SMM Gesa Mahkamah Buat Keputusan Bebas Pengaruh Politik
KUALA LUMPUR 22 Sept - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berharap mahkamah bersikap rasional serta bebas daripada sebarang unsur campurtangan dan tekanan politik dalam membuat keputusan berhubung perbicaraan kes "bini puaka" melibatkan lima pelajar Universiti Malaya (UM).
Justeru itu Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman menyeru seluruh mahasiswa turun ke Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, 24 September ini bagi mendengar keputusan kes tersebut. Himpunan itu katanya, adalah bagi menyatakan harapan keadilan di peringkat seluruh mahasiswa kepada institusi kehakiman di Malaysia.
Menurut beliau, badan kehakiman perlulah menjadi perunding yang baik kepada mahasiswa atau rakyat.
"Kita yakin akan kreadibiliti mahkamah di Malaysia sebagai telus, adil dan bijaksana dalam menilai setiap fakta kes.
"Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini", ujar beliau dalam satu kenyataan semalam.
Pada masa yang sama, SMM juga meminta seluruh mahasiswa Islam agar mengadakan solat hajat untuk kemenangan mahasiswa yang ditindas di dalam kes tersebut.
Lima mahasiswa terbabit - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli didakwa di bawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan kes kelima-lima tertuduh berlangsung sejak bermula 16 Jun lalu. Mereka dituduh menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi, 24 Jun 2009 di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.
Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.
Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.
Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.