangi program realiti kelolaan Astro Oasis dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu, Asyraf kembali menjalankan tugasnya sebagai imam di Masjid Desa Petaling, Kuala Lumpur.
Untuk bulan Ramadan ini, tugas imam muda yang berasal dari Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu tidak hanya terikat di Masjid Desa Petaling sahaja sebaliknya dia akan ke beberapa masjid di dalam dan luar Kuala Lumpur.
Dia bukan sahaja dijemput untuk mengimamkan solat Maghrib, Isyak dan terawih malah ada juga sesetengah masjid yang menjemputnya berbuka puasa, menyampaikan tazkirah, qiamulail, serta kuliah Subuh dan Zohor.
Asyraf yang berpengalaman menjadi imam di Masjid Desa Petaling sejak Januari tahun ini akui tanggungjawabnya semakin mencabar namun dia akan cuba melakukan yang terbaik demi menggalas tugas sebagai imam.
“Insya-Allah, saya akan cuba menarik lebih ramai golongan muda ke masjid kerana kebiasaannya mereka hanya akan datang atas faktor tertentu.
“Saya rasa mulai sekarang, kita sepatutnya memberi peluang kepada golongan muda untuk melaksanakan tugas-tugas di masjid. Jangan membuat persepsi awal yang mereka tidak mampu melakukannya kerana dengan cara itu mereka akan rasa layak untuk menjadi orang masjid,” katanya yang mempunyai kontrak dengan Astro selama tiga bulan lagi.
Buat masa ini, dia akan terikat dengan beberapa aktiviti yang diatur oleh Astro. Barangkali selepas ini, dia bakal bergelar peniaga yang setakat ini sudah ada dalam perancangannya disamping menjawat jawatan imam dan guru tuisyen mengaji al-Quran dari rumah ke rumah.
Biar apa pun, sebelum berniaga, anak kedua dari lima beradik kepada pasangan Mohd Ridzuan Yusoff, 55, dan Robiah Bakar, 55, itu akan menamatkan pengajian peringkat Sarjananya di Universiti Malaya terlebih dahulu.
“Selepas selesai dengan Imam Muda, saya rasa kehidupan saya tidak terlalu berubah dengan drastik sebaliknya biasa-biasa sahaja. Tetapi apabila ke masjid, ada juga yang memberikan ucapan tahniah atas kemenangan saya dan menegur sapa.
“Bagaimanapun, apa yang lebih penting kepada saya selepas ini adalah untuk menjaga diri-sendiri kerana ramai ulama dan tokoh Islam yang memerhati serta memberikan nasihat kepada saya. Sekarang, pandangan orang terhadap saya terbahagi kepada dua iaitu bertanggungjawab sebagai imam dan imam muda,” beritahunya yang sudah berkahwin dengan Nurhusna Yusof, 23.
Sempena bulan Ramadan, Asyraf sempat berpesan kepada semua umat Islam agar menganggap bulan ini sebagai Ramadan yang terakhir dalam hidup kita.
Sekumpulan mahasiswa bercadang untuk mengadakan forum terbuka bagi membahaskan keputusan kerajaan melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.
Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohd Ridhuan Othman berkata pihaknya bercadang menganjurkan forum tersebut sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadual pada 27 Ogos ini.
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau berkata, pihaknya akan menjemput wakil kerajaan, parti pembangkang, ahli akademik dan mahasiswa bagi membahaskan perkara tersebut.
Mohd Ridhuan yang juga graduan pelajar Universiti Malaya (UM) mengulas mengenai keputusan kabinet kelmarin yang melarang mahasiswa terlibat dalam politik kepartian.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata seksyen 15, AUKU yang dipinda baru-baru ini, sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.
Turut hadir dalam sidang media itu antaranya jurucakap Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Ahmad Shukri Kamarudin, Pengerusi Pro Mahasiswa Malaysia (Pro-M) Mohd Shafie Hashim dan Presiden Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Abdullah Omar Muhammad Fuad.
Ketika dihubungi Malaysiakini kemudiannya, Mohd Ridhuan berkata pihaknya akan bermesyuarat hujung minggu ini bersama wakil persatuan mahasiswa lain untuk menetapkan tarikh, tempat serta aturcara forum tersebut.
"Hasil forum itu nanti akan dimasukan dalam memorandum untuk diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MT untuk dibincangkan mesyuarat tersebut," katanya.
Mereka juga bercadang untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada PKR dan PAS supaya dapat dibincangkan di peringkat parti masing-masing.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama juga, Ahmad Syukri berkata beliau "muak" dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamed Khaled yang melarang mahasiswa supaya tidak terlibat dengan politik.
"Mahasiswa tidak bodoh, kami ada otak. Kami sudah muak dengan dogma tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik," katanya.
Beliau juga menempelak kerajaan yang didakwanya bersikap dwi-standard kerana membenarkan penubuhan kelab Umno di luar negara tetapi tidak membenarkan mahasiswa terlibat dengan politik di dalam negara.