Mahasiswa lawan Auku, rakyat perlu buka mata
Selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan bahawa saman pemula empat mahasiswa UKM untuk mencabar Auku baru-baru ini ditolak, saya sudah menjangkakan keputusan itu.
Saman itu diketuai oleh saudara Hilman Idham bersama tiga rakannya yang lain, mahasiswa jurusan Sains Politik, UKM. Sewaktu mula-mula membuat keputusan untuk mencabar kerajaan, saya pernah memberitahu Hilman bahawa untuk mencapai kemenangan agak samar.
Saya kenal benar dengan Hilman. Beliau adalah Presiden Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) yang turut bersama-sama kami GAMIS dan SMM dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan masyarakat.
Dalam hujah Hakim mahkamah itu, beliau berkata larangan yang terkandung dalam Seksyen 15(5)(a) itu bertujuan mencegah kekacauan yang berpotensi berlaku di universiti, yang juga boleh disifatkan sebagai mengganggu ketenteraman awam.
Aziah berkata beliau bersetuju dengan peguam yang mewakili UKM Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa larangan yang dikenakan itu adalah penting atau wajar untuk memelihara disiplin pelajar, yang merupakan sebahagian daripada akhlak orang ramai dan yang wajib dipatuhi oleh pelajar.
Beliau juga bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha Abu Bakar bahawa semua hal berkaitan disiplin dan tingkah laku pelajar terletak di bawah bidang kuasa universiti tempat mereka belajar dan tidak pernah wujud sebarang tindakan bersifat menindas terhadap mana-mana pelajar.
Seharusnya kenyataan ini mudah dibaca bagi rakan-rakan aktivis mahasiswa dan masyarakat yang mengikuti perjuangan kami menentang AUKU.
Undang-undang ‘tarik tali’
Saya bukanlah pakar dalam undang-undang mahupun perlembagaan dalam membicarakan soal akta ini. Namun, berdasarkan pengalaman menyertai Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dahulu, satu dua perkara saya boleh lontarkan.
Dalam perlembagaan Malaysia, secara umum diketahui bahawa warganegara Malaysia berhak untuk berpolitik, mengundi, dan menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang dirasakan wajar baginya. Itu adalah kebebasan yang diberi perlembagaan.
Walaupun begitu, dalam AUKU, mahasiswa tidak dibenarkan berbuat demikian. Ini kerana mereka adalah pelajar universiti. Akta itu dalam pindaan pada 2008 saya petik ada menyebutkan :
(5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap:
(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;
(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau
(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawahperenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.
Justeru itu, seorang mahasiswa akan terikat dengan akta universiti (AUKU) walaupun diberi jaminan kebebasan oleh perlembagaan sebagai warganegara.
Undang-undang inilah yang disebut sebagai ‘tarik tali’ dan pada hari ini empat rakan saya itu sedang mencabar kerajaan bagi membuktikan kesahihan dan keabsahan salah satu undang-undang tersebut. Paling penting ia memberi pendidikan kepada masyarakat betapa dilema yang dihadapi mahasiswa kini.
Bukan mansuh semua
Seperkara yang tidak difahami kerajaan terutamanya menteri KPT sendiri adalah berkenaan hasrat mahasiswa yang ingin memansuhkan akta ini.
Ketika menghantar memorandum berkenaan autonomi universiti kepada Dato’ Seri Khaled Nordin di UKM dahulu, beliau pernah berkata : “Kalau mansuh AUKU, tutuplah semua universiti..”.
Saya yakin beliau tidak sedangkal itu. Bagi kami akta yang perlu dimansuhkan hanyalah yang berkaitan dengan hak bersuara dan berpersatuan, hak kebebasan akademik, hak autonomi universiti dan menyertai politik sebagaimana warganegara yang lain. Itu sahaja.
Bukannya memansuh akta yang melibatkan tubuh sebuah universiti, perlantikan Naib Canselor, akta kakitangan universiti dan macam-macam lagi. Itu serahkan kepada pihak yang lebih mengetahui.
Ini termasuklah isu yang menjadi perbincangan hangat berkenaan kewajaran mahasiswa berpolitik baru-baru ini, turut melibatkan akta ini.
Apa-apa pun, selagi mana mahkamah masih belum dipengaruhi kuasa luar seperti mana yang berlaku kepada lima mahasiswa UM berkenaan isu ‘Puaka UM”, peluang UKM4 untuk mencabar akta ini masih ada. Selamat berjaya mahasiswa!
Disediakan oleh,
Mohd Aizat Mohd Salleh
Setiausaha Agung
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)