Photobucket Photobucket


My Blog List


Nilai Ekonomi Islam dimata Dunia

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Ilahi dengan kasih sayang-Nya masih lagi membenarkan kita semua berada dalam keadaan sedar dan faham tentang Islam dalam mentaati segala suruhan-Nya. Semoga rahmat-Nya ini berterusan menjadikan diri kita sebagai seorang hamba yang selalu patuh dengan ajaran-Nya tanpa ada perasaan ragu-ragu.

Allah S.W.T menyediakan asas-asas keperluan yang lengkap kepada makhluknya dalam menjalani kitaran kehidupan seharian melalui sifat Ar-Rahman-Nya. Tanpa membezakan samaada seseorang itu muslim ataupun non-muslim. Islam adalah agama yang dipersembahkan oleh Sang Maha Pencipta yang mempunyai nilai-nilai kesempurnaan dan garis panduan yang jelas dalam memacu manusia ke jalan yang diredhai-Nya. Seseorang yang menganutinya dengan bersungguh-sungguh adalah orang yang akan menerima ganjaran yang tidak ternilai bandingannya di akhirat kelak. Semua itu telahpun dijanjikan oleh Allah S.W.T melalui kalam-Nya didalam Al-Quran yang wajib kita yakini secara mutlak.

Dalam melihat kepada dunia Islam hari ini, sewajarnya kita sedari pelbagai masalah-masalah yang timbul kepada umat Islam sama ada berkaitan dengan politik,ekonomi mahupun sosial. Kita melihat negara-negara maju yang diketuai oleh non-muslim memimpin negara-negara Islam dalam semua aspek seperti pembangunan dan teknologi. Malah, kedudukan ekonomi duniapun, kita jauh ketinggalan daripada mereka. Sehingga menyebabkan ada negara-negara Islam ditindas, dimanipulasi dan diatur sistem pentadbirannya dengan mengikut telunjuk mereka.

Ekonomi merupakan salah satu senjata utama golongan-golongan yahudi dalam menyerang dan menjatuhkan negara serta umat Islam. Sebagaimana sedia maklum, mereka tidak akan redha dengan Islam selagi kita tidak menuruti dan patuh dengan kehendak mereka. Melalui propaganda yang dimainkan seperti kemelesetan ekonomi dunia, sekatan ekonomi, sistem kewangan yang berkonsepkan kapitalis yang menguntungkan setengah pihak dan lain-lain, menyebabkan ada kebanyakan negara-negara Islam yang kecil dan miskin, mahupun sedang membangun pada hari ini mengalami masalah sosial dan keperluan hidup yang begitu serius sehingga ada dikalangan mereka menjadi negara pak turut dan terpaksa mengikut telunjuk mereka dalam menentukan segala aspek membuat keputusan berkenaan dengan hal ehwal negara.

Agenda licik Yahudi

Melalui agenda-agenda licik yang dimainkan yahudi laknatullah ini, ada diantara pemimpin Islam yang terpengaruh dan sanggup membelakangi hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dalam memuaskan nafsu golongan yahudi semata-mata demi kepentingan diri mereka. Mereka menggadaikan maruah umat Islam dengan menghalalkan apa sahaja yang ditetapkan oleh golongan ini yang menjadikan akal sebagai petunjuk.

Judi, riba dan rasuah adalah perkara yang ditegah oleh Islam kepada penganutnya yang mana ia memberi kesan bahaya yang begitu besar dalam kehidupan seharian umat Islam mahupun masyarakat manusia umumnya. Malah, agama-agama lain juga menegah penganutnya daripada mendekati perkara-perkara seperti ini. Sebagai contoh, apabila judi dihalalkan, orang yang menganjurkan judi akan terus menjadi kaya dan orang yang melangganinya akan terus menjadi miskin disebabkan mereka sanggup menghabiskan wang untuk bertaruh walaupun tidak memberi sebarang jaminan kesenangan kepada mereka. Bahkan memberikan kesan sosial yang membimbangkan seperti kehilangan nilai-nilai moral dalam masyarakat, keruntuhan rumahtangga seperti penceraian, keterabaian anak-anak dan sebagainya.

Pada hari ini, sistem ekonomi dunia memberikan kesan negatif yang begitu besar kepada negara-negara kecil dan mundur. Pelbagai masalah yang berlaku akibat kesan yang dimainkan oleh negara-negara maju tanpa memikirkan kesan kepada nilai-nilai akhlak dan universal. Ini menunjukkan sistem ekonomi yang berpandukan kepada akal semata-mata yang dimainkan oleh golongan-golongan yang bencikan Islam ini berjaya memainkan peranan untuk menghancur dan memesongkan umat Islam daripada mengikut garis landasan yang betul.

Apa yang menghairankan, kita terlupa yang sesungguhnya ada satu system ekonomi yang meletakkan keadilan dan kebajikan sebagai model asas utama dalam proses pembentukan sebuah negara yang stabil dan berteraskan pembangunan yang seimbang kepada masyarakat, iaitu sistem ekonomi Islam. Ekonomi Islam ialah sistem yang menjadikan hukum dan peraturan Al-Quran sebagai panduan dan juga merupakan suatu bidang ilmu yang menghuraikan disiplin antara hubungan manusia dengan kegiatan ekonomi yang merangkumi aspek-aspek llahiah (ketuhanan) dan insaniah (kemanusiaan).

