Photobucket Photobucket


My Blog List

2,000 pelajar Malaysia Timur Tengah dihimpit masalah kewangan

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Putrajaya supaya mencari jalan penyelesaian berhubung masalah yang dihadapi pelajar-pelajar yang menuntut di rantau Timur Tengah yang sehingga kini masih gagal mendapatkan pinjaman mahupun biasiswa daripada kerajaan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Majlis Belia Malaysia dan Majlis Perundingan Melayu turut menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Timur Tengah terutamanya kepada kira-kira 2,000 pelajar di Mesir.

Turut terlibat dalam usaha itu syarikat milik pelakon dan pengacara AC Mizal iaitu AC Konsortium Sdn Bhd.

Pada sidang media hari ini, turut dilancarkan ialah Tabung Kecemasan Pendidikan yang berfungsi untuk membantu pelajar-pelajar yang gagal mendapatkan pinjaman kerajaan.

Menurut Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma’amor Osman, tabung itu diwujudkan kerana sehingga kini masih belum ada kata putus terhadap nasib pelajar di Mesir yang kini menghadapi masalah kewangan.

“Kebanyakan pelajar ini gagal mendapatkan pinjaman mahupun biasiswa daripada kerajaan, menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut di sana, saya juga difahamkan bagi tahun pertama kos pengajian ditanggung oleh ibubapa masing-masing.

“Menurut maklumat yang saya terima, kerajaan bersetuju sekiranya pelajar-pelajar ini mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka akan menerima bantuan daripada kerajaan, tapi sehingga kini tiada sebarang respons daripada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Tambah Dr Ma’amor, terdapat beberapa pelajar cemerlang di Mesir amat memerlukan bantuan kewangan bagi meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing di sana.

Namun, tambah beliau sehingga kini kerajaan masih belum memberi kata putus berhubung status pinjaman mereka.

“Jumlah sebenar pelajar ini saya belum dapat lagi, tapi mereka ini amat memerlukan bantuan kewangan. Jika mereka gagal menerima bantuan menjelang Januari ini, mereka terpaksa pulang ke Malaysia tanpa menghabiskan pengajian mereka.

“Melalui tabung ini kita sasarkan RM30,000 untuk membantu pelajar-pelajar ini, saya percaya dalam tempoh tiga minggu ini kita akan dapat mengumpul jumlah tersebut sebelum disalurkan kepada mereka.

“Buat masa terdekat ini kita sasarkan RM30,000 dulu kerana pelajar-pelajar ini amat memerlukan bantuan, tabung ini juga kita akan teruskan sampai bila-bila,” katanya.

Dr Ma’amor berkata, selain sumbangan daripada rakyat sumbangan daripada GLC amat diperlukan bagi membantu menampung kos pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang dianggarkan mencecah puluhan ribu.

“Kita akan bantu semua pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara tidak terhad kepada pelajar di Timur Tengah sahaja.

“Sebab itu kita memerlukan sumbangan daripada semua pihak termasuk GLC untuk menghulurkan bantuan melalui tabung yang kita tubuhkan ini.

“Saya percaya GLC ini akan menghulurkan bantuan untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara,” katanya.

Tambah Dr Ma’amor, satu pertemuan akan diadakan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan itu tersebut dan sekiranya Najib gagal mencari jalan penyelesaian pihaknya akan membawa isu itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita akan jumpa Perdana Menteri untuk bincangkan perkara ini sekiranya beliau juga tidak boleh mencari jalan penyelesaian kita akan membawa perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebarang maklumat mengenai Tabung Kecemasan Pendidikan boleh didapati di www.tabungkecemasanpendidikan.blogspot.com dan bantuan juga disalurkan melalui akaun bank atas nama Persatuan Pengguna Islam Malaysia nombor akaun 1437-0003-7710-50 (CIMB).

Posted by SiswaLaNie on 9:08 AM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for 2,000 pelajar Malaysia Timur Tengah dihimpit masalah kewangan

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery