Photobucket Photobucket


My Blog List


Wujudkah ‘tangan ghaib’ dalam kes pelajar UM?

KUALA LUMPUR, 7 Dis: Rayuan pihak pendakwaraya berhubung kes 'Rosmah Puaka' membabitkan lima mahasiswa Universiti Malaya (UM) akan didengar di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur, esok.

Rayuan itu ekoran keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozana Ali Yusoff pada 24 September lalu yang membebaskan lima mahasiswa terbabit daripada pertuduhan jenayah di bawah Seksyen 427, 436, dan 447 Kanun Keseksaan tanpa dipanggil membela diri.

Hakim memutuskan demikian setelah mendapati tiada bukti keraguan (prima facie) yang menunjukkan lima pelajar itu terbabit dalam kejadian tersebut.

Shazni Munir Mohd Ithnin (22 tahun), Muhammad Aizat Roslan (21), Muhammad Saufi Jelani (21), Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini (21) dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli (21) sebelum ini didakwa atas kesalahan cubaan melakukan perbuatan khianat, pencerobohan jenayah dan vandalisme.

Rozana dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaraya gagal membuktikan premis penting dalam pertuduhan yang boleh mengaitkan semua tertuduh melakukan khianat dan mempunyai niat yang sama.

Sehubungan itu, Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berharap agar mahkamah sekali lagi dapat memberikan keadilan kepada kelima-lima mereka seperti yang ditunjukkan pada 24 September lalu.

Menurut setiausahanya, Mohd Ridzuan Othman, mahasiswa menyokong penuh prosedur yang dijalankan mahkamah namun ia mestilah mempunyai hujah yang kuat sehingga membawa kepada rayuan kes tersebut.

"Di peringkat mahasiswa kita (mahasiswa) masih menaruh harapan besar di atas keadilan mahkamah di dalam kes ini sepertimana keadilan yang telah ditunjukkan setelah 5 mahasiswa ini dibebaskan 24 September lalu.

"Kita akur dengan prosedur mahkamah yang mana pihak pendakwaraya boleh menfailkan rayuan terhadap kes ke mahkamah yang lebih tinggi tetapi keadilan yang sewajarnya kita harapkan di dalam kes ini," kata beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, SMM tidak menafikan kemungkinan wujudnya 'tangan-tangan ghaib' yang mengarahkan keputusan kes itu dirayu.

"Saya mempersoalkan adakah wujud tangan-tangan ghaib yang membuat rayuan ini semula sedangkan penghakiman yang telah dibuat oleh hakim Rozana jelas menunjukkan pendakwaraya gagal membuktikan tertuduh?

"Saya bimbang jika ada pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin mengenakan kelima-lima tertuduh ini. Namun saya yakin masyarakat telah membuka mata dan melihat kes ini dengan memberikan keadilan terhadap mereka yang terlibat," katanya lagi.

Namun tegasnya, SMM akan terus bersama mereka dalam menuntut keadilan bagi kelima-lima mereka dan menyeru seluruh mahasiswa hadir memberikan sokongan pada hari perbicaraan nanti.

"Walaupun begitu, seluruh mahasiswa akan bersama di dalam menuntut keadilan kepada lima mahasiswa UM ini dan mahasiswa akan terus memperjuangkan isu ini sehingga nama mereka dibersihkan segera dalam semua pertuduhan ini.

"Saya juga menggesa dan meminta seluruh mahasiswa bersama pada hari perbicaraan tersebut tanda sokongan dan keadilan kepada 5 mahasiswa UM ini," katanya.

Posted by SiswaLaNie on 12:43 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

0 comments for Wujudkah ‘tangan ghaib’ dalam kes pelajar UM?

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery