Himpunan Mahasiswa bersama UKM4
SiswaLaNie menyeru kepada mahasiswa, anak muda, ahli akademik, serta seluruh masyarakat untuk datang memberi sokongan kepada keempat-empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Saudara Hilman Idham, Saudara Woon King Chai, Saudara Ismail Aminuddin, dan Saudari Azlin Shafina serta barisan peguam. SiswaLaNie merasakan bahawa ini adalah satu petanda awal yang sangat positif dalam usaha dan perjuangan untuk menuntut agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimansuhkan. Bukan hanya kerana soal hak dan kebebasan mahasiswa sahaja, namun ia juga atas kesedaran untuk memperbaiki tahap kebebasan akademik yang semakin merudum di negara Malaysia ini.
Ini merupakan sejarah terbaru dalam gerakan mahasiswa sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Kemenangan kita yang lalu apabila 5 Mahasiswa UM yang disabitkan kesalahan khianat telah dibebaskan cukup memberi kesan yang besar dalam gelombang kebangkitan gerakan mahasiswa. Kita yakin bahawa 4 orang aktivis mahasiswa ini telah bersedia untuk berdepan dengan kes itu nanti. Harapannya, agar semangat dan keazaman mereka tetap kukuh dan berterusan dalam perjuangan.
Selain itu, SiswaLaNie juga mengingatkan semua bahawa perbicaraan kes atau Himpunan Mahasiswa bersama UKM4 pada Selasa, 28 sept 2010 akan berlangsung di Lobi Makhamah Tinggi Jalan Duta pada jam 2:00 petang. Biarpun perjuangan ini sudah lama bermula, namun kita merasakan bahawa kes sepanjang minggu ini memberikan nafas baru kepada pergerakan mahasiswa dalam usaha kita untuk menuntut supaya AUKU dimansuhkan.
Oleh yang demikian, SiswaLaNie dengan lantangnya menyeru kepada seluruh pergerakan mahasiswa, anak muda, ahli akademik, serta seluruh masyarakat supaya bersama-sama menolak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Kita juga menuntut agar kerajaan memansuhkan akta ini yang sama sekali mengekang hak dan kebabasan mahasiswa dan yang lebih penting lagi turut mengekang hak dan kebebasan mahasiswa dan pensyarah berakademik. Atas semangat dan harapan ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik, SiswaLaNie sekali lagi menyeru seluruh masyarakat untuk turut sama dalam perjuangan menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti dan menuntut untuk dimansuhkan. Hari Penentuan Masa Depan AUKU & Mahasiswa. Jumpa anda di sana.