Photobucket Photobucket


My Blog List


Gabungan BN: NGO mahu bebas, tidak mahu dipandang serong

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menolak daripada menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dengan alasan tidak mahu terikat dengan mana-mana parti politik.

Malah NGO juga berpendapat keputusan tidak menjadi ahli gabungan adalah satu pilihan tepat kerana ia tidak akan menyekat usaha mereka untuk memberikan pandangan dan pendapat.

Menurut Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali, buat masa sekarang pihaknya tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk menjadi anggota gabungan BN.

“Buat setakat ini Perkasa lebih berminat untuk tidak bergabung atau menjadi ahli bersekutu dengan mana-mana parti politik.

“Sebabnya untuk kekal bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

“Apa jua dasar yang baik yang baik untuk rakyat, selari dengan Perlembagaan Negara, Perkasa akan bagi sokongan kepada mana-mana pihak,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata jika berlaku perubahan dalam keputusan itu ia hanya dibuat ketika mesyuarat agung Perkasa.

“Apa pun Perkasa akan menyerah kepada perwakilan mesyuarat agung untuk memutuskan sama ada mahu memohon menjadi ahli gabungan atau bersekutu dengan BN.

“Ia perkasa dasar, maka keputusan terletak pada perwakilan mesyuarat agung Perkasa,” katanya.

Tambah Syed Hassan, sukar untuk Perkasa menjadi ahli gabungan dalam BN kerana ahli pertubuhan itu terdiri daripada latar belakang politik yang berbeza.

“Secara peribadi saya rasakan sukar untuk NGO seperti Perkasa menyertai atau bergabung dengan mana-mana parti politik kerana ahli-ahli Perkasa terdiri daripada latar belakang politik yang berbeza dan ada yang tidak minat politik.

“Mereka menyertai Perkasa adalah kerana Perkasa hanya sebuah NGO yang mempertahankan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera lain.

“NGO ini membuka keahlian kepada semua orang Melayu dan Bumiputera tanpa kira fahaman politik,” katanya.

Beliau juga berkata keputusan untuk tidak menyertai BN adalah kerana Perkasa tidak mahu dilihat berpihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.

“Jadi jika menyertai BN akan akur dengan cara BN. Ini yang susah kerana selama ini Perkasa bebas menegur mana-mana pihak yang difikirkan menggangu hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta kemuliaan Islam.

“BN pun Perkasa pernah tegur. Umno, MCA, Gerakan, MIC semuanya Perkasa selalu tegur secara terbuka sebelum ini.

“Kalau bersama dalam BN payahlah. Perkasa tidak mahu berpihak kepada mana-mana parti politik. Yang mana tak kena dengan perjuangan Perkasa, kami akan bersuara dan tegur dengan tegas. Tidak kira siapa,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan NGO Malaysia Mohd Jurit Ramli juga berpandangan bahawa tidak wajar pertubuhan bukan kerajaan menjadi anggota tidak formal mana-mana parti politik — walaupun BN membuka ruang — kerana ia akan membawa gambaran serong dan akan dilihat tidak berkecuali dalam membawa agenda mereka.

“Berdasarkan perlembagaan dan agenda, pertubuhan bukan kerajaan adalah badan bebas yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik... dalam kes ini BN.

“Kalau BN didapati betul, kami akan kata betul dan kalau salah kami akan kata salah... begitu juga Pakatan Rakyat, kalau betul kami akan kata betul, kalau salah kami akan kata salah, tetapi tidak akan menjadi anggota parti politik,” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya tidak kisah jika mana-mana ahlinya selaku orang perseorangan menjadi anggota BN dan mana-mana parti politik.

“Itu hak mereka, kami tidak kisah,” tambah beliau sambil menjelaskan, jika menjadi anggota BN ekoran keputusan perikatan itu, pertubuhan itu akan dilihat sebagai pihak yang menyokong BN sahaja.

Jurucakap Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) Ahmad Shukri Kamarudin, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat BN berhubung membenarkan NGO menjadi ahli gabungan.

Namun, Ahmad Shukri berkata adalah lebih baik sekiranya BN memberikan penjelasan yang jelas mengenai matlamat sebenar membenarkan NGO menjadi sebahagiand daripada BN.

“Mengenai keputusan yang dibuat BN itu, kami terima sebagai satu kuasa demokrasi.

“Kami menghormati keputusan yang dibuat BN, tapi kami minta supaya matlamat membenarkan NGO menjadi ahli gabungan itu diperjelaskan dengan terperinci.

“Bagi Gamis, kami mahu tahu dengan jelas apa matlamat sebenar BN,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya matlamat BN selari dengan perjuangan Gamis tidak mustahil sekiranya pihaknya memberikan sokongan sambil menolak untuk menjadi ahli gabungan.

“Kalau matlamat BN itu selari dengan apa yang diperjuangkan mahasiswa, maka tidak mustahil kita akan sokong usaha tersebut.

“Tapi kalau bertentangan dengan matlamat mahasiswa yang selama ini memperjuangkan demokrasi dan kebebasan mahasiswa kita akan tentang.

“Kalau BN boleh lakukan apa yang kita perjuangkan kita akan memberikan sokongan. Kita hanya akan sokong sahaja tapi tidak akan menjadi ahi gabungan dalam BN,” katanya.

Sementara itu, Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin berkata pihaknya tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk BN kerana mahu lebih bebas dalam menyuarakan pendapat.

“Kita dalam JIM memang tidak akan sertai mana-mana parti politik termasuk BN.

“Ini kerana supaya kita lebih bebas untuk menyuarakan pendapat dan pandangan.

“Jadi kita memang tidak mahu terikat dengan parti politik apatah lagi untuk menjadi ahli gabungan dalam BN,” katanya.

Bagi Zaid, pihaknya akan menyokong mana-mana parti yang memberikan kebaikan dan matfaat kepada rakyat.

Melahirkan pandangan yang serupa ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz, antara lain berkata, PKPIM berpandangan tawaran untuk NGO bergabung dengan parti politik adalah bertentangan dengan norma masyarakat demokratik.

“Memandangkan dalam sistem masyarakat demokratik, selain kewujudan organ politik dan peniaga, peranan organ masyarakat sivil atau perjuangan menerusi pentas pertubuhan bukan kerajaan tulen adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan sebagai medan penerus pembangunan masyarakat,” katanya.

Kata beliau, bagi PKPIM, tujuan utama ditubuhkan NGO adalah sebagai wadah yang membawa suara marhaen untuk ‘semak dan imbang’ terhadap setiap satu dasar yang digubal pihak pemerintah bagi memastikan ia benar-benar memenuhi kepentingan masyarakat umum.

“Sebagai analogi, saya mentafsirkan NGO sebagai pusat roda yang dikelilingi parti politik. Walau siapa yang berada di atas atau siapa yang berada di bawah, NGO tetap utuh sebagai pusat di tengah-tengah yang bertanggungjawab memastikan roda secara keseluruhannya bergerak dengan lancar.

“Lantaran itu, pendekatan ‘non-partisan’ dan ‘independent political force’ harus dijadikan sebagai prinsip yang fundamental dalam menggerakkan agenda perjuangan ‘civil society’ ini,” katanya.

Kata Faisal, sebagai aktivis dan pimpinan NGO, pihaknya seharusnya bebas daripada keterikatan mana-mana parti politik dan ketaksuban politikus, yang akhirnya akan mencengkam idealisme perjuangan NGO itu sendiri.

“PKPIM menyambut baik sebarang usaha pihak BN untuk meraikan kepentingan NGO sebagai rakan pembangunan negara dengan sentiasa mendengar pandangan dan kritikan NGO, serta menghormati prinsip dan pendirian sesebuah NGO dalam sesuatu isu,” kata beliau.

Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Hasnul Fairuz Hushim Amir menegaskan, “kita memang tidak akan menyertai tawaran yang dibuat BN.”

“Kita ada prinsip dan salah satunya adalah untuk tidak terlibat dalam politik.

“GPMS sudah berusia 63 tahun dan sehingga kini kita masih mengekalkan untuk terlibat dengan politik.

“Tidak sama sekali,” kata beliau.



“Apa-apa pun mana yang baik kita akan sokong, kita mahu lebih bebas sebab itu tidak mahu terikat dalam parti politik,” katanya.

Semalam Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata, Dewan Tertinggi meluluskan langkah menerima anggota-anggota langsung, sistem yang mirip diguna pakai oleh Perikatan awal 1970-an.

Selain itu, BN juga akan menubuhkan kelab Rakan Muda BN bagi menarik penyokong berusia antara 18 dan 21 tahun.

Najib yang juga menjelaskan keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah berkenaan dan selesa dan serasi jika menjadi anggota bersekutu.

Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.

Posted by SiswaLaNie on 9:18 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Gabungan BN: NGO mahu bebas, tidak mahu dipandang serong

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery