Fitnah: Gamis desak Norhisyam mohon maaf
KUALA LUMPUR, 26 Nov : Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) memberi kata dua kepada Norhisyam Mohamad dari Alor Star, Kedah sama ada mahu memohon maaf dan menarik balik cerita fitnah terhadap Gamis atau berdepan dengan tindakan perundangan ekoran kenyataannya semalam.
“Gamis menuntut Norhisyam menarik balik fitnah yang diciptanya itu dan memohon maaf dalam masa tiga hari,” kata Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya Norhisyam enggan menarik balik fitnah itu, Gamis akan mengarahkan semua organisasi negeri dan seluruh ahli untuk membuat laporan polis dan seterusnya akan mengemukakan saman.
Dalam kenyataan di ruangan Varsiti, akhbar Berita Harian bertarikh 25 November, Norhisyam menyatakan Gamis menggunakan ‘Islam’ untuk mempengaruhi dan memperbodohkan segolongan mahasiswa memperjudikan masa depan mahasiswa hanya untuk menjayakan agenda politik sesat PAS.
![]() |
mohd yusof |
Tambahnya, tuduhan bahawa Gamis ialah gerakan mahasiswa pendokong PAS nombor satu juga sengaja direka bagi menunjukan bahawa Gamis dipandang serong oleh beberapa pihak.
“Kenyataan beliau itu jelas sengaja dicipta bagi mencemarkan imej dan nama baik Gamis sebagai sebuah peneraju gerakan mahasiswa Islam. Norhisyam juga menyatakan PAS membawa politik sesat, mungkin PAS juga perlu menjawabnya,” ujarnya.