Yang mana bidang ini merangkumi Kuasa mutlak Allah ke atas kehidupan manusia dan sumber ekonomi, peraturan atau undang-undang dan nilai yang membentuk perlakuan manusia dalam kegiatan ekonomi, hak-hak kehormatan manusia sebagai pengusaha dan penerima faedah, Kedudukan sumber ekonomi sebagai punca kegiatan, kawalan dan pemisahan antara kegiatan ekonomi positif dan negatif dan hasil pulangan ekonomi dan pengagihan kekayaan berteraskan keadilan. Sekiranya kita perhatikan konsep yang ditawarkan dalam ekonomi Islam ini, banyak kelebihan dan manafaat yang diterapkan yang bersesuaian dengan nilai norma kehidupan manusia seharian. Berbeza dengan ekonomi konvensional yang banyak memberikan masalah kepada umat manusia.

Peluang dan hak

Ekonomi Islam menawarkan peluang dan hak yang seimbang kepada golongan yang mampu berusaha dan tidak mampu. Ini kerana, ia berteraskan aqidah (tauhid dan keimanan) dan syariat Islamiah. Melalui gabungan ini, ia menjamin kehormatan dan kebaikan kegiatan ekonomi sama ada dari aspek sumber pendapatan, guna tenaga, manusia dan pengagihan yang adil. Ekonomi Islam berlandaskan kepada aqidah yang meyakini bahawa harta benda adalah milik Allah SWT, sedang manusia hanya sebagai khalifah yang mengelolanya (Istikhlaf), sebagaimana diamanatkan Allah SWT dalam surat Al-Hadiid ayat 7.

Sistem Ekonomi Islam tidak membunuh hak individu sebagaimana Allah SWT nyatakan dalam surat Al-Baqarah ayat 29, yang sesungguhnya semua yang ada di Bumi diciptakan untuk semua orang. Namun pada saat yang sama tetap memelihara hak sosial dengan seimbang. Lain pula dengan sistem ekonomi yang diamalkan barat. Sistem yang mereka rencanakan banyak meliputi unsur-unsur penipuan, kezaliman, pembaziran dan penindasan yang sama sekali tidak langsung memberi manfaat kepada masyarakat dunia kerana ia tidak menjaga keseimbangan antara hak individu dan hak sosial.

Disamping kita melihat pelbagai masalah yang berlaku kepada umat Islam hari ini dari aspek pembangunan ekonomi, marilah sama-sama kita menyingkap dan meneladani sirah junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat dalam meletakkan segala hukum dan peraturan Allah S.W.T ditempat yang paling teratas dalam segenap hal. Apabila muncul dan tertubuhnya Negara Islam yang pertama, Madinah Al-Munawwarah yang diketuai Nabi Muhammad S.A.W, baginda telah mewujudkan piagam Madinah dan menghapuskan segala bentuk urusniaga berkonsepkan riba yang menindas golongan-golongan miskin. Kesannya umat manusia ketika itu dapat hidup secara aman dan harmoni tanpa ada penindasan yang berlaku.

Dinar Emas

Dinar emas merupakan alat perniagaan dan perdagangan yang digunakan pada zaman jahilliyah lagi. Kemudian dijadikan matawang rasmi dan utama pada zaman ketamadunan Islam yang dipimpin Baginda Rasulullah S.A.W sehinggalah zaman khalifah Islamiyah. Bila kita mengkaji dinar emas pada zaman tersebut, masalah-masalah berkaitan jatuh turunnya nilai matawang, masalah kejatuhan inflasi, dan kemerosotan ekonomi ketika itu tidak berlaku berbanding nilai matawang sekarang yang berkonsepkan kertas tanpa berlandaskan emas secara mutlak dan sering menimbulkan masalah kepada penggunanya serta tidak mempunyai kesamarataan nilai matawang diantara negara-negara. Sedangkan nilai dinar emas memberi kesamarataan nilai dan mempunyai instrument yang tersendiri iaitu keadaan emas secara keseluruhannya.

Pada zaman khalifah Umar Al-khattab, dinar emas diperluas penggunaannya disetiap kawasan-kawasan yang dikuasai umat Islam dan negara-negara lain disekitarnya. Kemudian ia dituruti oleh khalifah-khalifah Islam selepasnya. Pada ketika itu, ekonomi umat Islam dan dunia berkembang dengan baik tanpa ada kegawatan dan penindasan sehinggalah munculnya matawang konvensional yang diketuai barat dan Amerika yang menyebabkan negara-negara kurang maju dan miskin menghadapi dilemma kemelesatan ekonomi yang berpanjangan akibat kesan perubahan yang berlaku.

Secara keseluruhannya, bolehlah kita katakan dinar emas yang dianjurkan dalam ekonomi Islam ini sebagai satu alternatif yang perlu dikembalikan semula kegemilangan dan penggunaannya oleh negara dan umat Islam dalam memastikan ekonomi umat Islam pada hari ini tidak ditindas dan dipermainkan sesuka hati oleh golongan-golongan yang cuba menghancurkan umat Islam. Dengan itu, Islam akan terus digeruni semula oleh pihak lawan yang bercita-cita untuk menjatuhkan Islam. Sesungguhnya ini menunjukkan Islam itu adalah agama fitrah yang memandu umat Islam dan dunia kepada kesejahteraan dalam kehidupan dalam semua aspek kehidupan.

Penulis merupakan Bendahari Kehormat Maaruf Club International Islamic University Malaysia (IIUM).

Posted by SiswaLaNie on 3:07 PM. Filed under , . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 Photobucket

1 comments for Nilai Ekonomi Islam dimata Dunia

  1. Anonymous

    aku kenal dia ni......sahabat semasa di utm

Leave comment



Recent Entries

Recent Comments

Photo Gallery