Photobucket Photobucket


My Blog List


UM Nafi Tutup Akademi Pengajian Islam Cawangan Nilam Puri

Nov 25, Kuala Lumpur : Kampus induk Universiti Malaya (UM) hari ini menafikan khabar angin kononnya pihaknya sudah memutuskan untuk menutup Akademi Pengajian Islam cawangan Nilam Puri, Kelantan kononnya atas pertimbangan politik.

“Saya mengesahkan khabar berita itu tidak betul… memang tidak ada rancangan daripada mana-mana pihak untuk menutup (pusat asasi) Nilam Puri itu,” kata Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Islam UM (APIUM), Prof Madya Muhd Muhiden Abdul Rahman.

Muhiden bagaimanapun memberitahu bahawa universiti sedang mengambil langkah-langkah perlu untuk memendekkan tempoh pengajian di pusat asasi tersebut dari empat semester ke tiga semester (sekarang masih empat semester bersamaan dua tahun.)

“Kemungkinan kekeliruan ini timbul kerana sekarang ini kita sedang membuat semakan kurikulum.”

“Tempoh yang berjalan sekarang dua tahun atau empat semester, dalam semakan tersebut ada cadangan untuk memendekkan kepada satu semester menjadi tiga semester.”

“Cadangan itu akan dilaksanakan pada 2012,” kata beliau.

Akademi Pengajian Islam di Nilam Puri menyediakan kursus pra-pengajian Islam UM sejak 1981 hasil daripada pengambilalihan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan oleh pusat pengajian tinggi itu.

Program Asasi Pengajian Islam merupakan program persediaan bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah, Usuluddin, Pendidikan Islam, dan Pengajian Islam dan Sains di kampus utama Akademi Pengajian Islam UM di Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah (Ijazah Tinggi) APIUM Prof Madya Dr Ishak Suliaman turut menafikan khabar penutupan APIUM cawangan Nilam Puri.

“Saya sendiri sebagai Timbalan Pengarah ingin berkata bahawa kami (APIUM Kuala Lumpur) tidak pernah menerima surat hitam putih daripada pentadbiran sendiri mengenai isu penutupan Nilam Puri.”

“Saya pun ingin bertanya daripada mana khabar ini timbul kalau ada surat hitam putih,” kata Dr. Ishak.

Malah katanya lagi, isu perpindahan dari Nilam Puri ke Kuala Lumpur tidak pernah dibawa dalam mesyuarat pengurusan akademi itu sendiri.

“Rasmi itu memang tidak ada sepanjang saya menjadi Timbalan Pengarah dua tahun ini.”

“Kalau penutupan Nilam Puri adalah isu politik, ia akan turun ke bawah dan kita sendiri tahu secara rasmi.”

“Sebenarnya kami (pentadbir) di APIUM tidak mempunyai kuasa autoriti untuk menutup Nilam Puri, itu di bawah bidang kuasa Naib Canselor,” ujarnya lagi.

Pun begitu, ada sumber diberitahu ura-ura penutupan Nilam Puri ini sudah wujud sejak 2001 atas pertimbangan politik.

APIUM khususnya di Nilam Puri turut disifatkan sebagai “kilang pembangkang” oleh pusat dan kerajaan lebih sedekad lalu.

PMIUM dan beberapa NGO lain dikatakan turut membantah cubaan untuk menutup cawangan UM di Nilam Puri, Kelantan kerana alasan yang digunapakai untuk menutupnya dianggap tidak munasabah

Posted by SiswaLaNie on 7:55 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for UM Nafi Tutup Akademi Pengajian Islam Cawangan Nilam Puri

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery