Photobucket Photobucket


My Blog List


Student Power: Sebuah Paranoia

Pengharaman syarahan dan tayangan dokumentari Student Power di Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaya baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan ramai orang muda yang meminati hasil kerja Fahmi Reeza, seorang aktivis sosial yang mula mendapat perhatian sejak dokumentarinya bertajuk “10 Tahun Sebelum Merdeka” menjadi “panas” di youtube. Barangkali gelaran Michael Moore Malaysia sesuai diberikan kepada penerbit muda ini, kerana dokumentarinya menakutkan pihak kerajaan.

Persoalannya apa yang ditakuti oleh kerajaan? Sebelum ini kita dengar akan Joshua Wong, Penerbit kanan di ntv7 yang meletak jawatan kerana programnya “Editor’s Time” tidak berapa disukai oleh kerajaan, dan juga pemecatan Chou Z Lam yang menghasilkan dokumentari berhubung Empangan Bakun, anehnya kerajaan tidak berbuat apa-apa dengan penerbit filem Pasir Salak, yang telah gagal setelah banyak wang rakyat digunakan. Mungkin ada yang melihat tindakan universiti ini berasingan dengan tindakan kerajaan, akan tetapi campurtangan politik pihak berkuasa begitu ketara sekali dalam pentadbiran universiti sehingga tidak dapat dinafikan lagi.

Ada juga di kalangan teman-teman saya yang baru balik dari Biro Tatanegara (BTN) tiba-tiba sahaja melabel dokumentari “10 Tahun Sebelum Merdeka” sebagai propaganda jahat untuk memburukkan imej negara. Apa yang berlaku di BTN itu saya tidak tahu, mungkin gambaran mudah imaginasi anda boleh jelaskan. Sukar dipercayai, kerajaan kita yang begitu khuatir sekali akan keselamatan awam sehinggakan pelajar universiti yang memerhati pilihan raya kecil di Hulu Selangor pun ditangkap polis, boleh membiarkan sahaja Fahmi bermaharajalela. Logik tindakan-tindakan kerajaan ini sudah mula menjadi tanda tanya yang besar.

Mengapakah rakyat yang mahu berhimpun dengan aman untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Akta Zalim ISA dikerumun ratusan pegawai polis yang tanpa segan silu telah berlagak samseng membuli wanita dan kanak-kanak, tetapi beberapa minggu sebelumnya tidak berbuat apa-apa apabila armada Tentera Laut China mendarat di kepulauan Spratley? Kerajaan sibuk menangkis pelbagai tuduhan di dalam negara, sehinggakan tuduhan pemerhati-pemerhati antarangsa berhubung kehakiman negara , pemerintahan negara, dan imej negara tidak berapa dihiraukan.

Contohnya dakwaan Malaysia menjadi destinasi utama pemerdangangan manusia, dalam US Report on Trafficking in Persons 2009 dan oleh The Human Rights Watch. Adakah ini bererti polis menghabiskan tenaga cuba meleraikan himpunan aman lebih daripada memberi perhatian kepada jenayah pemerdangangan manusia? Terlampau banyak persoalan yang timbul kebelakangan ini terhadap setiap tindakan kerajaan yang logiknya sukar untuk difahami.

Student Power

Berbalik kepada isu Fahmi, kerajaan menunjukkan suatu paranoia terhadap anak-anak muda kita yang berada di universiti. Mengapa agaknya kerajaan kita begitu gentar apabila golongan terpelajar ini lantang bersuara? Dokumentari Fahmi yang sepatutnya ditayangkan di Universiti Malaya itu menjadi tumpuan kerana bakal menjadi sejarah apabila suara lantang mahasiswa tahun 1960-an bergema semula di sana.

Student Power, dokumentari yang mengimbau kembali zaman-zaman keunggulan mahasiswa tahun 1960-an. Setiap perkara dalam dokumentari itu disokong dengan dokumen-dokumen sejarah seperti akhbar dan sebagainya. Apa yang hendak ditakutkan dengan kebenaran?

Mungkin President Sokarno betul, 10 orang muda sudah cukup barangkali untuk menggegarkan dunia, apatah lagi Malaysia? Bukankah golongan terpelajar ini adalah di kalangan yang terbaik daripada ribuan pelajar sekolah yang tamat tingkatan enam? Sebaliknya golongan ini dikekang daripada terus berkembang dengan pelbagai undang-undang yang tidak bermanfaat kepada mereka. Apa yang membimbangkan adalah penglibatan pihak iniversiti dalam menjalankan arahan-arahan yang tidak masuk akal daripada “pihak atasan”.

Universiti Malaya pada awalnya memberi kebenaran bagi syarahan dan tayangan Student Power diadakan, dan menarik kembali kebenaran tersebut dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Terlampau mirip tindakan flip-flop kerajaan dalam beberapa isu penting kebelakangan ini.

Apa yang jelas adalah hakikat bahawa golongan Mahasiswa harus diberi kebebasan untuk berfikir dan bersuara. Idealisma semangat muda mereka adalah apa yang diperlukan negara kita sekarang, untuk memastikan kemajuan berterusan. Jika kita tidak menghargai kebolehan inletek mereka, maka kita tidak boleh salahkan mereka apabila berhijrah ke negara lain. Bagi mengatasi masalah “brain drain” negara, mungkin ada baiknya kerajaan bermula dengan menghargai golongan mahasiswa dengan memberikan mereka kebebasan yang sewajarnya mereka miliki.

Jika kerajaan khuatir akan tentangan daripada golongan pelajar seperti yang berlaku di Greece, Korea Selatan, atau Thailand, penyelesaianya mudah, dengar apa yang disarankan oleh golongan tersebut .

Apa yang dilakukan sekarang adalah tindakan-tindakan yang amat memalukan, menghalang kebebasan mereka untuk bersuara, berhimpun dan bersyarah, adalah berkontradiksi dengan matlamat kita untuk melahirkan generasi yang cemerlang. Rakyat dapat melihat kenapa dan mengapa kerajaan bertindak sebegini rupa. Apa yang menghampakan adalah ketidakmatangan yang ditunjukkan oleh kabinet negara, yang sanggup mengkompromi masa depan orang muda demi kepentingan politik.

Barangkali bagi orang muda yang sayang akan negara, melihat kerajaan sekarang sebagai suatu ancaman kepada masa depan negara? Mungkin itu sebabnya perhubungan pelajar institusi pengajian tinggi tidak pernah berapa baik sejak dahulu lagi, mungkin mereka tidak sanggup ditekan lagi. Jika kerajaan mahu undi-undi orang muda, mereka seharusnya mempercayai mereka terlebih dahulu. Sebaliknya senario yang sedia ada cuma mencipta lebih banyak lawan daripada kawan.

Merdeka Review

Posted by SiswaLaNie on 3:55 PM. Filed under , , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Student Power: Sebuah Paranoia

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery