Photobucket Photobucket


My Blog List


Auku : Mahasiswa ibarat tiada jatidiri

Penulis bosan melihat dan terbaca akan dunia kemahasiswaan yang masih berdegil dan masih memahat diri menentang akta yang kononnya mengekang dan mengongkong dunia kemahasiswaan. Kebosanan penulis bukanlah kerana membaca perkataan AUKU di dada-dada akhbar, namun sebenarnya bosan dengan drama yang bertajuk ‘AUKU’. Mana tidaknya! Sudah hampir 40 tahun kewujudannya menghadirkan pelbagai telatah penentang-penentangnya yang agak streotaip namun ceritanya tidak tamat-tamat. Seluruh rakyat Malaysia mengetahuinya bahawa penentangan terhadap AUKU ini dipelopori oleh Anwar Ibrahim seawal penubuhan AUKU iaitu awal 70-an. Anwar dianggap hero rakyat pada kerana begitu lantang mengkritik kerajaan pada masa itu selain menerajui persatuan pelajar seperti ABIM, Persatuan Bahasa Melayu UM dan PKPIM.

Namun setelah anwar menjadi sebahagian daripada pihak kerajaan malah memegang tampuk pemerintahan tertinggi sebagai Menteri Pendidikan, tidak ada sebarang reaksi terhadap AUKU malah anwar pula mengatakan AUKU tidak boleh dihapuskan semasa menjadi Menteri Pendidikan waima Timbalan Perdana Menteri. Tidak ada langsung rakyat mahasiswa yang berani mempersoalkan tindakan Anwar itu walaupun semasa anwar berada di pentas pembangkang. Setelah disepak dan dibogelkan, anwar pula mengatakan bahawa AUKU ini menghalang mahasiswa untuk menyatakan idealis mereka. Semasa anwar dibelai dan didodoikan dengan irama indah semua perkara dihalalkan sehinggakan melupakan perjuangannya namun setelah disepak dan ditumbuk baharulah mengeluarkan tanda kekesalan. Adakah gelagat bakal perdana Menteri Malaysia yang goyah ketika di persada dodoian pangkat, pengaruh dan wang sehingga menggadaikan prinsip perjuangan layak diangkat sebagai pemimpin kononnya ‘pakatan rakyat’.

Penulis bukannya tidak menentang AUKU, penulis juga sebahagian daripada mahasiswa yang menentang AUKU. Walaupun penulis sudah lama keluar daripada lapangan kemahasiswaan namun darah mahasiswa masih berada dalam tubuh penulis. Melalui slogan ‘Tradisi mencabar’ , ‘mahasiswa menggugat’ dengan kaedah demonstrasi, mahasiswa melalui anwar begitu berani mengkritik kerajaan namun adakah irama yang dinyanyikan oleh anwar setelah hampir 40 tahun masih lagi berlegar di minda mahasiswa yang mungkin tidak akan tamat. Penulis kadang-kadang pening dengan tindakan ‘menyepak angin’ oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa yang tidak penat-penat berdemonstrasi, berdiskusi, berforum dan menghantar memorandum mencanangkan muka di parlimen dengan matlamat mendesak kerajaan meminda AUKU. Namun mahasiswa yang mempunyai idealisme ini sebenarnya mencemar dan memalukan tradisi golongan intelektual yang melakukan sesuatu yang sia-sia. 
 
Mana tidakknya! Kerajaan mewujudkan AUKU kerana mengekang tindakan mahasiswa yang cenderung terhadap parti pembangkang. Lihat sahaja sejarah kewujudan AUKU. AUKU diibaratkan sebagai ISA ala mahasiswa. Fikirlah wahai mahasiswa…anda golongan intelek..adakah kerajaan akan memansuhkan AUKU? Yang sebenarnya menyelamatkan mereka daripada sepakan mahasiswa. Adakah kerajaan BN mahu melihat seperti Indonesia, mahasiswa menjadi salah satu kumpulan pendesak runtuhnya regim Suharto. Namun apabila ditanya kepada mahasiswa…kononnya inilah perjuangan..bagi penulis memanglah… ia adalah perjuangan yang tidak akan selesai-selesai. Tepuk dada tanyalah minda anda sebagai golongan intelek.

Mahasiswa melalui pemimpin-pemimpinnya begitu komited terhegeh-hegeh mengalun gendang perjuangan yang sia-sia mengikut irama pelopor penentangnya yang berprinsip perjuangannya tidak menentu dan kadang-kadang mempergunakan golongan intelek sebagai batu loncatan.
Mahasiswa sebagai pejuang idealis

Secara analoginya mahasiswa terdiri oleh dua suku kata iaitu maha yang melambangkan besar atau berkuasa; dan siswa iaitu merujuk kepada kelompok penuntut atau pelajar di universiti. Mahasiswa merupakan rakyat yang terpilih untuk menjadi rakyat yang terpelajar dan terdidik dengan kecemerlangan ilmu yang mempamerkan norma-norma hidup yang cemerlang. Golongan ini adalah golongan yang perlu mempunyai idealis mengikut acuan mereka sendiri tanpa diasuh dan didoktrin oleh acuan-acuan yang mungkin berpihak kepada sesuatu pegangan. Mahasiswa seharusnya sedar bahawa mereka tidak boleh dijadikan bahan mainan dan batu loncatan untuk individu mencapai matlamat mereka. Mungkin penulisan penulis diselar oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa dulu dan kini namun inilah kenyataan bahawa perjuangan mahasiswa kian lesu menanti rebah ke bumi kerana memperjuangkan perjuangan yang sia-sia. Mahasiswa lesu bukan kerana AUKU tetapi kegagalan mahasiswa terutama pemimpin mahasiswa menterjemahkan maruah ilmu seorang mahasiswa. Penulis bukanlah seorang yang popular dan terkenal dalam dunia kemahasiswaan tetapi penulis sendiri sentiasa memikir dan merenung bahawa ke manakah arah perjuangan mahasiswa? Adakah mahasiswa perlu mengikut alunan aspirasi kerajaan atau aspirasi pembangkang atau mempunyai idealisme sendiri tanpa mempunyai sifat hipokrit yang cenderung berpihak kepada mana-mana pihak.

Mahasiswa perlu bangun daripada kelesuan dan kekalutan idealisme. Kebangkitan mahasiswa bukan kerana pengaruh parti politik atau senada dengan parti politik tetapi mereka perlu bangkit mengarap dan menonjolkan idealisme mereka dengan menerajui isu-isu semasa yang lokal dan global. Pendapat dan solusi mereka perlu merentasi zaman yang dapat mencabar selain membuka mata masyarakat luar bahawa mahasiswa Malaysia merupakan golongan rujukan bukan golongan partisan atau rasialis. Penulis juga tertunggu-tunggu dan sering membuka laman web persatuan-persatuan mahasiswa yang utama mengenai pendirian mahasiswa sendiri berkenaan isu semasa seperti isu politik semasa, isu kenaikan harga minyak, isu kenaikan harga barang, isu keluar islam di Pulau Pinang, isu perlantikan hakim di Malaysia selain isu global lain seperti taufan Nargis, isu Pulau Batu Putih.

Mahasiswa jangan terlalu taksub dengan usaha meroboh tembok padahal isu yang legal yang memerlukan pendapat mahasiswa tidak diendahkan. Isu AUKU sudah lama menjadi beban yang kononnya mencacatkan perkembangan dunia mahasiswa namun ramai pemimpin mahasiswa yang lahir semasa fasa AUKU yang berjaya dalam pelbagai bidang. Pemimpin pembangkang pun lahir setelah AUKU dikuatkuasakan seperti Husam Musa, Salahuddin Ayub, Idris Ahmad selain pemimpin kerajaan seperti Sabree Chek waima Anwar Ibrahim sendiri yang gah sebagai pemimpin kerajaan di seluruh dunia yang lahir semasa AUKU bermaharajalela. Penulis tidak menyokong AUKU tetapi jangan jadikan AUKU ini sebagai penghalang mahasiswa untuk berlari dengan laju mengelak AUKU ini memamah mahasiswa. Walaupun hampir 40 tahun AUKU namun adakah mahasiswa masih gagal beraksi sebagai mahasiswa yang mengungguli pentas rakyat dan mencabar pendapat golongan atasan yang dianggap lusuh dan ketinggalan?

Mahasiswa sendiri perlu bangun dan melihat bahawa cabaran dan dugaan mereka bukan AUKU. Jika AUKU masih menjadi penghalang dalam dunia kebangkitan mahasiswa setelah hampir 40 tahun bermakna mahasiswa masih gagal menjadi golongan intelektual yang tulen. Walaupun penulis mengetahui bahawa mahasiswa kini telah didoktrin dengan pegangan tertentu, namun jangan jadikan doktrin tersebut sebagai kiblat. Seharusnya jadikan doktrin tersebut sebagai visi tetapi bukan misi. Misi mahasiswa perlu diperbagaikan supaya mereka gah bukan sahaja oleh pemimpin kerajaan malah pemimpin pembangkang selain bangkit mengungguli pentas dunia.

Harapan penulis mahasiswa seharusnya menghormati diri mereka sebagai seorang golongan intelektual yang menjadi juru bicara ummat. Seluruh ummat termasuk pelbagai lapisan dan kedudukan seharusnya menjadikan mahasiswa sebagai agen pembuat keputusan kerana minda mereka adalah minda yang tulen tanpa menjadi bahan loncatan individu dan kencingan pihak yang tidak sehaluan dengan mereka.

mymindakini08

Posted by SiswaLaNie on 12:35 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Auku : Mahasiswa ibarat tiada jatidiri

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery