Mahasiswa tuntut penjelasan isu HE / HX
Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menerima banyak keluhan daripada mahasiswa UKM berkenaan sistem ko-kurikulum baru yang masih tidak dijelaskan secara terperinci dan samar-samar lagi. Antara aduan yang banyak diterima adalah daripada mahasiswa tahun 2 yang berada di tengah-tengah Sistem Penilaian Kompetensi Generik dan sistem ko-kurikulum baru yang masih tidak diberi nama.
Namun dalam hal ini, para mahasiswa tahun satu lebih merasai keperitannya apabila sehingga kini sudah masuk minggu ke-5 perjalanan ko-kurikulum, pihak PPP yang mengurus sistem ko-kurikulum masih gagal mempamerkan sukatan pelajaran bagi pelajaran setiap minggu.
Dan lebih memeranjatkan Gabungan Mahasiswa apabila diberitakan seorang YDP Jaksa sebuah kolej yang terkenal dengan kontroversi pernah terpaksa menyelongkar laci pejabat pegawai atasan PPP demi mengetahui apakah perancangan perjalanan ko-kurikulum secara keseluruhannya. YDP Jaksa memaklumkan bahawa beliau tidak berniat lain kecuali bertujuan mengambil tahu apakah perancangan dan hala tuju sebenar sistem ko-kurikulum yang baru ini.
" Jika sistem kokurikulum pada tahun 2008 dipinda dengan alasan menambahbaik dan mengemaskini sistem kokurikulum ketika itu, yang memang banyak pihak komen, apa pula rasionalnya sistem ko-k (kokurikulum) pada tahun lepas dipinda sekali lagi sedangkan banyak pihak (ber)puas hati ? " ujar YDP Jaksa tersebut yang enggan dikenali.
" Kami di peringkat bawahan ini selalu diberi notis 'last minute' tentang tajuk yang (bakal) dijalankan pada hari ko-k (Sabtu). Setakat sekarang, boleh dikatakan setiap minggu kami (akan) dapat tajuk pada hari Jumaat."
" Dr Kadderi perlu faham bahawa kami juga manusia biasa. Kalau selalu begini, kami tak dapat buat persiapan. (Jadi kalau begini) bagaimana kita nak bentuk perjalanan (sistem) ko-k yang baik? " soal beliau lagi.
Gabungan Mahasiswa melihat isu ini amat serius dan perlu diberi penerangan yang lebih terperinci lagi. Maklum balas daripada mahasiswa yang telah mendengar taklimat pada minggu lalu juga amat kurang memberangsangkan. Mereka mengadu taklimat yang diberikan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Segala persoalan yang dikemukakan seolah-olah diperlekehkan dan enggan dijawab dengan baik.
Justeru kami Gabungan Mahasiswa dengan 'frontliner' daripada MAMPU, KAMI, GMLN, AKSIS dan 'front' lain-lain lagi yang mewakili suara mahasiswa yang kini tertindas dan kebingungan menyeru kepada pentadbiran Pusat Perkembangan Pelajar (PPP) khususnya kepada PM Dr Kadderi Md Desa untuk turun padang menjelaskan isu HE / HX ini sejelas-jelasnya dan tidak berdolak-dalih dalam isu ini. Gabungan Mahasiswa optimis isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik melalui siri-siri taklimat penerangan yang bukan sekadar kepada mahasiswa tahun satu dan dua, tetapi terbuka kepada semua mahasiswa UKM.
Gabungan Mahasiswa juga memberi kata dua kepada pentadbiran PPP supaya tidak 'saling menendang bola' dalam mencari pihak yang bertanggungjawab dalam kekacauan isu HE/HX ini. Gabungan Mahasiswa percaya pihak pentadbiran khususnya PM Dr Kadderi bijak menangani isu ini dan tidak bisa menunggu mahasiswa UKM bangkit menyatakan isu ini di jalanan kerana ini bakal mendatangkan malu kepada pihak Dr Kadderi sendiri.
Dalam pada itu Gabungan Mahasiswa mengharapkan secebis lagi kesabaran daripada teman-teman mahasiswa kerana kita melalui MPP Mahasiswa yang dipilih teman-teman akan berusaha akan cuba mengikut prosedur dalam mendapatkan penjelasan berkenaan isu ini. Walaupun kaedah ini penuh birokrasi, namun Gabungan Mahasiswa optimis isu ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik melalui prosedur yang ada; walaupun kini sudah ramai pihak luar menyatakan kesanggupan membantu kita termasuk melalui cara guaman dan tindakan undang-undang.
SUARA MAHASISWA SUARA KERAMAT.
Ber-GM Lebih Baik !
Ber-GM Lebih Baik !