Photobucket Photobucket


My Blog List


Mahasiswa bangkit menempuh arus zaman!

Kebangkitan mahasiswa bukan sesuatu yang baru kepada sejarah negara kita. Nama-nama seperti Kamarazaman Yacob, Abu Zer, Yunus Ali, Hishamuddin Rais, Anwar Ibrahim dan ramai lagi aktivis mahasiswa sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa suatu ketika dahulu.

Kerajaan melihat kebangkitan mahasiswa sekitar tahun 1970-an membuktikan bahawa "student power" ini bukan subjek yang boleh dipandang enteng


Sebab itu mereka telah memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1971 yang dilihat bertujuan mengekang kebangkitan dan mengongkong mahasiswa dari aktif berpolitik. Malah negara menyaksikan ramai aktivis mahasiswa dari dahulu sehingga kini ditahan di bawah akta zalim ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

Kita mengakui bahawa universiti-universiti awam di negara ini telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh-tokoh ulung. Golongan cendekiawan ini telah melontarkan banyak idea, pandangan, kajian dan sebagainya. Semua ini telah banyak membantu dalam perkembangan ilmu pengetahuan, perindustrian, menaik taraf sosio ekonomi masyarakat dan negara amnya. Tetapi fakta ini cuma berada sebuah sudut yang umum mengetahui. Kita harus mengeluarkan minda mahasiswa kita dari kefahaman sempit. Universiti kita bukan cuma sebuah pusat pengumpulan manusia-manusia untuk diprogramkan. Kalau begitu lebih baik belajar di sekolah sahaja - Profesor kangkung, sebagaimana yang disifatkan Hishamuddin Rais. Ia merujuk kepada peranan universiti adalah lebih besar dari sekadar "pusat pengajian".

Mahasiswa: Produk tertentu memenuhi permintaan pasaran?

Tugas sebagai mahasiswa bukan semata-mata untuk belajar dalam jurusan yang diambil- menyiapkan kerja kursus dan menduduki peperiksaan. Menjadi mahasiswa juga bukan semata-mata bercuti ke Genting pada hari minggu. Tugas sebagai mahasiswa adalah sebagai penggerak massa dan minda masyarakat zamannya. Tugas sebagai mahasiswa adalah untuk memberi solidariti kepada perjuangan rakyat. Mahasiswa merupakan nadi dan tulang belakang gerakan rakyat dalam memerangi kezaliman. Tugas mahasiswa adalah untuk menyedarkan rakyat. Mahasiswa perlu menceburkan diri dalam politik untuk menyeimbangkan suara rakyat. Lihatlah sejarah yang pernah tercipta di Iran, Perancis, Tunisia, Mesir, Greece, Korea dan sebagainya. Mahasiswa mencipta sejarah! Adalah amat menyedihkan sebahagian besar mahasiswa dilihat cuma mahu menjadi produk-produk tertentu dalam memenuhi permintaan pasaran.

Pilihanraya Kampus sangat penting bertujuan untuk menyediakan barisan kepemimpinan di kalangan mahasiswa itu sendiri. Pilihanraya Kampus ini merupakan sebuah platform kepada mahasiswa untuk berjuang menggangkat isu-isu berkaitan kebajikan pelajar, pentadbiran universiti malah isu-isu melibatkan kepentingan negara. Di sinilah mahasiswa mengetengahkan, memperkenalkan idealisme perjuangan mereka. Mereka yang memenangi pilihanraya kampus perlu bertindak sebagai mata-kepala dan suara pelajar-pelajar yang diwakili dan bukan sebagai "pak turut" pentadbiran universiti mahupun kerajaan. Gerakan mahasiswa perlu menjadi sebuah gerakan yang non-partisan demi menjamin kestabilan dan keutuhan gerakan pelajr itu sendiri.

Adalah sangat tidak tepat jika kita tafsirkan bahawa Pilihanraya Kampus merupakan sebuah platform untuk "belajar" dan "merasa berpolitik" semata-mata. Malah di sinilah bakat calon-calon yang bakal menerajui negara diasah. Partisipasi mahasiswa dalam politik kampus mahupun luar kampus harus dilihat sebagai sesuatu yang positif tetapi "mahasiswa yang berpolitik" ini sering sahaja dilabel menentang kerajaan dan mencabar pentadbiran universiti.

Tahun 2010 dilihat sebagai zaman kebangkitan semula mahasiswa. Tertangkapnya beberapa orang pelajar semasa membantu jentera PR di pilihanraya kecil Hulu selangor dan kes "bini puaka", diikuti dengan perhimpunan-perhimpunan aman di Kementerian Pengajian Tinggi, perhimpunan-perhimpunan solidariti mahasiswa amat meresahkan kerajaan lebih-lebih lagi taring AUKU semakin menumpul.

