Tiga ‘Siswa Puaka UM’ Kembali Dituduh
Dis 7, Kuala Lumpur : Tiga daripada lima Mahasiswa UM yang disyaki terbabit dengan salah laku kes menconteng dinding dan menyimbah minyak petrol di Akademi Pengajian Islam UM (APIUM) tahun lalu kembali dibicarakan.
Sebutan rayuan bagi kes ‘Rosmah Puaka’ itu akan didengar kembali di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 8 Disember (Rabu).
Rayuan itu dikemukakan kembali oleh pihak pendakwaraya terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen pada 24 September lalu.
Shazni Munir Mohd Ithnin (22), Muhammad Aizat Roslan (21), Muhammad Saufi Jelani (21), Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini (21) dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli (21) sebelum ini didakwa atas kesalahan cubaan melakukan perbuatan khianat, pencerobohan jenayah dan vandalisme (conteng).
Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyeru seluruh mahasiswa untuk datang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok (Rabu) bagi sama-sama mendengar rayuan kes itu.
Dijangka rayuan akan didengar kembali pada pukul 8 pagi di sana.
“Saya menyeru semua rakan-rakan dan front-front mahasiswa untuk datang bagi menyatakan sokongan kepada rakan-rakan kita yang kita didengarkan kembali rayuan kes esok (Rabu).”, ujar Setiausaha SMM, Mohd Ridzuan Othman.

“Kita akur dengan prosedur mahkamah yang mana pihak pendakwaraya boleh menfailkan rayuan terhadap kes ke mahkamah yang lebih tinggi tetapi keadilan yang sewajarnya kita harapkan di dalam kes ini.”
Namun, terdapat juga khabar angin mengatakan rayuan itu akan didengar kembali kerana pihak polis dan siasatan jenayah masih tidak menemui siapakah pesalah sebenar dalam kes tersebut.
Dan disebabkan kesemua yang dituduh dibebaskan tanpa sebarang bukti tuduhan, rayuan yang dibuat dipersoalkan kelima-lima mahasiswa tersebut.
SMM juga menyatakan kebimbangan wujudnya unsur-unsur khianat dan sengaja ingin mengenakan kelima-lima mahasiswa UM tersebut.
“Saya mempersoalkan adakah wujud tangan-tangan ghaib yang membuat rayuan ini semula sedangkan penghakiman yang telah dibuat oleh hakim Rozana jelas menunjukkan pendakwaraya gagal membuktikan tertuduh?”, soal Ridzuan.
“Esok (Rabu) tiga dipanggil (Saufi, Shazni Munir dan Aizat), kemungkinan selepas ini dua lagi (Shahrul Deen, Izzuddin) turut akan dipanggil. Jadi, kita (mahasiswa) bersedia untuk hadapi semua ini.”, ujarnya.
