200 penyokong Pro-M ke mahkamah esok
Penyokong Pro-Mahasiswa dari empat universiti awam akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok untuk memberi sokongan kepada lima pelajar Universiti Malaya (UM) yang sedang dibicarakan berhubung kes 'bini puaka'.
Mahkamah dijadual memutuskan esok sama ada terdapat kes prima facie terhadap lima mahasiswa Akademi Pengajian Islam (API) UM yang berdepan dengan cubaan khianat dengan menggunakan api dan melakukan pencerobohan jenayah pada 24 Jun tahun lalu.
Kira-kira 200 penyokong Pro-Mahasiswa dari UM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) akan hadir di mahkamah pagi esok.
Dalam satu kenyataan hari ini, pengerusi Pro-Mahasiswa UPM. Syed Syafiq Syed Hashim pihaknya akan hadir di mahkamah esok walaupun dilarang berbuat demikian oleh pihak pentadbiran universiti tersebut.
"Pro Mahasiswa UPM ingin menyatakan pendirian bahawa kami akan terus menghantar mahasiswa UPM ke Mahkamah Jalan Duta esok," katanya sambil berharap untuk membawa seramai mungkin.
Syed Syafiq berkata, pihaknya dihubungi wakil timbalan naib canselor Bahagian Hal Ewal Pelajar (BHEP) melalui telefon, meminta mereka jangan menghantar mahasiswa ke mahkamah esok
"Kami berpendapat BHEP tidak mempunyai kuasa untuk menghalang mahasiswa mendengar keputusan perbicaraan di mahkamah," katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, jurucakap Pro-Mahasiswa UM pula memberitahu Malaysiakini, pihaknya menganggarkan 70 mahasiswa universiti tersebut akan hadir esok.
Setakat ini, katanya, pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada pihak pentadbiran universiti tersebut supaya jangan ke mahkamah esok.
Manakala jurucakap Pro-Mahasiswa UKM pula memberitahu Malaysiakini bahawa kira-kira 30 mahasiswa universiti akan hadir di mahkamah di Jalan Duta esok.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang arahan dari pihak universiti supaya jangan berbuat demikian.
Sementara itu, jurucakap Pro-M UIA berkata pihaknya juga akan ke mahkamah esok untuk tujuan tersebut.
Ketika dihubungi Malaysiakini, sumber berkata, kira-kira 50 mahasiswa akan hadir memberi sokongan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, sumber itu tidak pasti sama ada pihak pentadbiran UIA ada mengeluar sebarang arahan melarang mahasiswa hadir di mahkamah esok.
Perhimpunan esok dianjur oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Setiausahanya, Mohd Ridzuan Othman berkata, beliau .yakin dengan kredibiliti mahkamah di Malaysia sebagai telus, adil dan bijaksana dalam menilai setiap fakta kes.
"Saya mengharapkan seluruh mahasiswa, aktivis dan masyarakat untuk sama-sama berdoa bagi kemenangan kes ini," katanya dalam kenyataannya kepada mygamis.blogspot semalam.
Lima tertuduh dalam kes tersebut ialah Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahriuldeen Ahmad Rosli dari Universiti Malaya yang dituduh melakukan jenayah dibawah Seksyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.
Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani - yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor - dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu kira-kira jam 4 pagi.
Manakala bagi Seksyen 436, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.
Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.
Prosiding mahkamah akan bermula jam 8.30 pagi esok.
Posted by SiswaLaNie
on 6:01 PM.
Filed under
pro mahasiswa,
Siasah,
terkini
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0