Cabaran kepada semangat demokrasi

Insiden mengejutkan kehilangan calon Pro Mahasiswa UM; Masturah Abu Bakar merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah pilihanraya kampus. Kehilangan Masturah dilihat sebagai "konspirasi terancang" pihak-pihak tertentu dalam menakutkan gerakan Pro Mahasiswa seterusnya menggagalkan kemenangan mereka di universiti-universiti. Apa yang akan berlaku sekiranya gerakan Pro Mahasiswa tewas? Ya. Pentadbiran universiti akan lebih mudah untuk menjalankan dasar-dasar yang menekan mahasiswa dari beraktivisme.

Berbalik kepada insiden kehilangan Masturah sebuah laporan polis telah pun dibuat oleh temannya. Nurhanis Wahidah diikuti dengan sebuah perhimpunan di Dewan Tunku Canselor yang melibatkan sekurang-kurangnya 200 mahasiswa untuk menyerahkan memorandum yang menuntut pihak universiti agar bertanggungjawab atas kehilangat tersebut.

Mengulas insiden kehilangan Masturah, pihak pentadbiran universiti menekankan bahawa mahasiswa dilarang berkempen di luar kampus. Sekiranya berbuat demikian, mereka harus bertanggungjawab di atas tindakan yang mereka lakukan. Ini merupakan sebuah kenyataan yang sangat memalukan.

Logiknya seseorang individu itu memang bertanggungjawab atas apa yang dilakukan-tidak perlu peraturan bertulis pun kita sudah mengetahuinya. Isunya ialah - Masturah adalah seorang pelajar UM sendiri dan merupakan Calon Pro Mahasiswa yang bakal bertanding. Pihak universiti harus lebih prihatin dengan insiden yang menimpa Masturah dan bukan mengambil sikap eskapis. Ini sangat tidak profesional. Sikap acuh tidak acuh pentadbiran UM ke atas insiden yang menimpa Masturah cuma akan menjejaskan ketelusan dan kepercayaan pelajar dan masyarakat kepada institusi ulung tersebut.

Kebebasan beraktivisme mahasiswa cuba dikekang sebaik mungkin. Seorang demi seorang aktivis Pro Mahasiswa bakal dikenakan tindakan akibat program "ziarah mesra" bagi mendekati masyarakat kampus. Soalan saya, apakah impak negatif dari ziarah mesra tersebut? Apakah ini sebuah pencabulan terhadap demokrasi? Malah program ziarah ini akan merapatkan lagi hubungan sesama pelajar. Satu lagi isu yang harus diketengahkan sebagai isu yang dilihat cuma mengongkong kebebasan beraktivisme dan kebebasan berkreativiti mahasiswa adalah isu dari pentadbiran UM yang mewajibkan calon pilihan raya kampus menghadiri bengkel calon. Isu ini telahpun dijawab dan disokong oleh Front mahasiswa.

Tempoh berkempen bagi pilihanraya kampus seluruh negara diperlihatkan dengan insiden-insiden buruk yang menjejaskan sistem demokrasi pilihanraya kampus. Antara lain adalah insiden mengoyak poster calon Pro Mahasiswa, membaling cat kepada kenderaan, membakar sepanduk dan sebagainya. Apakah yang boleh diertikan dengan semua insiden ini? Ya. Mahasiswa kita cuba diterapkan dengan budaya "kebudak-budakan" dan tidak matang. Pihak lawan cuba melakukan provokasi, menakut-nakutkan calon Pro Mahasiswa; tujuan akhirnya agar calon Pro Aspirasi menang. Maka; mahasiswa sebolehnya akan dikawal dengan ketat.

Sehingga saat artikel ini ditulis, pilihanraya kampus telahpun berlangsung. Ia menyaksikan kemenangan calon-calon Pro Mahasiswa di UM, UKM, UIA dan pengaruh Pro Mahasisa mula bertapak universiti lain. Nampaknya, gerakan mahasiswa mula mendapat momentum. Idealisme perjuangan mahasiswa harus dilaungkan. Perjuangan untuk menggangkat martabat mahasiswa perlu diperluaskan. Dan untuk hari-hari seterusnya, gerakan Pro Mahasiswa bakal menghadapi rintangan demi rintangan. Teruskan perjuangan! Ayuh ciptakan sejarah! Mantapkan agenda perubahan!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Posted by SiswaLaNie on 9:32 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Mahasiswa bangkit menempuh arus zaman!

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery